Saturday 6 August 2016

PERLAKSANAAN DASAR PENGASINGAN SISA DI PUNCA - DI MANA KITA ?



1. Pihak kerajaan telah mewajibkan pengasingan sisa pepejal di punca (segregation at source)  mulai 1 September 2015. Pelaksanaan perkara itu berdasarkan Peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).  Secara umumnya, pengasingan sisa pepejal di punca ini adalah berdasarkan jenis komposisi sisa pepejal misalnya kertas, plastik, kaca/seramik, tin aluminium/besi, sisa elektrik/barang elektrik kecil termasuk bateri, bahan fabrik, kasut, getah. kulit, sisa berbahaya dan beracun (seperti bekas penyembur ubat nyamuk, tin cat, bekas racun, bekas bahan pelarut, bekas ubat anai – anai dan sebagainya). Lain-lain termasuklah sisa kebun/taman dan sisa pukal seperti sisa peralatan rumah yang besar, antaranya peti sejuk, almari, katil, mesin basuh, sofa, perabot,, e-waste (komputer lama) dan sebagainya. 

Sungai Pinang diantara sungai yang paling tinggi kadar pencemaran sampah di Malaysia. 
Sungai Pinang hari ini


2. Pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di punca pada Peringkat Persekutuan dilakukan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Sisa di Punca dan dikuatkuasakan  mulai 1 September 2015 di  negeri-negeri yang menerimapakai Akta 672. iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah. Negeri-negeri tersebut telah menerima penswastaan perkhidmatan perlupusan sisa pepejal. Untuk itu, bagi komposisi sisa pepejal yang telah diasingkan, hendaklah dimasukkan dalam bekas yang sesuai seperti plastik sampah dan diletakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan yang ditetapkan di sesuatu kawasan. Manakala bagi Sisa Pukal hendaklah diletakkan dengan kemas di bahu jalan hadapan rumah pada hari kutipan. Kutipan sisa pepejal berkenaan akan dibuat satu kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik. Manakala bagi "sisa baki" pula, sisa berkenaan perlu dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai atau plastik sampah dan dimasukkan ke dalam tong sampah. Sisa baki ini merangkumi sisa makanan, lampin pakai buang, tisu, sisa-sisa lain yang kotor dan tercemar. Kutipan bagi sisa baki ini akan dibuat kutipan dua kali seminggu oleh syarikat konsesi yang telah dilantik.


sampah yang dibuang tanpa pengasingan

. 3 Untuk menjayakan Akta 672, tiga strategi digunapakai, dijangka mampu untuk merealisasikan aspirasi Kementerian,  iaitu pertama, meningkatkan penyebaran maklumat dan promosi tentang pengasingan sisa di punca melalui pelbagai medium seperti saluran TV.  Kedua, mewujudkan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak misalnya dengan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia  (pembinaan kurikulum dan ko-kurikulum berkaitan pengasingan sisa di punca dan amalan 3R di peringkat prasekolah/tadika, sekolah rendah, menengah dan IPT) Peranan badan komuniti seperti JKKK, Persatuan Penduduk dan Jawatankuasa Rukun Tetangga melalui program 3R dan peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melalui program pendidikan dan kesedaran awam dan program 3R. Ketiga, mewujudkan pengiktirafan berkaitan Amalan Pengasingan Sisa Pepejal bagi kategori suri rumah, komuniti dan agensi kerajaan. Pelaksanaan sisa pepejal di punca secara mandatori bermula September 2015, dilaksanakan secara berperingkat. Peringkat awal, tiada sebarang denda akan dikenakan. Jika mengikut akta ini, memang ada peruntukan mengenakan denda sehingga kadar maksimum sebanyak RM1,000, tetapi apa yang dilakukan ialah mengambil pendekatan memberikan isi rumah masa secukupnya untuk mereka lebih faham. Bermula 1 September 2015 kerajaan memberi mereka tempoh kira-kira sembilan bulan sehinggalah akhir Mei 2016,  tidak akan kenakan kompaun, sebaliknya terus memberi nasihat dan penerangan. Apabila tamat tempoh iaitu bermula 1 Jun 2016, apabila  mereka sudah faham baharulah kompaun akan dikenakan. Bagi rumah yang bertanah seperti teres, banglo, semi D, denda sebanyak RM50 bagi kesalahan pertama, RM100 (kesalahan kedua), RM200 (kesalahan ketiga) dan jika kompaun tidak diselesaikan, tindakan seterusnya diserahkan kepada mahkamah. Bagi rumah serata seperti flat dan kondominium, kadarnya berbeza bermula dengan RM100 bagi kesalahan pertama, RM200 (kedua) dan RM500 (ketiga).

