Saturday, 14 June 2014

PEMAIN KELAB BOLASEPAK TUNAS GEMILANG MEWAKILI MALAYSIA - FIFA WORLD CUP DI QATAR 2022 ?




1. Fenomena World Cup FIFA 2014 di Sao Paulo Brazil , menenggelamkan fenomena-fenomena lain yang sedang berlaku di dunia termasuklah ancaman  El-Nino dan  kemaraan tentera ISIL yang berjaya menawan Bandar Tikrit dan Mosul di Iraq.... sehinggalah dunia akan mengetahui siapakah Juara Dunia bagi Siri Word Cup Edisi ke XX   yang akan berakhir pada 13 Julai 2014 nanti.



2. Dijangkakan seramai lebih 200 juta  penduduk dunia yang meminati sukan tersebut akan menonton siaran lansung melalui kaca tv sehari disepanjang 64 pelawanan. Untuk mendapatkan waktu siaran lansung TV1 dan TV2 serta keputusan terkini sila klik di sini. Hampir setiap empat tahun pertandingan bertaraf dunia itu disertai oleh negara-negara dari Benua Eropah, Amerika Selatan, Amerika Tengah, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara dari Afrika. Manakala negara dari benua Asia kehebatan negara Jepun, Korea, Iran dan  Arab Saudi  lebih menyerlah. Jiran kita negara Indonesia pernah menyertai pertandingan akhir Piala Dunia FIFA di atas kapasiti Negara Hindia-Belanda pada tahun 1938, tetapi tewas 0-6 kepada Negara Hungari pada pusingan pertama. Bagaimana pula dengan negara kita Malaysia ? Pencapaian terbaik kita dalam sukan bola sepak adalah kelayakan menyertai Sukan Olimpik Munich (1972) dan Moscow (1980)  iaitu ketika zaman keagongan Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, R Arumugam, Santokh Singh dan sebagainya. Ketika itu Malaysia berada pada tangga rangking ke 72 terbaik di dunia. Selepas zaman kegemilangan tersebut, sukan bola sepak negara kita di pentas antarabangsa jatuh merundum dan berada pada rangking dunia ke 153 (Jun 2014). Dikatakan Malaysia mempunyai pengalaman pengurusan dan kemudahan logistik termasuk stadium  untuk sukan bola sepak bertaraf dunia, tetapi peminat bolasepak tempatan belum disajikan dengan mutu perlawanan yang baik yang ditunjukkan oleh team Malaysia dari pelbagai kategori. Perlantikan Tengku Abdullah  Sultan Ahmad Shah, selaku Presiden FAM yang baru diharapkan dapat mengembalikan semula kegemilangan tersebut.

3. Kelab Bolasepak  Tunas Gemilang (KBTG) ditubuhkan pada Tahun 2000 di atas inisiatif beberapa orang penduduk Kampong Lahar Yooi dan kampung berdekatan yang berhasrat untuk memajukan sukan bola sepak pada peringkat akar umbi. Hanya pada tahun 2010, KBTG didaftarkan di bawah Suruhanjaya Sukan dan Majlis Sukan Negara dan Persekutuan Bola  Sepak Malaysia (FAM). Peserta yang berminat menyertai KBTG dikenakan Yuran Pendaftaran sebanyak RM 60.00. Peserta yang telah didaftarkan akan dibekalkan satu pek aksesoris sukan bola sepak termasuklah sehelai kemeja T dan stoking. Yuran bulanan pula ialah sebanyak RM 10.00.


