Thursday, 9 October 2014

KUNJUNGAN KE BAITUL MAQDIS siri 11 - RITUAL YAHUDI DI TEMBOK RATAPAN



[baca siri 10 DI SINI]


Part 2 : RITUAL AGAMA YAHUDI

1. Seusai ziarah tempat-tempat menarik dan menyaksikan bagaimana penganut agama Nasrani memuliakan tempat kelahiran Nabi Isa a.s di Baitulaham, kami berangkat pulang ke hotel penginapan di Kota Baitul Maqdis. Apa yang menarik, perjalanan pulang agak mendebarkan kerana pada sepanjang jalan, kami menyaksikan  ramai tentera dan polis Israel mengawal pada persimpangan jalan terutama berdekatan kawasan penempatan penduduk Arab Palestin. Dari raut wajah Mr Kassim, penulis menjangkakan sesuatu perkara buruk telah atau sedang berlaku di Kota Baitul Maqdis ketika kami berada sehari suntuk  di bandar Hebron dan Baitulaham. Setelas melepasi chek point pintu masuk Kota Baitul Maqdis, kami dapati ramai penduduk Arab Palestin majoritinya golongan remaja berkumpul sambil bersorak-sorak seolah-olah berada dalam satu pesta keramaian atau  persembahan konsep yang dikawal rapi oleh tentera dan polis Israel yang lengkap bersenjata.  Bas kami bergerak perlahan dalam barisan kenderaan 'que' panjang akibat kesesakan lalulintas. Polis dan askar Zionis telah membuat sekatan jalan raya menuju ke kota lama Baitul Maqdis. Pemandu bas cuba meminta belas ehsan dari polis dan tentera yang bertugas agar membenarkan bas kami memasuki kawasan kota lama tersebut. Malaoun sunguh tentera dan polis Zionis, berkeras tidak membenarkan bas kami masuk. Pemandu bas tersebut akur lalu menurunkan kami pada persimpangan yang paling dekat dengan hotel penginapan. Kami masih tidak memahami apakah situasi yang berlaku di sekitar kota lama Baitul Maqdis ketika itu.
  
sebahagian tentera Yahudi sedang siap siaga menbendong kemarahan Arab Palestin berhampiran kota Baitul Maqdis

2. Setelah berehat dan mandi, kami bersiap untuk ke Masjid al Aqsa  menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Kami diberi kebenaran pergi bersendirian ke masjid tersebut. Penulis dan isteri serta beberapa orang jemaah bergerak ke Masjid al-Aqsa dalam kumpulan kecil. Selepas solat, penulis bersama lima rakan jemaah lain menuju ke Wailing Wall atau Tembok Ratapan, melihat bagaimana penganut Yahudi melakukan ritual agama mereka. Untuk masuk ke dataran Wailing Wall, tedapat anggota polis Yahudi mengawal pergerakan setiap pengunjung ke situ. Pemeriksaan keselamatan termasuk mesin penimbas logam, manakala bag pula diselongkar bagi membolehkan pengunjung melepasi pintu masuk. Dari pintu masuk, pengunjung akan menuruni beberapa anak tangga. Panorama dari tangga amat menarik dengan pemasangan lampu terang benderang seolah-olah cahaya langit pada waktu siang hari. Kami dapat melihat beberapa gelagat penganut agama Yahudi dari yang orthodox dan moden sedang beritual. Hampir kesemuanya penganut lelaki memakai kifah (ketayap) atau bertopi tinggi,  manakala kaum hawa menutup kepala secara berselendang.


anak panah menunjukkan  puak Yahudi lelaki dan wanita sedang melakukan ritual di hadapan Dinding Ratapan dengan cara mengangguk-angguk kepala ke dinding

3.  Tembok Meratap atau Tembok Barat  (Western Wall)  ialah satu tempat yang penting dan dianggap suci serta mesti menjadi  destinasi orang Yahudi berkunjung, berdoa dan meratapi dosa-dosa mereka dengan penuh penyesalan. Selain mengucapkan doa-doa mereka, orang Yahudi juga meletakkan doa mereka yang ditulis pada sepotong kertas yang disisipkan pada celah-celah dinding itu. Panjang tembok ini pada asalnya adalah sekitar 485 meter, tetapi kini panjangnya hanya tinggal 60 meter sahaja.  Orang Yahudi percaya bahawa tembok ini tidak ikut hancur sebab di situlah berdiam "Shekhinah" (Sakinah @ kehadiran Ilahi). Jadi, berdoa di situ sama ertinya dengan berdoa kepada Tuhan.  Dinding ini dibahagi dua dengan sebuah pagar pemisah (mechitza) diperbuat dari kepingan papan dan kayu setinggi 2 meter,  memisahkan laki-laki dan perempuan. Apa yang menarik, wanita Yahudi setelah berdoa akan meninggalkan Tembok Ratapan secara langkah mengundur kebelakang.


