Wednesday 31 December 2014

TAHUN 2015 KESINAMBUNGAN MENCAKNA MASYARAKAT KAMPUNG

1. Detik jam 24.00 malam ni membuka lebaran baru tahun 2015.  Tahun  2014 banyak meninggalkan suka dan duka kepada penduduk di bumi Malaysia tercinta.  Kenaikan harga petroleum telah menyebabkan kuasa beli rakyat semakin jatuh. Amat terasa kenaikan harga ikan, sayur dan lainnya menyebabkan kos untuk sarapan pagi dan makan tengahari di tempat kerja jelas berubah. Diharapkan penurunan harga petroleum mulai detik 24.00 nanti boleh memberi 'nafas' kepada rakyat untuk menjalani hidup harian dengan lebih baik.  Pergolakan dalaman parti-parti politik tempatan baik dari pihak BN dan Pakatan Rakyat serta isu-isu berkaitan agama dan kaum mencemaskan kita seketika. Tragedi kehilangan MH370 dan korban dari MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine serta banjir besar yang berlaku pada penghujung 2014 terutama di negeri Kelantan, merupakan peristiwa sedih yang turut mewarnai seluruh rakyat Malaysia. Belum sempat kita melangkah ke tahun 2015, nahas udara QZ8051 menambahkan luka yang belum sembuh. Penulis amat bersimpati dengan nasib syarikat penerbangan kebanggaan kita iaitu MAS dan Air Asia. Jujur penulis katakan dengan adanya 'now everyone can fly' lah membolehkan penulis dan famili terbang ke beberapa destinasi pelancongan secara budget di  Indonesia dan China. Banjir besar  yang pernah melanda kampung penulis pada Oktober 2003 turut menginsafkan penulis bahawa kita adalah kerdil disisi Pencipta. 





2.   Namun, bagi penulis Tahun 2014 merupakan di antara tahun-tahun yang amat menyerlah berbanding dengan tahun-tahun sebelum itu. Bermula pada Mac 2014, penulis, isteri dan beberapa orang kenalan telah ditakdirkan Allah swt dapat mendirikan solat tahiyatul-masjid dan solat-solat fardhu dan sunat lainnya  di Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis  dan Masjid Khalil  Ar-Rahman @ Masjid Ibrahim di Hebron  Tebing Barat Negara Pelastin iaitu masjid yang ke-3 dan ke-4 tersuci dan terpenting bagi umat Islam selain dari Masjid Al-Haram di Mekah dan Masjid An-Nabawi di Madinah. Pengalaman berkunjung  ke Baitul Maqdis selama tiga malam  penulis pernah siarkan dalam blog ini secara bersiri. In shaa Allah, sekiranya dipanjangkan umur, keberkatan rezeki dan kesihatan, penulis berhasrat untuk berkunjung lagi di tanah suci ni. 



3.Pada bulan April, keluarga kami menerima 'orang baru' dengan kelahiran cucu pertama iaitu Nur Insyirah Humairah yang sungguh comel. Meskipun kami suami isteri tidak 'membelanya' yakni Nur Insyirah ditinggalkan di rumah pengasuh, namun hubungan cucu-atuk/nenek mulai terjalin. Amat terasa rindu sekiranya Nur Insyairah tidak bertandang  ke rumah kami dalam masa beberapa hari. Semoga besar besok, Nur Insyirah menjadi seorang gadis/wanita solehah dan berjaya dalam semua bidang.


upacara belah mulut Nur Insyirah oleh Tuan Imam Ustaz  Hj. Haroon Shafie
Insyirah 7 bulan


4. Pada bulan Mei, anak gadis penulis (anak ke-4) telah tamat pengajian dalam bidang Bio-Medical Science UIAM Kampus Kuantan. Beliau muncul sebagai graduan terbaik bagi kursus tersebut dan layak menerima anugerah. Malang sekali beliau tidak sempat ke Majlis kovokesyen kerana dalam masa yang sama, beliau telah dipilih melanjutkan pengajian pada peringkat Master perkhususan Stem Cell & Regenerative Medicine secara full time di University of Sheffield UK. Penulis amat bersyukur di atas kejayaan beliau dan anak-anak yang lain. Telah ditakdirkan kesemua (lima) anak-anak penulis berjaya dalam pelajaran dan mampu memijak kaki ke IPT di dalam dan luar negara. Setelah tamat pengajian, mereka telah menjawat beberapa jawatan yang penting. Anak sulong bekerja di DCA (Jab. Penerbangan Awam) diamanahkan untuk mempastikan setiap pembelian pesawat seperti kapal terbang atau helikopter oleh syarikat-syarikat  penerbangan tempatan dan pihak koperat/swasta di dalam negeri mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia. Untuk itu pada sepanjang tahun 2014, beliau telah beberapa kali ke kilang pembuat pesawat boeing di Seattle, Washington, airbus di Toulouse France dan kilang Bombardier di Kanada membuat pemeriksaan   Manakala, anak kedua memilih kerjaya sebagai pegawai bank di  Ibu Pejabat Ambank KL. Pada awal tahun 2014 beliau disahkan berjawatan tetap. Anak ketiga pula ditawarkan sebagai Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri 1 Negeri Pulau Pinang (Perhubungan Komuniti).  Semoga anak ke-4 (Nurdiyah) dan ke-5 (Mohamad Amin Ariff  - Tahun 3 di UTeM Melaka) berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan yang baik setelah tamat pengajian kelak.  Tahun 2014 juga amat bermakna kepada penulis kerana Mohamad Amin telah berjaya dipilih sebagai Timbalan Presiden MPP UTeM sessi 2014/2015.




