Wednesday 14 May 2014

BOKO HARAM - TALIBAN NIGERIA YANG MENAKUTKAN


1 Setelah pemimpin tertinggi pergerakan militan Al-Qaida iaitu Osama ben Ladin terkorban di dalam satu serangan nekad tentera elit Amerika Syarikat  (Navy Seal) di kediamannya di Abbotabad, 100 km utara Islamabad, Pakistan pada tanggal 1 Mei 2011, dunia sepi dengan berita serangan terroris. Jika berlaku pun, kes tersebut disifatkan sebagai terpencil. Bagaimanapun, apabila Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama mengumumkan pada 07 Mei 2014 lalu akan menghantar 30 tentera marinnya termasuk aset pesawat ISR (Risikan, Pengawasan dan Pemantauan) seperti  drone, bertujuan memerangi militan Boko Haram di Nigeria, maka dunia mula membuka mata, tertanya  "Apa pula yang berlaku di Nigeria ?  Bagaimana rupanya kumpulan Boko Haram ?". Presiden Obama mensifatkan pertubuhan Boko Haram adalah 'organisasi terroris regional yang paling jahat'. Rancangan Obama tersebut dialu-alukan oleh Presiden Nigeria Goodluck Jonathan.

Presiden Goodluck Jonathan 
Negara-negara Israel, Peranchis, England dan  China khabarnya telah menyatakan persetujuan menggunakan aset berupa setelit dan kecekapan inteligensi mereka  menyertai usaha pengesanan lokasi dimana para tebusan dikurung. Setakat 13 Mei pasukan marin Amerika Syarikat dikatakan berjaya mengesan lokasi persembunyian tawanan dekat kawasan hutan Sambica di Borno.


2.  Tindakan ganas kumpulan militan Boko Haram bermula apabila kumpulan bersenjata itu telah menyerbu sebuah  sekolah  di timur laut bandar Chibok negeri Borno  pada 14 Februari 2014 lalu dan menculik  223 pelajar/gadis remaja.  Mereka juga telah menculik 8 orang gadis remaja  yang belajar di desa Warabe dan disebelah timur laut Nigeria.

Foto terbaharu bertarikh 12 Mei 2014
Menurut ketua kumpulan penculik tersebut iaitu Abubakar Shekau yang muncul dalam video yang dimuat turun dalam youtube menyatakan  " Saya menculik para gadis anda. Demi Allah saya akan menjual mereka di pasar dan Allah sudah menentukan saya" . Seterusnya beliau berkata "Kami tidak akan membebaskan mereka selama kamu menahan saudara-saudara kami !". Kesemua gadis-gadis tersebut akan dijadikan tebusan bagi pembebasan anggota Boko Haram yang ditahan di penjara-penjara di Nigeria. Menurut sumber terdekat dengan kumpulan tersebut, sekiranya kerajaan Nigeria menolak permintaan mereka, kesemua gadis-gadis tersebut akan dijual sebagai 'budak' (pelacur) dengan harga hanya US$12 seorang kepada sindiket yang beroperasi di Chad dan Cameroon. Kesemua gadis tersebut telah 'diIslamkan' dan ditahan dalam empat kumpulan yang dipisah pada lokasi yang dirahsiakan. Gambar dari video menunjukkan  gadis-gadis tersebut kelihatan sihat dan berpakaian hijab/telekong labuh. Abubaker juga telah mengugut akan  memaksa gadis-gadis tersebut dikahwinkan dengan anggotanya dan dijadi hamba. Pada peringkat awalnya kerajaan Nigeria bertekad menolak permintaan kumpulan tersebut, Bagaimanapun pada 14 Mei 2014 Menteri Tugas-Tugas Khas Nigeria Tanimu Turaki telah melapor kepada Reuters dan dipetik oleh agensi Al-Arabia menyatakan kerajaan Nigeria akan berunding dengan kumpulan penculik tersebut.

Abubakar Shekau ketika menyampai mesej menerusi rakaman video. 


3. Beberapa info mengenai kumpulan radikal Boko Haram
  • Nama rasmi kelompok Boko Haram sebenarnya dalam bahasa Arab ialah Jama'atu Ahlis Sunna Lidda'awati wal Jihad. Ertinya 'Orang yang Teguh Menyebarkan ajaran Rasul dan Jihad'. Namun penduduk Bandar Maidugari di timur laut Nigeria yang berbahasa Hausa dimana teletaknya markas pertubuhan itu menamakan pertubuhan itu 'Boko Haram'. Boko Haram dalam bahasa Hausa diterjemahkan sebagai "Pendidikan Barat adalah Haram dan Dosa' Hal tersebut berkaitan dengan usaha-usaha penjajah Inggeris mubaligh kristian yang telah memaksa penduduk Muslim di situ menerima pendidikan Barat/Kristian. 
  • Modus operandi Boko Haram adalah menghalalkan keganasan dan pembunuhan penduduk beragama Kristian dan Islam yang menentang pertubuhan tersebut. Matalamat mereka ialah mendirikan undang-undang syariah di Nigeria. Sasaran mereka adalah gereja dan serangan berani mati di tempat tumpuan awam terutama penganut Kristian,  Memusnahkan insfrastruktur seperti jalan raya dan jambatan serta melemahkan pihak keselamatan Nigeria yang berpusat di Abuja Mereka juga dipercayai telah melakukan pengeboman kereta berhampiran ibu pejabat PBB pada tahun 2011 di Abuja. Serangan terbaharu di Borno yang terletak timur laut Nigeria menyaksikan berpuluh-puluh orang terkorban. Lapuran dari pihak Amnesty International menyebut bahawa Boko Haram dikatakan telah membunuh lebih 1,500 orang dari bulan Januari hingga Mac 2014.

