Saturday 21 May 2016

KEMBARA KE BUMI PATTANI DARUL SALAM - PART 2 : "PATTANI ITU FATHONI"










Hari Ke-2.


(Baca Part 1 Di SINI)



1. Hotel Park View Resort yang menjadi tempat penginapan kami adalah di antara hotel termoden di Pattani. Kami bernasib baik kerana ketika berada di hotel tersebut, terdapat kira-kira 300 para ustaz dan tuan guru sekolah-sekolah pondok/pasentren dari lima wilayah Selatan Thai yang menghadiri perhimpunan para guru dan ustaz sekolah-sekolah pondok dan majlis Tilawah Al-Quran untuk pelajar-pelajar sekolah pondok. Penulis berkesempatan bertukar fikiran dengan beberapa orang daripada mereka  berkisar isu-isu semasa sistem pendidikan pondok.  Penulis difahamkan pada pagi ini mereka akan bergerak ke Bangkok untuk ziarah pondok-pondok yang terdapat di sana. Mereka juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran Thailand berhubung dengan isu cadangan Kementerian Pelajaran Thailand memansuhkan tulisan jawi dalam sistem pendidikan di negara tersebut. Rombongan kami juga berkesempatan bertemu dengan beberapa orang saudara mara yang terdiri dari rakyat Thai yang kini menetap di Pattani. Mereka termasuklah keluarga Haji Abdul Latif dan  Cikgu Noraini yang masih mempunyai waris di sana diantaranya Ustaz Abdullah Ismail.


Sebahagian dari ustaz dan tuan guru yang membuat persiapan menuju ke Bangkok

Keluarga Hj. Abdul Latif bergambar bersama keluarga Ustaz Abdullah -  rakyat Thai yang menetap di Pattani.

bergambar bersama Ustaz Abdullah dan salah seorang ustaz sekolah pondok Pattani di hadapan hotel
2.  Selesai sarapan pagi, kami bertolak ke Kampung Simpang Tiga yang terletak di pusat bandar Pattani. Tujuan kami ke situ ialah menziarahi Tuan  Haji  A'li bin Ahmad al-Hilibi al-Murri seorang penulis musyhaf Al-Quran al-Karim (menghasilkan kitab suci Al-Quran tulisan tangan). Rumah beliau terletak di belakang sebuah kedai kopi. Rumah batu dua tingkat ini nampak biasa sahaja, tetapi apabila masuk ke dalam, hiasan dan susun atur perabot cukup cantik. Kami disambut dan diberi layanan mesra  oleh Tuan Hj. Ali dan isteri Puan Hajah Hasnah.  Tuan Hj Ali adalah orang Patttani. Salasilah keluarga beliau menunjukkan ayah beliau berasal dari Yaman. Isteri beliau difahamkan dari ahlul-bait Rasulullah s.a.w. Hj. Ali berperawakan yang lemah lembut, bersopan santun, seorang bertubuh kecil, berkulit putih, memiliki air muka yang jernih meskipun usia beliau telah  menjangkau 71 tahun. Beliau berpengalaman selama 18 tahun dalam penulisan ayat-ayat suci Al-Qur'an. Kerja-kerja penulisan tersebut di lakukan dalam 'studio' ditingkat atas rumah. Setakat ini beliau telah menghasilkan sebanyak 9 buah kitab al Qur'an tulisan tangan beliau sendiri dan sedang menghasilkan kitab al-Quran yang ke-10. Salah sebuah kitab Al Qu'ran tersebut  kini tersimpan di Bangkok dan sebuah lagi di Muzium Islam Kota Bharu Kelantan.  Menurut beliau, untuk menghasilkan 30 juz bagi sebuah Al-Quran, beliau mengambil masa selama dua tahun. Petua yang perturunkan kepada kami ialah, setiap satu muka surat yang akan di tulis, beliau akan melakukan solat sunat dua rokaat berserta tadabbur iaitu  memahami dan memikirkan apa yang ayat-ayat Al-Qur’an tunjukkan tatkala tersusun, dan apa yang terkandung di dalamnya, serta apa yang menjadikan makna-makna Al-Qur’an itu sempurna. Misalnya bila beliau menulis ayat-ayat yang bermaksud siksaan Allah di neraka, beliau akan mengalirkan air mata. Begitu juga sebaliknya, jika beliau menulis ayat-ayat yang berkaitan dengan syurga.  Beliau begitu teliti dalam penulisan ayat wahyu dari Allah ini kerana beliau mengingatkan kami akan sepotong ayat al Qur'an yang bermaksud :- “Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk dan berpecah belah kerana takut pada Allah (Ingatlah) misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”


Ketika ditanya apakah peristiwa-peristiwa yang pernah beliau alami sepanjang penulisan ayat-ayat suci tersebut, dengan merendah diri beliau menyatakan tiada apa-apa yang berlaku, sebalik beliau pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w, manakala isteri beliau juga pernah bermimpi beberapa kali berkaitan hal yang sama. Pada majlis itu juga beberapa orang ustaz dan ustazah yang mengikuti rombongan kami sempat bersanad al Qur'an  dengan beliau.


