Tuesday, 11 February 2014

SELAMAT PAGI CIKGU - KISAH 2.0


1. Penulis dipelawa  mengajar  di Akademi Anda Tapah (AAT)  Perak setelah selesai menduduki Peperiksan STP Tahun 1975.  AAT adalah sebuah sekolah menengah swasta yang diasaskan oleh Ustaz Osman bin Abu Bakar. Beliau adalah seorang ustaz  di Yayasan Anda Akademik @ YAA  Kampung Baru, Kuala Kumpur. Pada peringkat awal penubuhan, sebahagian besar tenaga pengajar AAT adalah terdiri daripada bekas pelajar YAA yang sedang menunggu keputusan peperiksaan STP/HSC, siswa/i  IPT yang bercuti semester atau graduan universiti yang sedang mencari pekerjaan tetap.

2. Pihak AAT  menyediakan bilik atau asrama guru kerana kebanyakkan guru berasal dari luar daerah Tapah. Rutin harian guru adalah mengajar pada sesi persekolahan sebelah pagi dan petang. Asrama untuk pelajar tidak disediakan. Bagaimanapun, dalam kes-kes  tertentu,  pelajar dibenarkan bermalam di asrama guru untuk diberi tuisyen.

3. Anis, nama seorang pelajar (lelaki) dari tingkatan 3. Rumahnya di Temoh, iaitu kira-kira 10 km dari AAT. Anis adalah seorang pelajar yang baik tingkah laku, bersopan santun dan sering menghormati guru. Anis juga seorang pelajar yang taat menjalani hidup sebagai seorang muslim. Beliau rajin solat fardhu di surau. Kadangkala Anis menumpang tidur di asrama guru. Ketika bermalam di situ, beliau sering bangun malam menunaikan solat sunat tahajud dan solat sunat tasbih. Ramai guru AAT memuji Anis. Menurut mereka, terpancar 'seri' pada wajah Anis kerana  beliau sering berwuzuk. Beliau juga kelihatan sangat khusyuk dalam solat. Beliau mudah disantuni oleh  guru-guru dan rakan-rakan sekelas.

4. Sahsiah Anis yang sedemikian menarik perhatian penulis. Siapakah yang telah mentarbiyah Anis sehingga beliau  berjaya membentuk tingkah laku sedemikian rupa? Anis bukanlah pelajar dari sekolah aliran agama.
Untuk mendapatkan gambaran lebih lanjut sahsiah Anis, penulis bercadang  melihat sendiri keluarga Anis di kampungnya. Suatu hari, penulis menyatakan hasrat untuk ikut Anis balik ke rumahnya selepas tamat sesi persekolahan. Kami berdua menaiki bas ke sana.  Malangnya bas lewat tiba, maka  kami sampai di rumah Anis pada jam 5.00 petang.

5. Ketibaan kami agak mengejutkan ibu-bapa Anis kerana kami tidak memaklumkan terlebih dahulu kunjungan tersebut. Bagaimanapun penulis diraikan dengan penuh rasa hormat. Rancangan awal penulis tidak bermalam di rumah Anis. Tetapi disebabkan faktor kelewatan bas tadi, penulis terpaksa bermalam juga. Lagipun, ayahnya amat mengharap penulis bermalam di situ. Kami berbual panjang lebar mengenai berbagai perkara. Selepas solat maghrib berjemaah, kami menikmati makan malam yang hidangan serba sederhana. Kami berbual-bual lagi selepas makan malam. Dari situ, penulis dapat beberapa maklumat mengenai keluarga Anis. Ayahnya berasal dari Langkap, manakala ibunya orang Temoh. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Anis dan adik perempuannya yang berusia empat tahun. Rumah mereka adalah rumah kampung yang diperbuat dari papan dan mempunyai dua bilik tidur, ruang dapur,  dan serambi. Ayah Anis bekerja sebagai buruh lombong bijih timah yang terletak berhampiran pekan Temoh. Isterinya suri rumah.

6. Kira-kira jam 10.30 malam, ayah Anis meminta penulis masuk tidur. Penulis menjangkakan akan tidur di ruang tamu. Rupanya ditunjuk ke arah bilik tidur. Penulis menuju ke bilik tersebut. Sebaik sahaja pintu dibuka, penulis agak terperanjat kerana bilik yang disediakan adalah 'master bedroom' yang hiasan dalamnya macam 'bilik pengantin'. Penulis agak keberatan masuk. Maklumlah penulis ketika itu teruna 20 tahun dan tidak ada pengalaman masuk kamar beradu sebegitu. Tergamam tetapi terpikat apabila melihat kamar yang romantis dan mendamaikan.  Rasa 'feeling' pun ada.

