Wednesday 31 December 2014

TAHUN 2015 KESINAMBUNGAN MENCAKNA MASYARAKAT KAMPUNG

1. Detik jam 24.00 malam ni membuka lebaran baru tahun 2015.  Tahun  2014 banyak meninggalkan suka dan duka kepada penduduk di bumi Malaysia tercinta.  Kenaikan harga petroleum telah menyebabkan kuasa beli rakyat semakin jatuh. Amat terasa kenaikan harga ikan, sayur dan lainnya menyebabkan kos untuk sarapan pagi dan makan tengahari di tempat kerja jelas berubah. Diharapkan penurunan harga petroleum mulai detik 24.00 nanti boleh memberi 'nafas' kepada rakyat untuk menjalani hidup harian dengan lebih baik.  Pergolakan dalaman parti-parti politik tempatan baik dari pihak BN dan Pakatan Rakyat serta isu-isu berkaitan agama dan kaum mencemaskan kita seketika. Tragedi kehilangan MH370 dan korban dari MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine serta banjir besar yang berlaku pada penghujung 2014 terutama di negeri Kelantan, merupakan peristiwa sedih yang turut mewarnai seluruh rakyat Malaysia. Belum sempat kita melangkah ke tahun 2015, nahas udara QZ8051 menambahkan luka yang belum sembuh. Penulis amat bersimpati dengan nasib syarikat penerbangan kebanggaan kita iaitu MAS dan Air Asia. Jujur penulis katakan dengan adanya 'now everyone can fly' lah membolehkan penulis dan famili terbang ke beberapa destinasi pelancongan secara budget di  Indonesia dan China. Banjir besar  yang pernah melanda kampung penulis pada Oktober 2003 turut menginsafkan penulis bahawa kita adalah kerdil disisi Pencipta. 





2.   Namun, bagi penulis Tahun 2014 merupakan di antara tahun-tahun yang amat menyerlah berbanding dengan tahun-tahun sebelum itu. Bermula pada Mac 2014, penulis, isteri dan beberapa orang kenalan telah ditakdirkan Allah swt dapat mendirikan solat tahiyatul-masjid dan solat-solat fardhu dan sunat lainnya  di Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis  dan Masjid Khalil  Ar-Rahman @ Masjid Ibrahim di Hebron  Tebing Barat Negara Pelastin iaitu masjid yang ke-3 dan ke-4 tersuci dan terpenting bagi umat Islam selain dari Masjid Al-Haram di Mekah dan Masjid An-Nabawi di Madinah. Pengalaman berkunjung  ke Baitul Maqdis selama tiga malam  penulis pernah siarkan dalam blog ini secara bersiri. In shaa Allah, sekiranya dipanjangkan umur, keberkatan rezeki dan kesihatan, penulis berhasrat untuk berkunjung lagi di tanah suci ni. 



3.Pada bulan April, keluarga kami menerima 'orang baru' dengan kelahiran cucu pertama iaitu Nur Insyirah Humairah yang sungguh comel. Meskipun kami suami isteri tidak 'membelanya' yakni Nur Insyirah ditinggalkan di rumah pengasuh, namun hubungan cucu-atuk/nenek mulai terjalin. Amat terasa rindu sekiranya Nur Insyairah tidak bertandang  ke rumah kami dalam masa beberapa hari. Semoga besar besok, Nur Insyirah menjadi seorang gadis/wanita solehah dan berjaya dalam semua bidang.


upacara belah mulut Nur Insyirah oleh Tuan Imam Ustaz  Hj. Haroon Shafie
Insyirah 7 bulan


4. Pada bulan Mei, anak gadis penulis (anak ke-4) telah tamat pengajian dalam bidang Bio-Medical Science UIAM Kampus Kuantan. Beliau muncul sebagai graduan terbaik bagi kursus tersebut dan layak menerima anugerah. Malang sekali beliau tidak sempat ke Majlis kovokesyen kerana dalam masa yang sama, beliau telah dipilih melanjutkan pengajian pada peringkat Master perkhususan Stem Cell & Regenerative Medicine secara full time di University of Sheffield UK. Penulis amat bersyukur di atas kejayaan beliau dan anak-anak yang lain. Telah ditakdirkan kesemua (lima) anak-anak penulis berjaya dalam pelajaran dan mampu memijak kaki ke IPT di dalam dan luar negara. Setelah tamat pengajian, mereka telah menjawat beberapa jawatan yang penting. Anak sulong bekerja di DCA (Jab. Penerbangan Awam) diamanahkan untuk mempastikan setiap pembelian pesawat seperti kapal terbang atau helikopter oleh syarikat-syarikat  penerbangan tempatan dan pihak koperat/swasta di dalam negeri mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Untuk itu pada sepanjang tahun 2014, beliau telah beberapa kali ke kilang pembuat pesawat boeing di Seattle, Washington, airbus di Toulouse France dan kilang Bombardier di Kanada membuat pemeriksaan   Manakala, anak kedua memilih kerjaya sebagai pegawai bank di  Ibu Pejabat Ambank KL. Pada awal tahun 2014 beliau disahkan berjawatan tetap. Anak ketiga pula ditawarkan sebagai Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri 1 Negeri Pulau Pinang (Perhubungan Komuniti).  Semoga anak ke-4 (Nurdiyah) dan ke-5 (Mohamad Amin Ariff  - Tahun 3 di UTeM Melaka) berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan yang baik setelah tamat pengajian kelak.  Tahun 2014 juga amat bermakna kepada penulis kerana Mohamad Amin telah berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden MPP UTeM sessi 2014/2015.




5. Pada bulan    Ogos, penulis telah mendapat menantu ke-2 iaitu Duratul'Ain yang telah diijab kabulkan dengan anak ke-2. Menariknya perkahwinan mereka di ditampilkan sebagai 'Jodoh Di Bumi Barakah' iaitu takala penulis dan isteri melakukan ibadat umrah pada bulan April 2014, diantara doa-doa yang penulis dan isteri pohon ke hadrat Rob yang Maha Esa ialah supaya dipermudahkan jodoh untuk anak-anak. Alhamdulillah, tanpa diduga, jodohnya ialah Daratul'ain yang turut menunaikan ibadat umrah bersama kami dibawah mutawif Ustaz Abdullah  Khairi. Pada September 2014, sebelum berangkat ke UK, anak gadis penulis telah di pinang oleh Mohamad Azrie  yang kini bertugas di Shah Alam. Beliau berasal dari Tasik Gelugor iaitu kurang lebih 3 km dari rumah penulis. Ibu Mohamad Azrie adalah seorang Guru Bahasa Inggeris yang dihormati masyarakat. Majlis pertunangan berlansung penuh meriah. Jamuan pada majlis tersebut disediakan secara 'pakatan' oleh jiran-jiran penulis.

