Thursday 1 May 2014

LEGASI REFORMASI ANWAR IBRAHIM - SIRI 4.0 - DIPESADA USIA REMAJA-BELIA


1. Di sepanjang tempoh pengajian Anwar Ibrahim di Universiti Malaya (Tahun 1967 - 1971), beliau sama ada secara lansung atau tidak lansung telah terlibat di dalam beberapa pertubuhan pelajar, terutama yang mendokong perjuangan  memertabatkan Islam sebagai satu cara hidup atau "the way of life". Universiti Malaya ketika itu  sangat liberal dan kurang menganjurkan aktiviti keagamaan dan dogma budaya ketimuran. Natijahnya UM telah mewujudkan suasana kampus yang dipengaruhi oleh ideologi sosialisme dan nasionalisme ekstrim. Apabila UM mula memberi kuota kepada pelajar-pelajar Melayu di luar bandar melanjut pelajaran ke IPT tersebut, menyebabkan ramai "mahasiswa kampung" berpeluang belajar di situ. Mereka masih tebal dengan ciri-ciri kemelayuan dan Islam. Mereka mudah membentuk 'jemaah' dan tertarik mengkuti program bercorak Islam di kampus. Di UM kebanyakan mahasiswa kampung ini adalah penuntut di Jabatan Pengajian Islam (Fakulti Sastera dan Sains Sosial) dan pendokong  Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)

2.0 Walaupun Anwar Ibrahim tidak pernah menerajui PMIUM, tetapi idealisme perjuangan dan kepimpinan beliau dapat dihayati oleh pemimpin pertubuhan tersebut. Aktiviti-aktiviti bercorak dakwah dan kepimpinan pelajar yang tidak mengenal penat dan jemu telah menukar sebahagian 'life-style' kampus. Di antara perubahan yang jelas terlihat adalah dari segi  etika berpakaian. Sebahagian siswi UM mula bertudung dan berbaju kurung ketika ke kuliah, manakala siswa gemar memakai kemeja atau kurung lelaki, berkupiah/ketayap dan menyimpan janggut. Anwar Ibrahim sendiri menunjukkan cara pemakaian sedemikian, iaitu berbaju kemeja berlengan panjang atau baju kurung lelaki dan memakai  capal.


2.1. Pada ketika tersebut kebangkitan Islam sudah mula melanda negara-negara Islam, kemuncaknya selepas kemenangan  Revolusi Islam Iran pada tahun 1979.  Program-program bercorak Islam mendapat sambutan yang menggalakkan di kampus. Di  dalam negara, Ustaz Ashaari bin Muhammad yang menubuhkan Darul Arqam di Sungai Pencala telah mendapat sambutan memberangsangkan dari kalangan pelajar IPT terutama pada tahun-tahun 1971 sehingga 1975

2.2 "Geng dakwah" di kampus menentang fenomena maksiat dan lucah dalam Minggu Orientasi,  menolak gaya hidup barat - anti aktiviti rock  di kampus, menentang unsur-unsur judi  yang terdapat di Pestaria Kebajikan (FESKUM), membantah penganjuran 'ball-nite' yang diadakan bagi merai graduan,  anti budaya 'couple' dan "merendek ala Jalan Duta" serta  gaya hidup hedonistik. Sebaliknya mereka mempamirkan solidariti sesama muslim di atas isu-isu penderitaan rakyat Palestin, penindasan kaum Moro di Mindanao dan kezaliman terhadap masyarakat Islam Patani di Selatan Thai.   Mereka juga mengembalikan semula kefahaman Islam melalui kegiatan  usrah di surau, budaya membaca buku biografi tokoh-tokoh Timur Tengah seperti Fathi Yakan, Hassan al Banna, Syed Qutb, Abu Ala al-Maududi, Said Ramadhan al Buti,  Zainab al-Ghazali dan Abdul Qadir Audah. Manakala pada setiap cuti penggal, aktiviti utama sebelum pelajar pulang bercuti ialah menganjurkan Tamrin Al-Kader.