Pintu masuk ke rumah Tuan Haji Ali di Kampung Simpang Tiga, Pattani
hiasan dalaman dan susun atur perabut di dalam rumah yang kemas dan cukup menarik memberi gambaran penghuninya seorang yang teliti dan berdisiplin.

hiasan dalaman dan susun atur perabut di dalam rumah juga adalah hasil tangan Hj. Ali. Misalnya frame cermin muka dan set sofa.

Tuan Haji  A'li bin Ahmad al- Hilibi al- Murri penulis musyaf  kitab Al-Qur'an tulisan tangan  - mempunyai perawakan yang mengagumkan 


Subhanallah, cantiknya khat dan kaligrafi yang digunakan pada salah sehelai muka surat kitab suci Al-Qur'an

bekas menyimpan Al-Qur'an juga di rekabentuk dan hasil ukiran/ buah tangan Tuan Hj. Ali




Pn. Hjh Saharah sedang memegang musyaf Al-Quran al Kareem hasil tulisan Hj. Ali.
sebahagian dari anggota rombongan kami begitu khusuk  mendengar penerangan yang disampaikan oleh Tuan Haji Ali
Subhanallah, cantiknya kulit al-quran yang di ukir dan direkabentuk sendiri oleh  Tuan Hj. Ali yang beratnya kira-kira 10 kilogram.
Tuan Hj. Ali menggunakan warna merah bagi setiap perkataan Allah, biru untuk Malaikat dan hijau untuk Rasul-rasul

pada muka surat akhir, terdapat nama penuh Tuan  Hj. Ali Ahmad.
penulis Tn. Hj. Ariffin bersama dengan Tuan Hj. Ali yang berdiri di tengah.
4. Setelah hampir dua jam kami berada di rumah Tuan Haji Ali, rombongan kami bertolak pula ke Masjid Sentral Pattani. Masjid ini merupakan salah satu masjid paling indah dan terbesar di Thailand. Dibina pada tahun 1954, pembinaan masjid ini telah mengambil masa hampir sembilan tahun. Masjid ini adalah pusat pelbagai acara keagamaan bagi umat Islam Pattani dan wilayah-wilayah sekitar. Seni bina barat dan timur dalam reka bentuk masjid tersebut hampir mempunyai persamaan dengan Taj Mahal di India kerana terdapat sebuah kolam besar di hadapan masjid tersebut.  Diserikan dengan empat kubah besar di tengah, di kelilingi oleh empat kubah kecil di puncak menara. Di sebelah kiri dan kanan masjid terdapat bangunan balai lintang yang disambung dengan tempat wudhu  wanita dan lelaki. Pada setiap kali kuliah oleh tuan guru atau ulamak hebat, balai lintang tersebut dipenuhi ramai jemaah lelaki dan wanita yang tidak berkesempatan memasuki ruang solat di dalam masjid.

Masjid Sentral Pattani - salah  sebuah masjid tercantik di Asia Tenggara

sebahagian dari jemaah sedang  mengikuti kuliah dhuha di dalam masjid

Tuan Haji Ali ada menyatakan beliau pernah menulis kaligrafi  khat  ayat-ayat suci Al-Qur'an di dinding Masjid Sentral Pattani
sebahagian jemaah  lelaki di balai lintang
dan sebahagian dari jemaah wanita mengikuti kuliah dhuha di luar masjid
pemandangan sebegini sukar untuk kita temui di tanah air.

sebahagian jemaah lebih selesa mendengar kuliah dhuha di bawah  rimbunan pokok kurma di halaman masjid

