Tuesday, 26 August 2014

NAK JADI DOKTOR ? SUSAH NAK MASUK U SUSAH NAK BELAJAR





Malaysia dikatakan mengalami lambakan doktor baru-baru ini. Kenyataan ini mungkin mempunyai asas. Tetapi, fenomena ini harus diteliti dengan baik supaya ia tidak merugikan mana-mana pihak terutama rakyat jelata. Kenyataan ini tidak seharusnya dibuat untuk menjamin dan memastikan golongan iktisas ini sentiasa menikmati pendapatan lumayan.Secara lumrahnya kita semua tahu apabila jumlah doktor adalah rendah bilangannya dan permintaan pula tinggi, maka ini secara logiknya akan memberi pendapatan lumayan kepada golongan tersebut. Jika jumlah doktor bertambah dengan banyak iaitu 'supply' ataupun penawaran meningkat maka ini pastinya akan mengugat pendapatan yang diperolehi. Oleh itu, faktor pendapatan itu tidaklah patut dijadikan sebagai asas atau kayu pengukur untuk menyatakan sama ada negara kita sedang mengalami lambakan doktor atau tidak.

Pada pandangan saya, nisbah ataupun ratio bilangan doktor dengan jumlah rakyat adalah pendekatan terbaik untuk memastikan kewujudan lambakan doktor di dalam negara kita. Pada masa ini, didapati nisbah doktor dengan penduduk adalah 1:1000.  Nisbah ini menunjukkkan kita masih kekurangan doktor jika dibandingkan dengan negara maju.




Bagi negara-negara maju yang amat mementingkan sektor kesihatan, ratio ini kira-kira 1:400. Negara kita juga menyasarkan untuk mencapai ratio 1:400 pada 2020 iatu dalam tempoh 6 tahun lagi. Bagaimanakah kerajaan akan mencapai sasaran itu jika kita sudah mula mengawal pengambilan pelajar perubatan pada masa ini?
Adakah Malaysia benar-benar mengalami lambakan doktor? Pada hemat saya piawaian sektor kesihatan negara kita masih belum mencapai tahap memuaskan. Kalau benar kita mempunyai jumlah doktor berlebihan, kenapa pula orang yang pergi ke hospital kerajaan merungut sukar mendapatkan tarikh temujanji dan tarikh pembedahan?

Ramai yang terpaksa menungggu berbulan-bulan untuk menjalani pembedahan kerana tidak dapat memperolehi tarikh daripada doktor-doktor yang terlibat. Ramai juga yang meninggal dunia dalam tempoh masa menunggu tarikh pembedahan yang diberikan doktor di hospital awam.

Jika benar kita mengalami lambakan doktor, kenapakah kos rawatan dan perubatan begitu tinggi di hospital swasta? Keadaan ini tidak sepatutnya wujud kerana persaingan antara doktor yang ramai dalam negara ini sepatutnya akan merendahkan lagi kos rawatan dan perubatan dan bukan sebaliknya.

Ramai doktor kerajaan yang sanggup meletak jawatan dan beralih ke hospital swasta kerana permintaan yang tinggi untuk doktor. Oleh itu, tidak logik jika kita mengatakan kita mengalami lambakan doktor dalam konteks ini.

Saya juga berpendapat kita tidak mengalami lambakan doktor, tetapi kita ketandusan tempat di hospital untuk melatih doktor baru yang tamat pengajian ijazah. Kita perlukan lebih banyak hospital kerajaan di seluruh negara. Kita harus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan untuk pesakit miskin dan sederhana. Kita harus meningkatkan semua jenis infrastruktur dalam hospital awam.

Di kebanyakan hospital daerah, memang tidak mempunyai kakitangan yang cukup terutama pegawai perubatan. Saya boleh merujuk kepada Hospital Batu Gajah sebagai contoh. Pesakit yang ke hospital ini sentiasa mengadu kelewatan dalam mendapat rawatan. Apabila perkara ini dibangkitkan, alasan yang kita terima ialah kekurangan kakitangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan kerana memang tidak cukup pegawai perubatan terutamanya pada waktu malam di bahagian kecemasan dan wad.

Dakwaan kita mempunyai lebihan doktor itu tidak munasabah untuk dijadikan alasan mengurangkan pengambilan pelajar ke fakulti perubatan di universiti awam pada tahun ini. Tindakan mengurangkan pengambilan pelajar perubatan di universti awam adalah tindakan yang kurang rasional. Kerajaan cuba melepaskan tanggungjawab dan beban itu untuk mengurangkan perbelanjaannya.

Tetapi, ini akan menyusahkan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga miskin ataupun sederhana. Golongan ini tidak mampu menghantar anak mereka untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti swasta.
petikan dari fb seorang mahasiswa perubatan

Pada masa yang sama pelajar yang kurang bijak tetapi mempunyai kemampuan kewangan pula dapat mengikuti kursus perubatan di universti swasta yang mula bercendawan di negara kita. Pada hakikatnya, graduan perubatan meningkat bukan kerana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tetapi sebahagian besarnya daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tindakan kerajaan mengurangkan tempat bagi kursus perubatan di universiti awam membuktikan ketidak prihatinan serta menindas pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan. Selain itu, dasar seperti ini juga menggalakkan universiti swasta mengambil kesempatan untuk menaikkan lagi kos pembelajaran seperti yuran dan sebagainya pada masa depan.


Saya rasa amat simpati terhadap ratusan pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang tetapi tertipu dengan  tindakan kerajaan mengurangkan pengambilan masuk pada tahun ini secara mendadak. Kerajaan mengecewakan anak-anak kita yang mempunyai harapan besar. Cita-cita mereka hancur kerana kerajaan yang bersikap tidak adil.

Persoalannya sekarang ialah kenapa kerajaan tidak mengumumkan awal-awal lagi keputusan mereka untuk mengurangkan pengambilan pelajar di fakulti perubatan pada tahun ini? Bukankah ini bermakna kerajaan menganiaya anak-anak kita yang bertungkus lumus mambakar pelita?

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan hanya 418 pelajar yang layak diberi peluang mengikuti jurusan perubatan di IPTA pada tahun ini.  Beliau berkata tawaran tempat yang terhad itu bagi mengawal jumlah siswazah perubatan baharu dan mengelak berlakunya kebanjiran doktor baharu di pasaran kerja.

Seramai 1,163 pelajar yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 memohon jurusan perubatan tetapi hanya 418 tempat saja ditawarkan kepada pelajar cemerlang ini. Apakah nasib 745 pelajar cemerlang yang gagal mendapat jurusan perubatan itu terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati?

Jumlah pengambilan mahasiswa perubatan di IPTA semakin berkurangan setiap tahun sejak 2012. Pada 2011 pengambilan pelajar untuk jurusan perubatan adalah 983 orang, manakala pada 2012 pula dikurangkan kepada 875 orang. Jumlah itu menjadi lebih kecil lagi pada 2013 iaitu hanya 699 orang pelajar diambil untuk jurusan perubatan. Pada tahun ini hanya 418 pelajar sahaja.