6. Sebahagian dari beban kewangan penulis juga semakin kurang apabila bayaran ansuran sebuah rumah (pangsapuri) dan sebuah kereta telah selesai dilunaskan pada tahun 2014.  Secara metamatiknya,  pangsapuri tersebut yang berlokasi di Kampong Kerinchi Kuala Lumpur kami dapat secara  'percuma' kerana penyewa yang bayar wang ansuran bulanan tersebut.    Tahun 2014 juga membawa khabar gembira dari segi kesihatan apabila penulis disahkan bebas dari masalah kolesterol, kencing manis, sakit jantung, manakala masalah tekanan darah tinggi dan ashma di bawah kawalan. Alhamdulillah.



7. Pada sepanjang tahun 2014, penulis telah berusaha  untuk membawa perubahan kepada anggota masyarakat di kampong penulis iaitu  Kampong Lahar Yooi. Masih terdapat penduduk kampong yang miskin yang mendiami di rumah yang kelihatan daif.   Kampung kami tidak ada wakil rakyat atau ahli parlimen dari parti pemerintah (PR) di negeri Pulau Pinang. Penulis bukanlah seorang yang boleh mengeluar peruntukan wang  untuk memajukan taraf ekonomi penduduk kerana penulis hanyalah  bertaraf JKKK.  Untuk itu, penulis telah memperkenalkan program Homestay Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) ke kampong Lahar Yooi. Pada peringkat awal projek ini hampir menemui kegagalan, namun, akhirnya kampong kami telah dipilih dan pemeriksaan kelayakan telah dilakukan oleh pegawai dari MOTAC pada bulan September 2014 yang lalu. In Shaa Allah, lesen homestay MOTAC akan dikeluarkan pada awal tahun 2015 nanti. 


Exco Pembangunan Pelancongan Negeri bersama Puan Hj. Saodah DO Daerah Seberang Perai Utara di dalam kamar cadangan Homestay Lahar Yooi.

8. . Setelah menghadiri beberapa siri kursus dan lawatan, penulis dapati banyak kesan positif dari wujudnya homestay MOTAC di kampong. Pihak berkuasa seperti Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah, PERDA, Pejabat Daerah, MPSP dan sebagainya akan menyediakan peruntukan  bagi menaikkan taraf insrastruktur dan memajukan sumber manusia yang terdapat di situ. Oleh itu, bagi tahun 2015, penulis berhasrat kepada "Kesinambungan Mencakna Masyarakat Kampong Lahar Yooi" supaya mereka perolehi kehidupan yang lebih baik dan  selesa.... In Shaa Allah..
Ya Allah, berkati dan permudahkanlah  niat suci ku ini.,.....



Sunday 28 December 2014

AIRBUS QZ8501 TERTIMBUS DALAM KUMULO NIMBUS



1. PT. Indonesia AirAsia (beroperasi sebagai  AirAsia Indonesia) adalah syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia. Ia merupakan syarikat penerbangan bersekutu Indonesia dengan  syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Malaysia (Malaysia memegang saham 49%). Hub utamanya  ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.  Pada Julai 2010, Air Asia Indonesia adalah satu-satunya  syarikat penerbangan dari negara Indonesia yang dibenarkan  terbang ke Negara-Negara Kesatuan Eropah kerana rekod selenggaraan dan keselamatan yang baik. AirAsia Indonesia telah disenaraikan dalam kategori 1 oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Indonesia untuk kualiti keselamatan syarikat penerbangan.  

 2. Hari in, pesawat Airbus 320-200 AirAsia Indonesia  QZ 8501 yang menerbangkan seramai 7 anak kapal dan 155 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda ke Changi dikhabarkan telah hilang kontak  dalam cuaca buruk iaitu dalam keadaan cuaca berawan. Sebelum itu, pilot Kapten Irianto (mempunyai 20,537 jam penerbangan) telah menghubungi Air Traffic control (ATC) Lapangan Terbang Soekarno-Hatta meminta izin menaikkan pesawat dari aras 32,00 kaki ke 38,000 kaki untuk hindari cuaca buruk. Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Wilayah Bangka Belitung (Babel), menyebut cuaca sedang buruk saat penerbangan AirAsia dari Surabaya menuju Singapura, sekitar pukul 6.17 WIB pagi tadi iaitu lokasi hilangnya pesawat  iaitu di antara Pulau Belitung dan Kalimantan. Imej satelit memang tampak awan yang sangat tebal. iatu awan kumulonimbus (Cb).dengan ketebalannya boleh sampai 5 – 10 km. Awan tersebut berpotensi menimbulkan turbulensi kuat pada pesawat.

imej satelit - langit berawan - pembentukan kumulonimbus yang besar.



Pesawat  QZ8501 telah menjalani pemeriksaan dan penyelenggaran berjadual kali terakhir pada 16/11/2014. Sehingga saat ini jam 17.00 waktu Malaysia, bangkai pesawat masih belum ditemui.




imej satelit  MTSAT - awan berwarna merah amat merbahaya kepada pesawat yang terbang menembusinya. Awan merah ini jelas terdapat disekitar lokasi QZ8051 yang dilaporkan hilang kontek.


3. Berdasar catatan Flightglobal, satu-satunya insiden kemalangan yang dialami oleh AirAsia Indonesia berlaku  pada 25 Mei 2007  yang melibatkan sebuah pesawat Boeing 737-300 dengan dengan number pendaftaran PK-AWP yang  yang terbang laluan Jakarta-Medan itu mengalami pendaratan yang keras (hard landing) di Lapangan Terbang Antarabangsa  Polonia, Medan. Dipercayai tiupan angin kencang telah menyebabkan  pesawat mendarat dengan cukup keras di landasan sehingga mengakibatkan salah satu roda depan pesawat pecah dan struktur pesawat bahagian depan retak. Tidak ada korban nyawa   dalam insiden tersebut, baik dari penumpang maupun kru pesawat.



Wednesday 15 October 2014

JOM TERJAH PENANG - siri 1 : MUZIUM KAMERA







pintu masuk melalui Lebuh Muntri


1. Salah satu tempat yang pasti penulis lawati ketika berkunjung ke sesuatu negeri atau negara ialah muzium tempatan. Hampir kesemua negara di dunia mempunyai muzium dengan pelbagai identiti. Muzium yang pertama pernah dikunjungi  penulis ketika zaman kanak-kanak ialah Muzium Negeri Kedah yang terletak di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Dari situlah penulis mula didedahkan dengan berbagai-bagai maklumat berkaitan dengan sejarah negeri, pemerintahan dan kesultanan negeri. Muzium lain  yang terdapat di Negeri Kedah termasuklah Muzium Arkeologi di Lembah Bujang dan Muzium Padi berhampiran Gunung Keriang, Di luar negeri Kedah penulis pernah beberapa kali melawat Muzium Negara dan hampir kesemua muzium-muzium negeri di Malaysia. Beberapa buah  muzium  di negara jiran seperti Indonesia dan Brunei Darul Salam turut di kunjungi, Muzium Ka'abah di Kota Mekah juga antara muzium yang menarik dan patut dikunjungi.

inilah sebahagian binaan telaga  air zam zam dan timba pencedok  asal yang dipamir di Muzium Ka'abah. 


