Assalamu Alaikum wm wbt. dan Salam Sejahtera.
1. Hari ini, 4 September 2014, genap SATU tahun 'usia' blog "Patah Sayap Terbang Jua" menemui pembaca budiman. Berikut adalah beberapa informasi sebagai 'flash-back' di lontarkan kepada pembaca. Semoga pada penghujung penulisan ini pembaca boleh cadangkan apa yang perlu dilakukan untuk penambahbaikkan.
- Pada siri pertama, penulis ada menyatakan tujuan penulisan blog 'Patah Sayap Terbang Jua' (PSTJ) lebih kepada catatan penulis untuk tatapan anak-anak, anak-anak saudara dan rakan-rakan facebook yang mengenali penulis. Kepada anak-anak dan anak-anak saudara, diharapkan catatan serba rengkas dalam blog membantu memberi kefahaman berkaitan liku hidup penulis sebagai satu 'arkib alam maya' yang boleh mereka dan anak-anak generasi selepas mereka membaca dan membuat pertimbangan yang sejujurnya mengenai penulis.
- Kisah-kisah yang ditulis lebih kepada interprasi peribahasa melayu klasik 'Patah Sayap Terbang Jua' iaitu "tidak ada sebab untuk seseorang berputus asas, atau akan berjuang walaupun patah sayap, akan tetap berusaha untuk terbang jua. Tidak ada istilah kekecewaan dalam hidup". Kisah-kisah yang terpapar seperti "Aku & TNB, kisah budak bodoh bakal menjadi seorang doktor dalam 'Budak Bodoh Bakal Bergelar Doktor' dan kisah perjalanan hidup saudara 'Alias' "Di mana Ada Jalan Di Situ Ada Kemahuan" adalah di antara kisah betapa perlunya ada sifat tidak berputus asa sebagai jati diri dan terus berjuang untuk berjaya di dalam hidup dan kerjaya. Begitu juga kisah Haji Aziz yang tidak berputus asa walaupun keseluruhan bengkel motorsikal beliau di Kampung Kerinchi musnah dijilat api dalam "Kebakaran Bengkel Motor Aziba". Manakala kisah 'Legasi Reformasi DSAI dan kisah 'Antara Ainun dan Azizah' ' lebih kepada sifat seorang pejuang dan ahli politik yang tidak berputus asa dalam perjuangan dan politik mereka. Kisah 'Kehadiran Asma Dalam Hidupku' pula memperihalkan sifat tidak berputus asa untuk mendapat rawatan dan penyembuhan penyakit. Manakala kisah 'Namun ku Punya Hati' dan kisah ketabahan rakan kita Norazlinda Sariman yang tidak berputus asa setelah diri atau anak kesayangan beliau ditimpa musibah. Begitu juga petikan dari khutbah khas 'Jom Kita Solat Sunat Istisqa' mengajak umat Islam tidak berputus asa berhadapan bencana alam berupa kemarau yang berpanjangan.
- Sebolehnya penulis cuba menulis secara bersantai menghasilkan kisah yang pendek dan padat. Setakat 03/09/2014 sejumlah 75 entri telah dipubliskan dengan sebanyak 15,555 'visit' dan 284,669 'pages' telah di buka oleh pembaca - satu jumlah yang rendah berbanding dengan blog popular dalam kategori berita semasa, politik atau hiburan yang angkanya menjangkau jutaan visit atau pages. Sahabat kita Cikgu Dr. Hamedi Mohd. Adnan pernah mencadangkan supaya penulisan kisah politik kerana bilangan pembaca ramai. Terima kasih Cikgu Hamedi di atas saranan tersebut. Tetapi penulis tidak berkeupayaan bab ini kerana penulis beranggapan pembaca lebih gemar melayari kisah politik yang bersifat gossip, sesuatu yang penulis cuba elakkan.
- Daripada 75 entri yang dipublish, berada di tempat teratas adalah tajuk Kehadiran Asma Dalam Hidupku (760), diikuti Aku dan TNB (564), Jom Pi Penang Menginap Di Homestay Kamar Ana (524), Menjebak dan Memerhati Burung di Lahar Yooi (453) dan tempat ke-5 adalah kisah Ancaman Bencana Kelibat El-Nino (453). Pelawat menggunakan pageview by browsers terdiri dari Chrome (24%), Firefox (14%), Internet. Exp (07%) dan Mobil Safari (34%). Pageview by operating system menggunakan Window (40%), Android (20%), iPhone (26%) dan lain-lain Lenovo, Macintosh, Linux, iPad dan Blackberry. Sejumlah lima entri yang penulis copy-paste dari artikel yang telah disiarkan dalam fb dan dua entri adalah dari teks khutbah
- Penulisan menggunakan tatabahasa bahasa Melayu yang baik adalah menjadi idaman penulis. Namun, penulis akur, kurang berkemahiran dan cetek ilmu penulisan setelah sekian lama meninggalkan alam tersebut. Kerjaya sebagai kontraktor pada masa kini tidak membantu penulis menulis dengan baik. Kepada cikgu-cikgi dan pejuang bahasa, penulis memohon berbanyak kemaafan.