Ternyata pengambilan pelajar jurusan perubatan semakin berkurangan di IPTA. Bagaimana pula di IPTS? Adakah jumlah pengambilan jurusan perubatan meningkat atau merosot setiap tahun? Perkara ini akan saya bangkitkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Kuliyyah of Medicine UIAM Kampus Kuantan menjadi rebutan.

Kebelakangan ini banyak IPTS menawarkan program perubatan. Ini berpunca daripada permintaan yang tinggi untuk jurusan tersebut. Pada masa ini wujud lebih 30 sekolah perubatan swasta di negara kita. Persatuan Perubatan Malaysia mendakwa 4,000 hingga 5,000 graduan perubatan dihasilkan setiap tahun. Menurut mantan Presidennya, Dr David Quek Kwang Leng, masalah lambakan doktor yang wujud di negara kita berpunca daripada kewujudan banyak Institusi Pengajian Tinggi yang menawarkan pelbagai kursus perubatan.



Justeru itu, bilangan IPTS merupakan punca masalah ini. Tetapi kerajaan pula mengurangkan pengambilan pelajar perubatan di IPTA. Perkara ini perlu dikaji semula dengan serta merta dan memberi peluang kepada anak-anak kita yang memiliki keputusan cemerlang mengikuti kursus pilihan mereka. Inilah keadilan terbaik yang patut diberikan kepada mereka yang layak. – 26 Ogos, 2014.


* artikel dari The Malaysian Insider

* V Sivakumar ialah Ahli Parlimen Batu Gajah.

Friday, 22 August 2014

ANTARA AINUN DAN AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI siri 4.0




AZIZAH    part  3

[baca AZIZAH  part 2   DI SINI ]

[baca kisah AINUN  di sini]





1. Azizah tidak pernah  terbayang untuk menjadi isteri kepada seorang ahli politik. Walaupun secara fitrahnya Azizah bukan dilahirkan dari keluarga politik malah sebagai gadis remaja yang tidak mengenali dunia politik, namun, ternyata Azizah seorang isteri yang hebat kerana cepat menyesuaikan diri dalam dunia politik suami. Politik dan ahli politik dipandang oleh banyak go­longan sebagai per­kara kotor, najis bahkan menjijikkan. Hingga kini tidak banyak orang yang  mahu berkecimpung di dunia politik. Tetapi tidak bagi Azizah. Beliau yakin Anwar sememangnya dilahirkan sebagai seorang politik. Dari pertemuan pertama mereka di kantin HBKL dulu, Azizah sudah menilai  Anwar setelah mendengar bait-bait kata yang dilafazkan beliau serta celupan dan curahan pemikiran beliau dalam aktivitisme, kemasyarakatan dan perjuangan berbanding usia Anwar ketika itu masih muda. Azizah yakin kuasa politik ditangan 'orang  yang baik-baik'  dan beridealisme boleh membentuk masyarakat dan negara yang baik dan berwawasan

Anwar memilih UMNO sebagai wadah untuk terjun ke dalam kancah politik kerana UMNO pada peringkat awal penubuhan merupakan  sebuah parti massa Melayu dengan idealisme yang tinggi berjuang  mencapai kemerdekaan dan mengisi kemederkaan tersebut dengan membawa generasi anak-anak Melayu keluar dari lembah  kemiskinan dan perhambaan di tanah air mereka sendiri  kepada menjadi  tuan di bumi bertuah Malaysia.  Apabila Anwar menyertai politik kepartian pada bulan Mac 1982 dengan menganggotai UMNO, ramai berharap dan menyangka beliau akan membawa bersamanya idealisme dan perjuangan yang menjadikan beliau unggul sebagai pemimpin pelajar dan pejuang gerakan massa.

 2. Anwar mengambil masa cuma 11 tahun dari seorang ahli UMNO biasa, sehingga  hampir menggapai  hiraki tertinggi parti.  Bermula dari tahun 1982, beliau terus menyusun langkah sehingga  ke puncak sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993. Sepanjang tempoh tersebut sudah tentu Anwar mencipta ramai kawan dan lawan. Pada tahun 1993 sehingga 1998 telah mula titik hitam dalam sejarah hidup mereka. Bermula dari tahun 1997 dengan pengedaran buku '50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Layak jadi PM', Azizah tidak pernah terbayang akan berlaku satu siri provokasi dan konspirasi yang hebat dan dahsyat terhadap  Anwar.



Sebagai isteri yang  'family oriented' Azizah membesarkan anak-anak mereka dalam suasana yang harmoni, berakhlak dan  bersopan santun. Anak-anak yang belum mengerti apa itu liwat, apa itu DNA apa itu unsur-unsur seks  SX18 yang dipaparkan dalam media arus perdana dan apakah  kaitkan semua itu  dengan ayah mereka ? Bagaimana Azizah tabah dan cekal menghadapi ujian-ujian tersebut ? :-


  • Lihat bagaimana Azizah mengharungi lautan manusia dalam  demonstrasi jalanan terbesar dalam sejarah Malaysia. Jeritan Reformasi bergema di seluruh pelusuk tanah air dari Perlis hingga ke Sabah. Azizah bersama pimpinan GERAK diserang dengan gas pemedih mata dan pancutan air berasid apabila polis cuba menggagalkan himpunan tersebut. Demontrasi Lebuh raya Kesas pada 5 November 2000 menyaksikan Azizah yang turut serta di atas kerusi roda nyaris mendapat kecederaan apabila FRU melepaskan tembakan gas pemedih mata bertubi-tubi ke arah beliau. Dalam beberapa demonstrasi ,Azizah  yang sangat tabah, berucap dengan suara lembut dan penuh semangat, menerangkan misi perjuangannya pada masa depan bersama Pakatan Pembangkang sama ada Anwar masih di luar atau sebaliknya
    penampilan pertama  Azizah pada kalayak ramai

  • Lihat bagaimana rumah mereka di Bukit Damansara dikepung oleh anggota Unit Tindakan Khas, memecah masuk kediaman mereka dan menangkap Anwar sambil mengacu-acu sub-machine gun ke arah Anwar dan Azizah di hadapan sanak saudara, anak-anak yang masih kecil dan penyokong yang ramai. Anak-anak mereka  mengalami trauma yang berpanjangan kesan dari insiden tersebut.

  • Lihat bagaimana Azizah menyaksikan di hadapan  mata sendiri suami beliau di bawa ala mafia dengan kepala ditutup dengan karung. Seterusnya di Bukit Aman di mana Anwar telah dibelasah oleh KPN hampir mati ?