LOGO KELAB BOLASEPAK TUGAS GEMILANG



4. Setakat 15 Jun 2014, seramai 90 orang peserta telah menyertai KBTG iaitu dari kumpulan umur 13 hingga 14 tahun seramai 17 orang, manakala bakinya di bawah umur 12 tahun.  Peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah tempatan dari seusia lima tahun hingga ke 14 tahun. Kebanyakan peserta adalah dari Kampung Lahar Yooi. Bagaimanapun, kedapatan juga mereka yang datang dari daerah yang lebih jauh seperti Machang Bubuk dan Kulim. Latihan diadakan pada setiap hari Sabtu jam 5.00  hingga 7.00 petang dan hari Ahad jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Di antara peserta yang berada dalam sesi latihan adalah dua orang pelajar dari Sekolah Sukan Mutiara Impian Seberang Perai Selatan.  Kedapatan juga bekas peserta KBTG yang telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar Johor, kembali beraksi ketika cuti penggal persekohan.

pelbagai teknik dan tektik bola sepak diperkenalkan kepada peserta

5. Menurut Ketua Jurulatif, Encik Rosli bin Talib (50 tahun), terdapat empat orang jurulatih lain turut membantu peserta bagi setiap kumpulan kecil. Mereka berlatih di Padang Tanah Wakaf Masjd At-Taqwa dan Tanah Wakaf MAINPP di Kampung Lahar Yooi,  Tasik Gelugor. Menurut Encik Rosli, peserta didedahkan  latihan kemahiran sukan bola sepak.  Peserta diunjur lebih  mengutamakan aktiviti pembelajaran dan peperiksaan di sekolah supaya peserta tidak tercicir dari segi akademik. Majlis bacaan surah Yaasin turut diadakan khusus kepada peserta yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan PMR.  Peserta juga ditekankan aspek solat fardhu.  Setiap peserta diwajibkan melakukan ibadat solat fardhu Asar berjemaah di masjid. Untuk mendapatkan keberkatan dari Allah SWT, kenduri doa selamat sempena bulan Ramadhan diadakan pada setiap tahun.  Setiap kali cuti penggal persekolahan di penghujung tahun disusun beberapa  aktiviti  seperti  lawatan sambil belajar kebeberapa destinasi yang bersesuaian.

Encik Rosli Talib sedang menerangkan mengenai latihan pada petang tersebut

6. Latihan intenstif yang diberikan telah berjaya meningkatkan skill peserta.  Peserta dilatih tubi ke arah memiliki kawalan bola dan skill hantaran pendek dan tepat dengan satu atau dua sentuhan. Jadi tidak hairanlah pasukan KBTG telah berjaya merangkul juara di dalam beberapa siri perlawann. Di antaranya ialah Johan Bawah Umur 14 Tahun Negeri Pulau Pinang untuk  tiga tahun berturut-turut iaitu tahun 2011, 2012 dan 2013. Di atas kejayaan tersebut, terdapat peserta dari KBTG  dipilih menyertai liga bola sepak tempatan atau melanjutkan pelajaran ke sekolah-sekolah sukan  di tanah air. Di antaranya;

  • seramai 20 peserta mewakili KBTG telah dipilih menyertai Program Bolasepak Bawah 12 Tahun  1 Malaysia Cardift City (1MCC) Zon Utara.



  • Dua orang peserta  telah berjaya mendapat tempat belajar dalam Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Mutiara Impian. Mereka ialah adik Fitri bin Hassan dan Mohamad Reza bin Fikri.
  • Adik Fitri bin Hassan bersama dengan adik Iman telah dipilih menyertai Program Realiti TV3 Telekom Malaysia "Mencari Ramli". Untuk itu, Fitri dan Iman  telah dibawa ke Old Trafford England  untuk berlatih bolasepak secara professional di bawah kendalian kelab bolasepak tersohor Manchester United. Menurut adik Fitri, beliau amat teruja bilamana  berada selama sebulan di Old Trafford dan kagum dengan perlawanan Liga Inggeris. Banyak perkara berkaitan dengan sukan tersebut didedahkan kepada mereka.
Adik Fitri - berpotensi menjadi pemain bolasepak negara yang disegani lawan
  • Adik Mohamad Reza pula telah dipilih mengikuti lawatan sambil belajar ke Perth, Australia selama dua minggu. Di sana mereka mempelajari skill bola sepak bersama dengan Kelab Sydney FC


latihan menimbang bola - salah satu skill yang perlu dimiliki oleh pemain


peserta tekun dengar arahan coach

tendang macam ni la
cara sepak bola yang betul

7. Penulis sempat menemubual adik Fitri bin Hassan, adik Mohamad Reza dan Puan  Hazizatun binti Ahmad Azali iaitu ibu kepada salah seorang peserta KBTG adik Ahmad Irfan.

