Saturday 21 May 2016

KEMBARA KE BUMI PATTANI DARUL SALAM - PART 2 : "PATTANI ITU FATHONI"










Hari Ke-2.


(Baca Part 1 Di SINI)



1. Hotel Park View Resort yang menjadi tempat penginapan kami adalah di antara hotel termoden di Pattani. Kami bernasib baik kerana ketika berada di hotel tersebut, terdapat kira-kira 300 para ustaz dan tuan guru sekolah-sekolah pondok/pasentren dari lima wilayah Selatan Thai yang menghadiri perhimpunan para guru dan ustaz sekolah-sekolah pondok dan majlis Tilawah Al-Quran untuk pelajar-pelajar sekolah pondok. Penulis berkesempatan bertukar fikiran dengan beberapa orang daripada mereka  berkisar isu-isu semasa sistem pendidikan pondok.  Penulis difahamkan pada pagi ini mereka akan bergerak ke Bangkok untuk ziarah pondok-pondok yang terdapat di sana. Mereka juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pelajaran Thailand berhubung dengan isu cadangan Kementerian Pelajaran Thailand memansuhkan tulisan jawi dalam sistem pendidikan di negara tersebut. Rombongan kami juga berkesempatan bertemu dengan beberapa orang saudara mara yang terdiri dari rakyat Thai yang kini menetap di Pattani. Mereka termasuklah keluarga Haji Abdul Latif dan  Cikgu Noraini yang masih mempunyai waris di sana diantaranya Ustaz Abdullah Ismail.


Sebahagian dari ustaz dan tuan guru yang membuat persiapan menuju ke Bangkok

Keluarga Hj. Abdul Latif bergambar bersama keluarga Ustaz Abdullah -  rakyat Thai yang menetap di Pattani.

bergambar bersama Ustaz Abdullah dan salah seorang ustaz sekolah pondok Pattani di hadapan hotel
2.  Selesai sarapan pagi, kami bertolak ke Kampung Simpang Tiga yang terletak di pusat bandar Pattani. Tujuan kami ke situ ialah menziarahi Tuan  Haji  A'li bin Ahmad al-Hilibi al-Murri seorang penulis musyhaf Al-Quran al-Karim (menghasilkan kitab suci Al-Quran tulisan tangan). Rumah beliau terletak di belakang sebuah kedai kopi. Rumah batu dua tingkat ini nampak biasa sahaja, tetapi apabila masuk ke dalam, hiasan dan susun atur perabot cukup cantik. Kami disambut dan diberi layanan mesra  oleh Tuan Hj. Ali dan isteri Puan Hajah Hasnah.  Tuan Hj Ali adalah orang Patttani. Salasilah keluarga beliau menunjukkan ayah beliau berasal dari Yaman. Isteri beliau difahamkan dari ahlul-bait Rasulullah s.a.w. Hj. Ali berperawakan yang lemah lembut, bersopan santun, seorang bertubuh kecil, berkulit putih, memiliki air muka yang jernih meskipun usia beliau telah  menjangkau 71 tahun. Beliau berpengalaman selama 18 tahun dalam penulisan ayat-ayat suci Al-Qur'an. Kerja-kerja penulisan tersebut di lakukan dalam 'studio' ditingkat atas rumah. Setakat ini beliau telah menghasilkan sebanyak 9 buah kitab al Qur'an tulisan tangan beliau sendiri dan sedang menghasilkan kitab al-Quran yang ke-10. Salah sebuah kitab Al Qu'ran tersebut  kini tersimpan di Bangkok dan sebuah lagi di Muzium Islam Kota Bharu Kelantan.  Menurut beliau, untuk menghasilkan 30 juz bagi sebuah Al-Quran, beliau mengambil masa selama dua tahun. Petua yang perturunkan kepada kami ialah, setiap satu muka surat yang akan di tulis, beliau akan melakukan solat sunat dua rokaat berserta tadabbur iaitu  memahami dan memikirkan apa yang ayat-ayat Al-Qur’an tunjukkan tatkala tersusun, dan apa yang terkandung di dalamnya, serta apa yang menjadikan makna-makna Al-Qur’an itu sempurna. Misalnya bila beliau menulis ayat-ayat yang bermaksud siksaan Allah di neraka, beliau akan mengalirkan air mata. Begitu juga sebaliknya, jika beliau menulis ayat-ayat yang berkaitan dengan syurga.  Beliau begitu teliti dalam penulisan ayat wahyu dari Allah ini kerana beliau mengingatkan kami akan sepotong ayat al Qur'an yang bermaksud :- “Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk dan berpecah belah kerana takut pada Allah (Ingatlah) misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”