Puak Yahudi orthodox melangkah menuju ke Dinding Ratapan





4.  Tembok Ratapan adalah tempat penting orang Yahudi, Muslim dan Kristian. Umat Islam percaya bahawa  tembok atau dinding tersebut  menjadi bahagian kaki Masjid Aqsa dan Masjid Burraq. Ketika peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w, baginda penah  menambatkan Burraq pada satu bahagian Tembok Ratapan iaitu pada bahagian barat Masjid al-Aqsa. Orang Yahudi pula beranggapan  tembok tersebut adalah sisa tinggalan dinding Bait Suci @ Haikal Kedua di Jerusalem yang dibangunkan oleh Raja Solomon (Nabi Sulaiman a.s.), putera Nabi Daud a.s. Haikal itu hancur ketika  Jerusalem diserbu tentara Rom pada tahun 70 Masihi. Sebahagian orang Yahudi berharap kuil/ Haikal Solomon dibangun kembali dengan cara meruntuhkan Masjid Al-Aqsa.

Selain orang Yahudi, terdapat sebilangan penganut agama Kristian termasuk 'Paus' mereka pernah datang meratap di situ. terutama Perayaan Hari Easter. Mengikut agama Kristian ,  Baitul Maqdis (Jerusalem) adalah tempat yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa a.s yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran, terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa  Nabi Isa a.s pernah berkhidmat mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di Baitul Maqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitul Maqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.

Mengapa orang Yahudi dan Kristian   meratap di Tembok Ratapan  ?
  • Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya  bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beritual dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini masih berlangsung sehingga sekarang ini,

  • Ratapan itu adalah tangisan kesedihan atas hancurnya kuil/Haikal Solomon, dan setelah mengalami begitu banyak perang dan pertikaian, berbagai agama muncul, termasuk Kristian dan Islam, yang kemudian menganggapnya menjadi bahagian penting dari sejarah perkembangan agama agama semawi tersebut, yakni , tidak lagi mutlak menjadi milik kaum Yahudi sebagai tempat tersuci.

  • Mereka meratap sebagai satu bentuk penyesalan diri di atas    ketiadakupayaan mereka untuk membangun kembali Haikal Solomon , yang telah diruntuhkan. Alasan inilah menjadi azam buat puak Yahudi untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa dan mendirikan semula Haikal Solomon di atas tapak tersebut. 
  • Bagi penganut agama Kristian yang meratap di situ, perbuatan tersebut ada kaitan dengan sedihnya mereka di atas kegagalan mereka menyelamatkan Jesus yang telah disalibkan oleh bangsanya sendiri iaitu Yahudi





perhatikan anak panah - wanita Yahudi bergerak undur ke belakang sebagai tanda hormat kepada Tembok Ratapan


5. Setelah hampir sejam kami berada di situ, leka memerhati gelagat orang Yahudi beritual, kami balik semula ke hotel. Agak menakjudkan kerana kami tidak sedar apakah situasi sebenarnya berlaku di sekitar Haram al-Sharif. Setelah kembali ke Malaysia, baharulah penulis menyedari bahawa kehadiran kami dalam kumpulan yang kecil tanpa pengetahuan ketua rombongan (Ustaz Abdullah Khairi) sebenarnya amat bahaya kepada keselamatan kami. 


  • Situasi ketika itu menurut rakan dari kru  Stesen TV Al-Hijrah  yang telah terperangkap pada sebelah pagi di perkarangan Masjid al-Aqsa pada hari tersebut, adalah  disebabkan tindakan pihak polis dan tentera Yahudi membenarkan pelancong Eropah memasuki perkarangan Masjid al-Aqsa dan Qubah ash Shakrah.  Hal tersebut mendatangkan kemarahan pentadbiran Haram al-Sharif dan mendorong penduduk Arab Palestin membuat bantahan melalui demonstrasi di semua pintu masuk Haram al-Sharif . Tentera dan polis Israel telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah orang Palestin bagi menyuraikan mereka. Insiden tersebut berlarutan hingga ke sebelah malam. Sebab itulah pada malam tersebut penulis ada dengar bunyi macam  mercun yang dicucuh sempena sambutan perayaan di Malaysia.
  • Kami pertarungkan nyawa kami ketika memasuki dataran Wailing Wall kerana ketika itu terdapat ramai Yahudi Orthodox dan ekstrim yang juga berkunjung beritual ke situ. Menurut Protokol Zionis, agama atau umat Islam mestilah dihancurkan. Oleh itu, puak yang pegangan kepada Protokol Zionis menghalalkan pembunuhan orang Islam. Sebab itulah kehadiran kami di situ tidak begitu disenangi oleh polis Israel yang bertugas di pusat pemeriksaan masuk. Insiden tembakan yang telah mengorbankan beberapa nyawa penduduk Palestin pada hari tersebut boleh memberi ilham kepada puak Yahudi malaoun untuk menghapuskan kami yang hadir dalam kumpulan kecil. Kami bernasib baik kerana tidak menyedari bahaya yang boleh mengancam nyawa kami. Kalau tahu, tentu kami tak sempat menyaksikan Tembok Ratapan yang kini diberi jolokan "FACEBOOK" (ciptaan Yahudi Mark Zuckerberg) yang kita sibuk melayari berjam-jam setiap hari !

BERSAMBUNG: TERPERANGKAP DI MASJID AL-AQSA

Baca SIRI 12 DI SINI







1 comment:

  1. Salam tuan, walaupun blog dari 2014 dan saya dari 2023, terjumpa blog yg sgt menarik untuk dibaca tapi sayangnya mcm mana saya nak baca siri 12. Tak jumpa pula

    ReplyDelete