  • Lihat bagaimana suami beliau dituduh membuat hubungan seks dengan isteri rakan mereka Azmin sehingga melahirkan seorang anak ? Anwar juga dituduh ada hubungan seks dengan ramai gadis seperti yang di dakwa oleh rakan beliau  Datuk Nallakarupan ? Anwar dituduh lakukan melakukan seks sonsang dengan berapa orang lelaki yang sangat rapat dengan keluarga mereka iaitu Azizan, Sukma Darmawan, Dr. Munawar Anees dan Mior Abdul Razak. Tetapi tuduhan tersebut ternyata fitnah, sebaliknya Anwar.disabitkan kesalahan menyalahguna kuasa dan dihukum penjara selama enam tahun.  Baca DI SINI 

  • Lihat bagaimana Azizah dimalukan dengan episod usung tilam yang ada kesan tompokan air mani Anwar pada sepanjang kes Liwat 1 dibicara di mahkamah
  • Lihat bagaimana Azizah menguruskan anak-anak yang masih kecil  dari segi  makan minum, persekolahan dan emosi. Dalam masa yang sama, hampir setiap hari Azizah perlu hadir ke mahkmah untuk bertemu dan memberi sokogan moral kepada suami. Anwar yang turut cedera bahagian tulang belakang akibat dibelasah oleh KPN terpaksa mendapat rawatan di HBKL. Azizah tidak penat dan jemu menziarahi Anwar pada waktu-waktu tertentu bersama anak-anak. Perbicaraan Anwar mengambil masa yang agak panjang. Situasi tersebut sudah pasti memberi tekanan kepada Azizah. Azizah juga terpaksa memikirkan bagaimana untuk mencari wang membiayai barisan peguam yang berpengalaman. 












  • Lihat bagaimana Azizah telah seterusnya diberi kepercayaan mengetuai   PKN. Dari PKN bertukar ke PKR bila bergabung dengan PSRM pimpinan Dr. Syed Husin Ali. Gabungan tersebut membentuk satu parti multi-racial yang betul-betul mewakili komposisi kaum di Malaysia. Keanggotaan PKR terbuka kepada pelbagai latar belakang masyarakat berbilang kaum, agama, idealisme dan fahaman politik. Di sana ada tokoh akademik seperti Dr. Chandra Muzaffar, tokoh politik seperti Marina Yusuf, kesatuan sekerja MTUC, kerabat di raja, bangsawan, negarawan, sasterawan negara, pegawai kanan kerajaan, peguam, tokoh korporat, cikgu, ustaz, mahasiswa,  malah buruh, penjaja, 'kolek bas', posmen, petani, nelayan, penoreh, pesawah, bekas ahli PAS bekas ahli Parti Sosialis, ahli ABIM, ahli al-Arqam, aktivis NGO, apek jual sayur, mamak jual roti canai, kaum Iban, Dayak, Kadazan-dusun  dan berbagai ragam. Bagaimana Azizah boleh mengurus PKR yang ahlinya berlatar belakang pelbagai kerenah, bermacam idealisme, banyak kepala dan qabilah dengan sumber kewangan yang terbatas? Azizah seterusnya mengetuai Barisan Alternatif iaitu gabungan parti politik PAS, DAP dan PRM bertujuan mengurangkan majoriti BN bagi menghadapi PRU  1999 setelah Anwar dipenjarakan. 

Kak Wan pad Majlis Pelancaran Penubuhan PKN



  • Lihat bagaimana Azizah dicalonkan bertanding kerusi Parlimen Permatang Pauh menghadapi Dato' Seri Ibrahim bin Saad, seorang sahabat Anwar, penampilan pertama Azizah dalam PRU. Seterusnya menewaskan Ustaz Firdaus al Hafiz pada PRU 2004 dan PRU 2008  Seterusnya Azizah diangkat sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia satu detik sejarah negara di mana seorang wanita diberi kepercayaan menduduki jawatan tersebut.
  • Lihat bagaimana Azizah memendam rasa kerana detik-detik meraikan perkawinan puteri sulung mereka Nurul Izah tanpa Anwar di sisi keluarga Sebagai ketua rumah tangga, Azizah sedaya upaya menjadikan majlis perkahwinan Nurul Izzah sempurna dan meriah.  Azizah menjadikan majlis tersebut seolah-olah kehadiran suami bersama anak-anak. Beliau tidak menampakkan perasaan gusar, sama seperti ketika  ada di sisi suami sewaktu jatuh dan bangunnya. Meniup semangat sewaktu suaminya gundah, menemani suami mengharungi kehidupan. Itulah cinta sejati Azizah demi perjuangan suami.


3. Setelah Anwar tamat menjalani hukuman penjara, Azizah masih tidak direhatkan. Lebih parah apabila Anwar disabitkan pula dengan pertuduhan kes Liwat 2 dan cabaran video seks China doll.

4.Kini Azizah yang sememangnya telah teruji dan bersedia untuk menggalas tugas baru sebagai Menteri Besar Selangor. Memang Azizah layak mengambil alih jawatan tersebut walaupun beliau dikatakan boneka dan  bayangan suami,  Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketabahan, kesabaran dan kecekalan dan sifat amanah Dr Wan Azizah keluarganya menghadapi ujian getir selama 16 tahun ketika Anwar ditahan, dipukul, dihina dan disumbat ke dalam Penjara Sungai Buluh menjadikan wanita solehah ini wanita luar biasa kerana telah berjaya berdepan dengan ujian berat seumpama ini. Sememangnya Azizah dan anak-anaknya adalah keluarga perjuangan, bukan keluarga biasa yang hanya memikirkan keselesaan malah kekayaan keluarga semata-mata. Sejak zaman reformasi 16 tahun lalu, beliau telah menjadi simbol ketabahan golongan wanita Malaysia. "Saya melompat dalam dunia politik tanpa persediaan langsung sebenarnya. Tetapi setelah beberapa lama dalam politik, insya-ALLAH saya sudah bersedia". Ternyata Azizah sangat hebat. Azizah telah di 'tested'!

5. Dalam satu program ceramah di Dataran Galeri Pejuang, Cherok Tok Kun, kelihatan Anwar mengesat air mata apabila dipersembahkan satu video klip nyayian kumpulan Kopratasa

Permata Buat Isteri - Kopratasa

Telah kusiapkan
Satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi
Sebagai isteri

Untuk kau penuhi dengan kemuliaan
Seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri...
Ku ingin kau mengerti
Bahawa hidup ini tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan

Kerana kau isteriku

Youtube Koprasa - Permata Untuk Isteri 


Jentayu Yang Luka ~Usman Awang
(Untuk Wan Azizah)

Tiba-tiba dia bangkit
Dengan kelembutan yang tetap sopan
Berdiri di barisan paling hadapan
Sebagai pahlawan keadilan

Lama dulu wajahnya tersembunyi
Di belakang pemimpin berani sang suami
Mengintip dengan mata kecilnya
Segala tingkah dan senyuman pura-pura
Si pengampu yang bermuka dua
Si penyembah yang berjiwa hamba
Si pengemis segenggam laba

Dia adalah jentayu yang luka
Terbang mengepak menyonsong gumpalan awan
Mencakar menjeritkan kebebasan dan keadilan
Mencabar dunia yang semakin kejam.

~Usman Awang

~ditujukan puisi ini kepada Wan Azizah.