Penulis percaya Anwar Ibrahim mempunyai saham yang besar terhadap kewujudan fenomena minat kepada Islam dalam masyarakat kampus. 
 .
TRIBULASI  MENERUSI NGO PELAJAR DAN BELIA

3. Di samping menerajui  Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Anwar Ibrahim juga memberi  perhatian kepada pertubuhan pelajar dan belia yang berdaftar di luar kampus. Di antaranya ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA  (PKPIM)

4. PKPIM di bawah pimpinan Anwar Ibrahim  (Presiden PKPIM selama tiga penggal Tahun 1968 - 1971) telah menerajui semangat kesedaran Islam yang kukuh dikalangan pelajar dengan baik dan mantab. Anwar Ibrahim telah berjaya menyatukan pimpinan mahasiswa universiti-universiti tempatan  di dalam satu wadah. Disamping itu PKPIM juga ada menjalin hubungan dengan pertubuhan luar negara melalui Persatuan Mahasiswa Islam Asia Tenggara (PERMIAT) dan Islamic International Federation of Student Organisation (IIFSO) yang  telah mewujudkan rangkaian pelajar Islam sedunia yang teratur dan saling membantu. IIFSO ada menerbitkan beberapa buku dan risalah berkaitan dengan dakwah Islamiah.

ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)

5.0 Setelah menamatkan pengajian di UM, Anwar Ibrahim tidak memilih perkhidmatan dalam kerajaan sama ada melalui PTD atau PTA, sebaliknya beliau bersama-sama beberapa orang rakan 'sefikrah' membuka sebuah sekolah menengah swasta  di Jalan Hamzah, Kampung Baru,  Kuala Lumpur. Sekolah tesebut dikenali sebagai Yayasan Anda Akademik (YAA).  Jesteru,  beliau tidak terikat pada mana-mana peraturan sepertimana yang dikenakan kepada  penjawat awam. Hal tersebt  membolehkan Anwar Ibrahim menumpukan perhatian kepada kegiatan Islam dan kemasyarakatan sebebas-bebasnya. Beliau adalah di antara pengasas pertubuhan Angkatan Belia Islam Malaysa (ABIM).  ABIM ditubuh di  Fakulti Pengajian Islam UKM Seksyen 17 Petaling Jaya dan didaftarkan pada 17 Ogos 1972. Ustaz  Razali Nawawi (Prof. Dr.) dilantik sebagai Presiden pertama,  manakala  Anwar Ibrahim  sebagai Setiausaha Agong. Muktamar ABIM pada tahun 1974 menyaksikan Anwar Ibrahim  di pilih sebagai Presiden ABIM ke-2. ABIM merupakan satu badan NGO yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan bersifat moderate dan non pastisan. Justeru, ABIM adalah bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana pihak.


5.1 Di antara objektif penubuhan ABIM ialah "memperjuangkan cita-cita Islamiah, menjalankan dakwah Islamiah dengan cara yang progresif dan mengembling tenaga belia sepenuhnya ke arah kebaikan masyarakat". Di samping itu ABIM mewakili belia-belia Islam Malaysia ke persidangan antarabangsa.

5.2 Dalam era 1970-an ketika ABIM dipimpin oleh Anwar Ibrahim  dan Ustaz Fadhil Noor (arwah) - mengambil pendekatan konfrontasi dan bersuara lantang terhadap beberapa dasar dan pendirian pemerintah. Anwar Ibrahim menjadi ketua  di dalam beberapa siri bantahan secara aman atau demonstrasi jalanan.
Menurut Dr. Siddiq Fadil  (Presiden WADAH dan mantan Presiden ABIM) "Tiada sarjana yang membincangkan fenomena kebangkitan Islam di Malaysia tanpa menyebut nama ABIM dan Anwar Ibrahim pada tahun 1970-an". Menurut beliau lagi "Anwar Ibrahim adalah paling berjasa dan bertanggungjawab membawa gagasan dan konsep harakah Islamiah - gerakan Islam kepada masyarakat". Menurut Prof Dr. Razali Nawawi (Presiden ABIM 1971/1972) beliau telah mengenali Anwar Ibrahim lebih 40 tahun "beliau menyokong idealisme dan perjuangan Anwar Ibrahim dari dulu sehingga kini". Tambah beliau lagi, " Anwar Ibrahim mempunyai standard paling tinggi dalam membela keadilan orang tanpa mengira latar belakang mereka". Seterusnya, "Islam is the Way of Life - slogan yang dilaung-laungkan dalam menggerakkan angkatan pemuda-pemudi bersemangat waja meranduk redah arus sekularisasi yang menebal dalam masyarakat dewasa itu".