    Mohamad Fitri bin Hassan
  • Mohamad Fitri bin Hassan (14) kini menuntut di Sekolah Menengah Mutiara Impian di Tingkatan 2. Beliau mula berminat dalam sukan bola sepak secara seriuos semasa menuntut dalam Darjah 3. Beliau amat bernasib baik kerana terpilih dalam Program Realiti TV3 "Mencari Ramli" yang membolehkan beliau dihantar berlatih selama sebulan di Manchester, United Kingdom di bawah kendalian Kelab Mancheter United. Dalam pasukan KBTG, Fitri memilih posisi defender. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Fitri menjadikan  Rio Ferdinand iaitu pemain posisi pertahanan dari Kelab Manchester United sebagai idola bolasepak beliau. Beliau berhasrat untuk menyarung jersi Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya pada masa hadapan dan mewakili Malaysia pada Piala Dunia Tahun 2022 di Qatar kelak. Mengenai Pertandingan Piala Dunia FIFA 2014, beliau memilih pasukan dari Belanda dan Brazil akan  mara ke pertandingan akhir dan beliau meramalkan Brazil akan muncul sebagai  juara dengan kemenangan 2-0.

Rio Ferdinand - Manchester United

  • Mohamad Reza bin Fikri  (15)  kini menuntut dalam Tingkatan 3 Sekolah Menengah Mutiara Impian. Beliau berasal dari Guar Perahu, Seberang Perai Tengah. Beliau mula berminat dalam sukan bolasepak ketika usia 7 tahun. Ibu dan bapa beliau adalah pendorong utama beliau maju dalam sukan tersebut. Menurut Mohamad Reza, tidak ada sebarang makanan khusus yang disediakan oleh ibunya. Beliau akui, banyak memakan buah-buah dan sayuran sebagai menu harian. Timbulnya minat dalam sukan bolasepak adalah dari sifat beliau suka berkawan dengan rakan yang mempunyai minat yang sama. Beliau akui, ketika dipilih menyertai lawatan ke Perth Asutralia, banyak pengalaman yang memberi faedah dari segi skill dan teknik bolasepak Australia yang diamalkan oleh pasukan Sydney FC. Mengenai Piala Dnia FIA 2014, beliau meramalkan Brazil akan menang dengan mengalahkan Belanda 2-0.
Mohamamd Reza
  • Puan Hazizatun binti Ahmad Azali berasal dari Taman Guar Perahu. Beliau adalah suri rumah. Anak sulungnya Ahmad Irfan dihantar menyertai KBTG kerana beliau lebih suka Ahmad Irfan menyertai aktiviti yang lebih berfaedah pada hari Sabtu dan Ahad, daripada melepak dihadapan peti tv atau bermain 'computer games'.  Menurut Puan Hazizatun, penglibatan Ahmad Irfan di dalam sukan bola sepak tidak mengganggu pelajaran anaknya. Mengenai 'demam bolasepak' Piala Dunia FIFA 2014, Ahmad Irfan dijangka dapat pergi sekolah pada awal pagi pada besok Isnin 16 Jun seperti biasa kerana Ahmad Irfan tidak tahan berjaga malam.. Setelah Ahmad Irfan menyertai KBTG selama hampir dua tahun, beliau mendapati anak beliau mempunyai kemahiran dalam kawalan bola dan teknik menendang. 

Puan Hazizatun begitu setia menunggu Ahmad Irfan sehingga tamat sessi latihan


Peserta mendiri solat Asar berjemaah di Masjid At-Taqwa, Lahar Yooi

peserta begitu khusyuk mendirikan solat

Mungkin mereka akan mewakili Malaysia FIFA World Cup 2022 di Qatar dan meminta tuan rumah menyediakan kemudahan Kitab Suci Al-Qur'an di bilik penginapan seperti yang dilakukan oleh pemain dari Negara Algeria.



No comments:

Post a Comment