Thursday, 30 April 2015

THE UNIVERSITY OF SHEFFIELD - (DARI LAHAR YOOI KE ALEXANDRIA - MANCHESTER) Part 15



DEBARAN RESULT PEPERIKSAAN  SEMESTER 1  UNIVERSITI SHEFFIELD

BACA PART 16 DI SINI



1.  Destinasi  pertama yang kami kunjungi ketika berada di Sheffield ialah Universiti Sheffield. iaitu tempat di mana anak gadis kami sedang menuntut. Universiti Sheffield adalah di antara universiti tertua di UK.  Sejarah penubuhan bermula apabila pihak berkuasa UK menggabungkan tiga institusi pendidikan tempatan iaitu Sekolah Perubatan Sheffield, Firth Kolej dan  Sekolah Menengah Teknik Sheffield.  Pada tahun 1897, ketiga-tiga institusi itu disatukan dengan Royal Charter untuk membentuk Kolej Universiti Sheffield, yang kemudiannya menjadi Universiti Sheffield pada tahun 1905. Penulis terpegun dengan kecantikan bangunan utama universiti tersebut iaitu Bangunan Firth Court yang diperbuat dari bata merah dengan seni bina cukup menarik. Universiti Sheffield terletak bersebelahan Weston Park iaitu salah sebuah laman yang dipenuhi rimbunan pokok-pokok rendang dan cukup menawan. Universiti Sheffield adalah di antara universiti di UK yang  menjadi pilihan JPA dan MARA menghantar pelajar dari Malaysia sama ada sebagai pelajar under-graduate atau post-graduate. Pemilihan ke universiti tersebut dibuat kerana sifat diversitinya dalam pelbagai disiplin ilmu. Terdapat lebih dari 100 bidang pengajian yang di tawarkan oleh Fakulti dan Jabatan yang terdapat di Universiti Sheffield dan boleh di  lihat DI SINI. Universiti Sheffield adalah di antara universiti yang terbaik di UK dalam bidang penyelidikan. Universiti Sheffield mendapat tempat pertama  di UK sebagai universiti penyelidikan yang berkualiti dalam bidang sains bio-medical, manakala tempat ke-5 dalam bidang penyelidikan sains biologi. Lihat DI SINI Di antara kejayaan cemerlang Jabatan Biomedical universiti tersebut ialah penemuan satu cell line baru dalam bahagian Stem Cell yang di kenali sebagai 'Shef4’ yang kemudiannya digunakan penyelidik-penyelidik lain dalam kajian mereka. Sehingga kini, seramai lima orang tokoh akademik dari universiti tersebut telah menerima Nobel Prize Winner.  Pada QS World University Ranking yang dikeluarkan bagi Tahun 2014/2015, terdapat beberapa buah universiti di UK yang berada dalam ranking Top 10 iaitu Cambridge, Imperial College London, Oxford dan UCL. Manakala Universiti Sheffield berkedudukan ke 69 terbaik. Jadi, tidak hairanlah Universiti Sheffield menjadi pilihan 25,000 pelajar dari lebih 100 negara di dunia. Disamping bidang biomedical, ramai pelajar Malaysia terutama tajaan JPA  memilih Universiti Sheffield bagi kursus kejuruteraan berbanding dengan universiti lain di UK termasuk Universiti Manchester. Sesuatu yang agak menarik ialah terdapat berbagai-bagai kemudahan disediakan untuk pelajar. Universiti Sheffield juga boleh dianggap sebagai 'mesra' kepada pelajar yang menganut agama Islam. Pihak universiti menyediakan ruang untuk dijadikan surau, termasuk di perpustakaan. Ditempat-tempat tertentu, ada kemudahan tandas berpaip bagi memudahkan pelajar Islam bersuci. Di perpustakaan juga disediakan bilik wuduk.

