Sunday 1 June 2014

LEGASI REFORMASI ANWAR IBRAHIM siri 5.0 : DEMONSTRASI BALING TAHUN 1974


ANWAR  DAN DEMONSTRASI  BALING

1. Terdapat banyak penulisan membicarakan insiden Demonstrasi Baling Tahun 1974. Selepas 39 tahun berlalu, satu pengkisahan semula Demonstrasi Baling  telah di adakan pada 10 Disember 2013 di Dewan Sivik Petaling Jaya. Turut menjayakan pengkisahan tersebut ialah watak terpenting iaitu Saudara Hishamudin bin Rais selaku mantan Setiausaha Kelab Sosialis UM, Saudara  Kamaruzaman bin Yaakob Presiden PMUM dan Dr. Syed Hamid bin Ali dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia, manakala ucapan dasar oleh Datuk Sri Anwar bin Ibrahim. Penulis cuba menghubungi urusetia memaklumkan bahawa Demonstrasi Baling bukan sahaja melibatkan mahasiswa IPT dari ibu kota, malah mahasiswa USM, pelajar sekolah Yayasan Anda Akademik (YAA), Kampong Baru, Kuala Lumpur dan  siswa-siswi Politeknik Ungku Omar Ipoh (PUO) turut bersama. Saudara Hishamuddin Bin Rais dalam laman blognya Tukar Tiub menyanjung tinggi semua  pihak termasuk siswa-siswi PUO yang terlibat di dalam Demonstrasi Baling. Baca di sini

2. Pengenalan 'sudut pidato' di UM pada tahun 1973 telah memberi ruang kepada pemimpin mahasiswa universiti tersebut untuk bercakap lantang dan lancang mengkritik dasar-dasar kerajaan  yang mengabaikan kemiskinan rakyat ketika tersebut. Misalnya pada tahun 1974 sejarah kampus IPT menyaksikan kebangkitan dua  fahaman  yang  berbeza  dikalangan siswa iaitu 'puak' sosialisme dan nasionalisme Islam berjaya dirapatkan untuk menempa satu matlamat iaitu bergerak keluar kampus mendedah kebobrokkan pemerintah terhadap masyarakat marhein di luar sana. Kelab Sosialis UM (berfahaman kiri) dan PBMUM (berfahaman kanan)  bergerak untuk menganjurkan demonstrasi di Tasik Utara Johor  dan Baling Kedah. 

3. Sebelum berlaku demonstrasi pelajar IPT di Ibu Negara, Ipoh dan di Pulau Pinang, telah berlaku satu demonstrasi pada kalangan 1,000 penduduk di Baling,  Kedah berhubung isu kejatuhan harga getah pada 19 November 1974. Selang dua hari berikut, sekali lagi penduduk Baling berdemonstrasi dengan jumlah peserta meningkat kepada 13,000 orang menuntut isu yang sama. Memandangkan pihak kerajaan tidak menunjukkan sebarang reaksi segera, maka pada  pada 1 Disember 1974, seramai 30,000 penduduk yang bergerak dari kampung-kampung berhampiran ke pekan Baling menuntut kerajaan menaikkan harga getah. Mobilisasi penduduk Baling tersebut telah mendorong  satu demonstrasi secara besar-besaran  di adakan pada hari Selasa 3 Disember 1974 di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka).  Dalam demonstrasi tersebut mahasiswa telah mendesak beberapa tuntutan ke atas kerajaan Malaysia, di antaranya;

  • kerajaan hendaklah menyelesaikan masalah inflasi negara
  • harga getah hendaklah dinaikkan keparas yang munasabah
  • semua menteri dan Menteri Besar yang rasuah hendaklah disingkirkn atau dihukum.
4. Menurut catatan pengarang Ar-Risalah - buletin bulanan ABIM terbitan 1975 yang memperihalkan Demonstrasi Baling 1974, menyebut.....
Pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedeh mata. Pelajar-pelajar telah melarikan diri ke Masjid Negara tetapi FRU terus mengejar mereka. FRU telah mengepung 8000 pelajar yang sedang berlindung di masjid. FRU terus melepas tembakan gas pemedih mata ke dalam masjid. Pelajar berzikir sementara masuk waktu zohor. Menurut  Ibrahim Ali, beliau dan kumpulan mahasiswa bertahan di Masjid Negara selepas dikejar polis pencegah rusuhan dan ditembak gas pemedih mata. “Waktu itu saya sedang berucap dan (saya) jemput Anwar berucap. Polis pula mula tangkap mahasiswa, keadaan huru-hara. “Anwar bersama saya lari,” kata Ibrahim. Menurut Ibrahim, Anwar kemudian ditangkap pada sebelah petang ketika ke balai polis Brickfields untuk melihat mahasiswa lain yang ditahan. Akhinya FRU terus menyerbu masuk ke dalam ruang solat dan menangkap pelajar yang berada disitu. Seramai 1128 pelajar termasuk 80 siswi telah ditangkap, di bawa ke Balai Polis Brickfield, Sentul dan Jalan Bandar. Pada sebelah malam mereka dipindahkan ke Polis Depot di Jalan Gurney. Pada keesokan hari mereka dihadapkan ke mahkamah. Kesemuanya mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan diri sendiri sebanyak  RM 200 hinga RM 300. Sementara itu demonstrasi masih diteruskan di dalam kampus walaupun dikepong oleh FRU. Pada hari Ahad 8 Disember 1974 pasukan Polis Hutan telah menyerbu masuk ke dalam kampus UM dan UKM Lembah Pantai - telah mengeledah bilik-bilik asrama dan pejabat 'Student Union'  menangkap aktivis mahasiswa di bawah Akta ISA. Rujuk penulisan Hishamudin Rais Setiausaha PMUM dan Kelab Sosialis UM disini.   