Ketika ditanya apakah peristiwa-peristiwa yang pernah beliau alami sepanjang penulisan ayat-ayat suci tersebut, dengan merendah diri beliau menyatakan tiada apa-apa yang berlaku, sebalik beliau pernah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w, manakala isteri beliau juga pernah bermimpi beberapa kali berkaitan hal yang sama. Pada majlis itu juga beberapa orang ustaz dan ustazah yang mengikuti rombongan kami sempat bersanad al Qur'an  dengan beliau.


Pintu masuk ke rumah Tuan Haji Ali di Kampung Simpang Tiga, Pattani
hiasan dalaman dan susun atur perabut di dalam rumah yang kemas dan cukup menarik memberi gambaran penghuninya seorang yang teliti dan berdisiplin.

hiasan dalaman dan susun atur perabut di dalam rumah juga adalah hasil tangan Hj. Ali. Misalnya frame cermin muka dan set sofa.

Tuan Haji  A'li bin Ahmad al- Hilibi al- Murri penulis musyaf  kitab Al-Qur'an tulisan tangan  - mempunyai perawakan yang mengagumkan 


Subhanallah, cantiknya khat dan kaligrafi yang digunakan pada salah sehelai muka surat kitab suci Al-Qur'an

bekas menyimpan Al-Qur'an juga di rekabentuk dan hasil ukiran/ buah tangan Tuan Hj. Ali




Pn. Hjh Saharah sedang memegang musyaf Al-Quran al Kareem hasil tulisan Hj. Ali.
sebahagian dari anggota rombongan kami begitu khusuk  mendengar penerangan yang disampaikan oleh Tuan Haji Ali
Subhanallah, cantiknya kulit al-quran yang di ukir dan direkabentuk sendiri oleh  Tuan Hj. Ali yang beratnya kira-kira 10 kilogram.
Tuan Hj. Ali menggunakan warna merah bagi setiap perkataan Allah, biru untuk Malaikat dan hijau untuk Rasul-rasul

pada muka surat akhir, terdapat nama penuh Tuan  Hj. Ali Ahmad.
penulis Tn. Hj. Ariffin bersama dengan Tuan Hj. Ali yang berdiri di tengah.
4. Setelah hampir dua jam kami berada di rumah Tuan Haji Ali, rombongan kami bertolak pula ke Masjid Sentral Pattani. Masjid ini merupakan salah satu masjid paling indah dan terbesar di Thailand. Dibina pada tahun 1954, pembinaan masjid ini telah mengambil masa hampir sembilan tahun. Masjid ini adalah pusat pelbagai acara keagamaan bagi umat Islam Pattani dan wilayah-wilayah sekitar. Seni bina barat dan timur dalam reka bentuk masjid tersebut hampir mempunyai persamaan dengan Taj Mahal di India kerana terdapat sebuah kolam besar di hadapan masjid tersebut.  Diserikan dengan empat kubah besar di tengah, di kelilingi oleh empat kubah kecil di puncak menara. Di sebelah kiri dan kanan masjid terdapat bangunan balai lintang yang disambung dengan tempat wudhu  wanita dan lelaki. Pada setiap kali kuliah oleh tuan guru atau ulamak hebat, balai lintang tersebut dipenuhi ramai jemaah lelaki dan wanita yang tidak berkesempatan memasuki ruang solat di dalam masjid.

Masjid Sentral Pattani - salah  sebuah masjid tercantik di Asia Tenggara

sebahagian dari jemaah sedang  mengikuti kuliah dhuha di dalam masjid

Tuan Haji Ali ada menyatakan beliau pernah menulis kaligrafi  khat  ayat-ayat suci Al-Qur'an di dinding Masjid Sentral Pattani
sebahagian jemaah  lelaki di balai lintang
dan sebahagian dari jemaah wanita mengikuti kuliah dhuha di luar masjid
pemandangan sebegini sukar untuk kita temui di tanah air.