2. Anak penulis, Nurhidayah berkelulusan  B. Biomedical Sc.  dari UIAM telah berjaya melanjutkan pengajian pada peringkat Master Sains Biomedical dengan pengkhususan Stem Cell and Regenerative Medicine untuk selama setahun. Kursus teknik stem sel adalah berkaitan  baik pulih atau terapi membaiki organ yang rosak akibat dari penyakit atau kemalangan.  Stem sel digunakan bagi tujuan rejuvenate ata upun memperbaharui sel. Sebagai contoh, sel-sel otot atau kulit yang boleh diperbaharui dengan menyediakan medium yang cukup untuk sel tersebut.  Di Malaysia, teknik stem sel masih di tahap penyelidikan. Stem sel merupakan sel yg belum ditetapkan fungsinya menjadi sel-sel tertentu. Ia boleh menjadi sel kulit, sel saraf, sel otot dan semua jenis sel dalam badan manusia. Sel tersebut boleh didapati di beberapa organ, paling terkenal pada darah tali pusat bayi baru lahir. Sebab itu, ada beberapa inisiatif hospital dan badan swasta menyediakan tabung untuk menyimpan darah tali pusat anak untuk digunakan kelak jika anak tersebut mempunyai masalah-masalah kesihatan. Jika kurang darahnya, stem sel boleh dibiakkan menjadi sel darah, dan sebagainya. Di Malaysia juga terkenal dengan pengubatan arthritis dengan stem sel, dimana stem sel akan bertindak mengawal ‘inflammation’ pada pesakit arthritis. Kelebihan menggunakan pengubatan stem sel ialah, sel baru yang digunakan tidak akan menyerang system immune pesakit kerana sel itu diambil daripada sel pesakit itu sendiri. Tidak salah juga dalam bidang kecantikan, dimana stem sel akan memperbaharui sel-sel kulit lama dan rosak, dan menjadikan kulit lebih muda dan cantik. Graduan dengan latihan dan kepakaran dalam bidang tersebut mudah mendapat peluang pekerjaan peringkat tinggi dalam industri penjagaan kesihatan dan ahli akademik.


3. Kampus Universiti Sheffield berselerak sehingga hampir ke pusat Bandar Sheffield. Di antara bangunan utama yang menjadi kampus universiti termasuklah Firth Court, Arts Tower dan Western Bank Library, Dainton Building, Alfted Denny Building yang terdapat Perak Laboratories (Sumbangan makmal dari Kerajaan Negeri Perak - Malaysia ?), Edger Allen Building, Jossop West Building, St. George's Library, Regent Court  dan sebagainya. Bagi tahun 2015, bangunan baru Fakulti Kejuruteraan akan disiap diduduki. 

Arts Tower dari Weston Park







Universitu of Sheffield dari Weston Park

Bangunan Firth Court - dipercayai bangunan yang pertama di UK  dibina  dari red brick 

Pintu masuk utama ke Bangunan Firth Court

Bahagian dalam Bangunan Firth Court

halaman sebelah dalam Bangunan Firth Court








menarik - masih ada lagi penunjuk arah tiupan angin ayam. di puncak menara



macam castle pula



siibu menunggu dengan penuh debaran keputusan peperiksan semester anak.

tabik abah & mama !! - Dayah pass semua paper !!!


di antara calon PhD - termasuk dari Malaysia


The University of Sheffield has produced 5 Nobel Prize Winners


Pada musim bunga- pokok memanjat ini akan mengeluarkan daun yang cantik


Arts Tower dan Western Bank Library

Art Tower mempunyai lif yang sangat menarik - lif tak dak pintu dan tak berhenti-henti naik-turun !!!




Bangunan Fakulti Kejuruteraan yang baharu siap mempunyi seni bina akitekture moden yang menarik

bangunan Student Union yang terdapat berbagai kemudahan one-stop untuk pelajar termasuk gerai makanan, kedai suvenir


Hicks Building

latihan dancing, indoor game dan di sinilah jugamajlis konvokesyen diadakan


Mahasiswa sedang makan  atau berdiskusi/mengulangkaji di luar Octagon Centre 





Bersambung PART 16 - Memandu Ke Leeds dan York



BACA PART 14 DI SINI

Monday, 27 April 2015

SHEFFIELD - TEMUI TEMAN SEJATI - (DARI LAHAR YOOI KE ALEXANDRIA-MANCHESTER) PART 13





PART 13  ;  TEMUI TEMAN SEJATI DI ROEBUCK ROAD SHEFFILED


BACA PART 14 DI SINI



1. Hari ke-3 di UK, Kami ke Stesen Keretapi Manchester Piccadilly untuk berangkat ke Sheffield, iaitu destinasi terakhir bagi beg-beg kami yang berat hampir 60 kg tu. Tiket ditempah terlebih awal oleh anak gadis kami kerana tambang lebih murah 43% daripada harga asal. Perjalanan tren Northern Rail antara Manchester-Sheffield melintasi Stesen Stockport, Hope Valley dan sebagainya, tiba di Stesen Sheffield berdurasi hampir satu jam. Pada sepanjang perjalanan,  kami dapat menyaksikan pemandangan yang sangat cantik kerana daerah tersebut terletak dalam Taman Negara Peak's District. Terdapat banyak anak-anak bukit bercerun cembung landai, ditumbuhi rumput menghijau. dan rabung batuan kapur  kecil. Anak-anak bukit tersebut kemungkinan  kesan dari aktiviti hakisan dan pemendapan glasier Anglian  yang terjadi pada masa 'the last glacial period' iaitu kira-kira 250,000 tahun dahulu yang membentuk antaranya 'drumlin' atau topografi 'telur sebakul'. Dilereng-lereng bukit tersebut kedapatan kawanan bebiri diternak pada kawasan padang rumput yang dipisah antara pemilik oleh tembok atau pagar  yang dibina dari ketulan batu



