Wednesday, 8 January 2014

JELAJAH INDONESIA SIRI 3 :TOK GURU NIK AZIZ SUMBER INSPIRASI DAULAH ISLAM DI ACHEH


1. Kami sekali lagi ke Masjid Baitul Rahman untuk menunaikan solat maghrib/isyak. Ketika kami sampai, masjid sesak dengan jemaah kerana ada kuliah maghrib. Penulis difahamkan kuliah tersebut disampaikan oleh Pemimpin Majlis Permasyuaratan Ulama (MPU) Acheh Besar.
Suasana Masjid Agong Baitul Rahman tempat kuliah maghrib pada malam tersebut
Selepas solat, kami beredar ke halaman masjid sambil mendengar ceramah. Tiba-tiba terdengar penceramah mengulas mengenai kunjungan beliau ke Negeri Kelantan, di mana beliau menyamakan Gabenor Kelantan (Tuan Guru Nik Aziz - Menteri Besar Kelantan) sebagai 'keajaiban dunia ke-8'. "Menurut penceramah Datuk Nik Aziz seorang pemimpin rakyat mungkin sekali tak ada di daerah lain, apa lagi di Acheh. Lebih akrab disapa sebagai Nik Aziz atau Tok Guru Nik Aziz, juga seorang tuan guru atau ulama. Seandainya ulama ini Gabenor Acheh, maka majulah Acheh. Tok Guru juga  digelar Umar bin Khattab Kelantan."
Tokoh ini dikenali sebagai  'Gabunur Kelantan'


Menurut penceramah "Kami berdialog dengan Datuk Nik Aziz mengenai pembangunan, Tok Guru berkata nak jaga dan bangun Kelantan tak sulit bagi saya. Yang sulit adalah nak jaga diri saya dari godaan duniawi."
Setiap malam Tok Guru bermunajat dan menbentang catatan amalannya  kepada Allah swt. Beliau bimbang kunci kira-kira amalannya ditolak oleh Allah swt" ujar penceramah lagi.
Sambung penceramah  " Bila Tok Guru dilantik menjadi Gabenor, Dinas Pembangunan Umum (JKR - penulis) hendak membaiki dan mengaspal jalan sekitar rumah dan pasentran miliknya, tetapi Tok Guru menghalang kerana kenapa sebelum saya jadi Gabenor tak diperbaiki".

Ternyata hadirin yang berada di luar masjid memberi perhatian kepada info yang dikemukakan. Menurut penceramah lagi, "Nik Aziz tinggal di rumah kayu. Gabenor ini juga  tidak pernah tidur di pendodo (kediaman rasmi MB - penulis). Kalau tidur di pendodo harus menyewa guard dan tukang kebun. Pekerja digaji dengan wang negara di mana wang itu seharusnya diguna untuk mensejahterakan rakyat." tambah penceramah.

2. Sebenarnya terdapat beberapa perkara persamaan di antara Kelantan dan Acheh.

2.1 Kedua-duanya digelar'Serambi Mekah" dan berhasat  melaksanakan sistem pentadbiran serta perundangan Islam sebagaimana diperintah  Allah SWT.
2.2 Unsur-unsur Islam diterap ke dalam pentadbiran Negeri dan pihak berkuasa tempatan, misalnya tulisan jawi dimertabat pada bunting dan papan iklan dan larangan pendedahan aurat.
2.3 Aktiviti muamalat dikendali sepenuhnya oleh orang Islam. Kedua-duanya  mempamirkan gender wanita lebih menonjol dalam sektor perniagaan
2.4 Kedua-duanya  mempunyi jumlah pondok atau pasentren yang paling banyak  berbanding daerah atau negeri lain.
2.5. Tradisi orang Acheh dan Kelantan yang suka merantau dan buka perkampungan mereka. Di Malaysia,   perkampungan orang  Acheh terdapat di  Kampong Acheh, Yan, Kedah, Setiawan Perak Pantai Acheh Nibong Tebal dan  Lebuh Acheh di Geogretown, Manakala Kampong Kelantan di Pantai Dalam KL, Kampong Kelantan di Johor dan sebagainya.
2.6 Orang Acheh dan Kelantan mempunyai  semangat juang yang tinggi. Orang Acheh melalui Gerakan Acheh Merdeka (GAM) pernah berjuang menuntut kemerdekaan dari Jakarta, manakala orang Kelantan melalui ROYALTI berjuang menuntut dikembalikan royalti hasil petroleum dan gas dari Putrajaya.


