Thursday, 26 December 2013

JELAJAH INDONESIA SIRI 2 : KISAH BLACKIE & DARKIE DI RANAH MINANG


 "Berang dengan serangan ganas babi hutan yang merobek-robek tanamannya,  Pak Jali  melepas ikatan  dua ekor anjing buruan kesayangannya  "Blackie  dan  Darkie'. Apa lagi Blackie dan Darkie terus menghidu dan dapat mengesan kehadiran seekor babi hutan yang sedang bersembunyi di dalam belukar berhampiran. Salakan Blackie dan Darkie telah menakutkan babi hutan tersebut lalu ia terus memecut lari ke arah puncak bukit. Blackie dan Darkie yang sememangnya telah dilatih untuk menangkap mangsa, terus mengejar mangsanya hingga ke puncak bukit. Babi hutan tersebut akhirnya tewas dan bersikap defensif. Blackie dan Darkie menerpa ke arah mangsa untuk membaham. Tiba-tiba terdengar laungan tuannya memanggil "Blackie,,,! Blackie...! Darkie..!.Darkie...! pulang... Blackie....Blackie....pulang....." . Patuh dengan arahan tuannya, Blackie dan Darkie meninggal babi hutan tersebut dan terus memecut berlari turun mengadap tuannya sambil menjelir lidah tanda gembira.
Pak Hanif berhenti sekejap tazkirahnya sambil memandang hadirin di hadapannya. "Tetapi manusia amat sombong dengan 'tuannya' apabila laungan azan berkumandang............Allahu Akbar Allahu Akbar......"

"Manusia seolah-olah memekak telinga dan bersikap endah tak endah, tidak memperduli seruan dari Penciptanya. Seruan yang memanggil manusia datang segera 'menghadap Rob' nya ", sambung Pak Hanif.
  
Itulah sedutan tazkirah ringkas yang disampai oleh Pak Hanif Latif, anak saudara Buya Hamka ketika kami berkunjung ke Rumah Kelahiran Dr. Hamka Di Tasik Maninjau.

JELAJAH BUMI MINANGKABAU


1. Destinasi Padang - Bukit Tinggi dipilih kerana penulis tertarik dengan budaya tradisional masyarakat Minangkabau. Kebetulan isteri dan keluarga dari keturunan Minangkabau. Masa 'kecik-kecik' sampai sekarang melodi lagu "ayam den lapeh"  - lagu dialek Minangkabau penulis minat

2.Maklumat 'flight itinerary :-
a) Tarikh booking : 27/10/2008
b) Tarikh berangkat : 19/03/2009 Jam 07.50 pagi
c) Jam ketibaan : 08.00 (waktu tempatan) Bandara International Minangkabau
d) Tarikh pulang : 21/03/2009 Jam 02.35 pm
e) Tambang pergi-balik  RM22 (tidak termasuk insuran, surcaj bahanapi dan airport tax)
f) Tiket untuk 4 orang, tetapi anak bongsu  tak dapat ikut serta kerana terlibat dalam persembahan Citrawarna di Dataran Merdeka.
                                         
Bandara Internasional Minangkabau
HARI PERTAMA

1. Setelah semua urusan imigrasi dan kastam Indonesia selesai, kami keluar dari terminal mencari teksi atau mobil sewa. Ramai pengusaha mobil sewa menawar perkhidmatan. Ramai juga rakyat Malaysia yang bercuti di Padang.

 2. Kami menyewa sebuah Toyota Vios beserta supir menuju ke Bukit Tinggi. Tidak ada lebuhraya yang menghubung Padang - Bukit Tinggi. Oleh itu, pergerakan kenderaan tidak laju. Kami berpeluang menyaksi susun atur bangunan komersial dan perumahan  serta gelagat penduduk di sepanjang perjalanan. Ketika tersebut sedang berlansung kempen Pemilihan Umum (PEMILU). Kelihatan bendera parti berwarna warni  dipacak di pinggir jalan macam PRU di Malaysia kerana berlakunya pertandingan banyak penjuru.
Demokrasi subur di Indonesia. Simbol parti yang bertanding  dalam PEMILU 2009
3. Setelah 30 minit perjalanan, kami mula menyusur laluan desa yang diselangseli dengan kawasan pertanian dan perumahan. Masjid-masjid yang kecil molek, senibina ala Minangkabau bertaburan di sepanjang jalan. Terdapat landasan keretapi yang dibina hampir selari dengan jalanraya. Kami dimaklum landasan keretapi tersebut dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) untuk mengangkut arang batu dari Sawahlunto ke Pelabuhan Padang. Kini sudah tiada lagi perkhidmatan tersebut, tetapi landasan dan jambatannya diselenggara dengan baik, berbeza dengan landasan keretapi Taiping-Port Weld ( Kuala Sepetang)  di Perak.

