Thursday 26 December 2013

JELAJAH INDONESIA SIRI 2 : KISAH BLACKIE & DARKIE DI RANAH MINANG


 "Berang dengan serangan ganas babi hutan yang merobek-robek tanamannya,  Pak Jali  melepas ikatan  dua ekor anjing buruan kesayangannya  "Blackie  dan  Darkie'. Apa lagi Blackie dan Darkie terus menghidu dan dapat mengesan kehadiran seekor babi hutan yang sedang bersembunyi di dalam belukar berhampiran. Salakan Blackie dan Darkie telah menakutkan babi hutan tersebut lalu ia terus memecut lari ke arah puncak bukit. Blackie dan Darkie yang sememangnya telah dilatih untuk menangkap mangsa, terus mengejar mangsanya hingga ke puncak bukit. Babi hutan tersebut akhirnya tewas dan bersikap defensif. Blackie dan Darkie menerpa ke arah mangsa untuk membaham. Tiba-tiba terdengar laungan tuannya memanggil "Blackie,,,! Blackie...! Darkie..!.Darkie...! pulang... Blackie....Blackie....pulang....." . Patuh dengan arahan tuannya, Blackie dan Darkie meninggal babi hutan tersebut dan terus memecut berlari turun mengadap tuannya sambil menjelir lidah tanda gembira.
Pak Hanif berhenti sekejap tazkirahnya sambil memandang hadirin di hadapannya. "Tetapi manusia amat sombong dengan 'tuannya' apabila laungan azan berkumandang............Allahu Akbar Allahu Akbar......"

"Manusia seolah-olah memekak telinga dan bersikap endah tak endah, tidak memperduli seruan dari Penciptanya. Seruan yang memanggil manusia datang segera 'menghadap Rob' nya ", sambung Pak Hanif.
  
Itulah sedutan tazkirah ringkas yang disampai oleh Pak Hanif Latif, anak saudara Buya Hamka ketika kami berkunjung ke Rumah Kelahiran Dr. Hamka Di Tasik Maninjau.

JELAJAH BUMI MINANGKABAU


1. Destinasi Padang - Bukit Tinggi dipilih kerana penulis tertarik dengan budaya tradisional masyarakat Minangkabau. Kebetulan isteri dan keluarga dari keturunan Minangkabau. Masa 'kecik-kecik' sampai sekarang melodi lagu "ayam den lapeh"  - lagu dialek Minangkabau penulis minat

2.Maklumat 'flight itinerary :-
a) Tarikh booking : 27/10/2008
b) Tarikh berangkat : 19/03/2009 Jam 07.50 pagi
c) Jam ketibaan : 08.00 (waktu tempatan) Bandara International Minangkabau
d) Tarikh pulang : 21/03/2009 Jam 02.35 pm
e) Tambang pergi-balik  RM22 (tidak termasuk insuran, surcaj bahanapi dan airport tax)
f) Tiket untuk 4 orang, tetapi anak bongsu  tak dapat ikut serta kerana terlibat dalam persembahan Citrawarna di Dataran Merdeka.
                                         
Bandara Internasional Minangkabau
HARI PERTAMA

1. Setelah semua urusan imigrasi dan kastam Indonesia selesai, kami keluar dari terminal mencari teksi atau mobil sewa. Ramai pengusaha mobil sewa menawar perkhidmatan. Ramai juga rakyat Malaysia yang bercuti di Padang.

 2. Kami menyewa sebuah Toyota Vios beserta supir menuju ke Bukit Tinggi. Tidak ada lebuhraya yang menghubung Padang - Bukit Tinggi. Oleh itu, pergerakan kenderaan tidak laju. Kami berpeluang menyaksi susun atur bangunan komersial dan perumahan  serta gelagat penduduk di sepanjang perjalanan. Ketika tersebut sedang berlansung kempen Pemilihan Umum (PEMILU). Kelihatan bendera parti berwarna warni  dipacak di pinggir jalan macam PRU di Malaysia kerana berlakunya pertandingan banyak penjuru.
Demokrasi subur di Indonesia. Simbol parti yang bertanding  dalam PEMILU 2009
3. Setelah 30 minit perjalanan, kami mula menyusur laluan desa yang diselangseli dengan kawasan pertanian dan perumahan. Masjid-masjid yang kecil molek, senibina ala Minangkabau bertaburan di sepanjang jalan. Terdapat landasan keretapi yang dibina hampir selari dengan jalanraya. Kami dimaklum landasan keretapi tersebut dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) untuk mengangkut arang batu dari Sawahlunto ke Pelabuhan Padang. Kini sudah tiada lagi perkhidmatan tersebut, tetapi landasan dan jambatannya diselenggara dengan baik, berbeza dengan landasan keretapi Taiping-Port Weld ( Kuala Sepetang)  di Perak.

4.Gunung berapi Gunung Merapi menjadi penghias lanskap. Gunung Merapi adalah model sebenar gunung berapi kerana  bentuknya 'sempurna'.  Cerun cekungnya melandai pada semua arah. Dipercayai jenis pendam @ tidak aktif.

Perhatikan landasan keretapi dan Gunung Merapi yang cantik.
5. Pada pertengahan jalan kami singgah berehat di Air Terjun(Air Mancur) Lembah Anai  dengan  ketinggian terjunan  35 meter. Dipercayai terbentuk akibat dari kejadian pergerakan lapisan bumi secara menegak (vertikal). Penduduk tempatan percaya  air yang jernih dan sejuk dalam kolam lubuk pusar ini jika disapu pada muka boleh awet muda......" Aduh pak,  boleh buat bisnes produk awet muda!"