Wednesday, 20 August 2014

ANTARA AINUN DAN AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI siri 3.0


AZIZAH     siri 2.0   part 2

[Baca siri 2.0  part 1 DI SINI]





1. Pada siri yang lalu, kita dikisahkan bagaimana Azizah adalah seorang gadis yang hebat kerana berjaya menambat hati seorang 'the rising star' negara. Hampir seluruh warga di Malaysia  , dari pedalaman daerah Baling Kedah sehinggalah ke United Nation di New York telah mengenali Anwar. Anwar ketika itu memimpin ABIM dan MBM  yang memiliki anggota lebih 550,000 orang. Kepimpinan dan kecendekiawannya telah diakui di peringkat antarabangsa sehingga menerima anugerah Medal Utama Iqbal 100 Tahun dari Presiden Pakistan Zia Ul- Haq pada tahun 1970. Allahyarham Tun Abdul Razak, mantan Perdana Menteri ke-2 pula  bersetuju melantik beliau mewakili Belia Malaysia dalam Badan Dunia United Nation Council for Youth pada tahun 1973 iaitu satu jawatan berstatus 'duta'. Azizah juga seorang gadis yang cekal dan tabah ketika menghadapi kemelut keluarga beliau yang pada awalnya tidak bersetuju untuk beliau berkahwin dengan Anwar. Kepintaran beliau mengatasi kemelut tersebut ibarat menarik rambut dalam tepung, telah menyebabkan ayah beliau Dato' Wan Ismail akhirnya merestui perkahwinan tersebut dan bersedia melupakan kisah yang lalu. Azizah juga berjaya menambat hati keluarga Anwar dan berjaya meyakinkan Datuk Ibrahim dan Mak Yan  bahawa anak mereka Anwar telah membuat pilihan yang tepat tatkala menyatakan hasrat untuk memperisterikan Azizah. Kecekalan, kesabaran dan kepintaran yang dimiliki oleh Azizah berjaya mewujudkan suasana 'win-win' bagi kedua-dua keluarga. Ciri-ciri gadis muslimah yang dijiwai beliau juga berjaya menyakinkan pimpinan dan ahli ABIM dan PAS bahawa Anwar telah membuat pilihan tepat apabila memilih beliau sebagai isteri solehah.

2. Pasangan Azizah-Anwar bercinta selepas berkahwin, berbanding dengan pasangan Ainun-Habibie dalam SIRI 1.0 lalu. Anwar adalah sebagai seorang 'public figure'. Anwar menjalani rautin harian yang sibuk. Azizah sentiasa bersama Anwar sebaik sahaja selesai tugasan di HBKL dan UM. Negara ketika itu wujud masalah kepimpinan baik dari parti pemerintah iaitu UMNO setelah kematian Tun Abdul Razak dan keuzuran PM Tun Hussein Onn, manakala PAS  pula berhadapan dengan  krisis kepimpinan dengan perletakan jawatan Presiden PAS Dato' Asri Haji Muda. Kedua-dua parti dominan Melayu tersebut amat mengharapkan Anwar menjadi ahli parti mereka bagi memperkasa dan menaikkan semula imej parti. Bagaimanapun, apabila Tun Mahathir mengambil alih jawatan PM dari Tun Husein Onn, Tun Mahathir telah berjaya menarik Anwar menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Bermula dari detik tersebut kemaraan Anwar dalam karier politik sudah tidak boleh dibendung lagi. Beliau melangkah dari satu anak tangga hingga ke anak tangga paling atas.  Beliau menduduki beberapa jawatan dalam kerajaan :-
1982 - 1983 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
1983 - 1985 Menteri Belia dan Sukan
1985 - 1986 Menteri Pertanian
1986 - 1990 Menteri Pendidikan
1990 - 1998 Menteri Kewangan
1993 – 1998 Timbalan Perdana Menteri (pernah menjadi Pemangku Perdana Menteri)

Dalam  karier politik pula, setelah kemasukan dalam UMNO,  Anwar  bertanding dan menang di kawasan parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang PRU 1982. Seterusnya beliau berjaya menumpaskan Datuk Haji Suhaimi Kamarudin untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Pada 24 April 1987 beliau menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bersama Datuk Abdullah bin Ahmad Badawi dan Datuk Seri Wan Mokhtar Ahmad dan pada tahun 1993 Anwar  menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO.

3. Dalam satu taklimat tertutup kepada pemimpin dan ahli PKR di Seberang Jaya, Anwar ada menyebut tokoh disebalik karier politik beliau adalah isteri beliau sendiri. Azizah merupakan  sumber kekuatan jiwa dan menjadi pendorong serta pembantu perjuangan beliau. Azizah sebagai isteri mengambil pedekatan wasatiyyah dalam kehidupan harian. Ketika Anwar menjadi Menteri Pertanian, mereka pernah menginap di kediaman rasmi di Seksyen 14 Petaling Jaya, berjiran dengan  Harjit Singh Hullon - pembaca berita RTM. Rumah Harjit Singh lebih hebat dan lebih mewah berbanding dengan kediaman Anwar. Azizah tidak meminta suami beliau menghias rumah secara mewah. Penulis dan Ustaz Yusuf Ahmad (mantan Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang dan mantan Pengetua Yayasan Masriyah Bukit Mertajam) yang pernah berkunjung ke kediaman tersebut dimaklumkan bahawa hampir kesemua perhiasan (bukan perabut) berupa cenderahati adalah pemberian ikhlas dari individu, pertubuhan atau agensi tertentu. Berbanding dengan isteri VIP yang lain, Azizah tidak menunjukkan imej seorang wanita yang memperagakan pakaian, berfesyen atau memakai barang-barang kemas dan hiasan peribadi yang mewah. Rata-rata kaum wanita yang menatap wajah beliau bersetuju untuk mengakui Azizah hanya mengenakan solekan muka ala kadar sahaja. Kain tudung kepala pun tidak ikut trend.








Walaupun beliau menjawat jawatan sebagai seorang doktor pakar dan pensyarah universiti, Azizah mempamirkan beliau seorang yang 'low-profile'. Beliau bersederhana, 'simple' dan menerima apa yang seadanya.  Bagi Azizah sebagai isteri beliau lebih kearah saling mencintai dan menyanyangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji serta membentuk sifat mulia lainnya kepada Anwar  ketika mereka berada di atas bagi membentuk keluarga yang bahagia dan berusaha mengekal kelansungan bantera melayari ombak kehidupan yang membadai. Azizah telah terdidik dalam sifat-sifat menghambakan diri kepada Robb' dan rakyat di bawah sana.

kasut Azizah  - brand BATA bukan tempahan khas dari pereka tersohor Jimmy Choo (kredit foto Keow Wee Leong)

4. Hidup secara wasatiyyah juga digarap dalam amalan harian baik dari segi makan minum, pakaian dan perabut. Azizah mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka. Kesemua anak-anak mereka iaitu Nurul Izzah, Muhammad Ihsan, Nurul Nuha, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana mendapat pendidikan di tanah air. Misalnya Nurul Izzah pernah menuntut di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya. Ketika Anwar memegang jawatan menteri, hampir setiap kali rumah terbuka sambutan hari raya dilansungkan diperkarangan kediaman rasmi, yakni bukan di hotel-hotel besar seperti menteri lain. Sebagai suri rumah, Azizah tidak jemu-jemu melayan tetamu dari dalam dan luar negara yang sering berkunjung hormat ke kediaman mereka. Pintu rumah sentiasa terbuka untuk majlis-majlis keagamaan seperti bacaan yasin pada setiap malam Jumaat, kuliah maghrib, tazkirah dan sebagainya.