4.Gunung berapi Gunung Merapi menjadi penghias lanskap. Gunung Merapi adalah model sebenar gunung berapi kerana  bentuknya 'sempurna'.  Cerun cekungnya melandai pada semua arah. Dipercayai jenis pendam @ tidak aktif.

Perhatikan landasan keretapi dan Gunung Merapi yang cantik.
5. Pada pertengahan jalan kami singgah berehat di Air Terjun(Air Mancur) Lembah Anai  dengan  ketinggian terjunan  35 meter. Dipercayai terbentuk akibat dari kejadian pergerakan lapisan bumi secara menegak (vertikal). Penduduk tempatan percaya  air yang jernih dan sejuk dalam kolam lubuk pusar ini jika disapu pada muka boleh awet muda......" Aduh pak,  boleh buat bisnes produk awet muda!"

Salah satu air terjun yang terhampir dengan jalan raya.
6. Kira-kira 3 jam perjalanan, cuaca semakin dingin dan nyaman.  Kami mulai masuk kawasan 'The Grand Canyon of West Sumatera' atau dikenali sebagai  Ngarai Sianok. Topografi dipercayai terbentuk akibat hakisan sungai di permukaan bumi lalu membentuk lurah atau kanyon. Bahagian permukaan dan lereng curam ngarai ini telah dikorek oleh tentera Jepun semasa pemerintahan Jepun di Sumatera Barat untuk djadi kubu dan sel tahanan. Kini terowong tersebut dikenali sebagai 'lubang Jepun'. Pelawat boleh masuk ke dalam terowong tersebut dengan bayaran Rp6k seorang (membiayai kos selenggaraan dan eletrik).  Jurupandu yang dilantik oleh badan wisata Indonesia ada disedia untuk memberi taklimat  kepada pelawat dari  A to Z  mengenai Lubang Jepun ini.  Bayar je la.


Sebahagian dari kanyon dan 'messa'  

Isteri dan anak sedang menuruni 132 anak tangga ke dasar Lubang Jepun yang agak dingin suhunya.


Jam Gadang - ikon wisata Kota Bukit Tinggi

Jemput naik sado/andong mengelilingi tempat-tempat wisata sekitar  Kota Bukit Tinggi


7. Terdapat beberapa kawasan tarikan pelancong di sekitar Kota Bukit Tinggi. Pelawat boleh berhibur dengan dendangan pemuzik jalanan di dataran Jam Gadang,  melihat berbagai senibina rumah Minangkabau di kawasan Rumah Adat Baanjung, Fort de Kock, Kebun Binatang (Zoo)atau menaiki kereta kuda (sado) yang cantik dan berwana warni, tetapi awas jangan terpijak taik kuda. Pengunjung juga boleh 'bershopping sakan' di Pasar Atas dan Pasar Bawah. Isteri dan anak membeli beberapa helai telekong dan 'key chain' serta ' fridge magnet' sebagai  cendera hati.


8. Kami bernasib baik dapat menginap di sebuah hotel 3 bintang 'tanpa aircond'. Selepas solat maghrib/isyak di masjid berdekatan, kami mula cari kedai makan Nasi Padang. Di situ penulis berkenalan dengan Pak Arjil seorang supir kereta sewa. Penulis berbincang dengan supir tersebut untuk pergerakan kami pada hari besok. Dari situ kami dapat maklumat Istana Pagar Ruyong belum boleh dilawati kerana kerja-kerja pembinaan semula belum siap. Kami bincang plan B. Setelah bersetuju dengan jajaran pergerakan besok dan bayaran yang dikenakan,  Pak Arjil pelawa kami naik mobilnya berputar-putar Kota Bukit Tinggi sebelah malam. Kami sempat meninjau ke rumah kelahiran Perdana Menteri Indonesia yang paling sempoi iaitu Dr. Hatta. 