kesibukan salah sebuah jalan raya di tengah tengah pusat bandar Pattani

4 Dari Masjid Sentral, kami bergerak ke Universiti Fathoni yang terletak hampir 45 minit dari pusat bandar Pattani. Kami bernasib baik kerana  Ustaz Abdullah Hj. Ismail seorang veteran universiti sudi meluangkan masa memberi taklimat. Universiti Fathoni bermula sebagai Yala Islamic University (YIU), terletak di selatan Pattani (Yarang) bersempadan dengan Yala, merupakan sebuah universiti Islam swasta yang terkenal di Thailand. YIU ditubuhkan pada 1998 oleh sekumpulan ahli akademik muda Islam Pattani, pemimpin masyarakat dan ahli politik tempatan. Dahulu dikenali sebagai Kolej Islam Yala, ia telah dinaikkan taraf ke universiti pada 2007 oleh Kerajaan Thai. Penubuhan YIU mengambil proses yang panjang hasil perjuangan dan komitmen masyarakat Islam tempatan. Melayu Islam Pattani yang komited untuk memenuhi dan merealisasikan wawasan mempunyai tempat pendidikan tinggi mereka sendiri. Ia juga adalah untuk mengembalikan kredibiliti dan populariti Pattani sebagai pusat pendidikan Islam di Asia Tenggara pada abad yang lepas terutamanya sekolah tradisional Islam yang dikenali sebagai ‘pondok’. Ia menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal pada kalangan lebih 3,000 pelajar-pelajar tempatan dan juga antarabangsa. Mahasiswa yang belajar di sini bukan hanya dari Thailand Selatan, ada juga dari Chiang Mai dan Bangkok. Pelajar luar pula ada dari Perancis, Vietnam, Mynmar,  Kamboja, Laos, Papua New Guinea, Somalia, Mesir,  Arab Saudi, Indonesia dan kini pelajar dari Negara China yang paling ramai. YIU mempunyai hubungan yang rapat dengan Kerajaan Thai, Bank Pembangunan Islam (IDB), Islamic Relief Organization, Rabitah al-Islami, Kerajaan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dengan kerjasama dan bantuan tersebut,  hampir kesemua pembinaan kompleks bangunan fakulti dan asrama dibiayai oleh negara-negara Arab tersebut. Menurut Ustaz Abdulah, kampus baru itu asalnya dinamakan Patani Islamic University. Namun, situasi politik di wilayah Selatan Thai ketika itu tidak mengizinkan memakai nama Pattani maupun Islam. Lagipun, adalah menjadi hasrat universiti untuk menarik penuntut non-muslim datang belajar di situ.  Oleh itu, YIU yang dikenali sebagai Universiti Islam Pattani, sekali lagi ditukar kepada nama Universiti Fathoni (Fathoni maksudnya  Fathonah - cerdas/pintar) atau FTU (Fathoni Thailand UIniversity). Setakat ini terdapat 5 buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam dan Undang-Undang, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi. Sebuah Pusat al-Qu'ran juga diwujudkan. Menurut Ustaz Abdullah, sebelum berlaku rampasan kuasa oleh junta tentera di Thailand, kampus Universiti Fathoni mempunyai stesen radio sendiri yang sering menyiarkan rancangan keagamaan dan berita semasa. Tetapi kini, stesen tersebut ditutup.  Beberapa syariah compliant amat dititik beratkan dalam aspek berikut :-

  • Hampir kesemua siswi bertudung atau berhijab
  • Tatasusila mahasiswa dan mahasiswi terpuji hasil dari istiqamah mereka mendirikan solat fardhu berjemaah di masjid apabila masuk waktu solat.
  • pada setengah-setengah keadaan, siswa dan siwi diasingkan tempat duduk di dalam dewan kuliah
  • aktiviti rekriasi siswa lebih kepada permainan bola sepak, manakala siswi sukan memanah.
  • Rektor Universiti iaitu Prof Dr. Ismail Lutfi adalah seorang  tawadhuk. Beliau kerap mengimani solat fardhu di Masjid Haromai. Beliau juga jarang memasang alat penghawa dingin di pejabat kecuali  ada tetamu berkunjung ke situ.
  • Rektor menggunakan waktu sesudah selesai solat di dalam masjid untuk berinteraksi dengan mahasiswa/i.
  • Sering dianjur program kursus dakwah, qiamulail, bertadarus dan ghasidah dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti.
  • Satu unit kebajikan iaitu Institut As Salam ditubuhkan di mana Ustaz Abdullah selaku penyelaras telah berjaya menyusun program bantuan dan kebajikan. Misalnya Institut As Salam telah menyalurkan bantuan kemanusian kepada mangsa banjir besar negeri Kelantan pada Disember 2014 yang lalu.

pintu masuk ke kampus  Fathoni Thailand University

Ustaz. Abdulllah b. Hj. Ismail - mempunyai ramai saudara mara di Kampung Lahar Yooi

Kompleks Masjid Haromai dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Kuwait

Fakulti Sastera dan Sains Sosial



Fakulti Pendidikan

Fakulti Pengajian Islam dan Undang-Undang 

Dewan Besar Muhammad Nor - disumbang oleh Muhammad Nor mantan Menteri Pengangkutan Thailand

Bas Universiti Fathoni
Fakulti Sains dan Teknologi
Dewan Perhimpunan dan One Stop Centre 
Bahagian dalam masjid - tempat semaraknya aktiviti Islamiah dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti

4. Dari Universiti Fathoni, rombongan kami bertolak ke Hadyai melalui bandar Yala. Ketika memasuki pusat bandar Yala, keadaan lalu lintas agak sesak kerana pada masa tersebut terdapat ratusan pelajar dari sebuah sekolah pondok di situ yang baru sahaja tamat sesi persekolahan mereka pada hari tersebut. Pelajar sekolah pondok yang memenuhi jalanraya di situ merupakan suatu pemandangan yang menarik kerana situasi sebegitu tidak terdapat di negara kita. Sistem persekolahan pondok amat popular di Pattani dan Yala dikendalikan oleh pihak swasta iaitu penduduk Islam tempatan. Mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk membiayai anak mereka di sekolah pondok. Mereka tidak sanggup kehilangan jati diri sebagai seorang muslim dan berbudaya Islam-Melayu dan berbahasa Melayu. Walaupun ada tersebar fitnah kononnya sistem sekolah pondok Islam digunakan untuk menyebarkan keganasan punca krisis/pergolakan di Selatan Thailand yang tidak berkesudhan. Sekolah pondok juga  dituduh "merekrut militan di selatan Thai" Semua tomahan tersebut tidak meluntur semangat penduduk Islam Pattani dan Yala menghantar anak belajar di sekolah pondok. Terdapat lebih 100,000 pelajar di sekolah-sekolah pondok. Sehingga Mei 2004, terdapat 214 buah pondok berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Thailand.


Pelajar dari sebuah sekolah pondok yang terdapat dalam pusat bandar Yala ketika baharu tamat kelas


pelajar wanita mengenakan pakaian tudung labuh dan lelaki bersongkok



Coloseum - salah sebuah gedung perniagaan dan cineplex  yang agak berprestij di Yala

salah sebuah pusat membeli belah di Yala 

kedai piza pun ada 

pejabat dan pusat stokis AMWAY pun ada di bumi Yala
5. Kami tiba di Hatyai setelah mengharungi perjalanan selama hampir dua jam. Ternyata Hayyai merupakan sebuah bandaraya yang besar, dipenuhi bangunan-bangunan tinggi dan aktiviti bandar metropolitan tersebut berjalan 24 jam. Sebelum check in di hotel penginapan kami terlebih dahulu meninjau Pasar Terapong  Klong Hae Hatyai. Tiga orang anggota rombongan kami telah diberi kebenaran untuk berqasidah  selama 20 minit. Laungan Allah dan Muhammad s.a.w bergema di pasar tersebut yang lokasinya bersebelahan dengan sebuah wat Siam. Pada keesokan hari, semua peserta rombongan diberi kesempatan membeli belah di Pasar Besar Hatyai. Sebelum bertolak ke sempadan kami singgah di pusat rekriasi Chang Puak Camp. Tarikan utama di situ ialah  menunggang gajah dengan kadar bayaran THB 500 untuk satu pusingan selama 30 minit.. 

Ustaz Roslan, Ustaz Saifullah dan Ustaz Mujahid sempat mengalunkan qasidah di pentas terbuka di pasar terapung Hadyai 