JELAJAH BANDA ACHEH  DI NANGGROE ACEH DARULSALAM - BUMI KORBAN TSUNAMI


1. Internerari Flight  : KUL-BTJ-KUL
1.1 Tarikh lawatan :  16 SEPT. 2011
1.2 Jam berlepas dari KUL 10.25 am dan tiba di BTJ jam 10.50 am (waktu tempatan)
1.3 Tambang pergi - balik RM 10.00 (sepuluh ringgit shj.) seorang tidak termasuk airport tax, fuel surchage, insuran dan daftar bagasi.
1.4 Jumlah peserta - 5 orang anak beranak kami.


HARI 1

1. Ketika pesawat mulai terbang rendah, kami dapat melihat panorama bumi Acheh Besar yang cantik. Terdapat kelompok deretan rumah berbumbung biru/kelabu bersusun atur macam perumahan peneroka Felda di Malaysia - mungkin petempatan semula penduduk pasca tsunami 2004 dulu

2. Urusan imigresen dan bagasi tidak ada masalah. Semua kakitangan/petugas wanita di Bandara Internasional Sultan Iskandar Muda menutup aurat - Alhamdulillah. Jajaran pergerakan di sekitar Banda Acheh tidak menjadi masalah kerana kami sudah ada kenalan yang akan membawa kami berkunjung ke tempat-tempat menarik.

Bandara baharu dibuka untuk penerbangan domestik dan internasional.
3. Kami terus mendapatkan sebuah kereta sewa ke Banda Acheh. Jalanraya agak lengang kerana waktu solat Jumaat. Kami behenti ke destinasi pertama iaitu ziarah perkuburan korban bencana tsunami di Siron. Sejumlah 50 ribu mayat telah dikebumikan di situ. Semoga roh mereka aman dan tenang. Amin.  Satu monumen didirikan bagi menperingati mangsa tragedi.

Monumen Mangsa Korban Tsunami di tanah perkuburan massal.

Kelihatan beberapa  waris sedang membaca surah Yasin di bawah riimbunan pokok, sebagai hadiah kepada roh kaum keluarga dan sahabat handai yang terkorban dalam tragedi tersebut

4. Kami menerus perjalanan ke restoran makanan istemewa Acheh di Rumah Makan Acheh Reuyuk. Menurut supir, di antara masakan  istimewa Acheh adalah  'Ayam Tangkap'. Masakan ini berupa daging ayam kampung (dara) yang digoreng dan disorok ke dalam daun-daun kari dan berbagai daun herba lain. Aroma daun kari menaikkan selera makan kami.

Alhamdulillah, syukur dapat makan dengan selera

Masakan Ayam Tangkap. Cuba cari potongan daging ayam yang disorokkan dalam daun kari

5. Kami memilih Hotel Rasamala (Rp320k/bilik/ semalam) kerana berdekatan dengan Masjid Teuku Umar. Unik masjid ini  kerana kubahnya berbentuk seperti  topi pahlawan Acheh.
Hotel Rasamala Jln. Teuku Umar, Banda Acheh

Selesa, hawa dingin, ada shower, tv dan mini fridge

 6. Selepas solat zohor/asar,  Iman Masjid Teuku Umar Bapa Has Ghazali Cut Nie atau di panggil Tok Chik datang ziarah.  Kami berasa amat terharu di atas sifat besar hati beliau  berkunjung kami di hotel  - mejalinkan ikatan silatur-rahim. Tok Chik mempunyai ramai kenalan di Malaysia termasuk di Kampong Lahar Yooi,  Tasik Gelugor.   Tok Chik menceritakan  detik-detik peristiwa tsunami 12/04. Masjid Teuku Umar adalah di antara kawasan penempatan mangsa tsunami.  Berbulan-bulan kawasan masjid dipenuhi dengan ribuan mangsa sebagai penginapan sementara.