Salah satu air terjun yang terhampir dengan jalan raya.
6. Kira-kira 3 jam perjalanan, cuaca semakin dingin dan nyaman.  Kami mulai masuk kawasan 'The Grand Canyon of West Sumatera' atau dikenali sebagai  Ngarai Sianok. Topografi dipercayai terbentuk akibat hakisan sungai di permukaan bumi lalu membentuk lurah atau kanyon. Bahagian permukaan dan lereng curam ngarai ini telah dikorek oleh tentera Jepun semasa pemerintahan Jepun di Sumatera Barat untuk djadi kubu dan sel tahanan. Kini terowong tersebut dikenali sebagai 'lubang Jepun'. Pelawat boleh masuk ke dalam terowong tersebut dengan bayaran Rp6k seorang (membiayai kos selenggaraan dan eletrik).  Jurupandu yang dilantik oleh badan wisata Indonesia ada disedia untuk memberi taklimat  kepada pelawat dari  A to Z  mengenai Lubang Jepun ini.  Bayar je la.


Sebahagian dari kanyon dan 'messa'  

Isteri dan anak sedang menuruni 132 anak tangga ke dasar Lubang Jepun yang agak dingin suhunya.


Jam Gadang - ikon wisata Kota Bukit Tinggi

Jemput naik sado/andong mengelilingi tempat-tempat wisata sekitar  Kota Bukit Tinggi


7. Terdapat beberapa kawasan tarikan pelancong di sekitar Kota Bukit Tinggi. Pelawat boleh berhibur dengan dendangan pemuzik jalanan di dataran Jam Gadang,  melihat berbagai senibina rumah Minangkabau di kawasan Rumah Adat Baanjung, Fort de Kock, Kebun Binatang (Zoo)atau menaiki kereta kuda (sado) yang cantik dan berwana warni, tetapi awas jangan terpijak taik kuda. Pengunjung juga boleh 'bershopping sakan' di Pasar Atas dan Pasar Bawah. Isteri dan anak membeli beberapa helai telekong dan 'key chain' serta ' fridge magnet' sebagai  cendera hati.


8. Kami bernasib baik dapat menginap di sebuah hotel 3 bintang 'tanpa aircond'. Selepas solat maghrib/isyak di masjid berdekatan, kami mula cari kedai makan Nasi Padang. Di situ penulis berkenalan dengan Pak Arjil seorang supir kereta sewa. Penulis berbincang dengan supir tersebut untuk pergerakan kami pada hari besok. Dari situ kami dapat maklumat Istana Pagar Ruyong belum boleh dilawati kerana kerja-kerja pembinaan semula belum siap. Kami bincang plan B. Setelah bersetuju dengan jajaran pergerakan besok dan bayaran yang dikenakan,  Pak Arjil pelawa kami naik mobilnya berputar-putar Kota Bukit Tinggi sebelah malam. Kami sempat meninjau ke rumah kelahiran Perdana Menteri Indonesia yang paling sempoi iaitu Dr. Hatta. 

Dr Hatta adalah PM Indonesia semasa Sukarno menjadi Presiden. Terkenal sebagai seorang yang suka  berjimat di dalam hidup (macam penulis?)


HARI KEDUA
1. Hasrat untuk melihat senibina teragong orang Minang iaitu Istana Pagar Ruyong tidak kesampaian. Pak Arjil datang jemput kami di hotel jam 8.30 pagi. Kami disediakan breakfast oleh pihak hotel. Bedallah supaya perut  tidak kosong. Perjalanan kami menuju ke Tasik Maninjau iaitu kira-kira 36 km dari Bukit Tinggi.

Istana Pagaruyong @ Istano Basa

Kebakaran pada 27/2/2007 dipercayai disambar petir, hanya 15 % binaanya selamat
2. Jika berkereta bersama supir, kita kena banyak tanya untuk dapat banyak info. Sepanjang perjalanan kami mulai masuk kawasan topografi tanah tinggi. Terdapat perkampungan dan kawasan pertanian kebun kecil dan diselangseli  dengan sawah padi, jagung dan ladang cengkeh serta pala . Apa yang menarik, kita akan bertembung dengan para pekebun dan anjing buruan mereka. Menurut Pak Arjil, anjing buruan "ditugasi untuk mengendus (pencari jejak), mengejar, mengepung dan menyerang mangsa. Biasanya dari baka import dan kacukan tempatan".


3. Kami akhirnya sampai ke Ambon Pagi iaitu selekoh kelok no.1 dari 44 kelok yang akan dituruni. Kelihatan air danau biru berkilauan . Subhanallah cantiknya  alam ciptaanMu.  Danau Maninjau asalnya gunung berapi mega iaitu Gunung Tinjau yang telah meletus dengan dahsyat membentuk satu lekukan, dinama  tasik krater. Di ikuti  letusan kali terakhir yang lebih hebat, lalu membentuk kaldera yang luas. Kaldera ini mula ditakungi air membentuk tasik kaldera atau Danau Maninjau. Luas tasik ini hampir 100 km per. dalamnya 495 m dan ketinggian dari aras laut 461m. Untuk menuruni  tebing yang curam ini sehingga ke paras air tasik, pemotongan cerun dilakukan membentuk jalan berliku tajam atau 'zig-zag' yang di kenali 'kelok'. Terdapat 44 kelok yang terpaksa dilalui sepanjang kira-kira 10 kilometer untuk  ke bawah. Cantik topografi kelok yang berlatar belakang tasik kaldera . Subhanallah.


