Tuesday, 26 August 2014

NAK JADI DOKTOR ? SUSAH NAK MASUK U SUSAH NAK BELAJAR





Malaysia dikatakan mengalami lambakan doktor baru-baru ini. Kenyataan ini mungkin mempunyai asas. Tetapi, fenomena ini harus diteliti dengan baik supaya ia tidak merugikan mana-mana pihak terutama rakyat jelata. Kenyataan ini tidak seharusnya dibuat untuk menjamin dan memastikan golongan iktisas ini sentiasa menikmati pendapatan lumayan.Secara lumrahnya kita semua tahu apabila jumlah doktor adalah rendah bilangannya dan permintaan pula tinggi, maka ini secara logiknya akan memberi pendapatan lumayan kepada golongan tersebut. Jika jumlah doktor bertambah dengan banyak iaitu 'supply' ataupun penawaran meningkat maka ini pastinya akan mengugat pendapatan yang diperolehi. Oleh itu, faktor pendapatan itu tidaklah patut dijadikan sebagai asas atau kayu pengukur untuk menyatakan sama ada negara kita sedang mengalami lambakan doktor atau tidak.

Pada pandangan saya, nisbah ataupun ratio bilangan doktor dengan jumlah rakyat adalah pendekatan terbaik untuk memastikan kewujudan lambakan doktor di dalam negara kita. Pada masa ini, didapati nisbah doktor dengan penduduk adalah 1:1000.  Nisbah ini menunjukkkan kita masih kekurangan doktor jika dibandingkan dengan negara maju.




Bagi negara-negara maju yang amat mementingkan sektor kesihatan, ratio ini kira-kira 1:400. Negara kita juga menyasarkan untuk mencapai ratio 1:400 pada 2020 iatu dalam tempoh 6 tahun lagi. Bagaimanakah kerajaan akan mencapai sasaran itu jika kita sudah mula mengawal pengambilan pelajar perubatan pada masa ini?
Adakah Malaysia benar-benar mengalami lambakan doktor? Pada hemat saya piawaian sektor kesihatan negara kita masih belum mencapai tahap memuaskan. Kalau benar kita mempunyai jumlah doktor berlebihan, kenapa pula orang yang pergi ke hospital kerajaan merungut sukar mendapatkan tarikh temujanji dan tarikh pembedahan?

Ramai yang terpaksa menungggu berbulan-bulan untuk menjalani pembedahan kerana tidak dapat memperolehi tarikh daripada doktor-doktor yang terlibat. Ramai juga yang meninggal dunia dalam tempoh masa menunggu tarikh pembedahan yang diberikan doktor di hospital awam.

Jika benar kita mengalami lambakan doktor, kenapakah kos rawatan dan perubatan begitu tinggi di hospital swasta? Keadaan ini tidak sepatutnya wujud kerana persaingan antara doktor yang ramai dalam negara ini sepatutnya akan merendahkan lagi kos rawatan dan perubatan dan bukan sebaliknya.

Ramai doktor kerajaan yang sanggup meletak jawatan dan beralih ke hospital swasta kerana permintaan yang tinggi untuk doktor. Oleh itu, tidak logik jika kita mengatakan kita mengalami lambakan doktor dalam konteks ini.

Saya juga berpendapat kita tidak mengalami lambakan doktor, tetapi kita ketandusan tempat di hospital untuk melatih doktor baru yang tamat pengajian ijazah. Kita perlukan lebih banyak hospital kerajaan di seluruh negara. Kita harus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan untuk pesakit miskin dan sederhana. Kita harus meningkatkan semua jenis infrastruktur dalam hospital awam.

Di kebanyakan hospital daerah, memang tidak mempunyai kakitangan yang cukup terutama pegawai perubatan. Saya boleh merujuk kepada Hospital Batu Gajah sebagai contoh. Pesakit yang ke hospital ini sentiasa mengadu kelewatan dalam mendapat rawatan. Apabila perkara ini dibangkitkan, alasan yang kita terima ialah kekurangan kakitangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana memang tidak cukup pegawai perubatan terutamanya pada waktu malam di bahagian kecemasan dan wad.