2. Pihak UNESCO melalui Majlis Muzium Antarabangsa @ ICOM telah memdefinasikan muzium, sebagai satu institusi bersifat tetap, tidak mencari keuntungan, dan memberi khidmat kepada masyarakat.  Muzium terbuka kepada umum dan berfungsi memperolehi, merawat dan mempamerkan berbagai bahan atau artifak untuk tujuan pembelajaran, pendidikan dan hiburan. Oleh itu, muzium dianggap sebagai pemegang amanah warisan negara yang tidak ternilai. Muzium juga berperanan sebagai sebuah institusi pendidikan tidak rasmi. Sumber dan bahan-bahan berkaitan sejarah, sastera, sains atau alam semulajadi yang terdapat di muzium mampu memberi kefahaman dan menarik minat orang ramai untuk berkunjung.


3. Di Negeri Pulau Pinang, terdapat beberapa  buah muzium yang wajar dilawati untuk mempertingkatkan pengetahuan anda berkaitan sejarah, budaya, ekonomi, politik  dan sosial seperti Muzium Dan Balai Seni Lukis Negeri yang terletak di Lebuh Farquhar, Made In Penang Interative 3D Museum Pangkalan Weld  Georgetown, Muzium Perang di Batu Maung, Muium Cokelat, Muzium Toy dan Patung Lilin di Telok Bahang, serta Muzium Burung Hantu di atas Bukit Bendera. Kesan sejarah negeri tersebut juga boleh di lihat pada tinggalan  kota-kota lama saperti Fort Cornwallis, mansion saperti Pinang Peranakan Mansion, Khoo Kongsi, rumah kelahiran P.Ramlee, rumah-rumah ibadat, makam  dan sebagainya.


MUZIUM KAMERA DI GEORGETOWN

1. Merupakan muzium yang pertama beroperasi di Asia Tenggara. Terletak di Lebuh Muntri (Menteri) dalam lokasi UNESCO World Heritage Site Georgetown. Untuk makluman anda, Lebuh Muntri, Love Lane ,  Lebuh Armenian dan persekitaranya kini mula dikenali oleh pelawat dari dalam dan luar negara kerana lokasi tersebut mempunyai tarikan tersendiri. Sekitar tahun 1990-an, kawasan tersebut hanyalah berupa barisan rumah kedai dua tingkat yang  usang di bina sebelum Perang Dunia, di mana pada bahagian tingkat bawah adalah kedai atau restoren, manakala tingkat atas adalah kediaman. Selang beberapa lorong atau jalan kita temui rumh-rumah kongsi dan bengkel-bengkel lama Tetapi kini, hampir keseluruhan kawasan tersebut telah bertukar menjadi pusat tarikan pelancong saperti hotel-hotel budget, cafe, mini muzium  dengan tarikan tersendiri. Kawasan tersebut juga bolehlah diibaratkan sebagai satu galeri seni terbuka yang terbesar di Asia kerana terdapat  hampir 100 karya jalanan berupa 'mural painting' dan 'steels rods sculpture'. 


YAB Ketua Menteri Pada Hari Perasmian
2. Terbaharu, bagi penggemar kamera, anda wajib berkunjung ke musium khusus bagi kamera. Muzium yang dirasmikan pada 9 Oktober 2013 lalu berupa rumah kedai dua tingkat yang terletak di Lebuh Muntri. Peminat kamera pasti teruja sebaik sahaja anda masuk ke dalam muzium yang 'free entry' kerana terdapat lebih 300 buah kamera moden dan antik yang dikumpul dari seluruh pelusuk dunia, malah ada yang berusia hampir 200 tahun. Muzium tersebut adalah milik persendiran yang diusahakan oleh sekumpulan tujuh usahawan muda yang kreatif dan penggemar fotografi tetapi berlatar belakangkan profesyen yang pelbagai.


poster promosi yang masih tersimpan

3.  Sebaik sahaja anda melangkah masuk melalui pintu hadapan, anda akan  dapat menyaksikan  replika kamera vintaj besar.  Di kedua-dua belah sisi dinding di ruangan itu diisi dengan deretan kamera dan poster foto berbagai jenis kamera, samaada kamera vintaj permainan, kamera vintaj professional serta aksesoris. Di bahagian tengah terdapat sebuah kedai menjual cenderahati berkaitan kemera dan aksessoris, kemeja t , key-chain dan sebagainya. Manakala sebuah cafe yang dikenali 'Double Exposure'  berserta tandas yang cukup menarik terletak di bahagian belakang. Pelawat yang berhajat untuk mendalami sejarah kamera dan fotografi, bolehlah naik ke ruang atas. Tetapi, bayaran dikenakan iaitu  RM20 untuk dewasa dan  RM10 untuk pelajar dan warga emas. Ruang pertama yang dijumpai adalah ruang pameran  sejumlah koleksi kamera.


pelbagai jenis kamera yang di lekatkan pada dinding














2  Pada ruang atas inilah pelawat akan diimbau dengan nostagia imbasan masa sejarah kamera. Di situ  terdapat 'dark room' (nostagia bilik pemprosesan filem) , 'pinhole room', obscura room (interaktif kamera obscura), pameran kamera-kamera yang digunakan semasa Perang Dunia, kamera James Bond,  Daguerreotype, Box Camera, Folding Camera,  Kamera Format bersaiz besar dan sederhana, 35mm, Single dan Twin Lens Reflex,  Digital Camera dari abad ke-18 sehingga hingga ke hari ini dari seluruh dunia termasuk, negara Britain, Eropah, Perancis, India, Jepun, Rusia dan Thailand yang membuat garis masa evolusi kamera lengkap untuk pameran itu.  Di antara kamera nostagia termasuklah Canon Canonet 28 dan  body Leica yang sungguh menawan hati  Bagi penggemar filem perisik British James Bond, ada satu ruang khusus yang mempamirkan  kamera pengintip iaitu kamera pertama yang diproduksi khusus untuk filem James Bond 007. Di dalam ruangan tersebut kita juga boleh melihat kamera berfungsi sebagai senjata yang digunakan oleh tentara Jepun untuk latihan perang.













3. Setelah penat mata memandang dan kaki berjalan, anda boleh menikmati makanan dan minuman ringan di cafe dengan harga yang berpatutan. Sebagai tanda kenangan anda boleh membeli beberapa souvenir yang berkaitan dengan dunia kamera. Anda boleh melawat Muzium Kamera dari jam 9.00 pagi sehingga 8.30 malam pada setiap hari.