topografi anak bukit beralun dengan lereng cembung dan lantai

sebuah petempatan yang dilintasi oleh tren

cantik - lihat ketul batu disusun membentuk tembok atau pagar






Yeah !  Alhamdulillah sampai juga kami ke Sheffield

menarik - ada hamba Allah wakafkan piano yang diletak di platform untuk dimainkan oleh para penumpang - boleh main lagu "cho cho train"

2. Dari stesen tren, kami dapatkan teksi ke kediaman puteri kami iaitu di Roebuck Road, Crookes Moor satu kawasan kejiranan berlokasi di atas kawasan tanah tinggi  yang bersebelahan dengan The University of Sheffield. Seperti Manchester, kebanyakan rumah di situ adalah dari jenis  teres tiga atau empat tingkat mempamirkan  senibina gaya British berbata merah dan sesetengah rumah kedapatan chimney meskipun teknologi pemanasan haba dalam rumah berupa  panel pemanas atau heater yang dijana menggunakan  gas. Sekiranya berjalan kaki, jarak di antara kediaman di Roebuck Road dengan dewan kuliah atau lab Universiti Sheffield kira-kira satu setengah  kilometer, manakala ke pusat bandar lebih kurang tiga kilometer. Terdapat kemudahan bas dan teksi yang banyak. Kejiranan situ kebanyakan disewa oleh pelajar asing dari seluruh negara di  dunia yang sedang belajar di Universiti Sheffield dan Universiti Sheffield Hallam. 

masih penghujung winter



laluan menyusuri Roebuck Road, kejiranan Crookers Moor



inilah kediaman puteri kami di Crookes Moor.  Nampak macam dua tingkat... tetapi empat tingkat tau termasuk paras basement.


tu dia - senyum lebar kerana semua barangan yang dihajati kami bawa dari Kampong Lahar Yooi 


3. Setelah berehat, solat dan lunch, kami bersiap keluar ronda ke kampus Universiti Sheffield dan pusat bandar Sheffield. Suhu masih sejuk dengan angin agak kencang. Kami masih  berpakaian tebal.  Penulis mengenakan tiga lapis  pakaian iaitu t-shirt, sepasang sweater dan lapisan ketiga adalah track-suit, manakala isteri memakai themal suit, t-shirt lengan panjang dan  winter  coat serta double sock. Pada sebelah malam kami diraikan oleh teman serumah anak gadis kami. Penghuni di Roebuck Road tersebut adalah seramai lima orang iaitu anak gadis kami bernama Nurhidayah @ Dayah berasal dari Pulau Pinang, Khairul Izzati @ Zati dari Alor Setar, Nadia Jamaludin dari Negeri Sembilan, Nor Shazienna @ Sha dari Johor dan Quratu 'Aini Zain @ Ain pula tinggal di Putrajaya. Kesemuanya mendapat ijazah bachelor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dayah dan Zati kelulusan B.Sc Biomedical,  Nadia lulus B. English, Sha memegang B. Finance, manakala Ain tamat pengajian dalam B.Comp.Sc. Mereka  berjaya menyambung pengajian peringkat Master di bawah tajaan MARA. Dayah melanjutkan pengajian di Jabatan  Biomedical dalam bidang Stemcell, Zati mengkhususkan Cancer Translational Research, Sha menyiapkan pengajian Sarjana Finance, Ain dalam bidang Komputer Sains dan Nadia pula berkaitan  19th Century English Literature. Dayah bercita-cita menjadi seorang pensyarah Biomedic, Sha berminat kerja dalam bidang perbankkan, Ain memilih pekerjaan sebagai programmer, Zati berhasrat menjawat jawatan penyelidik di Institut Kanser Negara manakala Nadia berminat menjadi seorang pensyarah Bahasa Inggeris. Berkaitan dengan hobi pula, pada masa senggang  atau bila berkesempatan, Dayah, Sha dan Nadia suka membaca dan  melancong, Tetapi Sha dan Ain juga gemar menonton Korean Movie. Sebaliknya Zati yang dikekangi masa dengan beban studi dan kerja-kerja lab berminat menyanyi dan memasak. Zati pandai masak termasuklah gulai kari Kedah yang setanding masakan kari oleh Chef Wan. Apa yang manarik, Nadia yang bertubuh kecil berminat dengan pengembaraan. Disebabkan beliau fasih berbahasa Inggeris klasik, beliau telah menjelajah hampir ke seluruh bandar-bandar utama di UK, Beliau baru sahaja balik dari Portugal dan Sepanyol pada cuti Easter lalu  dan ketika blog ini disiarkan beliau kini berada di Norway seorang diri !!


hidangan special kepada kami yang di masak oleh Izati - kari ikan mackerel



ini pula gulai  ayam masak lemak cili padi yang di sediakan oleh Sha.



sedang dinner. Perhatikan botol kicap yang menjadi kegemaran Ain sebagai perasa masakan.