5. Pada bulan    Ogos, penulis telah mendapat menantu ke-2 iaitu Duratul'Ain yang telah diijab kabulkan dengan anak ke-2. Menariknya perkahwinan mereka di ditampilkan sebagai 'Jodoh Di Bumi Barakah' iaitu takala penulis dan isteri melakukan ibadat umrah pada bulan April 2014, diantara doa-doa yang penulis dan isteri pohon ke hadrat Rob yang Maha Esa ialah supaya dipermudahkan jodoh untuk anak-anak. Alhamdulillah, tanpa diduga, jodohnya ialah Daratul'ain yang turut menunaikan ibadat umrah bersama kami dibawah mutawif Ustaz Abdullah  Khairi. Pada September 2014, sebelum berangkat ke UK, anak gadis penulis telah di pinang oleh Mohamad Azrie  yang kini bertugas di Shah Alam. Beliau berasal dari Tasik Gelugor iaitu kurang lebih 3 km dari rumah penulis. Ibu Mohamad Azrie adalah seorang Guru Bahasa Inggeris yang dihormati masyarakat. Majlis pertunangan berlansung penuh meriah. Jamuan pada majlis tersebut disediakan secara 'pakatan' oleh jiran-jiran penulis.

6. Sebahagian dari beban kewangan penulis juga semakin kurang apabila bayaran ansuran sebuah rumah (pangsapuri) dan sebuah kereta telah selesai dilunaskan pada tahun 2014.  Secara metamatiknya,  pangsapuri tersebut yang berlokasi di Kampong Kerinchi Kuala Lumpur kami dapat secara  'percuma' kerana penyewa yang bayar wang ansuran bulanan tersebut.    Tahun 2014 juga membawa khabar gembira dari segi kesihatan apabila penulis disahkan bebas dari masalah kolesterol, kencing manis, sakit jantung, manakala masalah tekanan darah tinggi dan ashma di bawah kawalan. Alhamdulillah.



7. Pada sepanjang tahun 2014, penulis telah berusaha  untuk membawa perubahan kepada anggota masyarakat di kampong penulis iaitu  Kampong Lahar Yooi. Masih terdapat penduduk kampong yang miskin yang mendiami di rumah yang kelihatan daif.   Kampung kami tidak ada wakil rakyat atau ahli parlimen dari parti pemerintah (PR) di negeri Pulau Pinang. Penulis bukanlah seorang yang boleh mengeluar peruntukan wang  untuk memajukan taraf ekonomi penduduk kerana penulis hanyalah  bertaraf JKKK.  Untuk itu, penulis telah memperkenalkan program Homestay Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) ke kampong Lahar Yooi. Pada peringkat awal projek ini hampir menemui kegagalan, namun, akhirnya kampong kami telah dipilih dan pemeriksaan kelayakan telah dilakukan oleh pegawai dari MOTAC pada bulan September 2014 yang lalu. In Shaa Allah, lesen homestay MOTAC akan dikeluarkan pada awal tahun 2015 nanti. 


Exco Pembangunan Pelancongan Negeri bersama Puan Hj. Saodah DO Daerah Seberang Perai Utara di dalam kamar cadangan Homestay Lahar Yooi.

8. . Setelah menghadiri beberapa siri kursus dan lawatan, penulis dapati banyak kesan positif dari wujudnya homestay MOTAC di kampong. Pihak berkuasa seperti Kementerian Kemajuan Luar dan Wilayah, PERDA, Pejabat Daerah, MPSP dan sebagainya akan menyediakan peruntukan  bagi menaikkan taraf insrastruktur dan memajukan sumber manusia yang terdapat di situ. Oleh itu, bagi tahun 2015, penulis berhasrat kepada "Kesinambungan Mencakna Masyarakat Kampong Lahar Yooi" supaya mereka perolehi kehidupan yang lebih baik dan  selesa.... In Shaa Allah..
Ya Allah, berkati dan permudahkanlah  niat suci ku ini.,.....



No comments:

Post a Comment