Dr Hatta adalah PM Indonesia semasa Sukarno menjadi Presiden. Terkenal sebagai seorang yang suka  berjimat di dalam hidup (macam penulis?)


HARI KEDUA
1. Hasrat untuk melihat senibina teragong orang Minang iaitu Istana Pagar Ruyong tidak kesampaian. Pak Arjil datang jemput kami di hotel jam 8.30 pagi. Kami disediakan breakfast oleh pihak hotel. Bedallah supaya perut  tidak kosong. Perjalanan kami menuju ke Tasik Maninjau iaitu kira-kira 36 km dari Bukit Tinggi.

Istana Pagaruyong @ Istano Basa

Kebakaran pada 27/2/2007 dipercayai disambar petir, hanya 15 % binaanya selamat
2. Jika berkereta bersama supir, kita kena banyak tanya untuk dapat banyak info. Sepanjang perjalanan kami mulai masuk kawasan topografi tanah tinggi. Terdapat perkampungan dan kawasan pertanian kebun kecil dan diselangseli  dengan sawah padi, jagung dan ladang cengkeh serta pala . Apa yang menarik, kita akan bertembung dengan para pekebun dan anjing buruan mereka. Menurut Pak Arjil, anjing buruan "ditugasi untuk mengendus (pencari jejak), mengejar, mengepung dan menyerang mangsa. Biasanya dari baka import dan kacukan tempatan".


3. Kami akhirnya sampai ke Ambon Pagi iaitu selekoh kelok no.1 dari 44 kelok yang akan dituruni. Kelihatan air danau biru berkilauan . Subhanallah cantiknya  alam ciptaanMu.  Danau Maninjau asalnya gunung berapi mega iaitu Gunung Tinjau yang telah meletus dengan dahsyat membentuk satu lekukan, dinama  tasik krater. Di ikuti  letusan kali terakhir yang lebih hebat, lalu membentuk kaldera yang luas. Kaldera ini mula ditakungi air membentuk tasik kaldera atau Danau Maninjau. Luas tasik ini hampir 100 km per. dalamnya 495 m dan ketinggian dari aras laut 461m. Untuk menuruni  tebing yang curam ini sehingga ke paras air tasik, pemotongan cerun dilakukan membentuk jalan berliku tajam atau 'zig-zag' yang di kenali 'kelok'. Terdapat 44 kelok yang terpaksa dilalui sepanjang kira-kira 10 kilometer untuk  ke bawah. Cantik topografi kelok yang berlatar belakang tasik kaldera . Subhanallah.


Penulis bersama isteri dan anak berada di Kelok 1  di Ambon Pagi



Panorama Danau Maninjau dari Ambon Pagi



Foto google yang paling klasik  Rumah Tradisional Minangkabau berlatarkan Danau Maninjau

Klok Ampek Puluah Ampek


Kelok  ke 44  iaitu yang terakhir selepas perjalanan sejauh 10 km.
Panorama berhampiran Rumah kediaman Buya Hamka 

4. Akhirnya dapat juga kami menjejak kaki ke rumah kelahiran ulama, sastrawan dan aktivis politik  Prof. Dr Hamka di desa  Kampong Molek. Penulis bernasib baik, kerana sempat mendengar tazkirah dari Pak Hanif Rashid (anak buah Hamka) yang menjadi penjaga rumah tersebut. Ketika kami sampai, Pak Hanif sedang bertazkirah dan memperihal kisah anjing buruan dan tuannya (seperti tercatat pada awal entri)





Moral cerita ini menurut  Pak Hanif..."manusia apabila dilaung azan solat fardu tidak mengendah seruan dari Tuannya  iaitu Allah SWT. Tetapi anjing  (Blackie & Darkie), patuh meskipun yang diburu   (babi hutan) sudah tumpas".  Renung-renungkan lah.