Penulis bersama isteri dan anak berada di Kelok 1  di Ambon Pagi



Panorama Danau Maninjau dari Ambon Pagi



Foto google yang paling klasik  Rumah Tradisional Minangkabau berlatarkan Danau Maninjau

Klok Ampek Puluah Ampek


Kelok  ke 44  iaitu yang terakhir selepas perjalanan sejauh 10 km.
Panorama berhampiran Rumah kediaman Buya Hamka 

4. Akhirnya dapat juga kami menjejak kaki ke rumah kelahiran ulama, sastrawan dan aktivis politik  Prof. Dr Hamka di desa  Kampong Molek. Penulis bernasib baik, kerana sempat mendengar tazkirah dari Pak Hanif Rashid (anak buah Hamka) yang menjadi penjaga rumah tersebut. Ketika kami sampai, Pak Hanif sedang bertazkirah dan memperihal kisah anjing buruan dan tuannya (seperti tercatat pada awal entri)





Moral cerita ini menurut  Pak Hanif..."manusia apabila dilaung azan solat fardu tidak mengendah seruan dari Tuannya  iaitu Allah SWT. Tetapi anjing  (Blackie & Darkie), patuh meskipun yang diburu   (babi hutan) sudah tumpas".  Renung-renungkan lah.

5. Rumah kelahiran Hamka telah dijadikan muzium dan perpustakaan yang menempat koleksi barang-barang peribadi, buku-buku dan kitab penulisan Hamka. Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasil 76 buah karya. Apa yang membanggakan kos kerja-kerja ubahsuai rumah ini sebahagiannya adalah sumbangan dari rakyat dan NGO dari Malaysia seperti ABIM.

Pintu utama masuk ke rumah kelahiran Buya Hamka
Potrait Ulama tersohor - Prof. Dr. Hj. Abdul Malik Karim Amrullah @ HAMKA (Feb 1908-Julai 1981)

Atmosfera romantis dan syahadu dalam kamar beradu dengan keindahan dan ketenangan Danau Maninjau mencetus inspirasi   untuk Dr. Hamka mengguna bahasa yang puitis dalam karya-karyanya. Contoh ; "orang yang ditimpa penyakit cinta, tidak sekali mahu sembuh darinya". 

Tafsir A-Azhar terdiri dari 15 Jilid untuk merangkumi 30 Juz.
Penulisan kitab ini adalah selama 20 tahun termasuk lebih dua
tahun merengkuk dalam penjara ketika ditahan di bawah orde lama


Novel ini pernah di adaptasi oleh  Pengarah Erma Fatima dan di siar dalam TV1  Drama Bersiri Hayati

6. Setelah lebih satu jam kami di Danau Maninjau, kami bergerak ke Padang. Laluan yang dipilih amat jarang diguna oleh orang Malaysia. Kami akan mengikuti jalan ke Padang Pariaman iaitu ikut jajaran tebing Danau Maninjau.  Terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Batang Sri Antokan  yang mengalir air keluar dari tasik tersebut. Di situ di bina  satu stesen kuasa hidro elektrik di bawah kendalian PLTA,  berkeupayaan 68 mgw. Kami berhenti makan tengahari di restoran ikan bakar bada salai. Habis makan, sisa dan tulang ikan akan dimakan oleh ikan-ikan lain di dalam kolam pemeliharaan. (sekadar permakluman, daerah Padang  Pariaman adalah diantara yang teruk diasak oleh gempabumi yang berlaku pada 30/9/2009. Terdapat sebuah kampung yang ditimbus oleh kejadian tanah runtuh dan diisytihar sebagai 'kuburan massal'.)

7. Hampir empat jam perjalanan dari Maninjau kami sampai Pantai Air Manis untuk melihat seni ukiran yang beradaptasi kisah Malin Kundang atau versi di Malaysia ialah Si Tanggang - anak derhaka disumpah ibunya menjadi batu. Terdapat sebuah ukiran kapal/jong yang telah pecah, terdampar di pantai. Tiang layar telah patah. terdapat tong atau bekas berisi air minum, peti barang kemas dan tali temali kapal. Kesemua objek telah rosak akibat hakisan ombak.. Arca Malin  Kundang yang sedang bersujud memohon keampunan dari ibunya menarik perhatian pengunjung. Tahniah kepada pengukir dan mereka yang memelihara objek di situ. Semoga kisah mitos ini menjadi pengajaran kepada kita dan anak-cucu kita jangan sekali-kali menderhaka kepada ibu dan bapa. 

Arca batu berbentuk manusia Malin Kundang. Yang lain mana ?

Ukiran batu gambaran kain layar kapal yang jatuh bila tiang layar patah  kena pukulan angin ribut

Ukiran tali temali dan tong bekas air yang biasa terdapat pada  kapal layar
8. Terdapat beberapa gerai jualan makanan dan cendera hati. Penduduk tempatan juga ada menjual berbagai-bagai jenis siput-kerang @ coral yang dipunggut dari dasar laut atau yang terdapat di pantai-pantai berpuluhan  pulau berdekatan. Penulis membeli beberapa butir siput- kerang kerana harganya amat murah. Mungkin saudara Ahmad Yani ada membawa balik siput-kerang ketika beliau dan keluarga bercuti di Pulau Pom-Pom Semporna baru-baru ni.  Pembaca yang mempunyai hobi koleksi siput-kerang ini silalah kunjungi ke Pantai Air Manis.