pemandangan di hadapan Hotel President tempat penginapan kami di Hatyai

musim mangga







Wednesday 18 May 2016

KEMBARA KE BUMI PATTANI DARULSALAM : Part 1 KEGAGALAN 'SIAMIZATION' DI PATTANI PUNCA PERBALAHAN







1. Hampir kesemua penduduk di negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia telah mengenali lima wilayah di Selatan Negara Thai iaitu Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Naratiwat. Sebahagian dari penduduk di kedua-dua negara berjiran itu sudah lama menjalin hubungan dalam bentuk institusi kekeluargaan, sosial dan keagamaan, kegiatan ekonomi dan perniagaan, malah ada dari segi politik. Apabila rakan sekampung Lahar Yooi mengajak penulis bermusafir ke Daerah  Pattani dan Yala, penulis tidak melepaskan peluang ikut serta kerana hasrat untuk ke destinasi tersebut sudah lama terpendam. Pakej lawatan 3 Hari 2 Malam dengan seramai 47 orang, dipimpin oleh Ustaz Roslan dan isteri Ustazah Ummi Aishah. Ustaz Mujahid, seorang anak tempatan Pattani bertindak sebagai tourist guided. Selesai urusan imigresen di Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam dan Dannok, bas terus meluncur laju melalui lebuhraya dual-carriageway bebas tol. Sepanjang masa di dalam bas, peserta di beri tazkirah, bacaan doa dan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan qasidah. Kami juga bersama-sama melakukan solat  sunat dhuha di dalam bas. Pemandangan deretan kebun-kebun getah, kelapa sawit, semak samun dan bendang/padang  kering yang diselang seli dengan kampung dan pekan-pekan kecil adalah panorama tipikal yang dapat dilihat pada sepanjang perjalanan. Juga menarik, terdapat begitu banyak pos-pos kawalan merentangi jalan yang lengkap dengan bunker, kawat berduri dan kamera CCTV dipasang - dengan pasukan keselamatan Thailand memegang rifle M-16, bertugas 24 jam, membuktikan wilayah yang kami masuki itu masih belum aman. Sedikit Info........Wilayah Pattani  berasal dari   Kerajaan Melayu Patani Raya, (bermula dari Daerah Phang Gha hinggalah ke sempadan Semenanjung Tanah Melayu), yang  telah dipecahkan kepada tujuh buah negeri  bertujuan melemahkan orang Melayu Patani. Pada setiap buah negeri itu, telah dilantik seorang raja atau chao muang di bawah pengawasan pemerintah Kerajaan Siam di Songkhla (Singgora). Semenjak dari tempoh tersebut, telah wujud penentangan dari penduduk untuk membebaskan wilayah mereka dari Siam. Penentangan semakin memuncak apabila Perjanjian antara British - Siam ditandatangani pada 10 Mac 1909. Dampak dari Perjanjian itu menyaksikan British mengiktiraf Wilayah Patani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun sebagai wilayah Siam. Manakala  Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu diletak di bawah Malaya. Semenjak abad ke-14 lagi , keinginan muslim Melayu untuk bebas dari kekuasaan Thailand sudah berlangsung sangat lama. Bahkan Permusuhan antara Muslim Pattani di Selatan dengan masyarakat Buddha-Siam sudah berlangsung ratusan tahun, atau sejak terbentuknya masyarakat Islam Pattani yang disebar melalui pedagang Arab dan China. Jika anda berhasrat melawat ke Wilayah Pattani,  anda perlu fokuskan kepada empat segmen yang sinonim dengan Pattani iaitu :-
  • tempat kelahiran para ulamak tersohor, 
  • tempat tertulis, tercetak dan tersebarnya kitab-kitab Jawi-Arab yang unggul.
  • tempat kelahiran institusi pengajian pondok yang terbilang.
  • tempat bersemadinya jasad para syuhada yang syahid ketika menentang penjajahan Siam/Buddha dan pemerintah yang korup, penindas, penzalim dan penjarah harta negara.



Hanya Daerah Yala sahaja tidak mempunyai pantai
Lebuhraya empat lorong bebas tol dibina oleh Kerajaan Negara Thai menghubungkan dengan hampir kesemua wilayah di bahagian selatan negara tersebut dengan ibu kota Bangkok.
pantai yang cantik 
masjid baharu mulai tumbuh bagai cendawan di musim hujan -  kebanyakkan hasil sumbangan/wakaf
Lebuhraya 42 menghubungkan Hatyai - Pattani.
salah satu dari berpuluh buah pusat pemeriksaan atau pos kawalan yang dikawal oleh tentera atau polis Thai di Wilayah Pattani
2. Setelah hampir dua jam perjalanan, bas menyusuri kawasan pinggir pantai. Kami berhenti untuk melihat industri memproses air laut menjadi  garam di Kampong Lamdok yang diusahakan secara tradisional semenjak 100 tahun yang lalu. Sekurang-kurangnya 10 buah kampung di Pattani yang mempunyai tanah liat dengan kadar kemasinan yang tinggi diusahakan sebagai sawah garam dengan keluasan kira-kira  400 hektar. Tanah hak milik kerajaan itu disewa kepada pengusaha dengan kadar sewaan THB 400 setahun untuk dua petak yang berluasan 10 m x 20 m.

kolam takungan air laut berperingkat-peringkat


Garam diproses melalui penyejatan air laut. Air laut perlu terlebih dahulu dijernihkan hampir sebulan di dalam satu kawasan petak sawah yang lain tetapi berdekatan dengan petak yang bakal menghasilkan garam. Setelah sebulan air laut dijernihkan, barulah dilepaskan ke petak sawah secara berperingkat-peringkat. Pada petak sawah yang terakhir, air laut yang terdedah kepada cahaya matahari terik selama lima hari mula membentuk lapisan garam.  Alat penarik seakan-akan cangkul lebar yang diperbuat daripada papan untuk mengumpulkan garam yang masih terendam air di dalam kawasan petak sawah. Dijangkakan pengusaha akan memperolehi kira-kira 50 kg sekali 'tuai'.  Selain untuk kegunaan memasak, garam yang dihasilkan dijual secara komersial pada skala besar  sebagai sabun mandi, produk spa. komestik dan produk kecantikan atau ubat penyakit kulit. Begitulah gigihnya bangsa Pattani dalam mencari nafkah menyara keluarga.

pintu air dibuka untuk aliran air laut keluar/masuk
Hj. Latif menggunakan cangkul khas untuk menarik garam ke tepi diperhatikan oleh Cikgu Ishak 
Ustaz Roslan dan Ust. Mujahid sedang memerhati lapisan garam mula terbentuk petak sawah yang telah matang 
garam ditarik ke tepi membentuk timbunan garam
bukit garam yang siap untuk dipasarkan
garam kasar  yang siap untuk dimasuk dalam karung.
sebahagian daripada peserta yang meninjau bendang garam.