5. Rumah kelahiran Hamka telah dijadikan muzium dan perpustakaan yang menempat koleksi barang-barang peribadi, buku-buku dan kitab penulisan Hamka. Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasil 76 buah karya. Apa yang membanggakan kos kerja-kerja ubahsuai rumah ini sebahagiannya adalah sumbangan dari rakyat dan NGO dari Malaysia seperti ABIM.

Pintu utama masuk ke rumah kelahiran Buya Hamka
Potrait Ulama tersohor - Prof. Dr. Hj. Abdul Malik Karim Amrullah @ HAMKA (Feb 1908-Julai 1981)

Atmosfera romantis dan syahadu dalam kamar beradu dengan keindahan dan ketenangan Danau Maninjau mencetus inspirasi   untuk Dr. Hamka mengguna bahasa yang puitis dalam karya-karyanya. Contoh ; "orang yang ditimpa penyakit cinta, tidak sekali mahu sembuh darinya". 

Tafsir A-Azhar terdiri dari 15 Jilid untuk merangkumi 30 Juz.
Penulisan kitab ini adalah selama 20 tahun termasuk lebih dua
tahun merengkuk dalam penjara ketika ditahan di bawah orde lama


Novel ini pernah di adaptasi oleh  Pengarah Erma Fatima dan di siar dalam TV1  Drama Bersiri Hayati

6. Setelah lebih satu jam kami di Danau Maninjau, kami bergerak ke Padang. Laluan yang dipilih amat jarang diguna oleh orang Malaysia. Kami akan mengikuti jalan ke Padang Pariaman iaitu ikut jajaran tebing Danau Maninjau.  Terdapat sebatang sungai iaitu Sungai Batang Sri Antokan  yang mengalir air keluar dari tasik tersebut. Di situ di bina  satu stesen kuasa hidro elektrik di bawah kendalian PLTA,  berkeupayaan 68 mgw. Kami berhenti makan tengahari di restoran ikan bakar bada salai. Habis makan, sisa dan tulang ikan akan dimakan oleh ikan-ikan lain di dalam kolam pemeliharaan. (sekadar permakluman, daerah Padang  Pariaman adalah diantara yang teruk diasak oleh gempabumi yang berlaku pada 30/9/2009. Terdapat sebuah kampung yang ditimbus oleh kejadian tanah runtuh dan diisytihar sebagai 'kuburan massal'.)

7. Hampir empat jam perjalanan dari Maninjau kami sampai Pantai Air Manis untuk melihat seni ukiran yang beradaptasi kisah Malin Kundang atau versi di Malaysia ialah Si Tanggang - anak derhaka disumpah ibunya menjadi batu. Terdapat sebuah ukiran kapal/jong yang telah pecah, terdampar di pantai. Tiang layar telah patah. terdapat tong atau bekas berisi air minum, peti barang kemas dan tali temali kapal. Kesemua objek telah rosak akibat hakisan ombak.. Arca Malin  Kundang yang sedang bersujud memohon keampunan dari ibunya menarik perhatian pengunjung. Tahniah kepada pengukir dan mereka yang memelihara objek di situ. Semoga kisah mitos ini menjadi pengajaran kepada kita dan anak-cucu kita jangan sekali-kali menderhaka kepada ibu dan bapa. 

Arca batu berbentuk manusia Malin Kundang. Yang lain mana ?

Ukiran batu gambaran kain layar kapal yang jatuh bila tiang layar patah  kena pukulan angin ribut

Ukiran tali temali dan tong bekas air yang biasa terdapat pada  kapal layar
8. Terdapat beberapa gerai jualan makanan dan cendera hati. Penduduk tempatan juga ada menjual berbagai-bagai jenis siput-kerang @ coral yang dipunggut dari dasar laut atau yang terdapat di pantai-pantai berpuluhan  pulau berdekatan. Penulis membeli beberapa butir siput- kerang kerana harganya amat murah. Mungkin saudara Ahmad Yani ada membawa balik siput-kerang ketika beliau dan keluarga bercuti di Pulau Pom-Pom Semporna baru-baru ni.  Pembaca yang mempunyai hobi koleksi siput-kerang ini silalah kunjungi ke Pantai Air Manis.