Penduduk/penoreh getah di Baling mula berkumpul

Demonstrasi Mahasiswa IPT di Padang Kelab Selangor (Dataran Merdeka)

Anwar Ibrahim disambut sebagai hero di kampus UM

Opps Rotan - tangkapan beramai-ramai mahasiswa

Pasukan Polis Hutan telah mengepung pintu masuk utama Kampus UM dan UKM Lembah Pantai semenjak 5 Disember 1974 selama lebih seminggu
Edisi Berita Harian 4 Disember 1974


UNIVERSITI SAINS PULAU PINANG @ USM
Tidak ramai mahasiswa USM yang terlibat kerana ketika peristiwa tersebut, USM masih bercuti penggal pada penghujung tahun. Bagaimana pun, terdapat seramai kira-kira 150 mahasiswa USM termasuklah salah seorang aktivis pelajar iaitu Abdul Rahman bin Sulaiman (Datuk - Mantan Pengurus Besar Bernama) telah membawa sepanduk dan pelakat sambil melaung isu kemiskinan penduduk Baling di hadapan Bangunan Canselori  USM di Bukit Minden.  Sebenarnya ramai dikalangan mahasiswa USM terlebih dahulu pergi ke Baling kerana perjalanan menaiki kereta dan bas kira-kira dua jam. Di antaranya sekumpulan pelajar yang di ketuai oleh anak kepada aktivis masyarakat di Telok Gong  telah berada di Baling bergabung dengan kumpulan dari mahasiswa UM dan UKM dan berdemontrasi bersama penduduk Baling, manakala menurut Hishamuddin Rais, Presiden PMUSM  Saudara Ahmad Kamal Selamat bersama ahli rombongannya telah berada di Padang Kelab Selangor membentuk kumpulan mahasiswa dari UM, UKM, ITK (UTM), ITM (UiTM) dan UPM.

POLITEKNIK UNGKU OMAR

1. Berbanding dengan IPT bertaraf universiti seperti UM, UKM, USM, ITM dan ITK(UTM), pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) turut berdemonstrasi atas isu Baling. Pada Tahun 1974  PUO adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam (selain dari Maktab Perguruan) yang terdapat di negeri Perak. PUO terletak di Jalan Dairy (Jalan Raja Musa Mahadi) Ipoh bersempadan dengan Kompleks RTM Ipoh, Sekolah Menengah Raja Chulan dan kurang satu km dari Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR). Penghujung Jalan Dairy adalah perkampongan Kampong Baru Ampang Bharu. Terdapat perkhidmatan bas harian dari stesen bas Jalan Yang Kalsom yang berakhir di Kampong Baru Ampang Bharu.
2. Sebelum berlaku Demonstrasi Baling, kampus PUO yang tenang seketika telah berkocak disebabkan oleh bantahan siswa-siswi PUO terhadap pentadbiran yang diterajui oleh Encik Nawawi. Menurut pelajar senior, Encik. Nawawi adalah seorang Pengarah PUO yang sombong dan mentadbir tanpa menghiraukan memo yang dihantar oleh Persatuan Pelajar PUO (PPPUO) dan Persatuan Pelajar Islam PUO (PPIPUO). Di antara isu di dalam memo tersebut meminta pentadbir PUO memberi perhatian kepada permasalahan pelajar  iaitu;