          
4. Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi Negeri Pulau Pinang dikata lebih "berhemat dan smart". Kerajaan Negeri Pulau Pinang (dan Selangor)  telah dikecualikan daripada penguatkuasaan Akta 672. Oleh itu kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertindak mengkaji semula dan menambaikkan kaedah serta mekanisme yang perlu dilaksanakan apabila skim pengasingan sampah di punca diamalkan, termasuk penelitian semula Undang-Undang Kecil PBT, iaitu dengan menambah clause

Undang-Undang Kecil Pengasingan Sampah dan Perlesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MBPP/MPSP) 2016.

 Bagi Negeri Pulau Pinang, pelaksanaan Peraturan tersebut amat penting kerana Pulau Pinang hanya mempunyai SATU sahaja tapak perlupusan sampah iaitu di Pulau Burung Seberang Perai Selatan dan  tapak pelupusan tersebut semakin kehabisan ruang. Pengasingan sisa isi rumah akan membantu mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, justeru, membantu meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan tersebut. Pihak MBPP dan MPSP melakukan aktiviti amalan 4R iaitu RETHINK, REDUCE, REUSE, dan RECYCLE. Adalah diharapkan masyarakat akan menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber baru yang dapat digunakan sebagai alternatif kepada sumber bahan mentah asli dalam pembuatan sesuatu produk. Ini secara tidak langsung akan dapat memastikan sumber – sumber alam semulajadi diuruskan secara bijak dan lestari demi kebaikan generasi masa hadapan serta alam sekitar.

gandingan Exco Chow Kon Yeow dan Phee Boon Poh berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai Greener and Cleaner  state

5. Penduduk Negeri Pulau Pinang telah membuang antara 1.1 kg - 2.0  kg sisa setiap seorang setiap hari, telah menghasilkan sampah  sebanyak  1,700 hingga 1,800 tan sehari.    42 % sumber sampah itu ialah dari bahan organik dan sisa makanan, 18 %  kertas, 14 % plastik , 9 % rumput dan lanskap, manakala  tekstil 2%, kayu 5 %, kulit dan getah sebanyak 2 % dan pampers 6 %. Kesemua sisa tersebut kecuali pampers boleh dikitar semula. Kemajuan dari aktiiviti kitar semula yang diamalkan oleh MPSP dapat dilihat pada statistik berikut. Pada Tahun 2008 (Pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Pulsu Pinang), adalah sebanyak 472,005 tan sampah yang dibuang di pusat pelepusan sambah di Pulau Burung dan di Ampang Jajar. Program kitar semula pada tahun tersebut ialah sebanyak 124,121 tan atau 23.50%.. Tetapi berkat kesungguhan MPSP menerapkan budaya kitar semula dikalangan warga penduduk Seberang Perai telah menyebabkan jumlah perlupusan sampah pada Tahun 2015 telah menurun ke 323,183 tan di mana sejumlah 212,446.41 tan atau 39.66 % sampah telah dikitar semula. Peratus tersebut telah melepasi peratus sasaran Kadar Kitar Semula Nasional iaitu 22% yang disasarkan pada Tahun 2020. MPSP berazam untuk mempertingkatkan kadar tersebut menjadi lebih tinggi sepertimana yang dicapai oleh negera maju seperti Switzerland 52 % dan German 87%.   Persoalannya kenapa Pulau Pinang tidak menggunakan kaedah pembakaran atau incinerator untuk melupus sampah? Sebagai kerajaan negeri yang bijak dan smart, kaedah perlupusan sampah secara pembakaran adalah membazirkan wang pembayar cukai pintu kerana kosnya amat tinggi.  Bagi kapasiti sisa pepejal sekitar 1,000 tan sehari,  memerlukan antara RM1.0 bilion dan RM2 bilion untuk membina pusat incinerator yang boleh mengendalikannya,