BERSAMBUNG PADA SIRI TERAKHIR


Monday, 18 August 2014

ANTARA AINUN DAN AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI - siri 2.0


AZIZAH    siri 2.0   part  1





[baca kisah  AINUN dalam  siri 1.0 DI SINI]


1. Azizah dilahirkan pada 3 Disember 1952 hasil perkongsian hidup  Wan Ismail bin Wan Mahmood dan Mariah binti Hj Khamis di Hospital Kandang Kerbau, Singapura. Ketika itu ayah  beliau  belajar di sana. Wan Ismail berhijrah ke London ketika Azizah berusia tiga tahun.  Untuk menjimatkan kos perbelanjaan di perantauan, Wan Ismail telah menyerah Azizah untuk dipelihara oleh pakcik beliau iaitu Che Ruslan bin Tahir dan Wan Asma Wan Mahmood yang bertugas sebagai  Ketua Merinyu Kesihatan Kedah/Perlis. Kediaman beliau di kuarters perumahan pegawai kesihatan Bakar Bata, Alor Setar. Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St Nicholas, Alor Setar. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke Kolej Tunku Kurshiah di Seremban. Seterusnya pada tahun 1973, beliau melanjutkan pelajaran ke Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland. Beliau memperolehi segulung ijazah dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi. Di universiti itu, beliau adalah seorang penuntut yang cemerlang dan pernah menerima anugerah pingat emas “MacNoughton-Jones Gold Medal pada Tahun 1977, menjadikan satu-satunya  pelajar dari Asia Tenggara mendapat penghormatan tersebut.
RCSI salah sebuah universiti tersohor


Azizah di Royal College of Surgeons


papan tanda peringatan  penuntut cemerlang di RCSI  jelas terpahat nama Wan Azizah

 2. Sekembalnya  Azizah ke tanah air, selepas menamatkan housemanship beliau berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur sebagai seorang doktor pakar Opthalmology. Dalam masa yang sama, beliau juga bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya, mengajar Opthalmology Hospital Universiti Malaya. 






 3. Menurut  satu sumber terdekat, Anwar mengenali  Azizah melalui  seorang 'course-mate' Azizah menerusi sekeping foto Azizah (semasa mengikuti satu kursus bahasa Arab) ketika Azizah menuntut di Dublin, Ireland.  Dikatakan Anwar tertarik dengan Azizah kerana Azizah ketika itu  merupakan satu-satunya  pelajar Melayu yang memakai hijab (tudung). Anwar ketika itu adalah Pengarah (Pengetua) dan pengasas Yayasan Anda Akademik (YAA) sebuah sekolah menengah swasta yang beroperasi di sebuah bangunan usang Jalan Hamzah, Kampong Baru Kuala Lumpur. YAA telah mewajibkan semua pelajar wanita muslim yang menjadi penuntut di situ menutup aurat, yakni memakai baju kurung dan bertudung sebagai uniform sekolah. Anwar selaku Presiden ABIM mempunyai aura tersendiri. Hebatnya Anwar adalah kerana  hampir kesemua pelajar IPT di Malaysia mengenali beliau. Anwar semenjak usia lewat pertengahan 20-an adalah di antara aktivis  pelajar   yang menggerakkan hampir seluruh masyarakat pelajar dan rakyat marhein  dalam beberapa siri demonstrasi pelajar menyentuh pelbagai isu tempatan dan nasional di dalam atau di luar kampus. Baca selanjutnya di sini  dan di sini. Hebatnya Azizah pula ialah kerana beliau berjaya mencuri perhatian dan berjaya menjadikan Anwar sebagai teman hidup ketika beliau berusia 26 tahun, manakala Anwar 30 tahun. Puluhan anak gadis terutama  siswi di IPT yang menggilai Anwar. Di antaranya ialah seorang gadis yang kini menjadi seorang peguam kanan (pernah menjadi team peguam Anwar di dalam kes Liwat 1 seketika dahulu). Selepas Anwar menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1974, beliau yang ketika itu berusia 25 tahun telah memilih untuk membuka sebuah sekolah menengah swasta iaitu Yayasan Anda Akademik di Kampung Baru Kuala Lumpur. Berbanding dengan graduan UM yang kebanyakannya menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai PTD, PTA, perguruan atau eksekutif di sektor swasta dan perbankkan dengan tangga gaji yang lumayan,  beliau hanya menerima imbuhan berupa elaun (gaji) yang amat kecil. Anwar pernah menzahirkan  ‘kedaifan’ profession beliau  di dalam satu ucapan pada satu majlis di kolej kediaman UM dengan kata-kata “Saya  ni bukanlah seorang intelek, berasal pula dari Cherok Tok Kun, kerja pula sebagai guru swasta. Mana ada gadis yang minat dengan saya”. Selang beberapa hari kemudian, beliau menerima berpuluh puluh pucuk surat dari beberapa orang gadis yang meluahkan hasrat hati untuk menjadi teman hidup beliau.

4. Pertemuan buat kali pertama Azizah-Anwar telah di atur oleh sahabat-sahabat di kantin HBKL sekitar tahun 1979. Dalam 'pertemuan'  tersebut, Azizah tertawan dengan ketokohan dan keperibadian Anwar. Menurut Azizah..... "saya kemudian dapat merasai apa yang dinamakan wibawa seorang tokoh pimpinan. Mendengar bait-bait kata yang dilafazkan  beliau (Anwar)  serta celupan dan curahan pemikiran beliau, saya akhirnya mengakui mengapa beliau yang sangat belia pada waktu itu, boleh pergi sejauh itu dalam aktivisme, kemasyarakatan dan perjuangan...."   