Bersama Imam Besar. Perhatikan kubah masjid berbentuk topi pahlawan Acheh.

7. Tok Chik membawa  kami berkunjung ke beberapa kawasan kesan daripada bencana tsunami. Destinasi pertama ialah ke tongkang  Penjana kuasa Penggerak Listrik Tenaga Disel  @ PLTD Apong 1 yang berat 2600 tan telah hanyut  sejauh lima kilometer dari kawasan berlabuh berhampiran Pantai Ulee Lhee ke Desa Punge Blangkut. Tongkang penjana kuasa elektrik  ini adalah 'hadiah' dari penduduk Kalimantan kepada rakyat Acheh kerana  Banda Acheh mengalami kekurangan bekalan kuasa elektrik. Kini PLTD Apong 1 sudah tidak berfungsi lagi, sebaliknya menjadi satu monumen yang menjadi tarikan pelancong. Bersebelahan dengannya terdapat sebuah pusat seni yang mempamirkan ratusan foto mangsa tsunami.
PLTD Apong  1 lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi dari feri Pulau pinang

Bahagian belakang 

Pandangan dari tingkat atas 

Replika   PLTD Apong 1 ketika dihanyut oleh tsunami (ditempatkan di dalam Muzium Tsunami Acheh 




8. Kami dibawa pula ke pantai Ulee Lhee.  Terdapat jeti pendaratan ikan dan bot-bot nelayan di tambatan. Terdapat gerai makanan dan minuman didirikan di situ. Seterusnya kami ke Desa Lampulo  melihat bot ikan tuna yang dihanyut dan terdampar di atas bumbung rumah.

Foto awal sebelum kerja-kerja naik taraf sebagai destinasi tarikan pelancong ke Desa Lampulo.

Tiang penyangga konkrit dibina untuk penyokong rumah supaya tidak ranap.

Kerja-kerja pembinaan kanopi mula dijalankan


Model bot ikan ketika saat-saat kecemasan dihanyut ombak besar di Muzium Tsunami
9. Kami pulang semula ke hotel. Pada sebelah malam kami dirai dan makan malam di rumah  Tok Chik yang terletak di Jalan Teuku Umar.  Pelbagai masakan Acheh dihidangkan  kepada kami. Kira-kira sejam kami di situ, kami balik ke hotel. Sambil berjalan kami meninjau kegiatan malam yang juga meriah.

Pasca tsunami - ramai warga Banda Acheh keluar makan/lepak di cafe pada waktu malam.

HARI KE-2

1. Pembantu Tok Chik iaitu Saudara Akbar membawa kami ziarah Muzium Tsunmami. Bangunan moden dan canggih baharu siap dibina pada Disember  2008 berbentuk seperti kapal, mempunyai empat aras lantai. Di hadapan pintu utama dipamir sebuah helikopter polis yang telah rosak dihempas ombak tsunami. Laluan masuknya sempit, suasana hampir gelap dan dihujani tempias air yang mengalir dari sisi kanan dan kiri dinding bangunan. Sebuah panggung mini disedia bagi membolehkan  kira-kira 50 penonton untuk menyaksi video tragedi tersebut.  Di lantai bahagian atas dibina sebuah model rumah dan  motor penggegar dengan inkator sehingga 9 skala ritcher dipasang di bahagian bawahnya  bagi membolehkan pengunjung merasai bagaimana kuatnya gegaran gempa bumi.  Muzium dengan  kelengkapan serba canggih dan moden ini tidak mengenakan sebarang bayaran untuk masuk ke situ.