4. Muzium Kamera juga pernah menganjur beberapa pameran berkaitan kamera dan fotografi. Disamping, pihak muzium menerimabahan pameran dari luar. Misalnya pada bulan Jun 2013 lalu, jurugambar National Geographic, Maggie Steber pernah mengadakan pameran fotografi 'Audacity of Beauty Captions' beliau di situ







ini bukan zoom lens, tapi mug taruh ayaq nyok











basin basuh tangan - sempoi

ini simbol tandas lelaki (tandas wanita ? mai tengok sendiri)

pintu masuk sebelah belakang -  kaw. lebih lapang dan ada tempat parkir kereta



Jangan lupa  baca JOM TERJAH PENANG siri 2.0 - Muzium Interaktif  3D 

Tuesday 14 October 2014

MALAYSIAKU - LUBUK EMAS PELAJARI PELBAGAI BAHASA UTAMA DUNIA




AYAH telah menghantar saya dan juga dua abang saya ke sekolah Inggeris, St Xavier Institution di Pulau Pinang kerana dia merasakan kami semua perlu diberikan pendidikan yang terbaik di sebuah sekolah beraliran inggeris.

Abang sulung saya sebaliknya dihantar ke sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina dan dia tidaklah begitu cemerlang. Itu sudah memadai untuk menyakinkan orang tua saya bahawa kami semua perlu dihantar ke sekolah mubaligh.

Ayah saya, Wong Soon Cheong bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih dengan loghat Utara yang tebal dan pada masa yang sama telah belajar sendiri untuk membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Dia juga tidak ketinggalan mengasah bahasa Cinanya.

Sepertimana kebanyakan masyarakat Cina pada zamannya, malah sekarang, mereka sedar, satu-satunya tangga kejayaan hanya boleh dicapai menerusi pendidikan dan pada masa itu, prasarana pendidikan yang terbaik boleh diperolehi di sekolah aliran Inggeris.

Ketika saya memasuki darjah satu pada 1968, England masih merupakan kuasa ekonomi dunia dan Eropah dan menguasai 'Queen's English' adalah pasport kepada masa depan yang lebih cerah.

Kini maju ke hadapan di tahun 2014, kuasa ekonomi dunia telah beralih arah. China telah menjadi kuasa dunia dan disamping menjadi pengeluar terbesar dalam apa juga produk, negara itu juga adalah pasaran terbesar untuk sesiapa sahaja dari mana-mana sahaja yang berhasrat untuk menjual apa sahaja.

Kekesalan terbesar saya sekarang ialah oleh kerana saya adalah produk sistem pendidikan aliran Inggeris, saya tidak mampu untuk menulis atau bertutur dalam Mandarin. Dialek yang saya kuasai iaitu Hokkien dan Kantonis hanya memiliki sedikit nilai di tanah besar China.

Sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan di China perlu menguasai bahasa Mandarin. Ianya semudah itu dan penulis ini akan ditunjukkan ke arah pintu keluar jika dia tidak mampu pun untuk memulakan mukadimah di dalam bahasa Mandarin di Negeri China.

Malah di Kuala Lumpur sekali pun, saya tidak akan diterima untuk bekerja di mana-mana syarikat yang mempunyai urusan dengan Negeri China. Ini bukanlah satu diskriminasi kerana dalam dunia perniagaan, kekurangan linguistik saya perlu diambil kira.

Ketika tiba masanya untuk mendaftar anak perempuan saya ke alam persekolahan, senario telah berubah. Tidak ada lagi sekolah beraliran Inggeris di negara kita, dan sekolah kebangsaan tidak lagi menjadi satu daya tarikan dan pilihan utama kepada ibu-bapa berketurunan Cina.

Mereka bukan sahaja khuatir tentang kualiti pendidikan tetapi semua orang mengetahui - ini adalah pada tahun 1998 - bahawa China bakal menjadi negara yang perlu diperhatikan.

Ini mendorong kebanyakan keluarga yang pada zahirnya bertutur dalam bahasa Inggeris, memutuskan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina.

Tetapi ini semua lebih didorong atas sebab-sebab ekonomi, tidak lebih dari itu. Sebahagian besar dari mereka semua tidak lagi mempunyai saudara mara di Negeri China dan sudah tentunya tidak memiliki sebarang sentimen politik terhadap China.

Sebagai seorang yang menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah beraliran Inggeris, saya sendiri tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan apa jua perkara yang bersangkutan dengan kecinaan. Saya adalah contoh apa yang mereka gelarkan 'pisang kuning' - seorang yang berkulit kuning sepertimana kaum Cina yang lain tetapi berhatikan orang putih. Hakikatnya ialah, masa depan global China terbentang luas untuk semua orang lihat dan sedari.      
Apabila anak perempuan saya terbang ke England untuk menduduki peperiksaan A-Level, sekolahnya dipenuhi dengan pelajar yang berlatarbelakangkan kewarganegaraan yang berbeza - bersedia untuk menduduki kelas dan peperiksaan bahasa Mandarin. Sekolah itu menggajikan guru yang terbaik untuk mengajar anak murid mereka dan begitulah keutamaan yang mereka berikan kepada pelajar-pelajar mereka untuk menguasai skil berbahasa.

Anak perempuan saya berlepas ke England sejurus sebelum berlangsungnya peperiksaan SPM tetapi dia tetap kembali ke Kuala Lumpur untuk menduduki peperiksaan tersebut. Kami ingin memastikan dia menduduki peperiksaan ini dan memperolehi kredit dalam bahasa Malaysia iaitu satu keperluan jika dia mahu menjadi seorang peguam di Malaysia.

Sekolahnya di United Kingdom, tidak begitu setuju dia kembali ke tanah air bagi menduduki peperiksaan SPM. Lagi pun apa jua keputusan yang diperolehinya dalam kertas bahasa Malaysia (dia mendapat cemerlang) tidak mempunyai kesan ke atas pengajian A-Levelnya.

Kaum Cina pada asasnya adalah merupakan satu kaum yang sangat praktikal dan ini termasuklah memastikan semua keperluan asas dipenuhi.

Hakikat hari ini ialah, boleh dikatakan 90 peratus kaum Cina menghantar anak mereka ke sekolah aliran jenis kebangsaan dan daripada 1,300 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang terdapat di negara kita, 15 peratus daripada pelajarnya adalah terdiri daripada kaum-kaum lain yang bukan dari keturunan Cina.

Malah pemandu peribadi saya yang merupakan seorang berketurunan India turut menghantar anak perempuannya ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Ia tentulah sesuatu yang sangat sukar bagi mereka tetapi anaknya mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih termasuklah bahasa Malaysia, Inggeris dan juga bahasa ibundanya, Tamil. Ini akan memberi kelebihan kepadanya pada masa hadapan.

Sekolah-sekolah di United Kingdom - tunggak utama budaya Anglo-Saxon - turut menyedari kepentingan nilai ekonomi global yang dimiliki oleh bahasa ini. Kini mereka sedang membuat perancangan untuk memastikan murid-murid mereka mempelajari bahasa Mandarin agar mereka juga tidak ketinggalan.