9. Dari Pantai Air Manis, kami terus ke Kota Padang. Menginap di Hotel Jakarta. Sebelah malam, kami keluar ronda-ronda di mall sambil menikmati keindahan malam Kota Padang dan kelipan lampu dari kompleks kilang  PT Semen Padang yang terkenal dengan pengeluaran  simen dan kelab profesional Semen Padang FC.

Makan Nasi Padang Ori

Kami di pinggir Lautan Hindi. Dalam sejarah hidupku, dimana ada kesempatan ke laut, pasti ku sentuh  dan rasa airnya.
HARI KETIGA

1.Pergerakan pada hari ini agak terbatas kerana kami perlu mengambil kira persiapan untuk berangkat pulang. Bimbang urusan bagasi dan imigresen kerana semua ini adalah pengalaman pertama. Selepas sarapan, kami keluar bersiar-siar di pantai dan sempat membeli belah di pasar basah  mencari buah salak pondoh Medan.
  
2. Dari Kota Padang, kami mengambil teksi untuk ke Bandara Internasional Minangkabau. Jam 12.30 teksi meninggal hotel, tetapi kami resah kerana macet mungkin menimbul masalah di bandara nanti. Untuk menghilang rasa keresahan kami meminta supir menyanyi lagu-lagu lama Minang. Disamping lagu "ayam den lopeh", kami juga turut dihibur dengan lagu "Pulang Merantau". Ikuti sebahagian lirik lagu tersebut....

                                         Jauah kito marantau pai marantau
                                         Namun kampuang salalu takanang juo
                                         Pulanglah kito pulang marilah pulang
                                         Basuo kawan-kawasan nan sama gadang

                                         -------------------

                                          Hei rang mudo....marilah kita pulang
                                          Hei rang mudo...marilah kita pulang





Sedutan  dari Jelajah Indonesia Siri 3

Jemaah pada malam tersebut sangat ramai. Hampir kesemua ruang di dalam dan di luar Masjid Baitul Rahman dipenuhi oleh orang ramai yang tertarik dengan kuliah maghrib. Penulis di fahamkan kuliah pada malam tersebut disiar secara lansung oleh  Radio TVRI Acheh kepada pendengar di daerah Acheh. Sambung penceramah lagi..." Kita semua sedia maklum, terdapat 7 perkara ajaib di dunia ini. Saya nak tambah satu lagi. Perkara yang ke-8 ajaib di dunia. Tuan-tuan tahu apakah yang ke-8 tu.  Ia adalah "Gabenor Kelantan".......Penulis tersentak dengan unggapan tersebut. Siapa Gabenor Kelantan ? Apa kaitan dengan dengan 7 perkara keajaiban dunia  dan Acheh ?  jeng.....jeng.....jeng..... teruskan bacaan anda dalam Siri Ke-  3 Jelajah Indonesia ke Bumi Korban Tsunami..... Teruskan bacaan anda SIRI 3  DI SINI   atau balik ke SIRI  1 DI SINI

Tuesday 24 December 2013

AKADEMI ANDA (TAPAH-IPOH-TELOK INTAN) YANG HILANG 'DAULAT'



1. Yayasan Anda Akademik (YAA) merupakan sebuah sekolah menengah swasta  telah diasaskan oleh sekumpulan siswazah Universiti Malaya dan ahli perniagaan yang diterajui oleh Saudara Anwar bin Ibrahim pada tahun 1972. Di antara objektif utama penubuhan YAA adalah membantu anak-anak bangsa yang tidak bernasib baik dan yang tercicir  di peringkat SRP/LCE, SPM/MCE dan STP/HSC dengan yuran pengajian yang minimum supaya mereka dapat meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat universiti.

Cikgu Anwar bin Ibrahim - Pengarah YAA


2. Selain daripada YAA terdapat beberapa buah sekolah menengah swasta yang beroperasi di segenap pelosok tanah air, di antaranya ialah sekolah-sekolah Maktab Adabi seperti Maktab Adabi Maharani Muar, Maktab Adabi Masriyah Bukit Mertajam, Maktab Adabi Pahang, Institut Harapan di Taiping dan sebagainya. Bagaimana pun perbezaan yang nyata di antara YAA dan sekolah-sekolah menengah swasta tesebut ialah YAA lebih menekan aspek pembentukan sahsiah pelajar melalui orentasi pendidikan ke arah melahirkan 'insan berakademis dan bertaqwa'. Untuk mencapai objektif tersebut, kurikulum dan kokurikulum disusun dan dipantau oleh tokoh-tokoh pendidikan Islam dari ABIM, PKPIM,  IPT dan NGO berkaitan.


3. Kejayaan YAA menghantar ramai bekas pelajarnya melanjut pelajaran ke institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara telah menarik minat masyarakat untuk mengkaji sistem dan model pendidikan yang diguna pakai YAA. Terdapat perbezaan yang ketara di antara pelajar-pelajar YAA dengan pelajar dari sekolah menengah  swasta lain atau sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan dari segi batas pergaulan, disiplin dan kesopanan berpakaian @ uniform. Ketika YAA beroperasi di Jalan Hamzah Kampong Baru iaitu di sekitar tahun 1974, adalah agak janggal untuk melihat pelajar wanita muslim sekolah menengah berbaju kurung dan memakai tudung atau skaf, melainkan pelajar tersebut adalah pelajar YAA.

