1. Penulis amat bersyukur kehadrat Allah SWT kerana sempat membeli sebuah 'rumah kampung' di Lahar Yooi, Tasik Gelugor Seberang Perai Utara, Pulau Pinang semasa penulis mengajar di Yayasan al-Masriyah Bukit Mertajam (1980 - 1988). Pada tahun 1988 penulis berhijrah ke Kuala Lumpur mengajar di Yayasan Anda Akademik (YAA). Pada pertengahan tahun 1998 penulis berhenti dari YAA dan kembali menetap di Lahar Yooi. Kini penulis sudah tidak lagi mengajar dan telah membuka sebuah syarikat kontraktor elektrikal dan sivil bersama seorang rakan kongsi di Permatang Rawa Bukit Mertajam. Sebenarnya penulis dan isteri bukanlah berasal dari Negeri Pulau Pinang. Tetapi apabila kami menetap di Lahar Yooi, kami diterima baik oleh penduduk kampung di situ meskipun mereka kebanyakannya mempunyai pertalian persaudaraan di antara satu sama lain.
2. Penulis dapat merasai penduduk kampung menghormati kami. Maklumlah, penulis adalah bertitle seorang 'guru'. Oeh itu, hampir kesemua penduduk kampung lebih kenali penulis sebagai 'cikgu' berbanding dengan nama sebenar (Azhar). Hanya segelintir sahaja yang tahu penulis adalah bekas guru YAA, manakala yang lain beranggapan penulis dan isteri masih bekerja sebagai guru. Itulah kelebihan guru atau cikgu. Jika "harimau mati meninggal belang, guru pula 'mati' meninggalkan 'cikgu' ".
3. Sebelum pergi ke tempat kerja, hampir setiap pagi penulis melakukan aktiviti fizikal ringan di halaman rumah seperti merumput, menyapu sampah atau menyiram pokok bunga.
4. Kira-kira dua minggu setelah penulis menetap di kampung Lahar Yooi, ada seorang 'orang dewasa' lingkungan umur 50-an yang dikenali sebagai Pak Non oleh orang kampung ( penulis tidak begitu kenali latar belakangnya) sedang menunggang basikal ke arah jalan besar (jalanraya utama). Untuk ke situ, Pak Non mesti melalui hadapan rumah penulis. Kebetulan pada pagi tersebut, penulis sedang merumput. Pak Non tiba-tiba turun dari basikal, berjalan sambil tuntun basikalnya dan berhenti di hadapan penulis lalu terus berkata "selamat pagi cikgu". Penulis agak terperanjat, tetapi secara spontan menjawab "selamat pagi". Kemudian Pak Non 'naik' semula basikalnya mengayuh ke arah jalan besar.
5. Untuk beberapa hari berikut, setiap kali Pak Non melintasi hadapan rumah penulis dan penulis berada di situ, Pak Non akan melakukan perkara yang sama, iaitu turun dari basikal, berjalan beberapa langkah sambil tuntun basikal dan apabila tiba depan penulis, terus ucap "selamat pagi cikgu', kemudian naik basikal semula kayuh ke destinasinya.
6. Penulis agak terharu di atas sikap "hormat yang berlebihan" diberikan oleh seseorang yang lebih tua dari penulis. Kalau sekadar ucapan "selamat pagi" atau ucapan salam, itu adalah perkara biasa. Tetapi apabila turun dari basikal lalu memberi ucapan, itu dianggap sebagai luar biasa. Penulis memaklumkan peristiwa tersebut kepada jiran Pak Non. Menurut jirannya, Pak Non dikatakan 'tak beberapa betui' semenjak berpisah dengan isterinya.
7. Semasa penulis belajar di sekolah rendah dan menengah, pihak sekolah di dalam usaha mendidik murid-murid menghormati guru, telah memberi arahan supaya murid-murid yang menunggang basikal jika melintasi di hadapan guru dikehendaki turun dari basikal dan mengucap "selamat pagi cikgu", sebelum parkir basikal di kawasan parkir yang disediakan.
8. Keesokan pagi, Pak Non menunggang basikal dan melintasi penulis yang sedang menyiram pokok bunga. Seperti kebiasaanya Pak Non akan berhenti, turun berjalan kaki sambil tuntun basikal dan mengucap "selamat pagi cikgu'. Penulis menjawab "selamat pagi". Belum sempat Pak Non naik semula basikalnya penulis menegur, "Pak Non, tunggu sebentar.!... Dengar sini, mulai pagi besok Pak Non tak perlu turun dari basikal, tetapi boleh ucap selamat pagi kepada saya sambil kayuh basikal." Pak Non diam dan terus menunggang basikalnya.
9. Keesokannya, penulis siap tunggu di hadapan rumah. Tiba-tiba Pak Non lalu sambil mengayuh basikal dan menyebut "selamat pagi cikgu" bila melintasi hadapan penulis. Penulis menjawab "selamat pagi" sambil tersenyum. Sehingga hari ini (Tahun 2014), Pak Non masih mengucap "selamat pagi cikgu" bila bersua muka dengan penulis.
Pagi tadi (1/2/14) Pak Non terus kayuh basikalnya selepas membuat ucapan "selamat pagi cikgu" kepada penulis |
10. Pada pandangan penulis dalam kes ini, Pak Non bukanlah seorang yang "tak beberapa betui". Sebenarnya proses tarbiyah guru mendisplinkan murid telah sebati kepada sesetengah murid, meskipun mereka telah lama meninggalkan alam persekolahan. Murid-murid ditanam sifat-sifat terpuji di dalam diri mereka supaya menghormati guru. Oleh kerana itulah, masalah disiplin murid-murid bukanlah merupakan masalah primer di dalam sistem pendidikan pada masa dahulu.
Semoga Allah swt memberkati dan merahmati sisa -sisa usia Pak Non. Amin.
11. Dewasa ini, pelajar yang berulang-alik ke sekolah bukan sahaja menunggang motorsikal, malah ada yang memandu kereta. Bila melintasi atau memotong guru (lebih-lebih lagi guru yang menunggang motor kapcai ke sekolah), bukan nak ucap salam, malah bunyi hon pula supaya guru tersebut ke tepi.
11. Dewasa ini, pelajar yang berulang-alik ke sekolah bukan sahaja menunggang motorsikal, malah ada yang memandu kereta. Bila melintasi atau memotong guru (lebih-lebih lagi guru yang menunggang motor kapcai ke sekolah), bukan nak ucap salam, malah bunyi hon pula supaya guru tersebut ke tepi.
Renung-renungkanlah......
Sedutan SELAMAT PAGI CIKGU - KISAH 2.0
Kira-kira jam10.30 malam, ayah Anis berkata "malam ni cikgu boleh tidur di bilik tu". Penulis pun bangun, berjalan menuju ke pintu bilik tersebut. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, penulis terkejut kerana bilik itu adalah 'kamar pengantin' Apakah yang akan berlaku selepas itu, ikutilah kisah seterusnya dan teruskan bacaan anda....
No comments:
Post a Comment