Datuk Bandar London, Boris Johnson, telah dipetik sebagai berkata bahawa semua murid di United Kingdom wajib mempelajari bahasa Mandarin. Johnson yang merupakan seorang yang mempelajari dan menguasai bahasa Mandarin dilaporkan telah mengesyorkan agar warga Britain mempelajari sebanyak mungkin tentang China kerana pengaruhnya yang semakin mengembang.

Katanya, kanak-kanak yang mempelajari bahasa Cina akan dengan sendirinya sedar kepentingan China kepada global. Dan ketika ditanya apakah mereka perlu mempelajari bahasa Cina sebagai satu subjek standard di sekolah, jawapannya ialah "Kenapa tidak? Anak-anak saya pun kini sedang belajar bahasa Cina, jadi kenapa tidak."

Datuk Bandar itu memberitahu para pemberita bahawa dia mempelajari bahasa Cina bermula dari bawah sambil menunjukkan fail yang mengandungi nota-notanya yang mana dia telah menulis 'Kerajaan Tengah' atau 'China' dalam Mandarin. Dia juga pernah memberitahu para pelajar universiti di Beijing bahawa anak perempuannya yang berusia 16 tahun kini sedang mempelajari bahasa Cina dan berhasrat untuk melawat China suatu masa nanti.

Singapura selalu dijadikan contoh, sebuah negara yang bermajoritikan kaum Cina tetapi tidak mempunyai sekolah beraliran jenis kebangsaan Cina. Hakikatnya ialah, murid mereka belajar dalam sekolah beraliran Inggeris dan kemudian mereka wajib mempelajari bahasa ibunda mereka. Dengan kebenaran tertentu, mereka dibenarkan mengambil satu lagi subjek bahasa lain sebagai pilihan.

Oleh yang demikian, bahasa Cina adalah subjek wajib untuk murid-murid kaum Cina di Singapura, manakala murid bukan Cina boleh memilih bahasa Melayu atau Tamil sebagai opsyen. Bahasa Inggeris adalah subjek wajib lulus di Singapura.

Sekarang kita telah tiba kepada perkara yang ingin saya perkatakan - kenapa perlu ada syor daripada sesiapa sahaja supaya sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil perlu ditutup di negara kita dengan alasan ia adalah punca kepada perpecahan? Tidakkah ini membingungkan, iaitu sekolah-sekolah vernikular dijadikan kambing hitam atas isu perpaduan kaum di negara kita?

Saya tidak fikir, sesiapa sahaja terlalu naif dan simplistik khususnya ahli-ahli politik untuk mempercayai bahawa dengan memansuhkan sekolah-sekolah ini, semua masalah perpaduan akan hilang dan selesai.

Banyak negara mono-etnik dalam dunia ini yang berpecah-belah walaupun mereka berkongsi bahasa, agama dan budaya yang sama khususnya di Eropah Timur dan di Afrika.

Masalah terbesar kita ialah bukannya sama ada kita bertutur dalam bahasa Malaysia, Cina, Inggeris atau Tamil sebagai medium pengajaran tetapi kita perlu berasa khuatir dengan kejatuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah kita dan juga universiti kita.

Kita sepatutnya tidak boleh lena malam mengetahui 70 peratus daripada guru-guru kita yang mengajar bahasa Inggeris sebenarnya gagal dalam ujian kecekapan. Dan kenapa tiada siapa yang gusar universiti kita masih tidak mampu menduduki ranking antara yang terbaik di dunia?

Atau kenapa para pelajar kita di sebalik keputusan cemerlang yang mereka perolehi sekarang, jarang diterima masuk ke universiti-universiti terkemuka Amerika.

Sebenarnya hanya sekadar menguasai bahasa Mandarin semata-mata adalah tidak memadai. Kita semua sepatutnya menguasai bahasa Arab kerana negara-negara terkaya di dunia terletak di dunia Arab. Dengan begitu ramai pelancong Arab membanjiri Malaysia, apakah cukup pemandu pelancong yang mampu bertutur dalam bahasa Arab di negara kita?

Sebaliknya, aset terhebat Malaysia ialah masyarakat pelbagai kaumnya yang meletakkan kita di atas negara-negara Asia Tenggara yang lain dalam persaingan merebut pai ekonomi. Mereka yang menguasai bahasa Mandarin boleh menembusi tanah besar China, Hong Kong dan Taiwan manakala mereka yang menguasai bahasa Melayu boleh menembusi pasaran Indonesia iaitu pasaran terbesar di Asia Tenggara dan mereka yang menguasa bahasa Tamil boleh menembusi pasaran India.

Jika kita bekerjasama, kita boleh menjadi sebuah negara yang kuat. Kita sepatutnya menggunakan sepenuhnya kelebihan dan kekuatan yang kita ada ini.

Penguasaan bahasa adalah satu aset bukannya liabiliti. Saya sedia maklum terdapat yang percaya bahawa hanya dengan satu medium sekolah sahaja yang akan dapat menyatukan generasi masa depan kita. Tetapi mereka yang menyeru agar sekolah-sekolah jenis kebangsaan cina ditutup seharusnya bercakap terlebih dahulu dengan keluarga bukan Melayu yang menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah ini. 

Boleh tak ahli-ahli politik kita untuk seketika mendengar dan tidak hanya bercakap agar dengan itu mereka dapat mempelajari sesuatu daripadanya?

Pergilah berjalan-jalan di sekitar sekolah-sekolah ini, lihat kemudahan yang terdapat di sana, tengok bagaimana disiplin diberi perhatian atau kenapa ibu-bapa dipanggil ke sekolah apabila anak-anak tidak cemerlang.

Sudah pastinya, sejarah komunis China tidak diajar di sekolah-sekolah ini. Juga tidak ada yang dibasuh otaknya supaya mengundi DAP jika itulah keraguannya. Sekolah-sekolah kebangsaan di negeri-negeri yang majoritinya adalah kaum Melayu seperti di Kelantan dan Terengganu adalah sama sepertimana sekolah-sekolah kebangsaan di negeri lain tetapi masih ramai keluarga murid atau lepasan sekolah yang akhirnya mengundi PAS. Apakah sekolah ini juga perlu dilihat sebagai sumber perpecahan dan menentang pihak berkuasa?

Ketika era saya, sekolah aliran Inggeris dilihat sebagai tapak yang neutral yang mana, kanak-kanak dan pelajar dari pelbagai latarbelakang kaum datang untuk belajar bersama.Tetapi itu sudah menjadi sejarah dan standard bahasa Inggeris di negara kita telah merudum sejak itu.

Dan untuk rekod, sebelum saya dituduh sebagai rasis, saya ingin menegaskan di sini bahawa saya secara sukarela belajar subjek Kesusasteraan Melayu dan Pengajian Islam ketika di Tingkatan Enam. Kemudian, ketika saya menyambung pengajian tinggi saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya mengambil kursus di Jabatan Persuratan Melayu.