sebahagian jemaah lebih selesa mendengar kuliah dhuha di bawah  rimbunan pokok kurma di halaman masjid

kesibukan salah sebuah jalan raya di tengah tengah pusat bandar Pattani

4 Dari Masjid Sentral, kami bergerak ke Universiti Fathoni yang terletak hampir 45 minit dari pusat bandar Pattani. Kami bernasib baik kerana  Ustaz Abdullah Hj. Ismail seorang veteran universiti sudi meluangkan masa memberi taklimat. Universiti Fathoni bermula sebagai Yala Islamic University (YIU), terletak di selatan Pattani (Yarang) bersempadan dengan Yala, merupakan sebuah universiti Islam swasta yang terkenal di Thailand. YIU ditubuhkan pada 1998 oleh sekumpulan ahli akademik muda Islam Pattani, pemimpin masyarakat dan ahli politik tempatan. Dahulu dikenali sebagai Kolej Islam Yala, ia telah dinaikkan taraf ke universiti pada 2007 oleh Kerajaan Thai. Penubuhan YIU mengambil proses yang panjang hasil perjuangan dan komitmen masyarakat Islam tempatan. Melayu Islam Pattani yang komited untuk memenuhi dan merealisasikan wawasan mempunyai tempat pendidikan tinggi mereka sendiri. Ia juga adalah untuk mengembalikan kredibiliti dan populariti Pattani sebagai pusat pendidikan Islam di Asia Tenggara pada abad yang lepas terutamanya sekolah tradisional Islam yang dikenali sebagai ‘pondok’. Ia menjadi sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal pada kalangan lebih 3,000 pelajar-pelajar tempatan dan juga antarabangsa. Mahasiswa yang belajar di sini bukan hanya dari Thailand Selatan, ada juga dari Chiang Mai dan Bangkok. Pelajar luar pula ada dari Perancis, Vietnam, Mynmar,  Kamboja, Laos, Papua New Guinea, Somalia, Mesir,  Arab Saudi, Indonesia dan kini pelajar dari Negara China yang paling ramai. YIU mempunyai hubungan yang rapat dengan Kerajaan Thai, Bank Pembangunan Islam (IDB), Islamic Relief Organization, Rabitah al-Islami, Kerajaan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dengan kerjasama dan bantuan tersebut,  hampir kesemua pembinaan kompleks bangunan fakulti dan asrama dibiayai oleh negara-negara Arab tersebut. Menurut Ustaz Abdulah, kampus baru itu asalnya dinamakan Patani Islamic University. Namun, situasi politik di wilayah Selatan Thai ketika itu tidak mengizinkan memakai nama Pattani maupun Islam. Lagipun, adalah menjadi hasrat universiti untuk menarik penuntut non-muslim datang belajar di situ.  Oleh itu, YIU yang dikenali sebagai Universiti Islam Pattani, sekali lagi ditukar kepada nama Universiti Fathoni (Fathoni maksudnya  Fathonah - cerdas/pintar) atau FTU (Fathoni Thailand UIniversity). Setakat ini terdapat 5 buah fakulti iaitu Fakulti Pengajian Islam dan Undang-Undang, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Fakulti Sains dan Teknologi. Sebuah Pusat al-Qu'ran juga diwujudkan. Menurut Ustaz Abdullah, sebelum berlaku rampasan kuasa oleh junta tentera di Thailand, kampus Universiti Fathoni mempunyai stesen radio sendiri yang sering menyiarkan rancangan keagamaan dan berita semasa. Tetapi kini, stesen tersebut ditutup.  Beberapa syariah compliant amat dititik beratkan dalam aspek berikut :-

  • Hampir kesemua siswi bertudung atau berhijab
  • Tatasusila mahasiswa dan mahasiswi terpuji hasil dari istiqamah mereka mendirikan solat fardhu berjemaah di masjid apabila masuk waktu solat.
  • pada setengah-setengah keadaan, siswa dan siwi diasingkan tempat duduk di dalam dewan kuliah
  • aktiviti rekriasi siswa lebih kepada permainan bola sepak, manakala siswi sukan memanah.
  • Rektor Universiti iaitu Prof Dr. Ismail Lutfi adalah seorang  tawadhuk. Beliau kerap mengimani solat fardhu di Masjid Haromai. Beliau juga jarang memasang alat penghawa dingin di pejabat kecuali  ada tetamu berkunjung ke situ.
  • Rektor menggunakan waktu sesudah selesai solat di dalam masjid untuk berinteraksi dengan mahasiswa/i.
  • Sering dianjur program kursus dakwah, qiamulail, bertadarus dan ghasidah dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti.
  • Satu unit kebajikan iaitu Institut As Salam ditubuhkan di mana Ustaz Abdullah selaku penyelaras telah berjaya menyusun program bantuan dan kebajikan. Misalnya Institut As Salam telah menyalurkan bantuan kemanusian kepada mangsa banjir besar negeri Kelantan pada Disember 2014 yang lalu.