garam dijual digerai-gerai tepi jalan dengan harga THB 2 untuk 1 bungkus 1kg.

sebuah stesen janakuasa elektrik menggunakan tenaga angin didirikan berdekatan kampung industri garam di Lamdok.
3. Destinasi kami seterusnya ialah ke Masjid Kerisek yang terletak di Tanyong Luloh, iaitu 6 km dari pusat bandar Pattani. Masjid Krue Se dalam bahasa Siam adalah masjid pertama di dirikan di Pattani. Dibina pada Tahun 1514M oleh Raja Pattani iaitu Sultan Ismail Shah (Raja Indira) dan siap semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah. Semasa Permaisuri Hijau menjadi  Raja Perempuan Pattani, baginda telah membawa masuk tukang dari Negara China iaitu Lim Tho Kiam untuk memperindahkan masjid tersebut. Bagaimanapun, masjid tersebut telah dibinasakan dan dibakar beberapa kali oleh tentera Palembang  dan Ayuthaya yang menyerang Pattani. Berikutnya, disebabkan keadaannya terlalu uzur dan usang, ditambah pula ekonomi Pattani lumpuh akibat peperangan, sultan mengambil keputusan membina masjid baru di Kampung Bana. Kesannya, Masjid Krisek ditinggal terbiar sehingga bersemak-samun. My first impression, masjid itu nampak uzur dan terbengkalai. Tetapi jangan salah sangka, Masjid Kerisek telah beberapa kali dibuat pembaikan, menjadikannya salah satu ikon pelancongan Muslim di Pattani. Untuk menarik pelancong bukan muslim pula, terutama kaum Cina dari Malaysia dan Singapura, pihak berkuasa pelancongan turut membina beberapa replika dan monumen berciri budaya Cina yang dibina di tanah kuburan Lim Tho Kiam kira-kira 300 meter dari masjid. Senibina Masjid Kerisek mirip masjid-masjid yang dibina di Timer Tengah. Pintu dan tingkap berbentuk gerbang menggunakan rekabentuk yang berkonsepkan Moor Sepanyol atau Moghul India. Tiang atau pilar ada persamaan dengan "gothic style column Europe" Binaan utama terdiri dari satu dewan solat yang berdinding dengan keluasan 7 m x 10 m dan dewan atau dataran solat terbuka tanpa dinding yang menganjur ke bahagian belakang masjid. Sememangnya cantik kalau terdapat kubah. Tetapi kata-kata ahli sejarah "the most important, part of the dome's roof which has never finished" Bagaimanapun, oleh kerana nilai sejarahnya, maka pada Tahun 1935, Jabatan Arkeologi dan Antikuiti Thailand mengisytiharkannya sebagai tapak sejarah sekali gus memungkinkan kerja pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan dilakukan pada 1957, 1982 dan 2004. Foto-foto Masjid Kerisek juga boleh dilihat dengan cara klik DI SINI


Masjid Kerisek (Krue Se Mosque) yang tiada berkubah dan menara azan.


Dikenali juga sebagai Masjid Sultan Muzaffar Shah Pintu Gerbang Kerisek di bina pada Tahun  877H

bahagian bucu segiempat dinding masjid


pintu masuk utama dari kolah wuzuk lelaki






corak geometri ukiran kayu merentangi siling masjid

4. Penulis beranggapan Masjid Kerisek terkenal bukan kerana ia sebagai satu binaan "masjid tidak siap". Tetapi lebih jauh dari itu iaitu sebagai satu simbol penentangan saudara Muslimin dan Muslimat kita terhadap penjajahan dan kezaliman Kerajaan Thailand terhadap ethnik Melayu Muslim. Kerajaan Buddha Thailand sangat agresif melakukan "Siamization" terhadap warga Islam di lima wilayah di Selatan Negara Thai, terutama di Pattani. Di antaranya:-
  • Bahasa Melayu tidak dibenarkan dijadikan sebagai lingua franca di Selatan Thailand. Nama-nama tempat pun ditukar atau ubah supaya hilang unsur sebutan Melayu. Contohnya, Daerah Menara (Narathiwat), Tebing (Taling Can), Pulau Panji (Ko Pan Yee) Krue Sae (Kerisek) dan sebagainya. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. Secara ethnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam (Thailand). Oleh sebab itu mereka lebih selesa berbahasa Melayu. Proses Siamization bahasa  ini hampir berjaya di Wilayah Songkla dan Sadoa, tetapi tidak di Pattani, Yala dan Naratiwat.
  • Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Sejarah Kedatangan Islam ke Pattani  tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah kebangsaan milik pemerintah dan sekolah-sekolah swasta. Ia bertujuan agar anak-anak ini tidak tahu sejarah sebenar Pattani. Bagi pemerintah, Pattani bukan negeri Melayu, tetapi sebahagian daripada Thailand. Proses Siamization sejarah juga gagal dipraktikkan di Pattani dan Yala kerana  sejarah Pattani ada diajar di sekolah-sekolah pondok dan pasentran.
  • Orang Melayu di kelima-lima wilayah tersebut dipaksa belajar menggunakan bahasa Thai sebagai medium bahasa dalam sistem pendidikan. Tetapi proses itu juga gagal dipraktikkan di Pattani dan Yala kerana sistem sokolah pondok menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran dan pengajaran.
  • Nama mereka terpaksa ditukar menjadi nama Siam jika ingin bekerja di pejabat-pejabat kerajaan termasuk di Selatan Thailand sendiri. Nama seperti Muhammad, Yusuf, Abdul Kadir dan yang berunsur Islam dilarang jika ingin bekerja dengan kerajaan.
  • Siam bukan sahaja menjajah, tetapi mereka juga berusaha mem"buddha"kan orang-orang Melayu di wilayah-wilayah tersebut.



