Monday 18 August 2014

ANTARA AINUN DAN AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI - siri 2.0


AZIZAH    siri 2.0   part  1





[baca kisah  AINUN dalam  siri 1.0 DI SINI]


1. Azizah dilahirkan pada 3 Disember 1952 hasil perkongsian hidup  Wan Ismail bin Wan Mahmood dan Mariah binti Hj Khamis di Hospital Kandang Kerbau, Singapura. Ketika itu ayah  beliau  belajar di sana. Wan Ismail berhijrah ke London ketika Azizah berusia tiga tahun.  Untuk menjimatkan kos perbelanjaan di perantauan, Wan Ismail telah menyerah Azizah untuk dipelihara oleh pakcik beliau iaitu Che Ruslan bin Tahir dan Wan Asma Wan Mahmood yang bertugas sebagai  Ketua Merinyu Kesihatan Kedah/Perlis. Kediaman beliau di kuarters perumahan pegawai kesihatan Bakar Bata, Alor Setar. Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St Nicholas, Alor Setar. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke Kolej Tunku Kurshiah di Seremban. Seterusnya pada tahun 1973, beliau melanjutkan pelajaran ke Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland. Beliau memperolehi segulung ijazah dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi. Di universiti itu, beliau adalah seorang penuntut yang cemerlang dan pernah menerima anugerah pingat emas “MacNoughton-Jones Gold Medal pada Tahun 1977, menjadikan satu-satunya  pelajar dari Asia Tenggara mendapat penghormatan tersebut.
RCSI salah sebuah universiti tersohor


Azizah di Royal College of Surgeons


papan tanda peringatan  penuntut cemerlang di RCSI  jelas terpahat nama Wan Azizah

 2. Sekembalnya  Azizah ke tanah air, selepas menamatkan housemanship beliau berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur sebagai seorang doktor pakar Opthalmology. Dalam masa yang sama, beliau juga bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya, mengajar Opthalmology Hospital Universiti Malaya. 






 3. Menurut  satu sumber terdekat, Anwar mengenali  Azizah melalui  seorang 'course-mate' Azizah menerusi sekeping foto Azizah (semasa mengikuti satu kursus bahasa Arab) ketika Azizah menuntut di Dublin, Ireland.  Dikatakan Anwar tertarik dengan Azizah kerana Azizah ketika itu  merupakan satu-satunya  pelajar Melayu yang memakai hijab (tudung). Anwar ketika itu adalah Pengarah (Pengetua) dan pengasas Yayasan Anda Akademik (YAA) sebuah sekolah menengah swasta yang beroperasi di sebuah bangunan usang Jalan Hamzah, Kampong Baru Kuala Lumpur. YAA telah mewajibkan semua pelajar wanita muslim yang menjadi penuntut di situ menutup aurat, yakni memakai baju kurung dan bertudung sebagai uniform sekolah. Anwar selaku Presiden ABIM mempunyai aura tersendiri. Hebatnya Anwar adalah kerana  hampir kesemua pelajar IPT di Malaysia mengenali beliau. Anwar semenjak usia lewat pertengahan 20-an adalah di antara aktivis  pelajar   yang menggerakkan hampir seluruh masyarakat pelajar dan rakyat marhein  dalam beberapa siri demonstrasi pelajar menyentuh pelbagai isu tempatan dan nasional di dalam atau di luar kampus. Baca selanjutnya di sini  dan di sini. Hebatnya Azizah pula ialah kerana beliau berjaya mencuri perhatian dan berjaya menjadikan Anwar sebagai teman hidup ketika beliau berusia 26 tahun, manakala Anwar 30 tahun. Puluhan anak gadis terutama  siswi di IPT yang menggilai Anwar. Di antaranya ialah seorang gadis yang kini menjadi seorang peguam kanan (pernah menjadi team peguam Anwar di dalam kes Liwat 1 seketika dahulu). Selepas Anwar menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1974, beliau yang ketika itu berusia 25 tahun telah memilih untuk membuka sebuah sekolah menengah swasta iaitu Yayasan Anda Akademik di Kampung Baru Kuala Lumpur. Berbanding dengan graduan UM yang kebanyakannya menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai PTD, PTA, perguruan atau eksekutif di sektor swasta dan perbankkan dengan tangga gaji yang lumayan,  beliau hanya menerima imbuhan berupa elaun (gaji) yang amat kecil. Anwar pernah menzahirkan  ‘kedaifan’ profession beliau  di dalam satu ucapan pada satu majlis di kolej kediaman UM dengan kata-kata “Saya  ni bukanlah seorang intelek, berasal pula dari Cherok Tok Kun, kerja pula sebagai guru swasta. Mana ada gadis yang minat dengan saya”. Selang beberapa hari kemudian, beliau menerima berpuluh puluh pucuk surat dari beberapa orang gadis yang meluahkan hasrat hati untuk menjadi teman hidup beliau.