Air mengalir turun dari  dinding laluan masuk ke dalam muzium

Helikopter  polis yang rosak dirempuh ombak tsunami


Senarai nama sebahagian mangsa korban dipamirkan di dinding sebelahdalam muzium 

Model Moforlogi Banda Acheh sebelum tsunami 2004



 Sebahagian Banda Acheh kesan selepas  tsunami

Model gambaran ombak besar menerjah pantai


2 Dari muzium kami berjalan kaki ke perkuburan tentera Belanda yang tumpas dalam Perang Acheh Belanda (1873-1904). Seramai 2,200 tentera Belanda termasuk salah seorang jeneralnya iatu Kerkholf dikebumikan di situ.

Senarai nama tentera Belanda yang tewas ditikam rencong aceh
 3, Kami seterusnya berjalan kaki ke Lapangan Blang Padang. Di situ terdapat replika pesawat Dakota RI-001 yang merupakan   kapal terbang pertama   dibeli oleh Republik Indonesia hasil sumbangan wang dan emas dari rakyat Acheh.  Di situ juga terdapat monumen 'Thanks to the World - tanda ucapan terima kasih dari rakyat Acheh pada negara-negara yang terlibat di dalam kegiatan pembangunan semula Acheh pasca tsunami


Kerajaan UAE turut menyumbang

4. Kami singgah di Masjid Raya Baiturahman untuk solat. Terpegun  melihat senibinanya seakan-akan Masjid Zahir di Alor Setar. Di antara ciri yang menarik, terdapat satu parit yan aliran airnya bersih dan mengalir mengelilingi masjid bagi membolehkan jemaah yang membasuh kaki sebelum melangkah masuk ke dalam masjid. Strukturnya kukuh menahan gempa bumi pada bacaan 8.5 SR yang meragut 100,000 nyawa pada 26/12/2004.

Perhatikan ketinggian  jam yang dipasang dihadapan bangunan masjid - tanda aras  tertinggi capaian ombak tsunami
Inilah jam asal Masjid Baitul Rahman yang disimpan di Muzium Tsunami. Lihat detik disaster.


Ruang solat dalam masjid



Model masjid selepas air laut surut yang dipenuhi sampah sarap

5. Kami seterusnya dibawa ke kedai jualan souvenir. Penulis sempat membeli sebuah replika rencong aceh dan  topi pahlawan yang dipakai ketika rakyat Acheh menentang tentera Belanda.


Topi pahlawan acheh dan replika rencong

6. Destinasi kami seterusnya adalah ke 'Gunongan' a.k.a 'Taj Mahal  Acheh'. Gunongan bukanlah makam, sebaliknya sebuah binaan berbentuk seperti 'bukit atau gunung', dibina oleh Sri Sultan Iskandar Muda yang berkahwin dengan seorang puteri dari Kesultanan Pahang yang dikenali Putroe Phang. Cintanya baginda kepada puteri yang selalu bersedih kerana memendam rindu yang amat sangat terhadap kampung halamannya yang berbukit-bukit. Oleh kerana itu, sultan membina 'Pergunongan' untuk mengubati rindu isterinya. Kami bernasib kerana pengawal 'Gunongan' membenarkan kami masuk dan memanjat hingga ke'puncak'.


Binaan berbentuk seperti gunung, ada laluan mendaki untuk sampai ke puncak

Laluan ke puncak Gunongan

Di sini agaknya Putroe Phang duduk merenung dan merindui kampong halamannya  Negeri Pahang. 
7. Dari Gunongan di Taman Istana, kami ke Masjid Agung Baitul Rahman sekali lagi untuk tunaikan solat maghrib. Ramai jemaah bersolat di situ kerana ada ceramah agama. Kami terpegun kerana penceramah mengaitkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (ketika tersebut masih Menteri Besar Negeri Kelantan DN) sebagai 'keajaiban dunia ke-8'. Selain dari jemaah masjid, terdapat beberapa selebriti tempatan yang sangat cun berperaga jubah yang dihiasi labuci dan sulaman yang sangat cantik

