Tuesday, 14 October 2014

MALAYSIAKU - LUBUK EMAS PELAJARI PELBAGAI BAHASA UTAMA DUNIA




AYAH telah menghantar saya dan juga dua abang saya ke sekolah Inggeris, St Xavier Institution di Pulau Pinang kerana dia merasakan kami semua perlu diberikan pendidikan yang terbaik di sebuah sekolah beraliran inggeris.

Abang sulung saya sebaliknya dihantar ke sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina dan dia tidaklah begitu cemerlang. Itu sudah memadai untuk menyakinkan orang tua saya bahawa kami semua perlu dihantar ke sekolah mubaligh.

Ayah saya, Wong Soon Cheong bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih dengan loghat Utara yang tebal dan pada masa yang sama telah belajar sendiri untuk membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Dia juga tidak ketinggalan mengasah bahasa Cinanya.

Sepertimana kebanyakan masyarakat Cina pada zamannya, malah sekarang, mereka sedar, satu-satunya tangga kejayaan hanya boleh dicapai menerusi pendidikan dan pada masa itu, prasarana pendidikan yang terbaik boleh diperolehi di sekolah aliran Inggeris.

Ketika saya memasuki darjah satu pada 1968, England masih merupakan kuasa ekonomi dunia dan Eropah dan menguasai 'Queen's English' adalah pasport kepada masa depan yang lebih cerah.

Kini maju ke hadapan di tahun 2014, kuasa ekonomi dunia telah beralih arah. China telah menjadi kuasa dunia dan disamping menjadi pengeluar terbesar dalam apa juga produk, negara itu juga adalah pasaran terbesar untuk sesiapa sahaja dari mana-mana sahaja yang berhasrat untuk menjual apa sahaja.

Kekesalan terbesar saya sekarang ialah oleh kerana saya adalah produk sistem pendidikan aliran Inggeris, saya tidak mampu untuk menulis atau bertutur dalam Mandarin. Dialek yang saya kuasai iaitu Hokkien dan Kantonis hanya memiliki sedikit nilai di tanah besar China.

Sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan di China perlu menguasai bahasa Mandarin. Ianya semudah itu dan penulis ini akan ditunjukkan ke arah pintu keluar jika dia tidak mampu pun untuk memulakan mukadimah di dalam bahasa Mandarin di Negeri China.

Malah di Kuala Lumpur sekali pun, saya tidak akan diterima untuk bekerja di mana-mana syarikat yang mempunyai urusan dengan Negeri China. Ini bukanlah satu diskriminasi kerana dalam dunia perniagaan, kekurangan linguistik saya perlu diambil kira.

Ketika tiba masanya untuk mendaftar anak perempuan saya ke alam persekolahan, senario telah berubah. Tidak ada lagi sekolah beraliran Inggeris di negara kita, dan sekolah kebangsaan tidak lagi menjadi satu daya tarikan dan pilihan utama kepada ibu-bapa berketurunan Cina.

Mereka bukan sahaja khuatir tentang kualiti pendidikan tetapi semua orang mengetahui - ini adalah pada tahun 1998 - bahawa China bakal menjadi negara yang perlu diperhatikan.

Ini mendorong kebanyakan keluarga yang pada zahirnya bertutur dalam bahasa Inggeris, memutuskan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina.

Tetapi ini semua lebih didorong atas sebab-sebab ekonomi, tidak lebih dari itu. Sebahagian besar dari mereka semua tidak lagi mempunyai saudara mara di Negeri China dan sudah tentunya tidak memiliki sebarang sentimen politik terhadap China.

Sebagai seorang yang menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah beraliran Inggeris, saya sendiri tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan apa jua perkara yang bersangkutan dengan kecinaan. Saya adalah contoh apa yang mereka gelarkan 'pisang kuning' - seorang yang berkulit kuning sepertimana kaum Cina yang lain tetapi berhatikan orang putih. Hakikatnya ialah, masa depan global China terbentang luas untuk semua orang lihat dan sedari.      
Apabila anak perempuan saya terbang ke England untuk menduduki peperiksaan A-Level, sekolahnya dipenuhi dengan pelajar yang berlatarbelakangkan kewarganegaraan yang berbeza - bersedia untuk menduduki kelas dan peperiksaan bahasa Mandarin. Sekolah itu menggajikan guru yang terbaik untuk mengajar anak murid mereka dan begitulah keutamaan yang mereka berikan kepada pelajar-pelajar mereka untuk menguasai skil berbahasa.

Anak perempuan saya berlepas ke England sejurus sebelum berlangsungnya peperiksaan SPM tetapi dia tetap kembali ke Kuala Lumpur untuk menduduki peperiksaan tersebut. Kami ingin memastikan dia menduduki peperiksaan ini dan memperolehi kredit dalam bahasa Malaysia iaitu satu keperluan jika dia mahu menjadi seorang peguam di Malaysia.