mereka memiliki senjata moden yang dibeli hasil dari kegiatan keganasan dan penculikan

  • Pada bulan 14 April 2014, kumpulan Boko Haram lebih berani dan tidak bermaruah apabila menculik hampir 300 gadis remaja (umur diantara 16 hingga 18 tahun) di Chibuk, Borno. Kira-kira 53 orang daripada mereka telah berjaya melarikan diri ketika dibawa ke pusat tahanan. Mereka berikutnya telah memberi maklumat terperinci berkaitan penculikan tersebut kepada pihak kerajaan dan media termasuk The Associated Press. Salah seorang pelajar yang berjaya meloloskan diri ialah Amina Tsawur (17 tahun). Menurut Amina, kira-kira jam 11.00 malam ketika mereka sedang menyiapkan tugasan pelajaran, mereka terdengar tembakan. Kesemua pelajar diarah berkumpul dan kumpulan militan mengancam membunuh mereka. Sebahagian besar rakan beliau mulai menangis dan menjerit minta pertolongan. Mereka dibawa ke kawasan semak dan apabila  lori  tiba mereka diarahkan naik kelori tersebut. Lori berkonvoi sepanjang malam sehingga kepagi. Pada sebelah pagi, mereka diarah siapkan makanan. Kumpulan tersebut mengugut akan berkahwin dengan mereka dan mengatakan bahawa para guru dan kerajaan adalah orang kafir dan layak dibunuh.
  • Kesemua gadis remaja tersebut dipercayai masih berada di Nigeria. Selain penculikan pada skala besar, penculikan gadis pada skala kecil juga dilakukan. Kumpulan yang disasar ialah pekerja Barat serta pelancong asing, termasuklah petugas kesihatan yang berkhidmat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Mereka dipercayai pernah mendapat wang tebusan sebanyak US$3 juta dari penculikan satu keluarga Perancis di utara Cameroon. 

Anak-anak gadis ini tunggu masa untuk dijual atau dijadikan hamba sekira kerajaan Nigeria tidak memenuhi tuntutan Boko Haram
  • Kumpulan Boko Haram mula bergerak aktif pada tahun 2005 di Maiduguri, Borno Nigeria Utara pada tahun 2005. Pada peringat awal penubuhan bilangan anggotanya kecil. Mereka mengamalkan cara hidup sosial bertentangan dengan adat dan budaya tempatan. Orang tempatan menggelarkan kumpulan itu sebagai Taliban Nigeria dan mereka memisahkan diri dari masyarakat lain. Ahli kumpulan itu dapat dikenali dari cara berpakaian  dan berjanggut. Mereka menganggap masyarakat luar sebagai 'kafir'. Walaupun kumpulan itu tiada kaitan dengan Taliban Afganistan, namun kumpulan itu telah berjaya menarik para remaja dan graduan universiti yang mengganggur. Kumpulan itu dipercayai ditubuh dan dipimpin oleh Mohammad Yusuf (39 tahun). Beliau dipercayai anak orang kaya,  berpendidikan tinggi, fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai peribadi yang 'misterius'. Menurut Yayasan CLEEN, kebanyakkan belia remaja yang menyertai kumpulan militan tersebut berlatar belakang sebagai penganggur, terutama  graduan univiersti/kolej, mereka yang jahil dalam agama Islam dan berasal dari keluarga miskin. Wilayah kediaman mereka di Utara Nigeria adalah di antara wilayah termundur di negara tersebut dan kadar buta huruf yang tinggi dan kadar kematian bayi yang tinggi.

4. Tindakan kumpulan Boko Haram tersebut telah mengundang kemarahan seluruh masyarakat dunia. Di antara tokoh yang lantang mengkritik kumpulan militan tersebut ialah Perdana Menteri England David Cameron, Fist Lady Amerika Syarikat, Michelle Obama dan beberapa orang selebriti Holywood. Turut menyelar kumpulan itu  ialah  Sheikhul Universiti al-Azhar Sheikh Abdulaziz yang antara lain berkata "Mereka hanya kelompok pengacau yang sesat dan telah merosakkan Islam. Mereka mengambil jalan yang salah dan harus ditolak". 















No comments:

Post a Comment