5. Usaha Siamization oleh Kerajaan Bangkok terhadap penduduk Muslim di Wilayah Selatan telah menyebabkan tertubuhnya Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani atau PULO pada 1968 di tanah Arab dan menjadi kumpulan pemberontak terbesar di selatan Thailand sejak dua dekad. Apabila Thaksin Shinawatra menjadi Perdana Menteri Thailand pada Tahun 2001, beliau mengambil jalan mudah dengan mengamalkan dasar kekerasan terhadap golongan 'pemisah' ini dengan mengarahkan mereka ditangkap dan ditembak. Antara yang menjadi mangsa ialah para alim ulama, pemimpin, ustaz di sekolah pondok dan lain-lain. Tidak ada perancangan rapi terhadap sekolah-sekolah pondok yang terdapat di sana. Akibatnya ada yang cenderung ke arah militan. Beberapa pemimpin militan Indonesia bersembunyi di sini. Hampir 1500 orang terbunuh akibat dasar keras Thaksin Shinawatra. Kemuncaknya pada 4 Januari 2004, Thailand dikejutkan dengan serbuan mengejut kumpulan pemisah ke atas stor simpanan senjata di Narathiwat. Dalam serbuan mengejut ini, sebanyak 413 laras senjata api  M-16 dilaporkan hilang. Peristiwa tersebut menjadikan konflik di Selatan Thailand memasuki episod yang lebih teruk daripada sebelumnya.  Antaranya Tragedi Masjid Kerisik di Pattani pada 28 April 2004 tercetus peristiwa pembunuhan kejam beramai-ramai di dalam dan di halaman Masjid Kerisik oleh tentera elite Thai yang mengepung umat Islam yang baru selesai menunaikan Solat Subuh selama 8 jam. Seramai 34 anak-anak muda yang berumur dari 16 hingga 34 tahun telah terkorban selepas solat Asar.  Alasan yang dikemukakan adalah di masjid itu adalah tempat pejuang Islam menyimpan senjata mereka dan menjadi lokasi perjumpaan bagi pejuang PULO. Selepas peristiwa serangan ganas di Masjid Kerisek, tercetus pula tragedi Tak Bai pada 24 Oktober 2004 dimana 78 orang pemuda Muslim Thai telah terbunuh.

Saksikan tragedi pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek Pattani  DI SINI


Foto Google - kesan tembakan  masih kelihatan

Foto google :Tentera Thai lagak macam tentera zionis Israel, tembak membuta tuli ke arah orang awam yang berlindung dalam Masjid Kerisek 
Foto Google :umat  Islam yang sedang  berlindung di dalam Masjid Kerisek - gugur  syahid kerana menegak Agama Allah di Pattani Darul Salam



foto google - kesan tembakan masih terlihat pada dinding masjid - bahagian pintu masuk ruang solat muslimat.
kitab terjemahan Al-Quran dalam bahasa Thai
rombongan kami selesai menunaikan solat fardhu dalam Masjid Kerisek
tiga orang puteri remaja ni mungkin masih ingat tragedi berdarah 28/04/04
caption kenangan di hadapan Masjid Kerisek.

masjid tanpa bumbung, menara dan dinding yang tidak diplaster pada bahagian luar dan dalam KINI BERUSIA 502 TAHUN