sisa yang telah diasing di Pusat Perlupusan Sampah Pulau Burung

6. Kaedah perlupusan sampah di Pulau Pinang melalui Dasar Pengasingan Sisa di Punca adalah mudah. Semua sisa di asingkan kepada dua kategori. Pertama, sisa Kitar Semula Kering seperti kertas, plastik, kaca dan tin aluminium/besi dan logam. Kedua, sisa baki iaitu sisa makanan dan sisa kotor seperti pampers atau material tercemar. Semua sisa atau sampah tersebut akan dikumpul dari tong individu atau dari Pusat Pengumpulan. Penduduk yang mendiami di kampung itu, atau JKKK atau komuniti setempat akan menyediakan Pusat Pengumpulan Sampah. Sisa yang telah dikumpul akan dipungut oleh pemungut berlesen a.k.a keling botoi (PBT caj lesen RM 50.00 setahun) Pemungut itu akan memungut berdasar kepada keperluan. Misalnya, jika pusat pengumpulan hampir penuh, pemungut sampah boleh datang lebih kerap. Kaedah yang sama juga dilakukan untuk kumpulan perumahan PPR, kediaman jenis bertingkat, kilang, kompleks beli belah dan kompleks institusi. Di sini, peranan komuniti seperti Persatuan Penduduk, KRT, JMB, Pihak Pengurusan, Penyewa atau Ketua Jabatan bertindak mengumpul semua sisa dan menjual kepada pemungut berlesen. Sebaliknya, penduduk di Taman-Taman Perumahan pula ada dua pilihan. Sama ada semua sisa diasingkan dengan cara meletak bungkusan sisa tersebut ditepi tong individu oleh penghuni atau penyewa yang akan dipungut oleh MBPP/MPSP  pada setiap Hari Sabtu antara jam 8.00 pagi hingga 4 petang. Atau, penduduk di Taman Perumahan juga boleh menghantar sampah ke Pusat Pengumpulan yang akan dipunggut oleh pemungut berlesen mengikut keperluan. Dalam kes ini pemungut berlesen akan membayar sampah yang dipungut itu kepada JKKK atau persatuan penduduk atau kariah atau KRT. 

7. Bolehkah program Dasar Pengasingan Sisa di Punca berjaya dan mencapai matalamat di Pulau Pinang ? Kita telah menyaksikan beberapa program kitar semula yang dibuat oleh Kerajaan Pusat telah menemui kegagalan. Ratusan juta ringgit telah hangus akibat kegagalan program tersebut. Termasuk beberapa buah logi insinerator yang berfungsi dibawah keupayaan sebenar. Banyak tong-tong sampah kitar semula yang berbagai warna tersebut tidak digunakan dan terperap dalam setor sekolah dan sebagainya. Kerajaan Pulau Pinang perlu membuat anjakan minda penduduk secara intensif dan berterusan. Untuk tujuan tersebut, kerajaan menubuhkan Penang Green Council (PGC) yang merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sehubungan itu, PGC telah melaksanakan kajian persepsi terhadap tingkah laku penduduk Pulau Pinang terhadap aktiviti kitar semula dan pengasingan sisa pepejal pada 29 Julai 2015 sehingga 29 September 2015. Sejumlah 1, 484 responden telah berjaya memberikan maklum balas. Hasil analisis mendapati responden memahami konsep 4R dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Ramai responden mengasingkan barangan kitar semula seperti kertas (80.20%) dan surat khabar (76.9%), namun, peratus untuk sisa elektronik ialah lebih rendah pada 35%. Majoriti responden (86.5%) menyokong penguatkuasaan undang-undang untuk menggalakkan dan membantu meningkatkan kadar kitar semula di Pulau Pinang. Bagi meningkatkan kesedaran dan pendedahan mengenai dasar baru ini, Kerajaan Negeri sedang berusaha menyebarkan maklumat untuk memastikan semua penduduk mengetahui serta mengamalkan dasar pengasingan sisa yang menjalankan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan komuniti di Pulau Pinang baik dewasa mahupun kanak-kanak. Antara program yang telah dilaksanakan oleh PGC adalah Kempen Pendidikan Rumah ke Rumah, Kem Hijau, Kem Remaja, dan Karnival Hijau Pulau Pinang. Program yang dilaksanakan ini bertujuan untuk mendidik serta menggalakkan penduduk di Pulau Pinang mengetahui kepentingan menjaga alam sekitar serta impaknya kepada manusia sejagat.