  • Masalah solat Jumaat. Ketika tersebut belum ada masjid di di kampus PUO. Masjid terdekat  adalah Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat. Hanya terdapat sebuah bas yang digunakan untuk membawa pelajar menunaikan solat Jumaat di situ. Kadang kala bas uzur. Jesteru, ramai pelajar telah  dinafikan hak untuk solat Jumaat. PPIPUO dan PPPUO bertindak mengarahkan pelajar Muslim mendirikan solat Jumaat  di atas padang di kawasan asrama. Tetapi dihalang oleh pentadbir PUO atas alasan tidak mendapat kebenaran dari Majlis Agama Islam Perak. Akhirnya selepas beberapa siri rundingan, pelajar diberi kebenaran sementara bersolat Jumaat di Dewan Besar PUO.
  • Makanan yang disediakan oleh pihak kantin tidak memuaskan. Menurut pelajar senior, isu makanan kantin asrama telah berlarutan lebih dua tahun. Oleh yang sedemikian terdapat setengah pelajar terpaksa mendapatkan makanan dari luar atau lebih popular sebagai 'nasi bungkus'. (Isu 'nasi bungkus' telah dijadikan lirik lagu 'INILAH BARISAN POLY'
            ....... inilah barisan poly, yang ikhlas berjuang
                    siap sedia berkorban untuk 'reject Nawawi'........
           ........ andai kata kami masuk penjara,
                    hantarlah nasi bungkus ke sana.......
  • Masalah petempatan pelajar yang tidak mendapat tempat di asrama, kedapatan pelajar yang terpaksa berulang alik dari rumah sewa yang berdekatan sejauh Taman Caning.
3. Ekoran daripada beberapa isu di atas, satu siri demonstrasi aman di adakan di dalam kampus bertujuan meminta pihak Kementerian Pelajaran 'reject Nanawi'.  Pihak pejabat Menteri Besar telah campur tangan dan telah meminta wakil pelajar kemeja rundingan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Bangunan Perak Seri  Darul Ridwan. Tetapi belum sempat selesaikan isu 'reject Nawawi', pada malam 1 Disember 1974 asrama PUO dikunjungi oleh sekumpulan mahasiswa mewakili PKPIM, PMUM, PMUKM dari ibu kota memberi penerangan mengenai tragedi kematian seorang kanak-kanak akibat kemiskinan  di Baling Kedah. Dilaporkan punca   kematian kanak-kanak malang itu kerana memakan ubi gadong. Ketika itu rata-rata penduduk Baling kesempitan wang  lantaran dari kejatuhan harga getah dan musim hujan memanjang. Siswa-siswi PUO diminta untuk bersama mahasiswa seluruh negara berdemonstrasi  di atas isu tersebut di Ipoh.

ubi gadong yang beracun jika dimakan berterusan


4. Demontrasi tersebut telah berlaku pada 3 Disember 1974. Pada jam 9.00 pagi kira-kira 400 pelajar PUO telah menyerbu dan memasuki kawasan parkir di kompleks Bangunan Perak Sri  Darul Ridwan yang berupa 'state secretariat'. Pelajar telah melaungkan isu kemiskinan penduduk Baling dan menjulang pelakat yang dibawa.


siswa/i PUO berkumpul di Padang Perbandaran Ipoh sebelum menyerbu ke Bangunan Perak Sri Darul  Ridwan Ipoh



Demonstrasi berjalan dengan aman dan berlansung selama sejam  Pihak polis dari unit Polis Hutan yang berpangkalan Kem Ulu Kinta telah mengawal situasi, lengkap dengan perisai dan senapang pelancar gas pemedeh mata. Tidak ada tembakan pemedih mata dan tidak ada lontaran molokov coktail.  Setelah keadaan menjadi stabil, pelajar mula bersurai. Sebaliknya pada 4 Disember 1974 pihak berkuasa PUO telah mengeledah dan mensita pejabat Persatuan Pelajar PUO dan Persatuan Pelajar Islam PUO. Beberapa dokumen dan sistem siar raya (PA System) serta  loud heler telah dirampas. Berikutnya beberapa orang peminpin pelajar telah di beri surat tunjuk sebab di atas tindakan berdemonstrasi dan mereka telah di pecat sebagai pelajar PUO. Di antara yang di pecat ialah Sdr Hashim bin Ahmad, Yang Di Pertua PPIPUO, Sdr. Rahim (Timb. YDP) PUO dan Sdr. Azhar bin Ahmad (Setiausaha Agong) PPIPUO. Saudara Hashim dan Rahim membawa diri menyertai pertubuhan Darul Arqam dan pernah menjadi orang kuat kumpulan tersebut di Sabah, manakala saudara Azhar bin Ahmad telah diberi biasiswa oleh Anwar Ibrahim memasuki ke Tingkatan 6 Atas  di Yayasan Anda Akademik, Kampong Bahru pada Februari 1975.