Dato' Wan Ismail
5. Kisah perkahwinan Azizah-Anwar agak dramatik kerana perkahwinan tersebut pada peringkat awal tidak mendapat restu dari pihak keluarga Azizah. Dato' Wan Ismail yang ketika itu adalah ahli  Majlis Keselamatan Negara. Di antara tugas Dato' Wan Ismail ialah mengumpul maklumat individu atau kumpulan yang dianggap radikal dan militan yang boleh mengancam keselamatan negara.  Unit tersebut adalah lanjutan dari unit perisikan yang ditubuhkan oleh Kerajaan British sebagai usaha mengekang pengaruh dan penyusupan anasir komunis dalam masyarakat dan negara. Sekitar tahun-tahun 1970-an, Anwar Ibrahim sememangnya seorang aktivis pelajar yang mengambil pendekatan nasionalise-Islam. Anwar seorang belia yang kritis, vokal dan 'aktivis nakal'  ketika usia tersebut sering menganjurkan bantahan dan demonstrasi pelajar bersama dengan badan-badan pelajar dalam kampus seperti Kelab Sosialis UM , PMUM dan sebagainya. Di antara siri demonstrasi yang besar termasuklah Demonstrasi Baling pada 3 Disember 1974 yang menyebabkan Anwar dan rakan-rakan ditahan di bawah ISA selama hampir dua tahun di Kem Tahanan Perlindungan, Kemunting, Taiping. Oleh itu, Dato' Wan Ismail  mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai kegiatan Anwar. Oleh yang sedemikian, apabila Anwar berhasrat menyunting Azizah, sudah tentu Dato' Wan Ismail agak keberatan. Di sinilah kita lihat di dalam sifat Azizah seorang lemah lembut,  tetapi mempunyai hati yang kental, tekad menerima dan menjadikan Anwar  sebagai jejaka impian.
berita penikahan Anwar-Azizah tersiar dalam media rasmi ABIM dan
Majalah Panji Masyarakat keluaran April 1980 
Di atas inisiatif sahabat Anwar, urusan peminangan diketuai oleh Ustaz Nik Mahyuddin Musa (Pengarah Agama Kementerian Pelajaran),  Ustaz Ahmad bin Awang (Pusat Islam Malaysia), Puan Zaleha Ali (adik Ipar Tun Dr. Mahathir) dan lainnya. Anwar dan Azizah telah di nikahkan secara wali hakim oleh Ustaz Hj. Harussani bin Hj. Zakaria iaitu Kadi Negeri Pulau Pinang (kini Dato' Seri Mufti Negeri Perak) pada 28 Februari 1980 di Bukit Mertajam (bukan di Selatan Thailand seperti yang ditohmahkan). Semua urusan berjalan lancar dengan bantuan logistik dari Allahyarham Ustaz Ahmad Hassan Salahudin bin Hj. Khalil selaku Mudir Madrasah al-Masriyah Bukit Mertajam dan rakan dari Abim seperti Ustaz Fadhil Noor dan Ustaz Sidek Fadzil. Majlis walimatul urus diadakan cukup meriah di rumah  ayah Anwar di Cheruk Tok Kun. Pada minggu seterusnya majlis kenduri perkahwinan Azizah-Anwar telah dilansungkan di rumah Pak Ibrahim di Petaling Jaya dan seterusnya ABIM menganjurkan majlis yang sama pada 16 Mac 1980 di Restoran Shiraz Kuaal Lumpur yang dihadiri sahabat handai, pegawai kanan kerajaan, tokoh-tokoh gerakan Islam, tokoh akademik dan pak duta dari negara Arab Saudi, India, Pakistan, dan Iraq.  Ternyata Azizah cekal dan sabar  menghadapi kemelut tersebut. Azizah mengakui ayah beliau hanya berlembut dan menerima Anwar sebagai menantu setelah  puteri sulung mereka Nurul Izzah dilahirkan pada 19 November 1980 

Dr Wan Azizah telah berhenti daripada kerjayanya dalam tahun 1993 apabila suami beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

BERSAMBUNG PADA SIRI 3.0





ANTARA AINUN dan AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI - siri 1.0

AINUN

[baca  kisah AZIZAH dalam siri 2.0 DI SINI]


1. Pembaca di tanahair tentu tidak mengenali siapakah Ainun pada entri penulis kali ini. Tetapi di seberang, Ainun adalah lambang cinta dan pengabdian diri demi perjuangan suaminya, BJ Habibie,  mantan Presiden Republik Indonesia ke-3. Penulis tertarik mengikuti kisah Ainun setelah   berkesempatan menonton kisah cinta romantis 'Habibie-Ainun' menerusi Astro Citra baru-baru ini. Filem yang diadaptasi dari Novel Habibie-Ainun karya Pak Habibie, boleh  dikategorikan sebagai satu epik cinta dan perjuangan yang amat menarik untuk ditonton dan teladani oleh insan yang bergelar isteri. Ironinya kisah Ainun   ada persamaan dengan perjuangan Azizah atau  Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail yang penuh dramatik  pada awal Zaman Reformasi  di Indonesia dan di Malaysia. Ainun-Azizah merupakan watak utama di belakang ketokohan negarawan ulung Indonesia B.J Habibie dan politikus tersohor, Anwar Ibrahim di Malaysia.
BJ Habibie & Anwar Ibrahim
Pada era pemerintahan Seoharto, hampir separuh anggota Kabinet Indonesia adalah sahabat Anwar. Anwar menjalin hubungan rapat dengan cendikiawan dan pemimpin Indonesia termasuk Habibie sejak beliau memimpin Abim, manakala B.J Habibie memimpin ICM (Ikatan Cendiakawan Muslim Indonesia). Kedua-dua NGO tersebut bergerak aktif di bawah  World Assembly of Muslim Youth (Wamy) yang dipimpin oleh Anwar. Persabahatan yang amat karib di antara B.J Habibie dan  Anwar Ibrahim yang telah terjalin semenjak zaman Pak Mohamad Natsir lagi membantu merapatkan lagi hubungan Malaysia Indonesia di zaman Dr. Mahathir


2. Ainun atau  nama penuhnya Dr. Ny. Hj. Hasri Ainun Besari, juga dikenali sebagai Hasri Ainun Habibie di lahirkan  di Semarang,  Jawa Tengah, pada  11 Ogos 1937, meninggal dunia di Munich, Jerman pada 22 Mei 2010.  Ainun menamatkan pendidikan pada sekolah rendah dan menengah di Bandung, kemudian menyambung pengajian kedoktoran  di  Fakulti Perubatan  Universiti Indonesia. Selepas graduasi, beliau berkhidmat sebagai 'doctor pediatric' di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) Jakarta pada tahun 1961. Beliau disunting dan berkahwin dengan Habibie yang juga teman bermain semasa kecil, pada tanggal 12 Mei 1962. Pasangan itu dikurniakan dua orang putera, Ilham Akbar Habibie dan Thareq Kemal Habibie, serta enam orang cucu.

Pasangan  ideal.