Dakwaan kita mempunyai lebihan doktor itu tidak munasabah untuk dijadikan alasan mengurangkan pengambilan pelajar ke fakulti perubatan di universiti awam pada tahun ini. Tindakan mengurangkan pengambilan pelajar perubatan di universti awam adalah tindakan yang kurang rasional. Kerajaan cuba melepaskan tanggungjawab dan beban itu untuk mengurangkan perbelanjaannya.

Tetapi, ini akan menyusahkan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga miskin ataupun sederhana. Golongan ini tidak mampu menghantar anak mereka untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti swasta.
petikan dari fb seorang mahasiswa perubatan

Pada masa yang sama pelajar yang kurang bijak tetapi mempunyai kemampuan kewangan pula dapat mengikuti kursus perubatan di universti swasta yang mula bercendawan di negara kita. Pada hakikatnya, graduan perubatan meningkat bukan kerana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetapi sebahagian besarnya daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tindakan kerajaan mengurangkan tempat bagi kursus perubatan di universiti awam membuktikan ketidak prihatinan serta menindas pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan. Selain itu, dasar seperti ini juga menggalakkan universiti swasta mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi kos pembelajaran seperti yuran dan sebagainya pada masa depan.


Saya rasa amat simpati terhadap ratusan pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang tetapi tertipu dengan  tindakan kerajaan mengurangkan pengambilan masuk pada tahun ini secara mendadak. Kerajaan mengecewakan anak-anak kita yang mempunyai harapan besar. Cita-cita mereka hancur kerana kerajaan yang bersikap tidak adil.

Persoalannya sekarang ialah kenapa kerajaan tidak mengumumkan awal-awal lagi keputusan mereka untuk mengurangkan pengambilan pelajar di fakulti perubatan pada tahun ini? Bukankah ini bermakna kerajaan menganiaya anak-anak kita yang bertungkus lumus mambakar pelita?

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan hanya 418 pelajar yang layak diberi peluang mengikuti jurusan perubatan di IPTA pada tahun ini.  Beliau berkata tawaran tempat yang terhad itu bagi mengawal jumlah siswazah perubatan baharu dan mengelak berlakunya kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.

Seramai 1,163 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 memohon jurusan perubatan tetapi hanya 418 tempat saja ditawarkan kepada pelajar cemerlang ini. Apakah nasib 745 pelajar cemerlang yang gagal mendapat jurusan perubatan itu terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati?

Jumlah pengambilan mahasiswa perubatan di IPTA semakin berkurangan setiap tahun sejak 2012. Pada 2011 pengambilan pelajar untuk jurusan perubatan adalah 983 orang, manakala pada 2012 pula dikurangkan kepada 875 orang. Jumlah itu menjadi lebih kecil lagi pada 2013 iaitu hanya 699 orang pelajar diambil untuk jurusan perubatan. Pada tahun ini hanya 418 pelajar sahaja.

Ternyata pengambilan pelajar jurusan perubatan semakin berkurangan di IPTA. Bagaimana pula di IPTS? Adakah jumlah pengambilan jurusan perubatan meningkat atau merosot setiap tahun? Perkara ini akan saya bangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Kuliyyah of Medicine UIAM Kampus Kuantan menjadi rebutan.

Kebelakangan ini banyak IPTS menawarkan program perubatan. Ini berpunca daripada permintaan yang tinggi untuk jurusan tersebut. Pada masa ini wujud lebih 30 sekolah perubatan swasta di negara kita. Persatuan Perubatan Malaysia mendakwa 4,000 hingga 5,000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun. Menurut mantan Presidennya, Dr David Quek Kwang Leng, masalah lambakan doktor yang wujud di negara kita berpunca daripada kewujudan banyak Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan pelbagai kursus perubatan.



Justeru itu, bilangan IPTS merupakan punca masalah ini. Tetapi kerajaan pula mengurangkan pengambilan pelajar perubatan di IPTA. Perkara ini perlu dikaji semula dengan serta merta dan memberi peluang kepada anak-anak kita yang memiliki keputusan cemerlang mengikuti kursus pilihan mereka. Inilah keadilan terbaik yang patut diberikan kepada mereka yang layak. – 26 Ogos, 2014.


* artikel dari The Malaysian Insider

* V Sivakumar ialah Ahli Parlimen Batu Gajah.

No comments:

Post a Comment