YAYASAN ANDA AKADEMIK KAMPONG BARU KL

1. Yayasan Anda Akademik terletak di Jalan Hamzah, Kampong Baru Kuala Lumpur.  Anwar bin Ibrahim adalah Pengarah  yang juga pengasas.  Sebelum berlaku Demonstrasi Baling, pelajar dan guru YAA sedang menghadapi  Peperiksaan Penggal Akhir. Sebelum insiden tersebut, YAA agak meriah kerana berlansungnya Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar Persatuan Siswa-siswi YAA (PSYAA). Dua orang calon berentap untuk jawatan Presiden PSYAA Sessi 74/75 iaitu  Saudara Shahiruddin Abdul Moin (sekarang ADUN  Pahang), dan  Saudara Johanim Jefri (JJ) - Johanim Jefri menang jawatan tersebut.

2. Menurut Saudara Ibrahim bin Yusuf (Pelajar Tingkatan 6 Rendah YAA Tahun 1974) "semangat pelajar adalah tinggi kesan dari kemeriahan kempen piliharan raya PSYAA tersebut telah mendorong pelajar menyatakan hasrat untuk bersama-sama menyertai Demonstrsi Baling". Dianggarkan seramai 300 pelajar yang terdiri dari tingkatan 4 dan 6 Rendah  (pelajar Tingkatan 5 dan 6 Atas sedang menduduki pepeiksaan SPM dan STP/HSC - pusat peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney).  Mereka telah keluar beramai-ramai setelah tamat peperiksaan penggal, ada yang  balik ke rumah sewa bertukar bajudan ada yang terus  ke Chow Kit  dapatkan bas  ke Terminal  Bas Kelang Jalan Sultan Mohamad . Di sana mereka bergabung dengan kumpulan mahasiswa dari IPT tetapi telah disekat oleh polis  dan FRU, mereka diarah bergerak ke Masjid Negara. Setelah berlaku pertempuran dengan FRU, terdapat pelajar dan guru YAA yang ditangkap polis, di antaranya  Saudara Ibrahim, Abdul Raof Abu Bakar dan  Saudara Mustafa (Kojak), manakala Cikgu Hj. Ismail Mina, Cikgu Sidek Fadhil, Cikgu Kamarudin Md Noor dan Ustaz Osman Abu Bakar (arwah) turut menyertai demonstrasi tetapi ditangkap dan  di bawa ke Pulapol Jalan Gurney.  Menurut Saudara Ibrahim Yusuf, Cikgu Anwar Ibrahim berada di YAA pada 3 Disember 1974. Cikgu Anwar telah mengedar kertas soalan Geografi Tingkatan 6 Rendah kerana Cikgu Abdul Halim bin Ain (Guru Geografi) telah bersama mahasiswa UM di Padang Kelab Selangor. Saudara Ibrahim Yusuf menyangkal teori seorang tokoh NGO PERKASA  yang menyatakan Anwar berada di luar negara pada tarikh tersebut. Menurut Ibrahim Yusuf lagi, Cikgu Anwar turut ditahan di Balai Polis Jalan Campbell. Hal tersebut disahkan lagi oleh seorang bekas peserta demonstrasi tersebut yang berada di Masjid Negara di mana Anwar Ibrahim menteramkan siswa/I  yang kena tangkap dan berkata "jangan takut naik trak polis". Guru-guru yang sedang berkhidmat di YAA ketika itu antara lainnya Cikgu Sheikh Khalid (Guru Ekonomi), Cikgu Zainol @ Pak Non (Guru Sejarah), Cikgu Siti Zulaika  (Kertas Am).
Peserta Demo Baling - Anuar Tahir (2), Ibrahim Yusuf (4) Mohd. Noh Supaat (8), Abdul Raof Bakar (9) Azhar Ahmad (10) bergambar bersama Tan Sri Ghazali Jawi Mantan MB Perak di Tapah Tahun 1975 (Dari album Akademi Anda Tapah)


Siri Berikut : Anwar direhatkan di Tempat Tahanan Perlindungan, Taiping Perak. Teruskan bacaan anda pada SIRI 6 DI SINI  atau balik ke SIRI 4 DI SINI




2 comments:

  1. Assalamualaikum. Saya memohon untuk menggunakan gambar yang memaparkan 'Penduduk/penoreh getah di Baling mula berkumpul' untuk buku yang saya akan menerbitkan nanti, in syaa Allah. Kerjasama anda adalah dihargai. Saya akan merakam sumber gambar tersebut. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Cikgu Sheikh Khalid telah meninggal dunia, bekas pengurus kanan Bank Pertanian.

    ReplyDelete