Sekolahnya di United Kingdom, tidak begitu setuju dia kembali ke tanah air bagi menduduki peperiksaan SPM. Lagi pun apa jua keputusan yang diperolehinya dalam kertas bahasa Malaysia (dia mendapat cemerlang) tidak mempunyai kesan ke atas pengajian A-Levelnya.

Kaum Cina pada asasnya adalah merupakan satu kaum yang sangat praktikal dan ini termasuklah memastikan semua keperluan asas dipenuhi.

Hakikat hari ini ialah, boleh dikatakan 90 peratus kaum Cina menghantar anak mereka ke sekolah aliran jenis kebangsaan dan daripada 1,300 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang terdapat di negara kita, 15 peratus daripada pelajarnya adalah terdiri daripada kaum-kaum lain yang bukan dari keturunan Cina.

Malah pemandu peribadi saya yang merupakan seorang berketurunan India turut menghantar anak perempuannya ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Ia tentulah sesuatu yang sangat sukar bagi mereka tetapi anaknya mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan fasih termasuklah bahasa Malaysia, Inggeris dan juga bahasa ibundanya, Tamil. Ini akan memberi kelebihan kepadanya pada masa hadapan.

Sekolah-sekolah di United Kingdom - tunggak utama budaya Anglo-Saxon - turut menyedari kepentingan nilai ekonomi global yang dimiliki oleh bahasa ini. Kini mereka sedang membuat perancangan untuk memastikan murid-murid mereka mempelajari bahasa Mandarin agar mereka juga tidak ketinggalan.

Datuk Bandar London, Boris Johnson, telah dipetik sebagai berkata bahawa semua murid di United Kingdom wajib mempelajari bahasa Mandarin. Johnson yang merupakan seorang yang mempelajari dan menguasai bahasa Mandarin dilaporkan telah mengesyorkan agar warga Britain mempelajari sebanyak mungkin tentang China kerana pengaruhnya yang semakin mengembang.

Katanya, kanak-kanak yang mempelajari bahasa Cina akan dengan sendirinya sedar kepentingan China kepada global. Dan ketika ditanya apakah mereka perlu mempelajari bahasa Cina sebagai satu subjek standard di sekolah, jawapannya ialah "Kenapa tidak? Anak-anak saya pun kini sedang belajar bahasa Cina, jadi kenapa tidak."

Datuk Bandar itu memberitahu para pemberita bahawa dia mempelajari bahasa Cina bermula dari bawah sambil menunjukkan fail yang mengandungi nota-notanya yang mana dia telah menulis 'Kerajaan Tengah' atau 'China' dalam Mandarin. Dia juga pernah memberitahu para pelajar universiti di Beijing bahawa anak perempuannya yang berusia 16 tahun kini sedang mempelajari bahasa Cina dan berhasrat untuk melawat China suatu masa nanti.

Singapura selalu dijadikan contoh, sebuah negara yang bermajoritikan kaum Cina tetapi tidak mempunyai sekolah beraliran jenis kebangsaan Cina. Hakikatnya ialah, murid mereka belajar dalam sekolah beraliran Inggeris dan kemudian mereka wajib mempelajari bahasa ibunda mereka. Dengan kebenaran tertentu, mereka dibenarkan mengambil satu lagi subjek bahasa lain sebagai pilihan.

Oleh yang demikian, bahasa Cina adalah subjek wajib untuk murid-murid kaum Cina di Singapura, manakala murid bukan Cina boleh memilih bahasa Melayu atau Tamil sebagai opsyen. Bahasa Inggeris adalah subjek wajib lulus di Singapura.

Sekarang kita telah tiba kepada perkara yang ingin saya perkatakan - kenapa perlu ada syor daripada sesiapa sahaja supaya sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil perlu ditutup di negara kita dengan alasan ia adalah punca kepada perpecahan? Tidakkah ini membingungkan, iaitu sekolah-sekolah vernikular dijadikan kambing hitam atas isu perpaduan kaum di negara kita?

Saya tidak fikir, sesiapa sahaja terlalu naif dan simplistik khususnya ahli-ahli politik untuk mempercayai bahawa dengan memansuhkan sekolah-sekolah ini, semua masalah perpaduan akan hilang dan selesai.

Banyak negara mono-etnik dalam dunia ini yang berpecah-belah walaupun mereka berkongsi bahasa, agama dan budaya yang sama khususnya di Eropah Timur dan di Afrika.

Masalah terbesar kita ialah bukannya sama ada kita bertutur dalam bahasa Malaysia, Cina, Inggeris atau Tamil sebagai medium pengajaran tetapi kita perlu berasa khuatir dengan kejatuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah kita dan juga universiti kita.

Kita sepatutnya tidak boleh lena malam mengetahui 70 peratus daripada guru-guru kita yang mengajar bahasa Inggeris sebenarnya gagal dalam ujian kecekapan. Dan kenapa tiada siapa yang gusar universiti kita masih tidak mampu menduduki ranking antara yang terbaik di dunia?