Kursus Ketamadunan Islam yang diajar di UKM adalah satu matapelajaran wajib dan saya sendiri telah menulis berulang kali bahawa kebimbangan yang dibangkitkan oleh sesetengah ahli politik bukan Islam mengenai kursus ini yang mereka dakwa sebagai indoktrinasi agama adalah sama sekali tidak berasas dan tidak wajar.

Kita tidak harus takut dengan kualiti pendidikan dan perlunya kepada penguasaan pelbagai bahasa. Berapa ramai anggota elit dalam politik menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa yang terdapat di Malaysia atau ke United Kingdom atau Australia? Malah sesetengahnya terus menghantar anak-anak mereka bersekolah di luar negara di sebalik menyeru agar masyarakat biasa menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan.

Perdebatan mengenai sekolah vernikular tidak harus lagi dipanjangkan. Kita mempunyai masalah yang jauh lebih besar yang sepatutnya mendapat perhatian semua seperti peningkatan harga barang dan kos kehidupan serta sentimen pasaran yang lembab. Kita semua berada di dalam bot yang sama.





> WONG CHUN WAI adalah ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Kumpulan Media The Star. Artikel ini pertama kali terbit menerusi kolumnya 'On The Beat' dalam akhbar Sunday Star, Ahad, 12 Oktober 2014.

Thursday 9 October 2014

KUNJUNGAN KE BAITUL MAQDIS siri 11 - RITUAL YAHUDI DI TEMBOK RATAPAN



[baca siri 10 DI SINI]


Part 2 : RITUAL AGAMA YAHUDI

1. Seusai ziarah tempat-tempat menarik dan menyaksikan bagaimana penganut agama Nasrani memuliakan tempat kelahiran Nabi Isa a.s di Baitulaham, kami berangkat pulang ke hotel penginapan di Kota Baitul Maqdis. Apa yang menarik, perjalanan pulang agak mendebarkan kerana pada sepanjang jalan, kami menyaksikan  ramai tentera dan polis Israel mengawal pada persimpangan jalan terutama berdekatan kawasan penempatan penduduk Arab Palestin. Dari raut wajah Mr Kassim, penulis menjangkakan sesuatu perkara buruk telah atau sedang berlaku di Kota Baitul Maqdis ketika kami berada sehari suntuk  di bandar Hebron dan Baitulaham. Setelas melepasi chek point pintu masuk Kota Baitul Maqdis, kami dapati ramai penduduk Arab Palestin majoritinya golongan remaja berkumpul sambil bersorak-sorak seolah-olah berada dalam satu pesta keramaian atau  persembahan konsep yang dikawal rapi oleh tentera dan polis Israel yang lengkap bersenjata.  Bas kami bergerak perlahan dalam barisan kenderaan 'que' panjang akibat kesesakan lalulintas. Polis dan askar Zionis telah membuat sekatan jalan raya menuju ke kota lama Baitul Maqdis. Pemandu bas cuba meminta belas ehsan dari polis dan tentera yang bertugas agar membenarkan bas kami memasuki kawasan kota lama tersebut. Malaoun sunguh tentera dan polis Zionis, berkeras tidak membenarkan bas kami masuk. Pemandu bas tersebut akur lalu menurunkan kami pada persimpangan yang paling dekat dengan hotel penginapan. Kami masih tidak memahami apakah situasi yang berlaku di sekitar kota lama Baitul Maqdis ketika itu.
  
sebahagian tentera Yahudi sedang siap siaga menbendong kemarahan Arab Palestin berhampiran kota Baitul Maqdis

2. Setelah berehat dan mandi, kami bersiap untuk ke Masjid al Aqsa  menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Kami diberi kebenaran pergi bersendirian ke masjid tersebut. Penulis dan isteri serta beberapa orang jemaah bergerak ke Masjid al-Aqsa dalam kumpulan kecil. Selepas solat, penulis bersama lima rakan jemaah lain menuju ke Wailing Wall atau Tembok Ratapan, melihat bagaimana penganut Yahudi melakukan ritual agama mereka. Untuk masuk ke dataran Wailing Wall, tedapat anggota polis Yahudi mengawal pergerakan setiap pengunjung ke situ. Pemeriksaan keselamatan termasuk mesin penimbas logam, manakala bag pula diselongkar bagi membolehkan pengunjung melepasi pintu masuk. Dari pintu masuk, pengunjung akan menuruni beberapa anak tangga. Panorama dari tangga amat menarik dengan pemasangan lampu terang benderang seolah-olah cahaya langit pada waktu siang hari. Kami dapat melihat beberapa gelagat penganut agama Yahudi dari yang orthodox dan moden sedang beritual. Hampir kesemuanya penganut lelaki memakai kifah (ketayap) atau bertopi tinggi,  manakala kaum hawa menutup kepala secara berselendang.


anak panah menunjukkan  puak Yahudi lelaki dan wanita sedang melakukan ritual di hadapan Dinding Ratapan dengan cara mengangguk-angguk kepala ke dinding

3.  Tembok Meratap atau Tembok Barat  (Western Wall)  ialah satu tempat yang penting dan dianggap suci serta mesti menjadi  destinasi orang Yahudi berkunjung, berdoa dan meratapi dosa-dosa mereka dengan penuh penyesalan. Selain mengucapkan doa-doa mereka, orang Yahudi juga meletakkan doa mereka yang ditulis pada sepotong kertas yang disisipkan pada celah-celah dinding itu. Panjang tembok ini pada asalnya adalah sekitar 485 meter, tetapi kini panjangnya hanya tinggal 60 meter sahaja.  Orang Yahudi percaya bahawa tembok ini tidak ikut hancur sebab di situlah berdiam "Shekhinah" (Sakinah @ kehadiran Ilahi). Jadi, berdoa di situ sama ertinya dengan berdoa kepada Tuhan.  Dinding ini dibahagi dua dengan sebuah pagar pemisah (mechitza) diperbuat dari kepingan papan dan kayu setinggi 2 meter,  memisahkan laki-laki dan perempuan. Apa yang menarik, wanita Yahudi setelah berdoa akan meninggalkan Tembok Ratapan secara langkah mengundur kebelakang.


Puak Yahudi orthodox melangkah menuju ke Dinding Ratapan





4.  Tembok Ratapan adalah tempat penting orang Yahudi, Muslim dan Kristian. Umat Islam percaya bahawa  tembok atau dinding tersebut  menjadi bahagian kaki Masjid Aqsa dan Masjid Burraq. Ketika peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w, baginda penah  menambatkan Burraq pada satu bahagian Tembok Ratapan iaitu pada bahagian barat Masjid al-Aqsa. Orang Yahudi pula beranggapan  tembok tersebut adalah sisa tinggalan dinding Bait Suci @ Haikal Kedua di Jerusalem yang dibangunkan oleh Raja Solomon (Nabi Sulaiman a.s.), putera Nabi Daud a.s. Haikal itu hancur ketika  Jerusalem diserbu tentara Rom pada tahun 70 Masihi. Sebahagian orang Yahudi berharap kuil/ Haikal Solomon dibangun kembali dengan cara meruntuhkan Masjid Al-Aqsa.