pintu masuk ke kampus  Fathoni Thailand University

Ustaz. Abdulllah b. Hj. Ismail - mempunyai ramai saudara mara di Kampung Lahar Yooi

Kompleks Masjid Haromai dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Kuwait

Fakulti Sastera dan Sains Sosial



Fakulti Pendidikan

Fakulti Pengajian Islam dan Undang-Undang 

Dewan Besar Muhammad Nor - disumbang oleh Muhammad Nor mantan Menteri Pengangkutan Thailand

Bas Universiti Fathoni
Fakulti Sains dan Teknologi
Dewan Perhimpunan dan One Stop Centre 
Bahagian dalam masjid - tempat semaraknya aktiviti Islamiah dalam kalangan pelajar dan kakitangan universiti

4. Dari Universiti Fathoni, rombongan kami bertolak ke Hadyai melalui bandar Yala. Ketika memasuki pusat bandar Yala, keadaan lalu lintas agak sesak kerana pada masa tersebut terdapat ratusan pelajar dari sebuah sekolah pondok di situ yang baru sahaja tamat sesi persekolahan mereka pada hari tersebut. Pelajar sekolah pondok yang memenuhi jalanraya di situ merupakan suatu pemandangan yang menarik kerana situasi sebegitu tidak terdapat di negara kita. Sistem persekolahan pondok amat popular di Pattani dan Yala dikendalikan oleh pihak swasta iaitu penduduk Islam tempatan. Mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk membiayai anak mereka di sekolah pondok. Mereka tidak sanggup kehilangan jati diri sebagai seorang muslim dan berbudaya Islam-Melayu dan berbahasa Melayu. Walaupun ada tersebar fitnah kononnya sistem sekolah pondok Islam digunakan untuk menyebarkan keganasan punca krisis/pergolakan di Selatan Thailand yang tidak berkesudhan. Sekolah pondok juga  dituduh "merekrut militan di selatan Thai" Semua tomahan tersebut tidak meluntur semangat penduduk Islam Pattani dan Yala menghantar anak belajar di sekolah pondok. Terdapat lebih 100,000 pelajar di sekolah-sekolah pondok. Sehingga Mei 2004, terdapat 214 buah pondok berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Thailand.


Pelajar dari sebuah sekolah pondok yang terdapat dalam pusat bandar Yala ketika baharu tamat kelas


pelajar wanita mengenakan pakaian tudung labuh dan lelaki bersongkok



Coloseum - salah sebuah gedung perniagaan dan cineplex  yang agak berprestij di Yala

salah sebuah pusat membeli belah di Yala 

kedai piza pun ada 

pejabat dan pusat stokis AMWAY pun ada di bumi Yala
5. Kami tiba di Hatyai setelah mengharungi perjalanan selama hampir dua jam. Ternyata Hayyai merupakan sebuah bandaraya yang besar, dipenuhi bangunan-bangunan tinggi dan aktiviti bandar metropolitan tersebut berjalan 24 jam. Sebelum check in di hotel penginapan kami terlebih dahulu meninjau Pasar Terapong  Klong Hae Hatyai. Tiga orang anggota rombongan kami telah diberi kebenaran untuk berqasidah  selama 20 minit. Laungan Allah dan Muhammad s.a.w bergema di pasar tersebut yang lokasinya bersebelahan dengan sebuah wat Siam. Pada keesokan hari, semua peserta rombongan diberi kesempatan membeli belah di Pasar Besar Hatyai. Sebelum bertolak ke sempadan kami singgah di pusat rekriasi Chang Puak Camp. Tarikan utama di situ ialah  menunggang gajah dengan kadar bayaran THB 500 untuk satu pusingan selama 30 minit.. 

Ustaz Roslan, Ustaz Saifullah dan Ustaz Mujahid sempat mengalunkan qasidah di pentas terbuka di pasar terapung Hadyai 

pemandangan di hadapan Hotel President tempat penginapan kami di Hatyai

musim mangga







1 comment: