Friday, 6 December 2013

KEHADIRAN ASMA DALAM HIDUPKU (SIRI 1)




1. Entri ini ditujukan kepada pembaca yang sedang dan mungkin akan menghidap penyakit asma. Sebagai penghidap asma selama lebih 19 tahun, penulis ingin berkongsi pengalaman bagaimana 'azabnya' jika kena serangan akut asma. Kebiasaannya asma adalah penyakit keturunan. Tetapi sejarah biologi keluarga, ibu bapa dan datuk nenek tidak pernah pula penulis dengar mereka kena asma.

2. Pada suatu malam sekitar tahun 1994, penulis mengalami sesak nafas. Isteri hantar ke Pusrawi Jalan Ipoh untuk rawatan. Diagnosis doktor menyatakan penulis kena asma berdasarkan 'symptom'  . Penulis menafikan kerana sebelum ini tidak pernah mengalami asma dan ibu bapa juga bukan dalam senarai penghidap asma. (cuma ibu ada sekali sekala mengadu  kena resdung). Doktor naik angin,  terus  dia injek kat punggung - padan muka.

3.  Apabila tempat kerja penulis iaitu Yayasan Anda Akademik Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur menaik-taraf bilik dan dewan 'kuliah' sekitar tahun 1996, pendedahan kepada  habuk dan  debu dari pemotongan kepingan dinding gipsum board dan asbestos serta aroma cat yang  disedut selama beberapa hari  telah menyebabkan penulis mengalami sesak nafas dan denyutan nadi yang kencang. Ditambah pula selepas makan buah rambutan dan pulasan di dusun  pak mertua di Ulu Yam Baharu - penulis dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Baharu dan dimasukkan ke wad selama tiga hari  serta diberi rawatan asma.

4 Semasa menjalani rawatan, penulis mula muhasabah sebab kenapa "asma mai mengorat!" Tilik punya tilik, mungkin....mungkin banyak sedut debu kapur tulis atau 'marker white board' semasa penulis mengajar. (mula jadi cikgu geografi semenjak tahun 1980-an). Mesti lukis dan padam bila nak bagi murid faham macam mana pembentukan topografi hakisan dan mendapan glasier, aktiviti gunung berapi dan sebagainya.  Dulu mana ada filem dokumentari National Geographic. Penulis juga gemar menunggang motorsikal untuk ke tempat kerja atau hantar anak ke sekolah atau pusat tuisyen. Beribu-ribu liter padu gas, debu dan asap masuk melalui ekzos (lubang hidung) ke  peparu kerana penulis cuma pakai helmet tetapi tak pakai mask.




5.   Semenjak dari peristiwa tersebut, penulis "confirm"  sudah kena asma.  Berikutnya, beberapa kali penulis dihantar oleh anak, isteri atau jiran  ke hospital untuk dapat rawatan, misalnya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Kepala Batas. Malah pernah diserang akut  asma ketika sedang memandu di atas Lebuhraya Plus, lalu "gagah drive"  ke hospital Slim River. Penulis juga pernah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di klinik kerajaan dan swasta. Di hospital dan kilinik kerajaan, penghidap jika diserang akut asma dapat layanan istimewa, tak perlu  Q terus masuk bilik rawatan khas dan dipasangkan mesin nebulizer yang telah dimasukkan ubat (ikut preskripsi doktor) dan dipakaikan masker (topeng) dan sedutlah wap atau areosol  selama 30 minit sehingga 40 minit. Lepas tu, In sha Allah lega dan boleh berjalan sendiri sambil senyum simpul kepada keluarga yang menunggu kat luar.







6.  Di dalam poket atau beg mesti ada inhaler. Takut  nak naik lif (misalnya terperangkap dalam lif ketika lif rosak) atau feri (misalnya perasaan fobia terhadap feri yang mungkin rosak di pertengahan laut ketika pi Penang) kalau tertinggal inhaler. Begitu juga takut nak angkat barang berat, terutamanya pasu pokok bunga atau sapu sawang atau lap habuk dan debu di dalam rumah,  di dalam almari atau bersih karpet.. Penulis gemar makan laksa Penang, tapi perlu berhati-hati kerana  kuah laksa mengandungi  belacan. Semasa "Era Reformasi" dan siri Demonstrasi Bersih di Ibu Negara, penulis yang pernah ikut serta tidak berani berada di barisan hadapan kerana wasap dari gas pemedih mata  yang ditembak oleh polis FRU bukan sahaja memedihkan mata, malah turut mendatangkan lelah atau penat kepada mereka yang kena. .....

7 Kenapa  takut ?  Penulis boleh ramal apa yang akan terjadi jika asma atau lelah menyerang secara tiba-tiba ! Tuhan sahaja yang tahu.  Nak duduk tak boleh, nak baring tak boleh, nak jalan tak boleh dan nak bercakap pun tak boleh. Isteri dan anak-anak tempat lepas geram bila mereka lambat respon atau memenuhi permintaan penulis. Lebih kronik jika asma turut disertai dengan batuk-batuk semalaman, kahak tidak pernah habis,  hinggus dan air mata mengalir membasahi sapu/tuala tangan. Yang boleh lalukan hanya menungging sambil berhibur dengan bunyi nafas "syis-syuh, syih-syuh".

8. Alhamdulillah, kebelakangan ini keadaan asma yang dihidapi semakin pulh dan positif. Apakah  formulanya ? Teruskan bacaan anda dalam SIRI  2  DI SINI


No comments:

Post a Comment