Saturday 9 August 2014

ANTARA PEMECATAN KHALID AL-WALID (r.a) & KHALID IBRAHIM


BERITA TERBAHARU : Tan Sri Khalid telah dipecat dri PKR sebentar tadi. Baca disini

POSTING ASAL

KHALID AL WALID r.a


1. Khalid bin al-Walid (1 Julai 592- 1 Oktober 642),  juga dikenali sebagai 'Pedang Allah', adalah antara panglima tentera Arab yang memainkan peranan penting dalam peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine (Rom)  dan tentera Parsi pada kurun ketujuh. Beliau terkenal dengan kebijaksanaan sebagai pakar taktik dan komander kaivari teragung dalam peperangan dan mengepalai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Pencapaian terulung ialah dimana beliau berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja.

2. Khalid bin al-Walid berbangsa Arab  dari keturunan Quraisy. Pada zaman kanak-kanaknya, Khalid belajar menunggang kuda dan mengguna senjata seperti tombak, lembing, busur dan pedang. Dikatakan tombak menjadi senjata kesukaannya. Pada zaman remaja beliau disanjung sebagai seorang pahlawan dan ahli gusti oleh orang Qurais. Sebelum memeluk Islam,  beliau merupakan seorang askar yang aktif ketika Perang Uhud menentang tentera Islam dan hampir-hampir memastikan kemenangan Quraisy dalam pertempuran itu. Pada tahun 627 M beliau mengambil bahagian dalam Perang Ahzab  @ Perang Khandaq menentang Muslim Madinah. Perang Ahzab merupakan kali terakhir Khalid menentang Islam.


3. Ketika tempoh gencatan senjata  berikutan pemeteraian Perjanjian Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam bersama Amr al-Ash dan Uthman bin Talha pada Mei 629M dan memohon maaf kepada Nabi Muhammad atas tindakan beliau sebelum ini. Tiga bulan selepas  Khalid memeluk Islam di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w menghantar seorang utusan kepada kerajaan Ghasan Syria, sebuah kerajaan ufti di bawah Empayar Byzantine, dengan sepucuk surat yang mempelawa raja Ghasan untuk memeluk Islam, tetapi dibunuh oleh seorang ketua Ghasan tempatan yang bernama Syuhrabil bin Amr. Sebuah ekspedisi ketenteraan ditubuhkan untuk menghukum pihak Ghasan. Rasulullah s.a.w melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima pasukan Muslim. Sekiranya Zaid gugur, tampuk pemerintahan akan diambil alih Ja'afar bin Abi Talib, dan sekiranya Ja'afar juga gugur, tentera Islam akan dipimpin Abdullah bin Rawahah. Bagaimanapun, ketiga-tiga panglima tesebut terkorban  maka  Khalid dipilih tentera Islam sebagai pengganti. Beliau berjaya memimpin angkatan seramai 40,000 orang menentang ketumbukan besar Empayar Byzantine dan Ghasan seramai 200,000 dalam pertempuran Yarmouk di Mu'tah pada 15 Ogos 636M. Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim pada saat yang genting, dan mengubah apa yang berkemungkinan menjadi penyembelihan tentera  Islam kepada satu pengunduran strategik dan berjaya menyelamatkan pasukan Muslim daripada kemusnahan total. Seramai 80,000 tentera Byzantine terbunuh berbanding cuma 4,000 tentera Islam syahid. Kemenangan dalam peperangan tersebut telah membuka laluan kepada pembukaan Kota Baitul Maqdis pada tahun 637M. Selain dari itu, hampir 50 peperangan lain yang dipimpin oleh Khalid, termasuk memerangi golongan murtad.
di sinilah berlakunya Peperangan Yarmouk - Jordan
penulis di Makam Zaid Harithah di  Mu'tah Jordan


4. Peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid r.a dari jawatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam  dilakukan oleh Khalifah Umar al Khattab r.a. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' Llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana. Rakyat melihat kepahlawanan beliau yang  luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk memperluaskan dan meyebarkan Islam ke pelusuk dunia. Tapi Khalifah Omar dengan sifat pandang jauhnya  dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata. Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid  menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jawatan penting tersebut  kepada pengganti iaitu  Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah r.a.

5. Selepas dilucutkan jawatan tersebut, Khalid menjadi tentera biasa. Berikutnya beliau membawa isteri dan anak-anaknya berhijrah ke Syria. Isteri dan anak-anaknya meninggal dunia kerana serangan wabak taun. Akhirnya Khalid ketika usia 55 tahun   menghembuskan nafas terakhir di situ dengan penuh kehampaan kerana niat beliau untuk syahid di medan peperangan tidak kesampaian.   Khalifah Umar amat bersedih dengan kematian panglima Khalid bin Al Walid. Satu ketika selepas pemecatan tersebut yang menimbulkan rasa ketidakpuasan hati tentera Islam yang lain, Umar berkata, "aku memecat Khalid bukan kerana benci tetapi dia terlalu keras terhadap musuh. Aku tak mahu orang menyangka kemenangan tentera Islam kerana Khalid menjadi ketua. Aku takut apabila dikatakan kemenangan Islam adalah kerana pemimpinnya, bukan kerana bantuan Allah.  Dan satu lagi, Khalid terlalu sayangkan anggota pasukannya. Apabila mendapat harta rampasan perang dia tidak menunggu arahan sebaliknya terus membahagikan harta rampasan perang kepada anggota pasukannya".

