1.Berita penangkapan 156 orang yang terlibat dalam unit
peronda sukarela Pulau Pinang (PPS) sejurus selesai majlis perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lepas turut mewarnai isu-isu politik dan sosial yang panas di tanah air semenjak PRU-13 yang lalu sehinggalah ke kemuncaknya kemelut Menteri Besar Selangor dan tangkapan di bawah Akta Hasutan. Pada hari kejadian, seramai 156 peserta PPS ditangkap secara beramai-ramai dan dibawa ke Balai Polis Lebuh Pantai di sini, sebelum direman semalaman di IPD Timur Laut dekat Jalan Patani, Georgetown.
di antara anggota PPS yang ditahan sejurus melintasi pentas VIP |
2. Hari ini, portal berita online Malaysiakini memetik sumber dari PDRM IPD Timur Laut bahawa jaminan polis terhadap 156 anggota PPS dilanjutkan selama sebulan lagi untuk siasatan lanjut. Dari seramai 156 anggota yang ditahan seusai tamat perarakan Hari Kemerdekaan termasuklah Pengerusi PPS, YB Phee Boon Poh; Ahli Parlimen
Tanjung, YB Ng Wei Aik dan ADUN Seri Delima, YB RSN Rayer. YB Rayer yang juga seorang peguam berkata, polis telah memaklumkan kepada beliau hari
ini bahawa jaminan polis terhadap mereka dilanjutkan selama sebulan. Menurut YB Rayer jaminan itu boleh dilanjutkan selama tiga
bulan. Ekoran dari perlanjutan tempoh jaminan polis tersebut menyebabkan aktiviti PPS tidak boleh diteruskan bagi tempoh sebulan lagi.
3. Banyak pihak mempertikaikan tangkapan beramai-ramai tersebut kerana ops polis dilakukan pada kemuncak hari sambutan kemerdekaan negara, ketika semangat patriotik tinggi dikalangan rakyat. Lagipun sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Negeri Pulau Pinang adalah satu majlis rasmi Kerajaan Negeri yang turut dihadiri Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dr. Abdul Rahman bin Abbas. Berikutan dari insiden tersebut, Kerajaan Pulau Pinang dalam satu mesyuarat tergempar Exco Kerajaan Negeri memutuskan untuk
merehatkan semua anggota PPS. Dalam kenyataan media exco kerajaan negeri, kesemua anggota
PPS akan direhatkan daripada sebarang aktiviti sehingga keputusan mahkamah
dibuat tentang kesahihan PPS. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menyediakan bantuan
guaman dan kewangan untuk membantu 156 anggota PPS dan Exco kerajaan negeri
Phee Boon Poh yang ditahan polis, untuk menghadapi proses perundangan mahkamah."Semua peserta PPS yang ditahan itu akan diberikan
sumbangan RM200 setiap hari ditahan serta apa-apa kerugian munasabah yang
dialami semasa dalam tahanan".
penduduk yang melibat diri secara sukarela dan bersemangat patriotik pada Hari Kemerdekaan |
4. Menurut Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar YB Phee Boon Poh, mejelaskan bahawa penubuhan PPS di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri pada tahun 2011 bukan untuk mengambil peranan PDRM, sebaliknya bertujuan membantu pasukan keselamatan terbabit menangani jenayah di negeri itu. Menurut beliau lagi "Kerajaan Negeri pada Mesyuarat MMK Bil. 16/2011 bertarikh 27 April 2011 lepas mencadangkan penubuhan PPS dan kelulusan serta pengesahan penubuhan badan sukarelawan itu pula pada 4 Mei 2011. Garis panduan telah siap sedia pada Mei 2011 manakala Majlis Pelancaran telah diadakan di Dewan Sri Pinang pada 17 September 2011".
Kumpulan pertama anggota sukarela PPS di Majlis Pelancaran PPS |
Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang : Pelancaran Di Dewan Sri Pinang. Kelihatan YAB Ketua Menteri, YB Phee, Dato Halim (Speaker), Dato Farizan Darus (SUK) |
5. Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 26 Ogos lepas mendakwa kewujudan PPS adalah bersalahan dengan undang-undang kerana tidak pernah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Lebih gawat ialah selepas insiden seorang ahli perniagaan Ong Eu Soon mengaku diserang dua lelaki berpakaian seragam PPS di Air Itam baru-baru ini. Pada masa yang sama, Kerajan Negeri Pulau Pinang tidak menolak dakwaan Timbalan Komander Kanan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi bahawa 11 dari 156 ahli unit PPS yang ditahan pada 31 Ogos mempunyai rekod jenayah yang melibatkan kecurian, rompakan, dadah, kesalahan berkaitan kongsi gelap dan juga bunuh.
