Thursday 21 April 2016

BERKERETAPI KE KOTA BANGKOK - Part 2





PART  2 : NUR ISLAM MULAI MENYINAR  DI BUMI PENGANUT BUDDHA

1. Ternyata perjalanan kami selama 22 jam menaiki tren semenjak kemarin dulu tidak memenatkan. Pagi tu kami bersarapan nasi moi di gerai halal berdekatan Masjid Darul Aman. Turut bersarapan bersama kami ialah dua gadis remaja muslim  iaitu cik Romlah mahasiswa perubatan dari Universiti Thammasat dan cik Jauhara yang menuntut ijazah Pengajian Bahasa Inggeris di Universiti King Mongkut. Mereka berasal dari Wilayah Patani, Selatan Negara Thai. Menurut Romlah, Pengajian mereka di Bangkok  dibiayai sepenuhnya  oleh Kerajaan Negara Thai. Meskipun mereka dari rumpun Melayu, tetapi ternyata mereka kurang fasih berbahasa Melayu. Apapun, penulis salute kepada mereka kerana berjaya melanjutkan pengajian dibidang perubatan dan bahasa Inggeris. Wahal kampong halaman mereka masih bergolak dengan letupan bom dan sebagainya.  Kami merancang ke Ayutthaya dan besoknya pulak ke Pattaya. Untuk ke destinasi tersebut, kami telah menyewa sebuah kereta dari syarikat Sathon Car Rental yang terletak di area Lumphini. Kadar sewaan ialah BTH 1200 sehari.  Kami diberi kereta Honda Civic 1.8. Lesen memandu Malaysia boleh diguna untuk memandu di Negara Thai. Mudah sahaja menyewa kereta. Anda hanya perlu deposit wang tunai  THB 2000 dan cagaran pasport. Kami akan memandu membelah highway yang bersimpang siur dan berselirat di kota Bangkok. Untuk pengetahan pembaca, jalinan highway di Bangkok dan jajaran ke semua destinasi adalah lebih  banyak berbanding yang terdapat di KL. Sudah pasti kota yang berpenghuni lebih 10 juta memerlukan jaringan jalanrayadan rel yang cekap bagi mengurangkan macet. Lihat SINI. Hampir kesemua highway yang terdapat di Kota Bangkok dikenakan tol. Bagaimanapun, 'dual carriageway highway' yang menghubungkan Bangkok ke wilayah selatan seperti ke Dannok dan ke wilayah utara iaitu ke Chiengmai adalah bebas tol.



Bang Na ke Bangpakong Expressway akan melalui jambatan highway yang terpanjang di dunia iaitu lebih 55 km.


kelihatan projek highway bertingkat yang sedang dalam pembinaan

inilah team kami bersama 2 gadis remaja dari Patani (yang berhijab tu cik Romlah)


Day 2 : Destinasi kami yang pertama ialah ke Amphawa Floating Market @ Pasar Terapung Amphawa di wilayah Samut Songkhram ( kira-kira 1 setengah jam perjalanan dari Bangkok). Pasar Terapung  Amphawa mula beroperasi di waktu petang setiap hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum. Di situ, para peniaga tempatan memenuhi setiap sampan mereka dengan makanan, minuman dan juga barang keperluan harian seperti sayuran, buah-buahan dan sebagainya. Terdapat juga gerai dan kedai menjual cenderahati buat para pengunjung. Sempena dengan sambutan  Perayaan Songkran, ramai penduduk tempatan berkunjung ke  Amphawa kerana di daerah tersebut terdapat banyak wat Buddha. Oleh itu, kami mengambil keputusan tidak akan menaiki sampan yang disediakan di klong sebagai river cruise mengelilingi pasar Amphawa kerana tak hendak bersesak dengan penganut Buddha yang mahu berkunjung ke wat. Hampir sejam di  Amphawa kami memandu  ke 'Pasar Keretapi' yang terletak di daerah yang sama.