Atau kenapa para pelajar kita di sebalik keputusan cemerlang yang mereka perolehi sekarang, jarang diterima masuk ke universiti-universiti terkemuka Amerika.

Sebenarnya hanya sekadar menguasai bahasa Mandarin semata-mata adalah tidak memadai. Kita semua sepatutnya menguasai bahasa Arab kerana negara-negara terkaya di dunia terletak di dunia Arab. Dengan begitu ramai pelancong Arab membanjiri Malaysia, apakah cukup pemandu pelancong yang mampu bertutur dalam bahasa Arab di negara kita?

Sebaliknya, aset terhebat Malaysia ialah masyarakat pelbagai kaumnya yang meletakkan kita di atas negara-negara Asia Tenggara yang lain dalam persaingan merebut pai ekonomi. Mereka yang menguasai bahasa Mandarin boleh menembusi tanah besar China, Hong Kong dan Taiwan manakala mereka yang menguasai bahasa Melayu boleh menembusi pasaran Indonesia iaitu pasaran terbesar di Asia Tenggara dan mereka yang menguasa bahasa Tamil boleh menembusi pasaran India.

Jika kita bekerjasama, kita boleh menjadi sebuah negara yang kuat. Kita sepatutnya menggunakan sepenuhnya kelebihan dan kekuatan yang kita ada ini.

Penguasaan bahasa adalah satu aset bukannya liabiliti. Saya sedia maklum terdapat yang percaya bahawa hanya dengan satu medium sekolah sahaja yang akan dapat menyatukan generasi masa depan kita. Tetapi mereka yang menyeru agar sekolah-sekolah jenis kebangsaan cina ditutup seharusnya bercakap terlebih dahulu dengan keluarga bukan Melayu yang menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah ini. 

Boleh tak ahli-ahli politik kita untuk seketika mendengar dan tidak hanya bercakap agar dengan itu mereka dapat mempelajari sesuatu daripadanya?

Pergilah berjalan-jalan di sekitar sekolah-sekolah ini, lihat kemudahan yang terdapat di sana, tengok bagaimana disiplin diberi perhatian atau kenapa ibu-bapa dipanggil ke sekolah apabila anak-anak tidak cemerlang.

Sudah pastinya, sejarah komunis China tidak diajar di sekolah-sekolah ini. Juga tidak ada yang dibasuh otaknya supaya mengundi DAP jika itulah keraguannya. Sekolah-sekolah kebangsaan di negeri-negeri yang majoritinya adalah kaum Melayu seperti di Kelantan dan Terengganu adalah sama sepertimana sekolah-sekolah kebangsaan di negeri lain tetapi masih ramai keluarga murid atau lepasan sekolah yang akhirnya mengundi PAS. Apakah sekolah ini juga perlu dilihat sebagai sumber perpecahan dan menentang pihak berkuasa?

Ketika era saya, sekolah aliran Inggeris dilihat sebagai tapak yang neutral yang mana, kanak-kanak dan pelajar dari pelbagai latarbelakang kaum datang untuk belajar bersama.Tetapi itu sudah menjadi sejarah dan standard bahasa Inggeris di negara kita telah merudum sejak itu.

Dan untuk rekod, sebelum saya dituduh sebagai rasis, saya ingin menegaskan di sini bahawa saya secara sukarela belajar subjek Kesusasteraan Melayu dan Pengajian Islam ketika di Tingkatan Enam. Kemudian, ketika saya menyambung pengajian tinggi saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya mengambil kursus di Jabatan Persuratan Melayu.

Kursus Ketamadunan Islam yang diajar di UKM adalah satu matapelajaran wajib dan saya sendiri telah menulis berulang kali bahawa kebimbangan yang dibangkitkan oleh sesetengah ahli politik bukan Islam mengenai kursus ini yang mereka dakwa sebagai indoktrinasi agama adalah sama sekali tidak berasas dan tidak wajar.

Kita tidak harus takut dengan kualiti pendidikan dan perlunya kepada penguasaan pelbagai bahasa. Berapa ramai anggota elit dalam politik menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa yang terdapat di Malaysia atau ke United Kingdom atau Australia? Malah sesetengahnya terus menghantar anak-anak mereka bersekolah di luar negara di sebalik menyeru agar masyarakat biasa menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan.

Perdebatan mengenai sekolah vernikular tidak harus lagi dipanjangkan. Kita mempunyai masalah yang jauh lebih besar yang sepatutnya mendapat perhatian semua seperti peningkatan harga barang dan kos kehidupan serta sentimen pasaran yang lembab. Kita semua berada di dalam bot yang sama.





> WONG CHUN WAI adalah ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Kumpulan Media The Star. Artikel ini pertama kali terbit menerusi kolumnya 'On The Beat' dalam akhbar Sunday Star, Ahad, 12 Oktober 2014.

No comments:

Post a Comment