4. Cinta Ainun dan Habibie sudah bersemi semenjak mereka remaja. Ainun mengaku telah mengenali Habibie sejak kecil. Meskipun Habibie pernah menggelar beliau sebagai  "si hitam gula Jawa” namun, hubungan cinta mereka terus bertahan sehingga cinta mereka terputus seketika takkala Ainun berhijrah ke Jakarta, berkhidmat sebagai doktor, manakala Habibie dihantar belajar ke luar negara menyambungkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jerman. Enam tahun kemudian ketika  Habibie  berkesempatan pulang ke tanah air, beliau bertandang ke rumah  Ainun di Bandung. Dari situ cinta lama mereka bersemi kembali. Saat berjumpa dan bertatap mata, nyata Ainun seorang gadis sunti yang jelita dan berkulit putih gebu, terkedu  Habibie dibuatnya: “Kok gula Jawa sekarang sudah menjadi gula pasir?” sindir Habibie. Mereka seterusnya melangsung perkahwinan penuh dengan adat dan istiadat masyarakat Jawa. Ainun mengikut  Habibie menyelesaikan pengajian di Jerman. Kehidupan awal di sana dilalui dengan berbagai liku-liku hidup  yang luar biasa. Pada episod menjalani hidupan di Jerman menyaksikan Ainun memainkan peranan penting dalam perjalananan hidup Habibie. Diantaranya:
  • Bersama bersusah payah melayari rumah tangga di Jerman dalam kewangan yang terbatas. Pengajian Habibie di sana adalah di atas pembiayaan sendiri. Beliau dan Habibie bersederhana dalam hidup. Beliau berhemat dalam perbelanjan harian berkaitan keperluan asas rumah tangga seperti makan minum, pakaian dan sebagainya. Malah  beliau menjahit sendiri keperluan pakaian bayi yang dikandungnya. Di sanalah beliau mengandung dua puteranya, melahirkan dan membesarkannya.
  • Ainun juga kerap menjadi motivator bagi Habibie. Beliau menyemangati Habibie saat Habibie hampir putus asa karena tesisnya diambil alih oleh pembimbing. Berkat dorongan dan semangat dari Ainun, Habibie dapat menyempurnakan tesis dan dianugerahkan ijazah kedoktoran kejuruteraan dengan cemerlang.
  • Beliau selalu selalu mengingatkan Habibie dalam  pengurus waktu. Menurut beliau, orang yang bijak mengurus masa akan menjadi tokoh terulung. Ternyata,  Habibie menjadi seorang tokoh penting dan menaikkan nama baik beliau dan sebagai  orang Asia yang berjaya di negara Jerman.  Disamping itu, Ainun  merencanakan permakanan yang berkhasiat demi untuk kesihatan suami beliau. 
  • Beliau amat mementingkan keluarga. Beliau menitik berat penjagaan anak-anak mereka dan berjaya membentuk disiplin dan saksiah anak.
5. Setelah tamat pengajian, Habibie tidak terus balik ke Jerman, sebaliknya telah bekerja dengan sebuah firma pembuatan pesawat yang terkenal di situ. Ketokohan Habibie telah menarik perhatian Presiden Soeharto. Soeharto mempelawa beliau balik ke Indonesia untuk mencurah khidmat bakti kepada negara. Habibie bersetuju pelawaan tersebut. Sekembali beliau ke tanah air, beliau telah di lantik sebagai Menteri Penyelidikan dan Teknologi Indonesia. Beliau mempunyai wawasan untuk membangunkan Indonesia dengan penghasil pesawat terbang buatan anak tempatan yang boleh digunakan untuk membangun negara Indonesia yang terbina dari rangkaian ribuan pulau-pulau. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan (Wakil) Presiden. Pada 'Era Reformasi' di Indonesia menyaksikan  kemerosotan ekonomi dan kejatuhan mata wang rupiah, menyebabkan ekonomi negara Indonesia jatuh merundum. Soeharto telah meminta bantuan dari IMF untuk memulihkan  semula ekonomi negara Namun, tindakan tersebut dianggap sudah terlambat.

Reformasi di Jakarta


Rakyat yang bangun berdemonstrasi di jalan raya selama berbulan-bulan mendesak Soeharto meletak jawatan. Akhirnya, Soeharto setuju berundur dan menyerahkan jawatan presiden kepada Habibie.

BJ Habibie angkat sumpat sebagai Presiden RI Ke-3
Pada ketika itulah, Ainun berperanan besar membantu Habibie dan team merangka plan pemulihan ekonomi Indonesia. Ainun tanpa memperdulikan masalah kesihatan turut bersengkang mata membantu suami tersayang. Ainun selalu berada disisi Habibie dan pegawai-pegawai Presiden. Setelah keadaan ekonomi dan politik kembali pulih, Ainun selaku 'Ibu Negara' (First Lady)  memainkan peranan penting membantu menaik dan mencorakkan imej Habibie. Masalah kemiskinan dan kesihatan rakyat menjadi fokus utama beliau. Ainun memiliki kepedulian yang besar dalam kegiatan sosial. Beliau telah mendirikan dan terlibat dalam beberapa yayasan, seperti Bank Mata walaupun mendapat tentangan dari sesetengah  ulamak yang mengharamkan donor mata.

5. Ainun meninggal dunia setelah tahap kanser rahimnya sudah tidak dapat dipulihkan lagi kendatipun beliau mendapat rawatan dari pakar kanser terkenal di Munich, Jerman. Jenazah Ainun telah di makamkan di Pusara Pahlawan Kalibata Jakarta. Semasa hidup beliau diberi anugerah penghargaan tertinggi pingat Bintang Mahaputra Adipurna dan Mahaputera Utama.
Pak Habibie pada saat-saat Ainun menghembuskan nafas terakhir

Ainun diberi penghormatan negara


6. Habibie amat bersedih dengan pemergian Ainun. Menurut beliau, Ainun  sukar dicari ganti. Hal tersebut terbukti dari ungkapan beliau

"Disebalik seorang tokoh, selalu tersembunyi peranan dua perempuan, iaitu ibu dan isteri,”

“Saya dilahirkan untuk Ainun dan Ainun dilahirkan untuk saya".


Puisi CINTA BJ Habibie Untuk Almarhum Ibu Ainun ..
February 23, 2011 at 11:11pm


sebenarnya ini bukan tentang kematianmu
bukan tentang itu
karena aku tahu bahwa semua yang ada
pasti tiada pada akhirnya
dan kematian adalah suatu yang pasti

dan kini adalah giliranmu untuk pergi
aku sangat tahu itu

tapi yang membuatku tersentak sedemikian hebat
adalah kenyataan bahwa kematian
dapat memutuskan dalam diri seseorang
sekejap saja
lalu rasanya mampu
membuatku menjadi nelangsa setengah mati

hatiku seperti tak ditempatnya
dan tubuhku serasa kosong melompong
hilang isi
kau tahu sayang ..
rasanya seperti angin
yang tiba tiba berganti kemarau gersang
ada air mata yang jatuh kali ini
aku selipkan salam perpisahan panjang
pada kesetiaan yang kau ukir
pada kenangan pahit manis selama kau ada

aku bukan hendak mengeluh
tapi rasanya terlalu sebentar kau disisiku

mereka mengira
akulah kekasih yang baik bagimu sayang
tanpa mereka sadari ..
bahwa kaulah
yang menjadikanku kekasih yang baik
mana mungkin aku setia
padahal kecenderunganku adalah mendua
tapi kau ajarkan aku kesetiaan hingga aku setia
kau ajarkan aku arti cinta
sehingga aku mampu mencintai seperti ini

selamat jalan
kau dariNYA dan kembali padaNYA
kau dulu tiada untukku
dan sekarang kembali tiada
selamat jalan sayang
cahaya mataku
penyejuk jiwaku








Tuesday, 12 August 2014

DUSUN HAJI ABDUL RANI

PENGUMUNAN : CHALET DITUTUP SEMENTARA UNTUK KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN.