4. Method tarbiyah diterap melalui peraturan setiap pelajar mesti mengambil subjek Prinsip Islam. Aktiviti berpersatuan disubur menerusi penglibatan semua pelajar dalam PSYAA (Persatuan Siswa-siswi YAA), koperasi pelajar menerusi penubuhan ORKES (Organisasi Kerjasama Siswa-siswi) dan persatuan alumni yang dikenali Ex-SISYAA. Dari luar kerangka YAA, pelajar digalak melibat diri dalam organisasi pelajar di sekitar Kuala Lumpur seperti Persatuan Pelajar Islam Wilayah/Selangor (PEPIAS), LAPPIM dan sebagainya, begitu aktif  menganjurkan program tarbiyah seperti tamrin kader, kursus kefahaman Islam, seminar, usrah, program qiamullail dan kupasan buku karya para ilmuan dan pejuang Islam terutamanya dari Ikhwan Muslimin, telah meningkat fikrah dan membina daya intelektual pelajar. Hasil tarbiyah dan idealisme minda membolehkan mereka mampu mengupas isu-isu semasa yang melibatkan pergerakan Islam seantero dunia.

5.  Tingkah laku bekas pelajar YAA yang melanjut pelajaran di IPT mempamir mereka lebih matang dari segi sahsiah dan kepimpinan. Kebanyakan mereka dipilih untuk menerajui persatuan-persatuan mahasiswa seperti Persatuan  Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM).  Setelah graduan, mereka diberi kepercayaan untuk mentadbir organisasi belia dan pelajar saperti Majlis Belia Malaysia (MBM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)  dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).  


6. Bagaimanapun, YAA hanya beroperasi di Kuala Lumpur. Terdapat dalam kalangan tenaga pengajar YAA dan pendokong ABIM yang berminat untuk membawa dan memperkenal  model pendidikan 'ala YAA' ke luar ibu kota. Di antara tahun 1976 sehingga 1978 terdapat beberapa sekolah swasta 'ala YAA' ditubuh. Misalnya Akademi Anda  di Tapah (1976) dan  di Ipoh Perak (1976). Institut An-Nur  di Kelantan, diikuti dengan pembukaan Institut Berakan di Kuala Terangganu (1977) oleh Ustaz Abu Bakar Chik. Yayasan Masriyah di Bukit Mertajam ( 1978) oleh Ustaz Ahmad Hassan Salehuddin  dan Yayasan Budi di Alor Setar (1978) oleh Ustaz Abdul Halim Arshad.



AKADEMI  ANDA  TAPAH  (AAT)




1. Akademi Anda  Tapah dan  Akademi Anda Ipoh ditubuh di atas inisiatif arwah Ustaz Osman bin Abu Bakar (Datuk Hj. Osman bin Abu Bakar), salah seorang tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik Kampong Baru.   Nama Akademi Anda dipilih kerana sinonim dengan nama Yayasan Anda Akademik. Pada tahun-tahun berikutnya,  di atas sebab-sebab 'pendaftaran' , nama Akademi Anda telah ditukarkan kepada Institut Pengajian Al-Ridwan. 'Al-Ridwan' diambil dari gelaran rasmi Negeri Perak Darul Ridwan.


2. Akademi Anda Tapah (AAT) beroperasi pada tahun 1976 di sebuah banglo milik seorang usahawan Tionghua beralamat di No. 593 Jalan Bidor, Tapah yang terletak di atas lereng bukit menghadap Jalanraya Persekutuan Tapah ke Bidor, iaitu kira-kira satu km dari pekan Tapah. Banglo ini mirip YAA Kampong Baru, iaitu bangunan dua tingkat. Binaannya separuh kayu dan batu. Terdapat kira-kira 25 anak tangga batu yang menarik dan satu laluan kereta bagi membolehkan kenderaan sampai ke atas dan parkir di bahagian hadapan foyer bangunan tersebut.




.




Di sebalik rimbunan inilah terletaknya AAT



Banglo dua tingkat yang diubah suai menjadi sekolah swasta yang terunggul di Pekan Tapah


3. Kerja-kerja ubah suai bangunan dilaku sekitar penghujung tahun 1975 yang melibat pembinaan 6 buah bilik darjah, dewan, asrama guru, surau dan kantin. Bilik-bilik darjah tersebut adalah dua untuk Tingkatan 3 SRP dan LCE, satu untuk Tingkatan 4, satu untuk Tingkatan 5 dan satu  untuk Tingkatan 6 Atas dan 6 Bawah. Seterusnya, ruang dapur banglo tersebut juga turut diubah suai untuk dijadi dua lagi bilik darjah. Pendaftaran pelajar baru telah dibuka pada awal tahun 1976.

4. Pada peringkat awal, Ustaz Osman telah membawa bekas pelajar YAA yang baru sahaja tamat menduduki Peperiksaan STP/HSC Tahun 1975 untuk menjadi guru. Di antaranya Saudara Azhar bin Ahmad (penulis), Ibrahim bin Hj. Yusoff, Abdul Rauf bin Abu Bakar, Salleh bin Salimin, Mustafa Kamal dan Toha. Terdapat juga beberapa orang graduan IPT yang memohon jawatan guru di YAA, tetapi telah diminta untuk melapor diri di AAT  seperti Saudara Mohd. Rafik Rashidullah (Datuk), Zaini bin Hussien, Mohd. Noh bin Supaat, Shahrin bin Salleh, Zaki Che Wan, Saudara Salleh  (Prof Madya Dr.)  dan bekas pemimpin pelajar universiti tempatan  seperti Saudara Syed Muhsin (UPM) dan Saudara Ghani bin Dahlan (UM). Dr. Mohamad Nur bin Manuti yang baru sahaja pulang dari luar negara juga telah datang berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Akademi Anda Tapah.


Dr. Mohammad Nur Manuti
5. Tenaga pengajar yang terdiri dari anak tempatan pula termasuklah Saudara Kassim bin Othman (Kampong Raja, Tapah), Saudari Noriah dari Bidor  dan beberapa  aktivis ABIM Daerah Batang Padang dan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) turut membantu. Pengetua pertama adalah saudara Rafik Rashidullah dan jawatan Pendaftar disandang oleh saudara Shahrin bin Salleh. Bagaimanapun, kebanyakan tenaga pengajar hanya berkhidmat untuk jangkamasa pendek. Mereka akan meninggalkan AAT setelah mereka mendapat tawaran pekerjaan atau melanjut pelajaran di tempat lain.


Sebahagian dari Guru dan Pelajar Lelaki AAT


Prof Dr. Syed Naquib, Ustaz Osman Abu Bakar dan Sdr. Mustafa (Pendaftar)  bersama sebahagian pelajar perempuan

6. Ustaz Osman juga terbabit secara lansung di dalam pembukaan Akademi Anda Ipoh Perak. Akademi Anda Ipoh (AAI) ditubuhkan pada tahun 1976  di sebuah rumah teres yang beralamat di No 8 Taman Harilela, Jalan Gopeng, Ipoh Perak. Kemudian berpindah ke premis baru yang lebih selesa di No. 9B Tingkat 2, Kinta Mansion, Medan Kidd, Ipoh, iaitu bertentangan dengan stesen Bas Besar Ipoh.


Medan Kidd Ipoh
7. Tenaga pengajar Akademi Anda Ipoh pada peringkat awalnya adalah terdiri dari bekas pemimpin dan aktivivis Kesatuan Siswa Institut Teknologi MARA (KSITM)  Shah Alam yang telah disingkir kerana menyertai  gerakan 'merampas kuasa ITM' dan protes terhadap peraturan disiplin yang diperkenalkan oleh Pengarah ITM iaitu Datuk Lokman bin Musa pada Januari 1976.  Protes dan demontrasi tersebut berakhir dengan kegagalan. Sebahagian dari aktivis KSITM tersebut telah disingkir (Bagaimanapun pihak ITM bersetuju membenar aktivis ini menyambung semula pengajian mereka). Beberapa orang aktivis ini telah dibawa oleh pendokong ABIM ke pejabat ABIM yang berada di bawah YAA. Di situlah mereka diperkenalkan kepada Ustaz Osman Bakar dan membawa mereka ke Ipoh untuk menjadi tenaga pengajar di Akademi Anda Ipoh. Di antara aktivis tersebut termasuklah Saudara Anuar Tahir, Jamaluddin Muhyiddin, Muhammad Munawar, Alias Annor dan lain-lain lagi. 


Saudara Anuar bin Tahir
8. Akademi Anda juga ada membuka cawangan di Telok Intan dan menggunakan premis SKOMK Telok  Intan sebagai bilik darjah. Tenaga pengajarnya terdiri daripada bekas pelajar lepasan institusi pengajian tempatan.




Bangunan Asal SKOMK di Telok Intan
9. Sebagai sekolah 'ala YAA', kegiatan kurikulum dan kokurikulum di AAT seperti yang terdapat di YAA. Setiap pelajar diwajib mengambil  mata pelajaran Prinsip Islam, dan menyertai Usrah. Tatacara uniform pula mewajib pelajar wanita memakai tudung, atau skaf dan berbaju kurung. Pelajar wanita yang non-muslim dan orang asal (orang asli) dikehendaki memakai skirt labuh di bawah paras lutut.

10. Untuk mempromosi sekolah swasta yang baru ditubuh, Ustaz Osman Bakar telah membina satu rangkaian persahabatan yang erat dengan beberapa orang tokoh dan pembesar dari Negeri Perak. Di antaranya ialah YB Azharul Abidin b. Hj Abdul Rahim - ahli Parlimen Batang Padang (1976- 1984), Setiausaha Sulit DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak Tan Sri Ghazali Jawi (1974 -1977), dan Dato Hassan Adli bin Arshad iaitu  Ahli Parlimen (PAS-BN) Bagan Datuk, merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.


11. YB Azharul Abidin kerap melawat ke Akademi Anda Tapah.  YB Batang Padang  ini turut tertarik dengan bentuk kerusi 'arm-chair' ala kerusi di dalam bilik kuliah universiti yang digunakan di AAT. Beliau telah membeli satu set arm-chair untuk diletakkan di bilik anaknya sebagai kerusi/meja studi. Beliau banyak memberi derma dan sokongan moral kepada aktiviti pelajar.

contoh kerusi/meja yang diguna di dalam bilik darjah AAT pada tahun 1976


Dato Hassan Adli


 12. YB Dato' Hassan  Adli pernah dijemput merasmikan seminar SPM anjuran AAT dan pernah menghulur sumbangan wang ringgit untuk menjayakan kursus-kursus kesedaran Islam di AAT.  Manakala YAB Menteri Besar pernah dijemput merasmi Seminar Pendidikan & Pelajaran  Anjuran AAT  dengan kerjasama Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP). Sesuatu yang lebih mengkagum ialah kejayaan Ustaz Osman Bakar membawa Paduka Seri Sultan Perak mencemar duli untuk melaku majlis Perasmian Institut Al-Ridwan Ipoh pada tahun 1977. Majlis perasmian tersebut berlansung di dataran Medan Kid Ipoh dalam suasana meriah.