Makam Khalid al-walid r.a di Syria


KHALID IBRAHIM

1. Abdul Khalid Ibrahim (Tan Sri) dilahirkan pada 14 Disember 1946 di Kuala Selangor. Selepas graduan dari Fakulti Ekonomi Universiti Malaya dan perolehi ijazah MBA dari Universiti Queensland, beliau pernah bekerja sebagai guru, pensyarah universiti, pegawai kredit, pegawai kewangan korporat dan berkecimpong dalam dunia koporat dengan jawatan sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad. Dari situ beliau menjadi terkenal setelah menyelesaikan 'dawn raid' di Bursa Saham London yang mana PNB berjaya memiliki 51% syer di syarikat perindustrian British iaitu Guhtrie kurang daripada dua jam, seterusnya beliau  menjadi CEO syarikat berkenaan.

2. Beliau kemudian meninggalkan lapangan korporat dan terjun ke dunia politik, menyertai parti pembangkang iaitu PKR. Mulanya sebagai Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Perhubungan PKR Selangor. Kemasukan beliau selaku tokoh ekonomi ke dalam PKR memberi nafas baru dalam pakatan pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Hubungan beliau dengan pemimpin PKR Anwar Ibrahim bermula terlebih awal.  Pada 25 April 2007, Datuk Seri Najib Tun Razak menuduh Khalid Ibrahim kecewa kerana tidak mendapat 20 % saham Guthrie. Mulanya beliau meminta 6.5 % pada 1994 dan meningkat kepada 20 %. Untuk 6.5% dia terpaksa meminjam RM175 juta. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menulis surat kepada pengerusi PNB, Tun Ismail Mohd Ali agar saham diberikan kepada Khalid Ibrahim. Ismail Mohd Ali ialah abang ipar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.


3. Dalam Pilihan Raya Kecil Ijok 2007 beliau ditumpaskan oleh K. Parthiban dari MIC dengan majoriti 1,920 undi yang menyaksikan  ucapan tersasulnya 'Undilah Barisan Nasional' telah diulang-ulang dalam media elektronik.  Dalam  PRU-12  pada 8 Mac 2008, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen P124 Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri N11 Ijok yang mana beliau berjaya menguasai kedua-kedua kerusi yang beliau tandingi. Beliau menewaskan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri , Datuk Tan Chai Ho dari MCA di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 2,515 dan menumpaskan  Datuk Mohamed Sayuti Said di DUN Ijok pada 8 Mac 2008.

4. Dalam PRU-12 PR yang memenangi 36 kerusi DUN  (PKR 15, DAP 13 dan PAS 8)  secara konsensus telah memilih beliau menjadi Menteri Besar Selangor ke -14 dan merupakan orang pertama yang bukannya mewakili parti komponen Barisan Nasional. Sebaik sahaja menjawab jawatan MB, beliau mengumumkan pemberian air perrcuma sebanyak 20m3 . Beliau juga merangka penstrukturan semula air di Selangor setelah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bercadang menaikkan tarif air di Selangor. Keputusan kenaikan tarif air akan dibuat oleh kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan Selangor akan membuat beberapa cadangan supaya perkara ini tidak akan membebankan rakyat. Strategi pengurusan air kerajaan Pulau Pinang yang kosnya dikatakan lebih rendah daripada Selangor akan diteliti. Penilaian semua aset Puncak Niaga, SYABAS, ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) sedang dirunding. Puncak Niaga menetapkan lebih RM6 bilion sebagai nilai pengambilalihan semua aset berkenaan oleh kerajaan negeri Selangor.