Selain orang Yahudi, terdapat sebilangan penganut agama Kristian termasuk 'Paus' mereka pernah datang meratap di situ. terutama Perayaan Hari Easter. Mengikut agama Kristian ,  Baitul Maqdis (Jerusalem) adalah tempat yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa a.s yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran, terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa  Nabi Isa a.s pernah berkhidmat mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitul Maqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitul Maqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.

Mengapa orang Yahudi dan Kristian   meratap di Tembok Ratapan  ?
  • Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya  bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beritual dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masih berlangsung sehingga sekarang ini,

  • Ratapan itu adalah tangisan kesedihan atas hancurnya kuil/Haikal Solomon, dan setelah mengalami begitu banyak perang dan pertikaian, berbagai agama muncul, termasuk Kristian dan Islam, yang kemudian menganggapnya menjadi bahagian penting dari sejarah perkembangan agama agama semawi tersebut, yakni , tidak lagi mutlak menjadi milik kaum Yahudi sebagai tempat tersuci.

  • Mereka meratap sebagai satu bentuk penyesalan diri di atas    ketiadakupayaan mereka untuk membangun kembali Haikal Solomon , yang telah diruntuhkan. Alasan inilah menjadi azam buat puak Yahudi untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa dan mendirikan semula Haikal Solomon di atas tapak tersebut. 
  • Bagi penganut agama Kristian yang meratap di situ, perbuatan tersebut ada kaitan dengan sedihnya mereka di atas kegagalan mereka menyelamatkan Jesus yang telah disalibkan oleh bangsanya sendiri iaitu Yahudi





perhatikan anak panah - wanita Yahudi bergerak undur ke belakang sebagai tanda hormat kepada Tembok Ratapan


5. Setelah hampir sejam kami berada di situ, leka memerhati gelagat orang Yahudi beritual, kami balik semula ke hotel. Agak menakjudkan kerana kami tidak sedar apakah situasi sebenarnya berlaku di sekitar Haram al-Sharif. Setelah kembali ke Malaysia, baharulah penulis menyedari bahawa kehadiran kami dalam kumpulan yang kecil tanpa pengetahuan ketua rombongan (Ustaz Abdullah Khairi) sebenarnya amat bahaya kepada keselamatan kami. 


  • Situasi ketika itu menurut rakan dari kru  Stesen TV Al-Hijrah  yang telah terperangkap pada sebelah pagi di perkarangan Masjid al-Aqsa pada hari tersebut, adalah  disebabkan tindakan pihak polis dan tentera Yahudi membenarkan pelancong Eropah memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa dan Qubah ash Shakrah.  Hal tersebut mendatangkan kemarahan pentadbiran Haram al-Sharif dan mendorong penduduk Arab Palestin membuat bantahan melalui demonstrasi di semua pintu masuk Haram al-Sharif . Tentera dan polis Israel telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah orang Palestin bagi menyuraikan mereka. Insiden tersebut berlarutan hingga ke sebelah malam. Sebab itulah pada malam tersebut penulis ada dengar bunyi macam  mercun yang dicucuh sempena sambutan perayaan di Malaysia.
  • Kami pertarungkan nyawa kami ketika memasuki dataran Wailing Wall kerana ketika itu terdapat ramai Yahudi Orthodox dan ekstrim yang juga berkunjung beritual ke situ. Menurut Protokol Zionis, agama atau umat Islam mestilah dihancurkan. Oleh itu, puak yang pegangan kepada Protokol Zionis menghalalkan pembunuhan orang Islam. Sebab itulah kehadiran kami di situ tidak begitu disenangi oleh polis Israel yang bertugas di pusat pemeriksaan masuk. Insiden tembakan yang telah mengorbankan beberapa nyawa penduduk Palestin pada hari tersebut boleh memberi ilham kepada puak Yahudi malaoun untuk menghapuskan kami yang hadir dalam kumpulan kecil. Kami bernasib baik kerana tidak menyedari bahaya yang boleh mengancam nyawa kami. Kalau tahu, tentu kami tak sempat menyaksikan Tembok Ratapan yang kini diberi jolokan "FACEBOOK" (ciptaan Yahudi Mark Zuckerberg) yang kita sibuk melayari berjam-jam setiap hari !

BERSAMBUNG: TERPERANGKAP DI MASJID AL-AQSA

Baca SIRI 12 DI SINI







Monday 29 September 2014

PPS DAN OPS MERDEKA HITAM

1.Berita penangkapan 156 orang yang terlibat dalam unit peronda sukarela Pulau Pinang (PPS) sejurus selesai majlis perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lepas turut mewarnai isu-isu politik dan sosial  yang panas di tanah air semenjak PRU-13 yang lalu sehinggalah ke kemuncaknya  kemelut Menteri Besar Selangor dan tangkapan di bawah Akta Hasutan. Pada hari kejadian, seramai 156 peserta PPS ditangkap secara beramai-ramai dan dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai di sini, sebelum direman semalaman di IPD Timur Laut dekat Jalan Patani, Georgetown. 

di antara anggota PPS yang ditahan sejurus melintasi pentas VIP

2. Hari ini, portal berita online Malaysiakini memetik sumber dari PDRM IPD Timur Laut bahawa jaminan polis terhadap 156 anggota PPS dilanjutkan selama sebulan lagi untuk siasatan lanjut. Dari seramai 156 anggota yang ditahan seusai tamat perarakan Hari Kemerdekaan termasuklah Pengerusi PPS,  YB Phee Boon Poh; Ahli Parlimen Tanjung, YB Ng Wei Aik dan ADUN Seri Delima,  YB RSN Rayer. YB Rayer yang juga seorang peguam berkata, polis telah memaklumkan kepada beliau hari ini bahawa jaminan polis terhadap mereka dilanjutkan selama sebulan. Menurut YB Rayer jaminan itu boleh dilanjutkan selama tiga bulan. Ekoran dari perlanjutan tempoh jaminan polis tersebut menyebabkan aktiviti PPS tidak boleh diteruskan bagi tempoh sebulan lagi.