YAB Menteri Besar Perak Tan Sri Ghazali Jawi bergambar bersama guru dan pegawai kerajaan selepas merasmikan Seminar  Pendidikan dan Pelajaran . Baris depan adalah Orang Besar Jajahan Batang Padang, Penghulu dan Pengetua AAT Dr Salleh (UPM)
Baris belakang, 2 dari kanan adalah Anuar Tahir dan penulis hujung sekali.


13. Ustaz Osman Bakar juga aktif di dalam persatuan penulisan. Beliau adalah pengasas dan  dilantik sebagai Ketua Satu Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM ?), manakala Prof. Dr. Syed Muhammad  Naquib Al-Attas sebagai penasihat badan tersebut. Keakraban hubungan Ustaz Osman dengan Prof. Dr. Syed Muhammad Naqiub membolehkan Ustaz Osman membuat satu 'road-show' ceramah agama oleh Prof. Dr. Syed Muhamad Naqiub di beberapa daerah di Negeri Perak, termasuk di Akademi Anda Tapah dan Ipoh. Tokoh Islam lain yang pernah dipanggil untuk memberi ceramah di AAT ialah Almarhum Ustaz Dr. Uthman bin Muhammadi



Prof Dr. Syed Muhammad Naqiub Al-Attas sedang memberi ceramah di bawah tajuk "Islam dan Sekularisme" di Dewan Utama Akademi Anda Tapah. Sebelah kiri yang berjanggut tu ialah Ustaz Osman bin Abu Bakar  (arwah)

Foto Kenangan : Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib bersama Guru dan AJK ABIM dan KPIP Perak


Prof. Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Ustaz Dr. Uthman El Muhammadi
14. Kesan dari promosi yang begitu gigih,  telah menyebab kemasukan dan pendaftaran pelajar baharu kian bertambah dari tahun ke tahun. Pada penghujung tahun 1978 bilangan pelajar menjangkau lebih 200 orang. Kesemua pelajar berulang alik kerana pihak AAT tidak menyediakan asrama untuk pelajar. Kebanyakan pelajar datang dari Daerah Batang Padang seperti Tapah, Tapah Road, Kampung Raja Jalan Pahang, Bidor, Bikam, Sungkai, Felda Trolak dan Temoh. Ada juga dari Cameron Highland. Terdapat juga pelajar dari kalangan anak orang asli dari perkampungan orang asli di Jalan Pahang. Alhamdulillah terdapat di kalangan pelajar orang asli  yang telah memeluk agama Islam apabila terdedah dengan suasana dan 'atmosfera'  Islam di AAT.

Prof  Dr. .Syed Muhammad Naqib bergambar bersama pelajar dan guru AAT. Penulis di baris depan 3 dari kiri
15.  Seperti YAA, AAT juga menganjur Seminar Peperiksaan SRP dan SPM. Penceramah terdiri daripada guru-guru kanan sekolah berdekatan dan dari kalangan guru YAA sendiri. Seminar turut  disertai oleh pelajar dari sekolah sekitar seperti SMK Buyong Adil,  SMK Hamid Khan Tapah  dan SMK Syeikh Abdul Ghani di Bidor. Kursus-kursus  dakwah dan kefahaman agama Islam juga mendapat sambutan dan pelajar sekolah berdekatan.


Barisan belakang : Ibrahim Yusuf, Azhar bin Ahmad, Kassim Othman, ? , Syed Mohsin, ?  dan Mustafa Kamal
Duduk : Mohd Noh Supaat, Abdul Raof, ?, Salleh UPM,  ? dan ?
16. Di sekitar tahun 1978, menyaksi kebangkitan pertubuhan Al-Arqam begitu hebat dan menonjol berbanding dengan pertubuhan dakwah tempatan yang lain. Di atas insiatif guru-guru AAT dan dibantu oleh masyarakat setempat, satu kursus dakwah Islamiah telah dianjur di Perkampungan  Al-Arqam Sungai Pencala. Seramai lebih 300 orang pelajar AAT dan pelajar dari sekolah berhampiran telah berdaftar menyertai kursus tersebut. Bagi memudah peserta sampai ke Sungai Pencala, pihak pengangjur mengguna perkhidmatan keretapi KTM. Semua pelajar dan guru pengiring  naik keretapi dari Stesen KTM Tapah Road ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Pihak KTM terpaksa menyedia koc extra khas untuk tujuan tersebut.  Dari situ, peserta diangkut dengan Bas Sri Jaya ke Sungai Pencala. Penulis yang ketika itu berada di Kuala Lumpur menjadi petugas untuk menyedia pengangkutan dari stesen KTM KL ke Sungai Pencala.

Pertubuhan Al-Arqam
17. Hampir kesemua tenaga pengajar adalah bujang. Mengajar dengan penuh dedikasi. Di samping mengajar, tuisyen secara percuma juga diberi kepada pelajar. Tenaga pengajar menjalani kehidupan  seharian sebagai satu keluarga. Kami sama-sama menyedia juadah untuk bersarapan, makan tengahari dan makan malam. Kami sama-sama berjalan kaki ke pekan Tapah untuk mendapat makanan. Pelajar juga mempunyai sifat-sifat terpuji dan berakhlak tinggi. Kami sering diundang ke rumah pelajar untuk bertemu keluarga dan menikmati hidangan. Pada musim buah-buahan, terdapat pelajar yang bermurah hati membawa berbakul-bakul buah-buahan untuk disumbang kepada guru. 
Sekali sekala kami pergi mandi  di Sungai Batang Padang berhampiran Masjid Jamik Tapah.