4. Pertemuan buat kali pertama Azizah-Anwar telah di atur oleh sahabat-sahabat di kantin HBKL sekitar tahun 1979. Dalam 'pertemuan'  tersebut, Azizah tertawan dengan ketokohan dan keperibadian Anwar. Menurut Azizah..... "saya kemudian dapat merasai apa yang dinamakan wibawa seorang tokoh pimpinan. Mendengar bait-bait kata yang dilafazkan  beliau (Anwar)  serta celupan dan curahan pemikiran beliau, saya akhirnya mengakui mengapa beliau yang sangat belia pada waktu itu, boleh pergi sejauh itu dalam aktivisme, kemasyarakatan dan perjuangan...."   


Dato' Wan Ismail
5. Kisah perkahwinan Azizah-Anwar agak dramatik kerana perkahwinan tersebut pada peringkat awal tidak mendapat restu dari pihak keluarga Azizah. Dato' Wan Ismail yang ketika itu adalah ahli  Majlis Keselamatan Negara. Di antara tugas Dato' Wan Ismail ialah mengumpul maklumat individu atau kumpulan yang dianggap radikal dan militan yang boleh mengancam keselamatan negara.  Unit tersebut adalah lanjutan dari unit perisikan yang ditubuhkan oleh Kerajaan British sebagai usaha mengekang pengaruh dan penyusupan anasir komunis dalam masyarakat dan negara. Sekitar tahun-tahun 1970-an, Anwar Ibrahim sememangnya seorang aktivis pelajar yang mengambil pendekatan nasionalise-Islam. Anwar seorang belia yang kritis, vokal dan 'aktivis nakal'  ketika usia tersebut sering menganjurkan bantahan dan demonstrasi pelajar bersama dengan badan-badan pelajar dalam kampus seperti Kelab Sosialis UM , PMUM dan sebagainya. Di antara siri demonstrasi yang besar termasuklah Demonstrasi Baling pada 3 Disember 1974 yang menyebabkan Anwar dan rakan-rakan ditahan di bawah ISA selama hampir dua tahun di Kem Tahanan Perlindungan, Kemunting, Taiping. Oleh itu, Dato' Wan Ismail  mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai kegiatan Anwar. Oleh yang sedemikian, apabila Anwar berhasrat menyunting Azizah, sudah tentu Dato' Wan Ismail agak keberatan. Di sinilah kita lihat di dalam sifat Azizah seorang lemah lembut,  tetapi mempunyai hati yang kental, tekad menerima dan menjadikan Anwar  sebagai jejaka impian.
berita penikahan Anwar-Azizah tersiar dalam media rasmi ABIM dan
Majalah Panji Masyarakat keluaran April 1980 
Di atas inisiatif sahabat Anwar, urusan peminangan diketuai oleh Ustaz Nik Mahyuddin Musa (Pengarah Agama Kementerian Pelajaran),  Ustaz Ahmad bin Awang (Pusat Islam Malaysia), Puan Zaleha Ali (adik Ipar Tun Dr. Mahathir) dan lainnya. Anwar dan Azizah telah di nikahkan secara wali hakim oleh Ustaz Hj. Harussani bin Hj. Zakaria iaitu Kadi Negeri Pulau Pinang (kini Dato' Seri Mufti Negeri Perak) pada 28 Februari 1980 di Bukit Mertajam (bukan di Selatan Thailand seperti yang ditohmahkan). Semua urusan berjalan lancar dengan bantuan logistik dari Allahyarham Ustaz Ahmad Hassan Salahudin bin Hj. Khalil selaku Mudir Madrasah al-Masriyah Bukit Mertajam dan rakan dari Abim seperti Ustaz Fadhil Noor dan Ustaz Sidek Fadzil. Majlis walimatul urus diadakan cukup meriah di rumah  ayah Anwar di Cheruk Tok Kun. Pada minggu seterusnya majlis kenduri perkahwinan Azizah-Anwar telah dilansungkan di rumah Pak Ibrahim di Petaling Jaya dan seterusnya ABIM menganjurkan majlis yang sama pada 16 Mac 1980 di Restoran Shiraz Kuaal Lumpur yang dihadiri sahabat handai, pegawai kanan kerajaan, tokoh-tokoh gerakan Islam, tokoh akademik dan pak duta dari negara Arab Saudi, India, Pakistan, dan Iraq.  Ternyata Azizah cekal dan sabar  menghadapi kemelut tersebut. Azizah mengakui ayah beliau hanya berlembut dan menerima Anwar sebagai menantu setelah  puteri sulung mereka Nurul Izzah dilahirkan pada 19 November 1980 

Dr Wan Azizah telah berhenti daripada kerjayanya dalam tahun 1993 apabila suami beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

BERSAMBUNG PADA SIRI 3.0





No comments:

Post a Comment