Amphawa Floating Float sekitar tahun 1930-an

salah satu pintu gerbang yang dibina pada jambatan (titi) melengkong menyeberangi klong

beraneka barangan yang dijual secara basah, kering atau dimasak di dalam sampan

masih awal pagi - pasar terapong bermula selepas tengahari 

kreatif - jambangan buah-buahan ni bersaiz sebesar siling 50 sen

teh tarik terapung  pun ada dijual dalam sampan 

beli satu sebagai tanda kenangan

ni bukan aksoseri untuk baby........tapi, .ni ialah.......

....baju haiwan kesayangan anda seperti anjing dan kucing..

3. Kira-kira 15 minit dari Amphawa Floating Market, kami tiba ke Pasar Keretapi Mae Klong. Memang unik dan berbahaya sekali apabila anda menyaksikan lokomotif yang menarik 3 koc penumpang bergerak di atas rel yang membelah kawasan pasar yang ramai dengan peniaga dan pelancong. Hingga kini perkhidmatan keretapi dan pasar masih beroperasi kerana faktor tarikan pelancong. Terdapat berbagai barangan  yang dijual di atas longgokan dalam bekas yang terletak di  atas batu-batu kelikir di kiri dan kanan rel, seperti sayur segar, buah-buahan, hasil kraftangan penduduk malah ada yang menjual katak panggang. Untuk mengelak dari kepanasan matahari atau hujan, penjaja memasang kanopi dan payung merentangi rel keretapi. Kira-kira empat atau lima minit sebelum keretapi melintasi, semboyan akan berbunyi dan pengumuman menerusi pembesar suara oleh pihak berkuasa keretapi mengenai ketibaan keretapi, penjaja segera menutup  kanopi dan payung akan dilipat, manakala meja troli beroda yang menempatkan hasil jualan akan ditarik ke belakang. Sebaik sahaja keretapi melintasi, kanopi dan payung tersebut dibuka semula. Pelancong bertepuk tangan. Unik kan.

perniagaann di kiri dan kanan rel sebelum dan selepas keretapi melintasi

detik-detik ketibaan keretapi, ramai pelancong berselfie



keretapi berhenti kira-kira satu jam di stesen Mae Klong sebelum bertolak balik ke Hua Lamphong

4. Kami seterusnya memandu ke arah utara kota Bangkok menuju ke bandaraya purba Kota Ayutthaya. Kami sempat singgah solat jamak/qasar di sebuah masjid tiga tingkat yang tersergam indah di tepi highway Bangkok-Ayutthaya.
Masjid yang baharu siap didirikan di pinggir Kota Ayutthaya 

Pusat Islam Ayutthuya - kompleks one stop centre terdiri dari bangunan masjid, mahaad tahfiz, pejabat hal ehawal Islam dan pusat pameran/jualan.

foto sebahagian dari ratusan  masjid yang terdapat di Negara Thai 

Lantai bawah masjid di jadikan dewan komuniti.
5. Kami menyambung pemanduan menuju ke pusat kota Ayutthaya. Pada sekitar kota, kita seolah-olah memasuki zon tapak arkeologi yang dipenuhi dengan  reruntuhan wat yang memang sengaja dilestarikan. Terdapat berpuluh-puluh tapak wat dan sisa-sisa runtuhan. Sesetengahnya telah dibaik pulih untuk menjadi kebanggaan negara dan tarikan pelancong.  Dulunya Ayutthaya adalah pusat pemerintahan kerajaan Thailand, kemudian tentera Burma menyerang Ayutthaya dan menghancurkan kota tersebut. Sejak dari peristiwa itu, ibu kota Thailand telah  pindah ke Bangkok. Reruntuhan-reruntuhan itu adalah bukti kota Ayutthaya merupakan kota terpenting dalam sejarah pemerintahan Negara Thai. Kami lebih berhati-hati untuk melawat reruntuhan wat kerana para ulamak berselisih pendapat mengenai hukum menjejak kaki ke tempat ibadat orang kafir. Apapun, penulis berpegang kepada pendapat berikut :-
  • Mazhab Maliki dan mazhab Hambali mengharuskan menziarahi tempat ibadah orang kafir ini. (kitab Jawahirur iklil dan Kasyaful qina’)
  • Mazhab Syafie menyatakan harus sekiranya tiada patung dalam tempat tersebut. (mughnil Muhtaj)
  • Mazhab hambali yang mengharamkan masuk dalam tempat ini kerana ini adalah tempat syaitan (Raddul Mukhtar)

Berpegang kepada fatwa diharuskan ziarah tempat ibadat orang kafir yang tidak ada upacara sembahyang, ritual penyembahan atau pemujaan dilakukan di situ. Kami singgah meninjau Wat Phro Si Sanpet yang telah diisytiharkan kawasan warisan dunia atau UNESCO World Harritage Site.