pelbagai kempen disusun.

8. Sebenarnya Pulau Pinang telah menjuarai isu-isu alam sekitar sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah negeri tersebut. Pulau Pinang telah mencatatkan sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia melancarkan kempen “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” (No Free Plastic Bags Day). Inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang telahpun diikuti oleh kerajaan Persekutuan yang telahpun mulai kempen “Tanpa Beg Plastik Setiap Sabtu”. Dari 1 hari kempen ini dilanjutkan kepada 3 hari dalam seminggu mulai 1 Januari 2010. Enam kumpulan pasaraya utama di Negeri Pulau Pinang telah mula berhenti memberi sejumlah 25.2 juta beg plastik setahun (atau 2.5 juta beg plastik sebulan). Data ini belum lagi merangkumi perberhentian edaran beg plastik oleh pengusaha-pengusaha lain seperti penjaja-penjaja atau pasaraya mini. Pulau Pinang juga merupakan negeri yang pertama di Malaysia mengharamkan penjualan dan penggunaan bekas-bekas makanan seperti pingan, mangkok, gelas etc yang diperbuat dari bahan styrofoam semenjak Tahun 2014. Berkaitan dengan kutipan sampah pula, menurut Dato' Maimunah bt Mohd. Sharif, YDP MPSP, statistik menunjukkan berlaku penurunan dalam kutipan sampah MPSP.  Buktinya kutipan sampah pada bulan Januari hinggas Mei 2015 ialah sebanyak 189,240.46 tan, telah menurun sebanyak 17,008 pada tempoh yang sama pada tahun 2016 iaitu kutipan sampah dari Januari hingga Mei 2016 ialah 172,232.56 tan. Untuk pengetahuan pembaca, MPSP dan MBPP telah mengendali sepenuhnya pungutan sampah di negeri Pulau Pinang. Kini, seramai 2508 anak tempatan diambil sebagai penjawat awam untuk kerja-kerja 3D. PBT tersebut telah mengeluarkan tambahan peruntukan sebanyak RM 66,180.467.00 berbanding dengan pengswastaan kerja-kerja pungutan sampah kepada kontraktor swasta iaitu sebanyak RM 46,097,044.00.

Dato' Maimunah bt. Mohd Sharif YDP MPSP diantara tokoh penting merialisasikan  greener and cleaner penang



ni dia akibat pengswastaan pungutan sampah - kontraktor lebih mementingkan keuntungan.
  
9. Akhir kalam, justifikasi program diharapkan :-
  • mengurangkan kos perlupusan sisa di Tapak Perlupusan Pulau Burung dan memanjangkan hayat tapak tersebut
  • mengurangkan pembaziran dan sumber dapat digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat
  • menggalakkan pihak industri mengamalkan kitar semula dan menggurangkan pembuangan sisa
  • menggalakkan inovasi dan penghasilan produk-produk baru bersumberkan sisa industri atau perdagangan
  • selari dengan dasar Kerajaan Pakatan Harapan yang mempraktikkan amalan hijau, zero waste dan low carbon initiative ke arah PULAU PINANG BERSIH, HIJAU, SIHAT DAN SELAMAT.  GO GO GOOOOO  PENANGGGGG!




.

No comments:

Post a Comment