3. Banyak pihak mempertikaikan tangkapan beramai-ramai tersebut kerana ops polis dilakukan pada kemuncak hari sambutan kemerdekaan negara, ketika semangat patriotik tinggi dikalangan rakyat. Lagipun sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Negeri Pulau Pinang adalah satu majlis rasmi Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dr. Abdul Rahman bin Abbas.  Berikutan dari insiden tersebut, Kerajaan Pulau Pinang dalam satu mesyuarat tergempar Exco Kerajaan Negeri  memutuskan untuk merehatkan semua anggota PPS. Dalam kenyataan media exco kerajaan negeri, kesemua anggota PPS akan direhatkan daripada sebarang aktiviti sehingga keputusan mahkamah dibuat tentang kesahihan PPS.  Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menyediakan bantuan guaman dan kewangan untuk membantu 156 anggota PPS dan Exco kerajaan negeri Phee Boon Poh yang ditahan polis, untuk menghadapi proses perundangan mahkamah."Semua peserta PPS yang ditahan itu akan diberikan sumbangan RM200 setiap hari ditahan serta apa-apa kerugian munasabah yang dialami semasa dalam tahanan". 

penduduk yang melibat diri secara  sukarela dan  bersemangat patriotik pada Hari Kemerdekaan


4. Menurut Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar YB Phee Boon Poh, mejelaskan bahawa penubuhan PPS di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri pada tahun 2011 bukan untuk mengambil peranan PDRM, sebaliknya bertujuan membantu pasukan keselamatan terbabit menangani jenayah di negeri itu. Menurut beliau lagi "Kerajaan Negeri pada Mesyuarat MMK Bil. 16/2011 bertarikh 27 April 2011 lepas mencadangkan penubuhan PPS dan kelulusan serta pengesahan penubuhan badan sukarelawan itu pula pada 4 Mei 2011. Garis panduan telah siap sedia pada Mei 2011 manakala Majlis Pelancaran telah diadakan di Dewan Sri Pinang pada 17 September 2011".
Kumpulan pertama anggota sukarela PPS di Majlis Pelancaran PPS


Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang : Pelancaran  Di Dewan Sri Pinang. Kelihatan YAB Ketua Menteri, YB Phee, Dato Halim (Speaker), Dato Farizan Darus (SUK)

5. Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang kerana tidak pernah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Lebih gawat ialah selepas insiden seorang ahli perniagaan Ong Eu Soon mengaku diserang dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini. Pada masa yang sama, Kerajan Negeri Pulau Pinang tidak menolak dakwaan Timbalan Komander Kanan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi bahawa 11 dari 156 ahli unit PPS yang ditahan pada 31 Ogos mempunyai rekod jenayah yang melibatkan kecurian, rompakan, dadah, kesalahan berkaitan kongsi gelap dan juga bunuh. 

6. Namun, adalah tidak adil untuk menghukum dan mempertikaikan kewujudan PPS hanya semata-mata terdapat beberapa rekod anggota yang mempunyai rekod jenayah. Sebilangan anggota PPS yang menyertai Perarakan Kemerdekaan adalah orang dewasa dan wargaemas yang apakala air kencing mereka diuji positif mungkin disebabkan oleh ubat yang diambil untuk penyakit tertentu sebelum menyertai perarakan.  Menurut YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, "bahawa kerajaan negeri tidak akan melindungi dan berkompromi dengan mana-mana anggota yang melakukan salah laku atau pun jenayah".

7. Sebagai makluman, jumlah ahli yang telah didaftarkan pada ketika penubuhan adalah seramai 937 ahli dengan jumlah pasukan sebanyak 46 pasukan. Selepas pelaksanaan saringan pentadbiran, jumlah ahli terkini adalah seramai 9,002 orang dalam 299 pasukan. Perincian mengikut agihan bangsa ialah seramai 2,970 orang atau 33 % Melayu, 5,123 orang atau 56.9 % Cina, 873 orang atau 9.7 % adalah India manakala lain-lain seramai 35 orang atau 0.4 %. Perincian tersebut juga hampir mempunyai persamaan dengan komposisi penduduk berasaskan ethnik di Negeri Pulau Pinang..

8. Setiap anggota PPS yang telah didaftarkan, diwajibkan menghadiri kursus atau taklimat, di antaranya Kursus Rawatan Kecemasan seperti balutan luka dan rawatan awal patah tulang dan kulit melecur akibat kesan haba/kebakaran, teknik pemulihan penafasan CPR, rawatan patukan atau sengatan binatang berbisa, penerangan berkaitan SOP atau tindakan yang perlu dilakukan ketika bencana atau kecemasan seperti banjir kilat, kebakaran, ribut dan kemalangan dan kawat perbarisan dan pendidikan jasmani. Peserta juga diberi taklimat berkaitan dengan bidang tugas agensi kerajaan negeri dan pusat seperti peranan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan dan sebagainya. Setiap pasukan dibekalkan buku log PPS sebagai satu kaedah mencatat rekod pergerakan dan aktiviti pasukan atau sesuatu kecemasan dan bencana yang berlaku di kawasan masing dan salinan laporan kepada ADUN atau Pegawai Penyelaras Kadun.

9. Selain itu, bagi memastikan fungsi PPS dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh kepada masyarakat, ahli-ahli PPS juga turut digalakkan bekerjasama bersama agensi-agensi keselamatan kerajaan seperti PDRM,  Pasukan Bomba dan Penyelamat, Rela dan sebagainya.

10 Sebagai rumusan, peristiwa penangkapan beramai-ramai unit sukarelawan PPS yang menyertai Perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos yang lalu telah menyebabkan kerajaan negeri memberhentikan sementara semua aktiviti PPS. Kerajaan negeri beranggapan tindakan tersebut amat tidak wajar dan menyifatkan insiden tersebut sebagai 'Ops Merdeka Hitam' - merugikan rakyat di Negeri Pulau Pinang.

  • Menjelang penghujung monson Barat Daya bulan Oktober/November, kebiasaannya Negeri Pulau Pinang akan mengalami banjir. Penglibatan semua agensi keselamatan dan penyelamat amat diperlukan untuk mengurangkan kesenggaraan akibat bencana alam tersebut. PPS telah mempamirkan kecemerlangan mereka membantu rakyat ketika banjir kilat dan banjir lumpur yang melanda di berapa kawasan rendah di Penanti baru-baru ini.
anggota PPS dan YB Dr Norlela Adun Penanti  bertungkus lumus menyelamat mangsa banjir di Penanti baru-baru ini

  • Beberapa ahli JKKK melaporkan kes-kes atau kejadian pecah rumah dan kecurian kabel telekom kemungkinan berlaku semula terutama di daerah terpencil seperti diTasik Gelugor dan Nibong Tebal  kerana pejabat peronda PPS telah ditutup dan anggotanya telah di'rehat'kan.
  • Kita sedia maklum bahawa komuniti Cina di negara ini amat berminat dengan aktiviti sukarela kebajikan serta sosial, Menurut rekod ROS, kaum tionghua di Malaysia lebih dominan dalam aktiviti sosial dan komuniti. Sesuatu yang tidak kedapatan kepada kaum lain di negara kita ialah kaum tionghua telah sekian lama menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela yang dibiayai sendiri oleh mereka dan melakukan tugas-tugas pemadaman kebakaran dengan cemerlang di mana-mana kawasan bencana kebakaran tanpa mengira kaum mana yang menjadi mangsa. Insiden penahanan tersebut dikhuatiri akan menjauhkan minat anggota masyarakat untuk aktiviti  sukarela.