UNESCO World Heritage Site
6. Memandangkan hari sudah sore, tidak banyak tempat yang boleh kami lawati. Lagi pun, penduduk sekitar Kota Purba ni telah mulai membanjiri persimpangan jalanraya utama untuk sambutan Perayaan Songkran. Setelah hampir sejam kami di sekitar reruntuhan-reruntuhan wat di Kota Purba Ayutthaya, kami memandu balik semula ke arah Kota Bangkok untuk ke daerah Rangsit, iaitu kediaman kami untuk malam ke-3 dan ke-4.  Jarak pemanduan lebih kurang satu jam. Amin Ariff telah menyewa dua unit  servis apartment Mansion Part Apartment dengan kadar sewaan RM70.00 semalam. Kamar berhawa dingin dengan kemudahan katil, tv, peti sejuk dan pantri. Sebaik sahaja sampai di Rangsit, kami terus ke gerai makanan halal yang terdapat di sekitar apartment tersebut. Daerah Rangsit juga terkenal sebagai salah satu kawasan petempatan masyarakat Islam di pinggir Kota Bangkok. Selepas makan tomyam di sebuah warung bersebelahan  sawah padi kira-kira satu kilometer dari apartment, kami singgah solat di sebuah masjid yang berdekatan yang sangat cantik.

Mansion Part Apartment, Rangsit

kebanggaan Islam


sebahagian dari pelajar Mahaad Tahfiz

puteri Islam yang baharu tamat kelas fardhu ain yang berlansung di masjid

anak kariah yang baharu selesai solat Isyak.

7. Day 3 - kami merancang ke Pattaya City - pusat peranginan dan pelancongan yang terkemuka di Negara Thai. Dari Rangsit, kami berpatah balik menuju ke Lumphini di pusat bandar Bangkok. Kami bercadang menukar kereta sewa kerana honda civic yang kami gunakan menghadapi masalah pada alat penghawa dingin. Kali ini kami menaiki Toyota Altis 1.8. Anak sulung memandu, manakala anak bongsu jadi co pilot dan juru tunjuk arah @ GPS. Untuk pengetahuan pembaca, pemandu dari luar Kota Bangkok sukar memahami arahan GPS atau WAZE, terutama apabila memandu di atas highway bertingkat-tingkat. Perjalanan ke Pattaya City yang terletak 150 km dari Kota Bangkok biasanya mengambil masa kurang dua jam. Kami memandu di atas  lebuhraya yang canggih yang menghubung Bangkok dengan Pattaya City.  Kami memandu di atas highway bridge yang panjangnya melebihi 58 km tanpa sebarang simpang siur atau lampu trafik. Malah, bonus bagi kami kerana pada hari tersebut, syarkat pemegang konsesi tol lebuhraya telah memberi lalunan percuma free toll sempena sambutan Perayaan Songkran. Apa lagi, kami memecut Toyota Altis dengan kelajuan antara 130 -140 kmj, bergerak lancar dan free tol pulak.  


8. Ternyata ramai pelancong ke Pattaya,  kota peranginan pinggir pantai Telok Siam. Bas-bas persiaran, van, dan kenderaan persendirian berasak-asak masuk ke pusat peranginan ni. Ramai pelancong mengambil kesempatan menaiki speed boat menuju ke pulau berdekatan seperti Ko Lan, Ko Krak, Ko Sak atau Ko Pha. Ramai pelancong mandi manda atau berjemur di bawah pancaran cahaya matahari tropika. Ternyata pantai Pattaya City mempunyai pasir halus yang cantik dan bersih. Di pinggir jalan raya pantai berdirinya  puluh-puluh buah hotel bertaraf antarabangsa seperti Hilton, Hard Rock Cafe dan sebagainya.


ni lah penghujung bridge highway...tergantung ?