Sungai Batang Padang - airnya sejuk yang berpunca dari Cameron Highland

18. Seperti sekolah-sekolah swasta yang lain, AAT juga turut mengalami zaman kemerosotan setelah lebih enam tahun beroperasi. Di antara faktor-faktor pendorong termasuklah:-


18.1 Pertikaian mengenai  penyata kewangan dan status pemilikan  sekolah. Perkara ini berlaku kerana Ustaz Osman tidak pernah membentang penyata untung-rugi perniagaan sekolah swasta tersebut. Pepecahan Akademi Anda Ipoh katakan berpunca keengganan Ustaz Osman Bakar memberi kuasa autonomi pentadbiran sekolah kepada guru yang mengendali sekolah tersebut. Kedua-dua faktor tersebut menyebabkan Akademi Anda Ipoh telah berfarakah (berpisah) dengan Ustaz Osman. Mereka telah menubuh sebuah sekolah menengah swasta baharu yang juga beroperasi di Medan Kidd, Ipoh yang diberi nama Institut Sofar Ipoh.

Institut Sofar - Medan Kidd, Ipoh

18.2 Kesan dari penganjuran kursus kefahaman Islam di Perkampungan Al-Arqam di Sungai Pencala telah menyebab berlaku krisis idenditi. Suasana pada masa tersebut menyaksikan hubungan yang "tidak mesra" di antara pertubuhan  Al-Arqam dan ABIM. Aktivis ABIM mula menjauh diri dari Ustaz Osman. Di Ipoh, Institut Sofar yang diterajui oleh Saudara Halim b. Ismail telah berjaya menjadi institusi tersebut sebagai model sekolah ABIM. 



18.3 Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) yang menjadi wadah tunggal bagi semua aktiviti pelajar-pelajar Islam di Negeri Perak telah menarik diri dari memberi kerjasama kepada Akademi Anda Tapah ekoran dari pihak pentadbiran AAT telah menubuhkan KPIP cawangan Batang Padang-Bidor-Tanjung Malim dan menjalankan aktiviti-aktiiviti tanpa pengetahuan  KPIP.

Sdr. Hj. Abdul Halim bin Ismail pernah menjadi Pengetua Institut Sofar

18.4. YAA tidak begitu senang dengan tindak tanduk Ustaz Osman Abu Bakar  yang dikatakan membuat beberapa keputusan tanpa berbincang dengan pihak pengurusan YAA di Kuala Lumpur. 



18.5. Masalah tenaga pengajar yang sering bertukar/berhenti. Misalnya, penulis tidak lama bertugas sebagai guru di AAT kerana telah mendapat tawaran melanjut pelajaran ke UKM. Begitu juga rakan setugas, misalnya saudara Rafik Rashidullah telah ditawar jawatan Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat (telah bersara sebagai Ketua Pengarah JKM Malaysia), Saudara Salleh Salimin menyambung pelajaran ke UM (pernah menjadi ADO Ulu Langat), Sdr. Mohd Noh Supaat menjadi guru (telah bersara sebagai Pengetua di sebuah sekolah sukan di Ipoh),  Shahrin Salleh ke KDN sebagai Komanden Pusat Seranti. Manakala Syed Mohsin dan Ghani Dahlan berpindah ke Institut Sofar.



19. "Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari". Begitulah  hayat sekolah-sekolah menengah swasta. AAT dan AAI telah ditutup setelah kira-kira enam tahun beroperasi. YAA ditutup pada penghujung tahun 1999. Yayasan Masriyah diambil alih oleh SMABK Al-Masriyah. Institut Sofar diambil alih oleh Maahad Al-Ummah Chemor, Yayasan Budi Alor Setar diambil alih oleh ABIM Kedah. Institut Berakan agak bernasib baik kerana pengetuanya  YB Datuk Ustaz Abu Bakar Chik semasa menjadi Exco Kerajaan Negeri Terangganu telah menaiktaraf sekolah tersebut menjadi Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah.

Sek. Men. Agama Bantuan Penuh Kerajaan Al-Masriyah
20. Baru-baru ini penulis berkunjung semula ke 'Institut Al-Ridwan Tapah' setelah 37 tahun penulis menjejak kaki kali terakhir di sana. Inilah sebahagian foto yang menunjuk 'saki baki' sekolah yang dahulunya berjasa kepada masyarakat Tapah.  Cawangannya di Ipoh pernah mendapat sentuhan Paduka Seri Sultan Perak........sedih....itulah Akademi Anda Tapah, Ipoh dan Telok Intan yang hilang 'daulat' ! 


Anak tangga batu dengan pemegang yang dibina begitu cantik untuk naik ke atas

Foyer Banglo - tempat pendaftaran pelajar/peserta program seminar


Foyer Banglo dua tingkat














perhatikan tulisan "Institut Al-Ridwan Tapah"

Dewan Utama dan tangga naik ke bilik darjah di tingkat atas.


Prof Dr. Syed Muhammad Naqiub Al-Attas sedang memberi ceramah Dewan Utama dekat tangga naik ke tingkat atas


Lantai tingkat satu dah robek. Terlihat sebahagian kerusi meja hampir jatuh ke bawah

sisa kerusi pelajar

ruang  yang diubah suai jadi kelas