9. Dari Pantai Air Manis, kami terus ke Kota Padang. Menginap di Hotel Jakarta. Sebelah malam, kami keluar ronda-ronda di mall sambil menikmati keindahan malam Kota Padang dan kelipan lampu dari kompleks kilang  PT Semen Padang yang terkenal dengan pengeluaran  simen dan kelab profesional Semen Padang FC.

Makan Nasi Padang Ori

Kami di pinggir Lautan Hindi. Dalam sejarah hidupku, dimana ada kesempatan ke laut, pasti ku sentuh  dan rasa airnya.
HARI KETIGA

1.Pergerakan pada hari ini agak terbatas kerana kami perlu mengambil kira persiapan untuk berangkat pulang. Bimbang urusan bagasi dan imigresen kerana semua ini adalah pengalaman pertama. Selepas sarapan, kami keluar bersiar-siar di pantai dan sempat membeli belah di pasar basah  mencari buah salak pondoh Medan.
  
2. Dari Kota Padang, kami mengambil teksi untuk ke Bandara Internasional Minangkabau. Jam 12.30 teksi meninggal hotel, tetapi kami resah kerana macet mungkin menimbul masalah di bandara nanti. Untuk menghilang rasa keresahan kami meminta supir menyanyi lagu-lagu lama Minang. Disamping lagu "ayam den lopeh", kami juga turut dihibur dengan lagu "Pulang Merantau". Ikuti sebahagian lirik lagu tersebut....

                                         Jauah kito marantau pai marantau
                                         Namun kampuang salalu takanang juo
                                         Pulanglah kito pulang marilah pulang
                                         Basuo kawan-kawasan nan sama gadang

                                         -------------------

                                          Hei rang mudo....marilah kita pulang
                                          Hei rang mudo...marilah kita pulang





Sedutan  dari Jelajah Indonesia Siri 3

Jemaah pada malam tersebut sangat ramai. Hampir kesemua ruang di dalam dan di luar Masjid Baitul Rahman dipenuhi oleh orang ramai yang tertarik dengan kuliah maghrib. Penulis di fahamkan kuliah pada malam tersebut disiar secara lansung oleh  Radio TVRI Acheh kepada pendengar di daerah Acheh. Sambung penceramah lagi..." Kita semua sedia maklum, terdapat 7 perkara ajaib di dunia ini. Saya nak tambah satu lagi. Perkara yang ke-8 ajaib di dunia. Tuan-tuan tahu apakah yang ke-8 tu.  Ia adalah "Gabenor Kelantan".......Penulis tersentak dengan unggapan tersebut. Siapa Gabenor Kelantan ? Apa kaitan dengan dengan 7 perkara keajaiban dunia  dan Acheh ?  jeng.....jeng.....jeng..... teruskan bacaan anda dalam Siri Ke-  3 Jelajah Indonesia ke Bumi Korban Tsunami..... Teruskan bacaan anda SIRI 3  DI SINI   atau balik ke SIRI  1 DI SINI

1 comment:

  1. PENGKHIDMATAN PAKET TOUR DAN SEWA KENDERAAN UNTUK LAWATAN YANG BERBALOI DENGAN FAMILY KAT PADANG DAN BUKITTINGGI.

    Assalamualaikum Tuan/Puan.


    Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
    Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Padang dan Bukittinggi, jangan risau hati sila hubungi :

    KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
    Tour operator & Travel Agency

    Kami menyediakan PAKET TOUR UNTUK PADANG DAN BUKITTINGGI, dan juga untuk PENGKHIDMATAN KENDERAAN SAHAJA dengan harga yang sangat berpatutan dengan driver yang mesra, educated, baik hati, sopan, suka menolong dan sudah lama berpengalaman dalam memberikan pengkhidmatan pada pelancong dari Malaysia.

    Kami berusaha menjadikan lawatan Tuan/Puan sangat berbaloi dan bermakna dengan famili dan rakan-rakan di masa percutiannya bersama kami.

    Wassalam
    Contact person :

    1. Amsyahril
    ( Director )

    Mobile : +62 852 6300 7445 ( WhatsApp )

    2. Riko Adryansyah
    ( Tour & Transportation Manager )

    Mobile : +62 813 6565 4104 ( WhatsApp )

    E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.




    ReplyDelete