Foto google : Kamar pengantin  yang damai dan romantis

 7. Meskipun ibu dan bapa Anis bukanlah dari golongan  kaya macam tan sri, puan sri, dato' dan datin, atau selebriti, tetapi mereka memiliki naluri yang sama iaitu menghasilkan kamar tidur yang  kemas dan romantis. Penulis perhatikan dekorasi kelihatan ringkas. Cadar, sarung bandal dan kelambu tersusun rapi dengan warna krim yang mengasyikkan kerana pilihan rona lembut. Terdapat bantal kusyin  yang diletakkan di atas bantal yang warna sarungnya senada dengan rona cadar. Di atas meja sisi  pula terdapat satu bekas yang berisi daun pandan yang dihiris halus dalam campuran air wangi.

8. Penulis yakin kamar yang cantik tersusun dan romantis itu sememangnya telah sedia ada sebelum kedatangan penulis ke rumah Anis.  Susun atur perabut lain juga kemas. Tidak ada longgokan kain-baju atau pakaian yang disangkut dibelakang pintu bilik. Sepanjang penulis berada di rumah Anis, hanya sekali sahaja ayah Anis masuk ke kamar tersebut untuk mengambil kain pelikat untuk diberikan kepada penulis dan telekong untuk isterinya. 

9.  Menurut pakar dekorasi dalaman, kamar yang sederhana tetapi kemas dan cantik adalah manifestasi dari kasih, cinta dan sayang pasangan suami isteri. Isteri menghias kamar tidur kerana suaminya suka kamar tidur yang dihias cantik. Begitu juga sekiranya suami yang menghias kamar tidur tersebut, tentulah suami amat sayang dan cinta kepada isteri kerana kaum hawa suka kamar beradu yang cantik dan romantis.

10. Apapun, penulis rasa terharu kerana 'penghormatan yang berlebihan' diberi kepada penulis oleh keluarga Anis. Kebiasaanya tuan rumah keberatan untuk 'orang luar' tidur di atas katil dalam kamar mereka.  Tetapi, pasangan suami isteri ini amat menghargai jasa guru-guru yang tidak kenal penat dan jemu mendidik anak mereka menjadi insan yang mulia. Bagaimanapun, penulis tidak tidur di atas katil tersebut, sebaliknya pada malam tersebut penulis hanya berbaring di atas lantai papan yang beralaskan karpet.

11. Moral cari kisah di atas :-

  • Sekiranya anda memilih profession perguruan, bentukanlah diri anda dengan sifat-sifat terpuji agar   menjadi 'role model' kepada murid-murid. Ingat, murid bila balik ke rumah akan menceritakan gelagat guru mereka kepada ibu bapa. Perilaku anda akan dinilai oleh ibu bapa.
  • Rumah tangga yang dibajai dengan sifat-sifat kasih sayang dan mengharapkan keredhaan Allah swt akan menjadi baiti-jannati  iaitu rumahku syurgaku.
  • Ibu bapa yang saling cinta mencintai dan sentiasa berkasih sayang serta memahami hati nurani pasangan masing-masing menghasilkan zuriat yang diberkati Allah swt. Sifat mahmudah itulah yang membentuk sahsiah Anis.
  • Suami isteri semestilah mempastikan rumah dan kamar tidur sentiasa bersih, kemas dan teratur. Apa yang kita lihat pada hari ini kebanyakan rumah dan kamar tidur tidak sempat dibersih dan disusun kemas kerana suami isteri mengejar waktu untuk urusan  ke tempat kerja atau urus anak ke sekolah. Kadang-kadang kedapatan pampers anak yang hancing di atas katil. Kedapatan juga kain pelikat suami yang berlonggok macam tahi lembu  di atas lantai. Apa alasan sekalipun, sesiapa yang sampai dahulu ke rumah, sila kemas, bersih dan perbetulkan dekorasi bilik sebelum pasangaan anda sampai. Tentu pasangan anda hilang rasa penat bila masuk ke dalam kamar yang menyenangkan.

Renung-renungkanlah......



Sedutan SELAMAT PAGI CIKGU - KISAH 3.0

Seorang pelajar datang membawa kertas latihan yang penulis berikan.  Penulis kenal pelajar tersebut kerana penulis ada meminjam buku Ulangkaji Geografi SPM miliknya. Tercatat nama pemilik buku tersebut iaitu Bona binti Haji Ahmad Medi Ongkili.  "Cikgu faham ke tulisan ini dalam bahasa kadazan. Saya orang kadazan, orang kristian. Tulisan ini untuk Islam (pelajar Islam)!" sapa Bona.   Penulis terkejut, kerana tidak menjangka pelajar Tingkatan 5 di situ ada beragama kristian. Apakah yang terjadi kepada penulis selepas insiden tersebut? Teruskan bacaan anda dalam SELAMAT PAGI CIKGU - KISAH 3.0

No comments:

Post a Comment