6. Namun, adalah tidak adil untuk menghukum dan mempertikaikan kewujudan PPS hanya semata-mata terdapat beberapa rekod anggota yang mempunyai rekod jenayah. Sebilangan anggota PPS yang menyertai Perarakan Kemerdekaan adalah orang dewasa dan wargaemas yang apakala air kencing mereka diuji positif mungkin disebabkan oleh ubat yang diambil untuk penyakit tertentu sebelum menyertai perarakan. Menurut YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, "bahawa kerajaan negeri tidak akan melindungi dan berkompromi dengan mana-mana anggota yang melakukan salah laku atau pun jenayah".
7. Sebagai makluman, jumlah ahli yang telah didaftarkan pada ketika penubuhan adalah seramai 937 ahli dengan jumlah pasukan sebanyak 46 pasukan. Selepas pelaksanaan saringan pentadbiran, jumlah ahli terkini adalah seramai 9,002 orang dalam 299 pasukan. Perincian mengikut agihan bangsa ialah seramai 2,970 orang atau 33 % Melayu, 5,123 orang atau 56.9 % Cina, 873 orang atau 9.7 % adalah India manakala lain-lain seramai 35 orang atau 0.4 %. Perincian tersebut juga hampir mempunyai persamaan dengan komposisi penduduk berasaskan ethnik di Negeri Pulau Pinang..
8. Setiap anggota PPS yang telah didaftarkan, diwajibkan menghadiri kursus atau taklimat, di antaranya Kursus Rawatan Kecemasan seperti balutan luka dan rawatan awal patah tulang dan kulit melecur akibat kesan haba/kebakaran, teknik pemulihan penafasan CPR, rawatan patukan atau sengatan binatang berbisa, penerangan berkaitan SOP atau tindakan yang perlu dilakukan ketika bencana atau kecemasan seperti banjir kilat, kebakaran, ribut dan kemalangan dan kawat perbarisan dan pendidikan jasmani. Peserta juga diberi taklimat berkaitan dengan bidang tugas agensi kerajaan negeri dan pusat seperti peranan Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan dan sebagainya. Setiap pasukan dibekalkan buku log PPS sebagai satu kaedah mencatat rekod pergerakan dan aktiviti pasukan atau sesuatu kecemasan dan bencana yang berlaku di kawasan masing dan salinan laporan kepada ADUN atau Pegawai Penyelaras Kadun.
9. Selain itu, bagi memastikan fungsi PPS dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh kepada masyarakat, ahli-ahli PPS juga turut digalakkan bekerjasama bersama agensi-agensi keselamatan kerajaan seperti PDRM, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Rela dan sebagainya.
10 Sebagai rumusan, peristiwa penangkapan beramai-ramai unit sukarelawan PPS yang menyertai Perarakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos yang lalu telah menyebabkan kerajaan negeri memberhentikan sementara semua aktiviti PPS. Kerajaan negeri beranggapan tindakan tersebut amat tidak wajar dan menyifatkan insiden tersebut sebagai 'Ops Merdeka Hitam' - merugikan rakyat di Negeri Pulau Pinang.
- Menjelang penghujung monson Barat Daya bulan Oktober/November, kebiasaannya Negeri Pulau Pinang akan mengalami banjir. Penglibatan semua agensi keselamatan dan penyelamat amat diperlukan untuk mengurangkan kesenggaraan akibat bencana alam tersebut. PPS telah mempamirkan kecemerlangan mereka membantu rakyat ketika banjir kilat dan banjir lumpur yang melanda di berapa kawasan rendah di Penanti baru-baru ini.
anggota PPS dan YB Dr Norlela Adun Penanti bertungkus lumus menyelamat mangsa banjir di Penanti baru-baru ini |
- Beberapa ahli JKKK melaporkan kes-kes atau kejadian pecah rumah dan kecurian kabel telekom kemungkinan berlaku semula terutama di daerah terpencil seperti diTasik Gelugor dan Nibong Tebal kerana pejabat peronda PPS telah ditutup dan anggotanya telah di'rehat'kan.
- Kita sedia maklum bahawa komuniti Cina di negara ini amat berminat dengan aktiviti sukarela kebajikan serta sosial, Menurut rekod ROS, kaum tionghua di Malaysia lebih dominan dalam aktiviti sosial dan komuniti. Sesuatu yang tidak kedapatan kepada kaum lain di negara kita ialah kaum tionghua telah sekian lama menubuhkan Pasukan Bomba Sukarela yang dibiayai sendiri oleh mereka dan melakukan tugas-tugas pemadaman kebakaran dengan cemerlang di mana-mana kawasan bencana kebakaran tanpa mengira kaum mana yang menjadi mangsa. Insiden penahanan tersebut dikhuatiri akan menjauhkan minat anggota masyarakat untuk aktiviti sukarela.
No comments:
Post a Comment