1. Dusun Haji Abdul Rani berkeluasan hampir dua ekar. Terletak di Kampong Dusun, Kampong Sentosa, Batang Kali, Selangor. Dusun tersebut diurus-selia dengan baik oleh Haji Abdul Rani sebaik sahaja beliau bersara sebagai foreman JKR Mekanikal Workshop Cheras. Tuan Haji Abdul Rani kini menetap di Taman Seri Kamin,  Ulu Yam bersama isteri tersayang Puan Hajah Zaleha @ Kamariah Ahmad. Pada kebiasaannya selepas solat subuh di surau taman tersebut, Haji Abdul Rani akan memandu kereta Perodua Kenari beliau ke dusun tersebut. Jarak rumah dengan dusun kira-kira enam kilometer. Tujuan beliau keluar pada awal pagi adalah untuk membersih kawasan dusun dan menebas rumput atau belukar yang tumbuh liar.  Tatkala pada musim buah-buahan, terutama musim buah durian, beliau memungut buah yang gugur pada waktu malam atau awal pagi. Beliau sering membawa pulang tidak kurang sepuluh hingga 25 biji buah durian untuk di makan oleh anak-menantu dan cucu. Sekiranya pada sesuatu musim, buah-buah 'menjadi' dengan banyak, beliau akan pajak sebahagian pokok buah-buahan tersebut kepada peraih. Baki daripada pokok tersebut, buah-buahannya untuk dipetik atau dimakan atau  dibawa balik oleh anak-anak beliau yang berkunjung ke rumah ibu bapa mereka pada setiap hujung minggu.

Daerah Batang Kali  terkenal dengan penanaman pokok buah pulasan di Selangor.

Buah pulasan 'menjadi' pada tahun 2013/2014

Nak bawa balik ke Penang

Saat yang paling teruja ialah ketika memungut durian

sebahagian untuk  amal jariah jiran di Lahar yooi
2. Dusun yang seluas kira-kira dua  ekar tersebut ditanami sebanyak 40 batang pokok buah pulasan, 10 batang pokok durian, lima batang pokok cempedak, lima batang pokok rambutan, empat batang pokok manggis, empat batang pokok nangka, empat batang pokok rambai, tiga pokok terap berunei, dua batang pokok ciku dan masing-masing satu batang pokok limau kasturi, limau madu  dan pokok buah mata kuching. Pokok pisang dari baka pisang susu dan pisang nangka, pokok betik dan nanas sarawak turut ditanam. Untuk memanfaatkan ruang, Haji Abdul Rani bersama isteri turut menaman beberapa pokok dan herba untuk dijadi sayur-mayur  dan pucuk-ulam seperti ubi kayu, lengkuas, pokok kunyit, cabai  dan sebagainya.

3. Pokok-pokok  durian di situ menghasilkan  buah yang sungguh enak. Jenis pokok durian yang ditanam adalah durian tembaga, dan durian bongkok. Sebenarnya terdapat 14 pokok durian yang telah ditanam kira-kira 40 tahun yang lalu. Akibat dari angin ribut yang melanda dusun tersebut kira-kira 10 tahun yang lalu telah menumbangkan empat batang pokok tersebut. Turut tumbang ialah pokok manggis iaitu sebanyak tiga batang. Bagaimanapun, setelah kerja-kerja pembersihan pada tapak  bencana ribut tersebut, Haji Rani telah menanam semula anak pokok durian dan manggis yang baharu sebagai pengganti.

buah cempedak di dalam pagar

Haji Abdul Rani  dan Menantu

Sisa pokok durian yang telah patah/tumbang ketika kejadian ribut dahsyat

Sihitam manis masih galak

pengalaman kampong buat 'budak bandar'


Orang dan Orang-Orang untuk menakutkan kera PATI


Simanis rambai yang akan masak lagi tiga minggu

Buah Terap Brunai sedap dimakan 


Jalan mini tar yang memisah dusun atas dan dusun bawah adalah wakaf Hj. Abdul Rani sebagai wakaf am
4. Anak-anak dan menantu  Haji Abdul Rani amat berbangga di atas  kesungguhan ayah dan ibu mereka mengurus dusun dengan baik. Hal tersebut membolehkan anak-menantu dan cucu beliau dapat merasai pengalaman sebenar berada di dusun pada setiap kali mereka pulang ke kampung pada hujung minggu setelah penat lelah dan 'stress' ketika berada bertugas  di ibu kota. Anak dan menantu sepakat untuk menjadikan dusun tersebut sebagai satu warisan keluarga dan perlu di pelihara suapaya cucu cicit Haji Abdul Rani dapat merasai pengalaman dusun sebagai satu jati diri mereka. Setiap kali musim buah, mereka berkumpul dalam satu keluarga yang besar.

5. Untuk keselesaan pengunjung dusun, anak-menantu Haji Abdul Rani telah menyumbangkan sejumlah modal untuk membina sebuah chalet yang cantik dan selesa. Chalet tersebut dinamakan 'Teratak Desa Impian' siap dibina kira-kira 4 tahun yang lalu. Chalet dua tingkat tersebut menyediakan sebuah bilik air dan ruang terbuka pada tingkat bawah dan atas. Kelengkapan asas seperti bekalan elekterik dan air tersedia. Pengunjung boleh menikmati suasana nyaman dusun dan pada sebelah malam kedengaran bunyian cengkerik,  serangga dan unggas  lain yang mempersonakan. 
Calet Teratak Desa Impian hasil sumbangan anak-menantu

Calet dibuka untuk disewa kepada umum

Tingkat bawah 
6. Chalet Teratak Desa Impian boleh disewa oleh pengunjung dengan kadar sewaan sebanyak RM 200 satu malam.  Apa yang menarik, penginap dapat memetik dan memakan buah-buahan tempatan yang tumbuh melata di hadapan mata. Penginap boleh memasak diruang dapur   atau kemudahan berbarbeque disediakan. Penginap juga boleh boleh mandi manda di kawasan perkelahan anak sungai dan jeram yang terdapat  pada sekitar dusun tersebut. Penginap juga boleh mendirikan khemah di luar chalet kerana keseluruhan kawasan chalet adalah berpagar dan selamat.
Sesuai untuk semua aktiviti

In sha Allah selamat kerana keseluruhan kawasan dusun/kebun berpagar
7. Untuk sampai ke dusun Haji Rani, dari Kuala Lumpur anda exit lebuh raya PLUS di Exit Rawang, kemudian terus memandu ke arah Batang Kali. Anda akan berjumpa Masjid Jamik Batang Kali. Sekiranya anda menaiki komuter KTMB, transit di Stesen KTMB Rawang dan dapatkan train Rawang ke Tanjung Malim. Anda berhenti di Stesen KTMB Batang Kali. Dari situ, dapatkan teksi atau kereta 'private sapu' dan ikut lorong mini tar sehingga hujung kampung,  iaitu kira-kira 1.2 km dari Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Tanjung Malim. Anda boleh hubungi Haji Abdul Rani menerusi talian berikut : untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selamat datang dan bersantai.....!