6. Seusai solat jamak dan qasar Zohor Asar, rombongan kami bergerak menuju ke Kampung Parit Marhum berdekatan anak Sungai Kerisek. Tujuan kami ke situ ialah untuk melihat sebuah sumur
yang dikatakan pernah digali oleh Sheikh Daud al-Fathoni @ Sheikh Wan Daud bin Wan Abdullah atau Tok Sheikh Daud diputerakan  di Kerisek Pattani pada  Tahun 1769M dan wafat pada tahun 1847M. Sheikh Daud mendapat pendidikan awal di Pattani selama lima tahun, seterusnya menyambung pengajian di Acheh Darul Salam selama dua tahun. Dari Acheh, Tok Sheikh  berhijrah ke Tanah Suci Mekah dan menuntut ilmu dan mengajar di situ selama 30 tahun.  Tok Sheikh  Daud kembali ke Pattani untuk mengajar dan mengarang kitab bahasa Melayu dan Arab. Tetapi apabila berlaku pergolakan politik di mana kerajaan Siam bertindak bermusuh  dengan penduduk Islam di Selatan Thai, terutama di Pattani Tok Sheikh telah menyertai kumpulan jihad menentang kezaliman kerajaan Siam. Disebabkan situasi tidak aman di situ, Tok Sheikh balik semula  ke Mekah dan seterusnya wafat di Ta'if, dikebumikan bersebelahan jasad Saidina Abdullah bin Abbas r.a iaitu sepupu Rasulullah SWT.  Disebabkan tingginya ilmu pengetahuan Islam yang dimiliki,  Tok Sheikh diberi gelaran al-Alim Allamah al Arif ar-Rabbani. Tok Sheikh adalah seorang ulamak dan pengarang kitab-kitab pelbagai ilmu Islam  yang tersohor di Nusantara. Banyak kitab-kitab karangan Tok Sheikh terutama kitab Melayu - jawi menjadi rujukan umat Islam hingga kini. Tok Sheikh bersifat terbuka dan tegas dalam membicara sesuatu hukum hakam. Misalnya dalam sebuah kitab  kitab fekah tulisan Tok Sheikh berkaitan hukum berkumpul dan mengadakan kenduri arwah yang telah menjadi amalan masyarakat Melayu Islam apabila berlaku kematian orang Islam. Tonton DI SINI. Tok Sheikh Daud juga  tergolong sebagai seorang 'karamah'. Pernah suatu ketika sedang Tok Sheikh menyampaikan kuliah, Tok Sheikh menggerak-gerakkan tangan,  mengapai-apai sehingga lengan baju basah dan menitis air. Selang beberapa hari kemudian, Tok Sheikh didatangi beberapa orang penduduk yang ingin mengucapkan terima kasih kerana telah menolong mereka dari mati lemas di laut. Kini,  tapak rumah kelahiran Tok Sheikh Daud dikunjungi para pelancung dan musafir. Berhampiran dengan tapak tersebut terdapat Kompleks Jamiyyah Fatani iaitu tempat pengajian lanjutan ilmu Islam khusus  para tuan guru untuk memperdalami ajaran Islam. Tonton Yayasan Jamiyah Ulama Fathoni DI SINI Dikatakan Maulana Malik bin Ibrahim iaitu salah seorang Wali Songo pernah tinggal dan mengajar di Kampung Kerisek sebelum berhijrah ke Surabaya Jawa Timur.

 al-Alim Allamah al Arif ar-Rabbani Almarhum Tuan Guru  Sheikh Wan Daud bin Wan Abdullah 

Antara kitab hasil penulisan Sheikh Daud
Telaga Sheikh Daud Parit Al Fathoni yang terletak di Kampung Parit Marhum, anak Sungai Kerisek
Telaga air payau yang cuma  kira-kira  2 meter dalam terdapat paras air. 
Tn. Hj. Arifin sedang mengambil wudhu menggunakan air telaga.
ada yang mengisi dalam botol untuk dibawa pulang ke rumah.
pondok wakaf di bina untuk keselesaan pengunjung
anggota rombongan kami sedang berzikir tahlil kepada arwah Tuan-Tuan Guru dan syuhada Patani.
sebahagian dari petempatan pondok pasentran di kompleks Jamiyyah Fatani yang berdekatan dengan Telaga Sheikh Daud.
Hampir sejam kami di Perigi Sheikh Daud, kami bertolak ke pusat bandar Pattani untuk ke hotel penginapan.

menara jam yang  menarik
Pejabat Daerah Pattani
Dewan Perbandaran Pattani
Sungai Pattani yang amat bersejarah pada suatu ketika
kesibukan bandar Pattani



Ni lah hotel penginapan kami





kamar tidur yang moden dan fully carpet
hiasan air pancut dihadapan dewan makan/cafeteria 
mesti kita tidak menyangka seni bina bangunan seperti ini terdapat di Pattani.

dalam bilik ada peti tv dengan perkhidmatan TV Kabel 24 jam. Salah satu channel ialah HBHD Spot yang menyiarkan rancangan sukan menyabung ayam dan laga lembu. Minta ulamak Pattani buat bantahan supaya channel ini di tiadakan.



BERSAMBUNG PART 2 : DI SINI