HARI KE-3

1. Selepas sarapan kami berkumpul di lobi hotel. Tok Chik dan Sdr. Akbar tiba untuk membawa kami ke bandara. Kesuntukan masa hanya mengizinkan kami singgah sebentar untuk membeli buah salak dan jeruk (limau) di pasar. Seterusnya ke bandara. Ucapan terima kasih kepada Tok Chik, keluarga dan Sdr. Akbar kerana sudi menjadi pemandu pelancong kami ketika di Banda Acheh. Penulis berazam untuk berkunjung semula ke Acheh pada masa hadapan kerana masih banyak tempat yang perlu dilawati, di antaranya daerah Samalanga yang terletak makam Tun Seri Lanang, pengarang Kitab Sejarah Melayu iaitu suatu dokumen persejarahan kesultanana Melayu di Malaysia

2. Banyak kisah yang menarik yang mengusik hati bila kita mendengar cerita-cerita disebaik tragedi tsunami. Penulis cadangkan kepada rakan-rakan fb supaya jadikan Banda Aceh sebagai salah satu kunjungan anda untuk melihat sendiri  Kebesaran dan Keagungan Allah di bumi tersebut
                    .

HIKMAH DI SEBALIK TRAGEDI TSUNAMI 2004

1. Wujud keamanan yang berkekalan di Acheh apabila tentera Gerakan Acheh Merdeka (GAM) dan Tentera Republik Indonesia (TNI) bersetuju mengadakan  genjatan senjata dan memeteri perjanjian perdamaian. Kini, penduduk Acheh terutama di sekitar Banda Acheh tidak bimbang untuk keluar bersantai pada sebelah malam.

Gerai roti canai dan teh tarik milik pengusaha dari Malaysia menjadi tumpuan warga kota Acheh pada waktu malam
2. Bantuan kemanusian dan pembangunan semula infrastruktur yang rosak dari berbagai negara telah merancakkan semula ekonomi Acheh yang suram sekian lama.
3. Perancangan semula sebahagian dari guna tanah Banda Aceh dengan mennyusun semula kawasan petempatan, kawasan hijau (green belt), komplek perniagaan dan pentadbiran dan pusat pelancongan.
4. Beberapa jentera dan kenderaan berat serta mesin yang dibawa untuk bantuan logistik dan pembangunan semula insrastruktur yang rosak ditinggal atau  dihadiahkan kepada pihak berkuasa Acheh,  telah dapat meringan kewangan pihak berkuasa tempatan bagi membiayai pembelian peralatan dan jentera tersebut.
Sebahagian dari trak Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa diubahsuai oleh Wali Kota Banda Acheh menjadi lori angkut sampah.

5. Berapa tarikan pelancong baharu diperkenalkan. Kegiatan ekonomi beraaskan ekotourisam berkembang pesat.
6. Pembinaan airport baharu bertaraf antarabangsa dan sistem pengangkutan darat telah dinaik taraf. Syarikat penerbangan tempatan telah menambah jadual kekerapan penerbangan ke Banda Acheh. Syarikat Air Asia dan Firefly dari Malaysia menghubungkan destinasi KL - Acheh dan Penang - Acheh.
Laluan Firefly Penang-Acheh



SEDUTAN JELAJAH INDONESIA SIRI 4

Rakyat jelata berkumpul di kawsan lapang  belakang dapur istana semenjak awal pagi. Itulah rutin harian rakyat marhaen yang tinggal berdekatan istana raja Sebentar lagi tingkap dapur akan dibuka. Mereka bersiap sedia. Detik yang ditunggu kini tiba.  Tukang masak istana mula mencurahkan bekas-bekas berisi perut, urat, usus, lemak, tulang, sisa daging yang melekat pada kulit dan berbagai organan dalaman dari ayam, lembu atau bebek  kehadapan rakyat yang siap sedia berebut-rebut mendapatkan bahan-bahan buangan tersebut. Apa lagi, suasana hingar bingar dengan  pekikan orang dewasa dan kanak-kanak yang berebut-rebut dan tolak menolak mengutip sisa tersebut.

Kenapa rakyat  berebut-rebut untuk memungut 'sisa kotor' tersebut?  Teruskan bacaan anda dalam siri Jelajah Indonesia ke Ujung Pandang,  Sulsel. SIRI 4 DI SINI atau balik ke SIRI 2  DI SINI


No comments:

Post a Comment