- Seboleh-bolehnya kisah yang disiarkan adalah benar, jauh dari unsur-unsur syubahat dan menyimpang dari aqidah agama suci kita . Foto yang disiarkan sebolehnya memenuhi kehendak syariat. Penulis juga cuba menghormati hak privasi, misalnya kisah Encik Alias' di DBKL, kisah Encik Awaludin (Namun Ku Punya Hati) dan permintaan dari Jovanka Ebele (peserta Program AFS Antarabudaya) supaya penulis lebih berhati-hati menyiarkan kisah beliau dan keluarga beliau. Kisah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Legasi DSAI) dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah adalah berdasarkan maklumat yang penulis perolehi dari rakan-rakan dan sepupu beliau di Kampong Cherok Tok Kun. Lagi pun penulis telah mengenali dan mengikuti perjuangan Anwar semenjak tahun 1975 iaitu ketika penulis berkesempatan bertentang mata pada kali pertama ketika solat sunat Hari Raya Aidil Fitri di Surau Tempat Tahanan Perlindungan Kemunting (KEMTA) bersama Anwar Ibrahim, Dr. Syed Husin Ali, Ibrahim Ali dan sebagainya yang ditahan di bawah ISA di kem tersebut.
Anwar bermula kerjaya sebagai guru sekolah swasta yang agak dhaif |
- Terdapat juga nama Yayasan Anda Akademik (YAA) yang di tulis beberapa kali di atas sifat tanggung jawab penulis terhadap YAA yang telah membantu membiayai penulis ketika menuntut di Tingkatan 6 Atas di institusi pendidikan tersebut pada tahun 1975. Kronologi masa bersama YAA adalah seperti berikut: Tahun 1975 penulis belajar di YAA Kampung Baru KL. Tahun 1976, menjadi guru sementara di Akademi Anda Tapah, seterusnya ke UKM pada tahun 1976 - 1979 dan pada Tahun 1980-1988 penulis bersama Cikgu Dol Malik mengajar di Yayasan Masriyah Bukit Mertajam (sekolah menengah swasta 'kerjasama penuh' YAA). Pada tahun 1988 - 1999 penulis berhijrah semula ke KL mengajar di YAA Jalan Pantai Baru KL. Yayasan Anda Akademik amat istimewa kepada penulis. Kisah YAA bolehlah dibaca pada Legasi 'DSAI siri 9.0'. Dalam siri itu ada dinyatakan nama-nama tokoh selain dari Anwar Ibrahim ialah bekas guru/staf/pelajar YAA seperti YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Almarhun Ustaz Datuk Fadhil Noor, Datuk Dr. Siddiq Fadzil, Dr. Siti Zulaikah, Tan Sri Muhammad bin Mohd. Taib, Datuk Fuad dan Datuk Jalaluddin bin Dato' Hj. Hassan, Datuk Dr. Fuad Zakashi, Prof. Dr. Mohamad Redzuan Othman, Mama Juwie, dan beberapa nama selaku tokoh dan selebriti negara.
- Penulis juga sering mengaitkan Kampong Lahar Yooi, Tasik Gelugor dalam beberapa keluaran lepas. Pada sekitar tahun 1960-an kampong Lahar Yooi kurang dikenali. Sebutan 'Lahar Yooi' juga agak kelakar bunyinya. Oleh itu tidak hairanlah Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menggunakan ungkapan 'Lahar Yooi, disamping 'Cherok Tok Kun' untuk mengambarkan sesuatu yang 'lucu'' atau untuk menarik perhatian pendengar supaya ketawa dengan celoteh beliau. Penulis adalah 'orang luar' di Lahar Yooi kerana kami suami isteri berasal dari Kedah/Selangor. Tetapi kami bertuah kerana penduduk tempatan dapat menerima kahadiran kami di situ. Penulis berusaha menaikkan nama Lahar Yooi dipesada antarabangsa apabila Program Homestay Kampong Lahar Yooi Kementerian Pelancongan yang penulis sedang usahakan menjadi kenyataan pada awal tahun 2015 kelak (Baca dalam kisah "Jiranku di Dunia & di Akhirat".
Foto tahun 1984 rumah (dan tanah) yang penulis beli di Lahar Yooi dengan harga RM38000. Kami berpindah dari KL ke Lahar Yooi setelah 'patah sayap' apabila YAA berhenti operasi (1999). |
Foto 2014 : kini, banglo setingkat 6 bilik tidur setelah Allah swt curahkan rezeki dalam bidang baru sebagai kontraktor |
- Masih terdapat beberapa kisah yang masih pada peringkat draf seperti Selamat Pagi Cikgu (ada 3 siri), Yayasan Anda Akademik (3 siri), Yayasan Masriyah (3 siri), sambungan Jelajah Indonesia (5 siri) dan Kunjungan ke Baitul Maqdis (5 siri), Pembangunan Kota Mekah (3 siri) biografi Haji Ahmad - Berbudi Dan Berbakti Sepanjang Hayat (3 siri), Kunjungan ke Wilayah Guilin dan Yangshuo di China (2 siri), Misi Dakwah di Negara Surinam Amerika Selatan, Jom Memandu ke Krabi/Phuket (2 siri) sambungan Legasi DSAI (3 siri). Perjalanan Yang Mendapat Restu ke Negara Brunei Darul Salam dan rencana kerjaya.
2. Akhir kalam, penulis terhutang budi kepada isteri tersayang Hajah Norliah yang sudi membaca setiap entri yang disiarkan serta mengemukakan cadangan untuk penambahikan, Juga anak-anak Dayah, Akmal dan Amin yang membantu dan menunjuk ajar penulis berkaitan aspek teknikal penerbitan blog dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menyediakan Wifi Percuma di Kampong Lahar Yooi (serta beberapa hot spot WIFI di seluruh Negeri Pulau Pinang). Jujur penulis katakan di sini, penulis tidak melanggan sebarang rangkaian internet/wifi/smartfon berinternet, sebaliknya mengguna sepenuhnya Penang Free Wifi dalam penerbitan blog atau berfacebook - jimat duit bil bulanan beb !
No comments:
Post a Comment