MALIS BELIA MALAYSIA (MBM)

6.0 Jawatan Presiden ABIM yang disandang oleh Anwar Ibrahim telah membuka laluan untuk beliau merebut jawatan tetinggi dalam Majlis Belia Malaysia (MBM). MBM adalah badan induk yang menyelaras semua pertubuhan belia dan pelajar yang berdaftar di Malaysia. Keahlian pertubuhan-pertubuhan yang terdapat dalam MBM menjangkau lebih daripada satu juta ahli. Di antara pertubuhan belia yang berpengaruh di bawah MBM termasuklah ABIM, Gerakan Belia 4B, MAYC, SABERKAS, GPMS, Persatuan Belia Beruniform seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah, Pandu Puteri dan  St. John Ambulans.  Majlis Belia Negeri juga di bawah MBM. Ketokohan Anwar Ibrahim pada zaman kemuncak beliau sebagai seorang remaja-belia yang tersohor membolehkan beliau memegang jawatan MBM selama empat penggal iaitu dari tahun 1972 sehingga 1976. Setelah Anwar meninggalkan MBM, terdapat beberapa bekas pelajar beliau di YAA meneruskan  perjuangan dalam pertubuhan tersebut dan pernah menjawat jawatan presiden MBM, di antaranya Dato' Fuad bin Dato' Hassan  (Tahun 1992 -1994), Dato' Suhaimi bin Ibrahim (1994 - 1998) dan Dato' Saifuddin bin Abdullah (1998 - 2002). 


6.1  MBM dibawah Anwar Ibrahim menjadi pertubuhan yang amat lantang mengkritik mana-mana dasar kerajaan yang didapati kurang sesuai dan lemah. Anwar Ibrahim juga telah menukar persepsi aktiviti belia dari "belia berkompang dan belia pintu gerbang"  kepada belia yang berada di barisan hadapan memperjuangkan isu-isu kebejatan sosial terutama di kalangan belia dan remaja,  kemiskinan rakyat, isu bahasa ibunda, rasuah dan kebokrokan ekonomi. MBM di bawah Anwar bin Ibrahim juga berjaya menerajui World Assembly  of Youth (WAY) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) yang berpangkalan di Arab Saudi.

mana ada tokoh sehebat DSAI di Malaysia ?



Siri berikut - pengkisahan bagaimana solidariti mahasiswa/i IPT seluruh Malaysia berdemonstrasi memperjuangan masalah kemiskinan penduduk Baling Kedah. Teruskan bacaan anda pada SIRI 5 DI SINI  atau balik ke SIRI 3 DI SINI



2 comments:

  1. Asalamualaikum..baru kunyah pop corn 3ketul..terbaik..'Knowledge is power'.Ilmu dan pengalaman cermin yg jujur.walaupun diwarisi sempurnya tiada.
    Baru lepas baca Hisham Rais di M.Kini.
    No 1 yg jeles adalah xmelalui zaman muda dan merbahaya di tahun 70an.awatla masa buat auku dulu xbantah habisan.. pasti akan wujud lagi 1000 komrade anwar ibrahim jika budak U sekarang tak di 'kasi'

    ReplyDelete
    Replies
    1. As Salam. Benar, uncle Hishamudin Rais adalah 'arkib tribulasi mahasiswa' Beliau jujur dalam penulisan sejarah perjuangan mahasiswaa. Benar, AUKU telah membongsai dan memandulkan gerakan mahasiswa sehingga kini. Itulah yg diharapkan penciptanya iaut Dr M supaya tidak ada watak hang jebat. Hampir 40 tahun AUKU diperkenalkan, org Melayu kekal miskin, org Melayu majoriti di pusat serenti, rasuah makin menjadi2, belum ada org Melayu pemegang Hadiah Nobel Dunia. Rangking IPT lebih teruk dari universiti-universiti dunia ketiga. Benar, belum ada penganti DSAI, yg agak terdekat ada pd Rafizi, Nurul - cuma 2 dari 1000 komrade yd diharapkan.

      Delete