5. Isu air di Selangor juga dikaitkan dengan  Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) diadakan berikutan Kerajaan Persekutuan atas nasihat pakar termasuk dari Jepun meramalkan Lembah Klang akan berhadapan dengan krisis air seawal tahun 2014. Oleh itu loji tambahan dibina di Hulu Langat perlu dibina bagi kawasan yang selalu terjejas dengan bekalan air. Khalid Ibrahim dan pemimpin PR berterusan mendakwa projek itu membazir, akan membebankan caj pengguna. Namun akhirnya MoU ditandatangani selepas kerajaan persekutuan bersetuju membantu pengambilalihan aset pemegang konsesi air oleh kerajaan negeri, antara Khalid dengan Kerajaan Persekutuan yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pemimpin PR terkejut dengan MoU itu kerana mereka tidak mengetahuinya.  Tan Sri Khalid selain isu kebajikan air, juga terkenal dengan program Memesrakan Ekonomi Rakyat atau MES. Maklumat lanjut MES di sini. Sebanyak 17 program MES yang telah dilaksana, di antaranya Air Bersih Percuma, skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Pusat Khidmat Krisis Serenti, Hadiah Anak Masuk Universiti dan sebagainya. Bagaimana pun, Khalid juga dikatakan seorang MB yang 'kedekut' kerana telah berjaya mengumpul rizab negeri Selangor sebanyak  RM 3 bilion  berbanding dengan jumlah RM 1 bilion rizab dengan RM 400 juta tunai peninggalan MB sebelum itu

6. Apa yang lebih menarik, kejayaan Tan Sri Khalid menerajui Selangor dikatakan tidak memdapat perhatian pimpinan tertinggi PKR meskipun PR Selangor menang besar dan memperolehi majoriti 2/3 DUN Selangor dalam PRU-13 (PAS 15, DAP 15  dan PKR 14). Ramai  pada kalangan pengundi di Selangor merasakan kejayaan besar PR di negeri tersebut ada kaitan dengan ketokohan dan kepimpinan Tan Sri Khalid mengurus tadbir negeri yang cemerlang. Tetapi bagi Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Selangor secara terbuka pernah menegur Khalid jangan terlalu berbangga dengan lebihan wang yang diperolehi tetapi gagal membelanjakan dengan baik. Untuk mempastikan rakyat luar bandar terutama di kawasan Parlimen Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Hulu Selangor diberikan peruntukkan pembangunan secukupnya, Anwar telah menghantar Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Ketua Staf di Pejabat Menteri Besar pada Julai 2013 untuk memperbaiki kelemahan pentadbiran Khalid, tetapi gagal.

7. Oleh yang sedemikian, apabila Speaker DUN Selangor mengumumkan kekosongan kerusi DUN N25 Kajang dan Anwar Ibrahim disebut  sebagai calon, yang kemudiannya ditukar kepada  isteri beliau  Dr Wan Azizah (setelah Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat II) dalam apa yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang, maka episod penukaran Khalid Ibrahim selaku MB Selangor bermula. PKR mengambil Langkah Kajang untuk menukar Khalid dengan Anwar Ibrahim selepas menerima pelbagai aduan tentang Khalid yang didakwa mentadbir negeri sesuka hatinya tanpa berunding dengan partinya, PKR atau exco dan pimpinan PR. Beliau juga dikritik dalam caranya menanangi beberapa isu lain seperti catuan air, rampasan Bible Bahasa Malaysia dan Iban oleh JAIS dan cadangan Lebuhraya Kidex yang mendapat bantahan dari penduduk Petaling Jaya.  Dr Wan Azizah yang menenangi kerusi DUN N25 Kajang telah dipersetujui PKR sebagai paling layak menduduki kerusi MB Selangor, bagaiamapun, Khalid Ibrahim bertegas beliau tidak akan berundur sehingga penggalnya tamat pada tahun 2018. Langkah Khalid dikatakan mendapat sokongan padu ADUN dan pimpinan PAS Selangor dan Majlis Syura parti tersebut yang dianggotai antara lainnya Presiden PAS Haji Hadi Awang,  Murshidul Am Tuan Guru Nik Aziz dan Dr. Harun Din. Tetapi DAP Pusat dan Selangor memahami dan menyokong PKR mengantikan Khalid dengan Dr. Wan Azizzah. 

watak utama Langkah Kajang



Untuk mendapat maklumat lanjut keraguan  integriti Khalid  sila baca di sini

8. Rumusan : Khalid Ibrahim sebagai ahli parti PKR perlu patuh kepada pucuk pimpinan seperti mana yang dilakukan oleh Khalid Al-Walid. Tindak tanduk Khalid membolehkan Jawatankuasa Disiplin  PKR melucut keahlian beliau dalam PKR. Sekiranya hal tersebut berlaku, Khalid sudah tidak ada legitimasi sebagai MB Selangor yang memungkin membawa kucar kacir pentadbiran negeri dan bakal menyusahkan rakyat.   Walaupun Anwar Ibrahim bukan setanding  Khalifah Omar al Khatab r.a, namun  Anwar Ibrahim adalah sosok politk Malaysia yang tidak ada tolok banding. Bak kata Almarhum Dato' Hj. Fadhil Noor..  Anwar ibarat emas yang dibakar berulang kali, akhirnya  menghasilkan emas yang bermutu tinggi"  dan ... "musuh bila dia sokong kita, mesti ada yang tak kena...."  Tindak tanduk Khalid seterusnya  boleh  memecah jemaah yang telah diikat kukuh sebagai setiakawan dalam  PR


No comments:

Post a Comment