Landmark Pattaya City

pantai yang berpasir halus dan bersih. Banyak pokok kurma dan palma di tanam dipesisir laluan pejalan kaki di pinggir pantai



Hilton Pattaya


speed boat bawa pelancong ke pulau=pulau peranginnan berdekatan
 9. Kami seterusnya ke Pattaya Floating Market. Pelancong asing dikenakan bayaran tiket yang agak mahal iaitu THB 800 seorang sebagai bayaran masuk dan boat rowing.  Tidak ada apa-apa yang menarik di situ. Memandangkan tidak ada kanak-kanak dalam team kami, maka kami tak berhasrat untuk menyaksikan destinasi tarikan pelancong yang sesuai untuk kanak-kanak berlipur.  Kami seterusnya ke sebuah masjid yang terbesar di Pattaya City iaitu Masjid Kaewnimitr. Ketika kami sampai, jemaah baru selesai mendirikan solat Jumaat. Kami sempat makan mee kuey teow siam dari penjaja muslim yang berniaga di kawasan halaman masjid tersebut. Memandangkan Pattaya City lebih dikenali sebagai 'syurga dunia' pada waktu malam kepada pelancong asing untuk menyaksikan tarian erotis dan telatah mak nyah atau transgender yang menggiurkan, kami mengambil keputusan untuk balik semula ke Rangsit tetapi singgah sebentar di Kota Bangkok untuk shopping sourviner yang lebih murah harganya berbanding yang dijual di floating market. Seusai shopping dan makan malam di Restoren Madena di Petchaburi Road. Seterusnya  kami menuju semula ke Rangsit untuk bermalam.


Pattaya Floating Market.

Masjid  Kaewnimitr menjadi masjid utama di Pattaya City

kanak-kanak muslim yang hadiri kelas KAFA

lantai bawah dijadikan dewan komuniti

hebat - lif turut dipasang di Masjid Kaewnimitr

Balai Solat Lelaki di aras dua

Kelas Kafa dan Mahad Tahfiz bersebelahan masjid Kaewnimitr
10. Day 4 : Hari terakhir kami di Kota Bangkok. Setelah sarapan nasi goreng di gerai berhampiran apartment, kami akan ke Airport Don Maung untuk menghantar anak sulung balik ke KLIA. Kami seterusnya  menuju ke Pasar Chatuchak iaitu salah satu dari destinasi must visit place. Pasar bertaraf mega ini adalah yang terbesar di Asia terletak dalam kawasan seluas 11 hektar. Letaknya berdekatan pusat Kota Bangkok dan dihubungkan dengan kesemua jenis pengangkutan darat dan rel yang terdapat di situ. Sebab itulah pasar Chatuchak dianggap sebagai trademark Bangkok. Dibuka pada setiap Hari Sabtu dan Ahad dari jam 10.00 pagi hingga 10 malam. Dianggarkan kira-kira 250,000 pelancong atau penduduk tempatan melawat pasar tersebut sehari. Terdapat lebih 8000 kios atau stall dengan 27 zon. Pastikan anda mengingati pintu masuk atau keluar kerana kawasan pasar yang terlalu luas, sesak dengan manusia dan padat dengan hasil jualan yang dipamirkan. Terdapat 1001 barangan yang dijual, sama ada barngan hiasan rumah, tekstil, butik, busana,  barang antik, hasil kraftangan, peralatan rumah tangga, barangan hardware malah turut dijual haiwan seperti anak anjing, kucing dan makanan/minuman. Setelah hampir tiga jam di situ, kami di situ, kini tibalah masanya untuk mengucap selamat tinggal Bangkok. Amin Arif membawa kami ke Stesen Keretapi Hua Lamphong untuk balik ke Butterworth pada jam 2.40 petang. Bye-bye Bangkok



foto sebelah dalam pasar

macam buah betul

pelbagai produk dari buluh

model rumah tradisional melayu dan model mesin vendor minuman coca cola bersaiz kecil yang comel

kelapa pandan sebiji RM 3.00 - murah lah tu

produk dari tempurung kelapa

Stesen Keretapi Hua Lamphong.














Baca PART 1 DI SINI