4. Penulis berpuas hati dengan keadaan kediaman dan kemudahan yang disediakan oleh tuan rumah. Lokasi kediaman pun dikira ok kerana area tersebut dikategorikan selamat berdasarkan  kadar jenayah yang rendah. Meskipun kadar sewaan agak mahal, tetapi, tidak membebankan kerana penaja iaitu MARA telah memperuntukkan kira-kira GBP1100 sebulan kepada setiap pelajar untuk bayaran sewa rumah, makan, pengangkutan dan wang poket. Kemudahan yang ada membolehkan mereka menyediakan makanan sendiri yang lebih menjimatkan. Pelajar Malaysia lain yang menuntut di Universiti Sheffield memilih daerah Tinsley dan City sebagai daerah penginapan kerana kadar sewaan lebih murah dan terdapat ramai pelajar Malaysia di situ

tangga berkarpet  dari aras basement dan seterusnya ke tingkat empat. Ruang agak sempit kemungkinan memaksimakan haba yang perlu pada musim winter



salah satu daripada  dua bilik air. Perhatikan panel heater turut dipasang di situ



setiap bilik mempunyai katil double dengan tilam saiz queen, meja studi, almari baju dan kemudahan heater



meja studi mengadap ke jendela yang terdapat pada bilik di paras dua.


set sofa pada ruang tamu di aras satu


dapur moden dan kabinet tersusun rapi

kemudahan washing machine dan stove
5. Meskipun kelima-lima mereka adalah lulusan dari UIAM, tetapi bidang pengajian mereka tidak sama. Hanya Dayah dan Zati yang belajar di UIAM Kampus Kuantan, Sebaliknya Ain, Sha dan Nadia di Kampus Gombak. Begitu juga, mereka bukan dari negeri-negeri yang sama, namun tidak menghalang mereka membentuk satu persahabatan yang intim seolah-olah adik beradik dalam satu keluarga. Mereka tidak lupa mendirikan solat meskipun ketika menghadiri kuliah, lab, library atau ketika berkunjung ke pusat berbeli belah atau melancong. Kesemua mereka adalah gadis remaja yang telah matang. Mengambil sikap peduli pada setiap permasalahan rakan. Sanggup menemani rakan yang berhasrat untuk menyiapkan tugasan di perpustakaan universiti sehingga lewat subuh (perpustakaan beroperasi 24 jam). Sesama merekalah  ada  bertindak sebagai mentor kepada mentee pada setiap permasalahan baik peribadi atau akademik. Peraturan disiplin sebagai penghuni tidak wujud, kerana masing-masing telah memahami tugasan masing. Misalnya tugasan memasak, membuang sampah, membeli barang keperluan harian  dan sebagainya. Begitulah anak gadis kita di perantauan. Jatidiri sebagai gadis Melayu muslimah tetap dipelihara. Maka di Roeoouk Road Broomhall,  ku temui Teman Sejati buat anakku...... 
terpancar wajah ceria meskipun dibebani dengan  homesick, tugasan akademik dan kerja-kerja lab.
musim salji pertama di Sheffield


Nadia dan Dayah di Sepanyol
Inilah "Generasi  Mal-Shef"!!


meraikan rakan yang bertandang ke rumah

mengikuti rombongan anjuran Student Union.


Sha dan Izati



dalam kapsul London Eye

bergaya di Stone Hennge

relax sekejap di Weston Park



Pertama kali dalam sejarah penulis melihat, memegang dan merasai salji 

rezeki kami kerana salji turun tanpa dijangka di sekitar kejiranan Crookers Moor




lapisan salji di behagian belakang rumah



Terima kasih Dayah, Sha, Izati, Ain dan Nadia. Pak cik dan Makcik doakan kalian berjaya di duniadan juga akhirat.  Hayatilah lagu ni sebagai mengingati semula detik-detik kita bersama.
NASYID TEMAN SEJATI - BROTHER



Bersambung : Part 14 : Sheffield Yang Damai
                       Part 15 : The University of Sheffield
                       Part 16 : Memandu Ke Leeds & York
                       Part 17 & 18 : London
                       Part 19 : Liverpool
                       Part 20 : Balik ke Alexandria & Cairo