Saturday, 27 June 2015

SEJARAH PUASA DAN AMALAN PUASA RASULULLAH S.A.W



1. Syariat  amalan ibadat puasa dalam Islam adalah lanjutan  tradisi puasa seluruh agama samawi (Agama Wahyu dari langit) yang ada sebelum munculnya agama Islam. Dengan kata lain, penganut agama Yahudi, Kristian dan penganut agama Ardhi seperti agama Budha, Hindu, Congfucius dan sebagainya telah melakukan puasa mengikut ritual agama mereka. Pada peringkat awal mulanya perintah berpuasa, kaum Muslimin dan muslimat diajar berpuasa sekitar 22 jam, iaitu berbuka puasa apabila masuknya waktu maghrib. Setelah menjamah juadah berbuka puasa atau berjimak dengan isteri, mereka langsung berpuasa kembali setelah menunaikan solat Isyak. Dalam kes-kes tertentu, mereka yang keletihan dan tertidur sehingga masuk waktu Isyak, setelah terjaga, mereka tidak dibenarkan makan (berbuka dan bersahur) lagi, yakni mereka mesti meneruskan puasa. Mereka tertakluk kepada syarat-syarat wajib puasa atau pantang larang yang dikenakan kepada orang berpuasa, iaitu  mereka dilarang makan, minum dan melakukan jimak dengan isteri hingga hari berikutnya. Namun, setelah sahabat Nabi s.a.w, Umar bin Khathab r.a mengungkapkan kejadian mempergauli isterinya pada satu malam Ramadhan kepada Rasulullah s.a.w, maka Malaikat Jibrail turun membawa Wahyu dari Allah s.w.t.  seperti yang terdapat dalam surah  Al-Baqarah: 187:


“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.”

Dengan turunnya ayat tersebut, dengan tersendirinya terbatallah segala larangan dan pantang larang yang dikenakan kepada mereka yang berpuasa. Jelas, dari ayat di atas,  Allah s.w.t menghalalkan hubungan suami-isteri pada malam sepanjang bulan Ramadhan  Al-Kareem dan ketegasan batas waktu puasa yang dimulai dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. 


2. Supaya kita mendapat keberkatan dari ibadat puasa, berikut adalah antara beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjalankan ibadat puasa pada sepanjang Ramadhan 

  • Rasulullah s.a.w bangun bersahur.
Rasulullah s.a.w bersahur awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Dari segi biologi bersahur pada waktu tersebut  memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari:

Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan."


Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari ciri-ciri bersahur orang Islam. Menurut satu hadis yang diriwayatkan Imam Muslim r.a;

"Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur"


  • Menyegerakan Berbuka Puasa
Amalan menyegerakan berpuaka puasa apabila telah tiba waktu berbuka ada diterangkan dalam hadisnya seperti yang dilaporkan oleh Imam Bukhari dan  Muslim:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ "

"Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa".

Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.  Bagi penganut Yahudi dan Nasrani, mereka sering memlewatkan waktu berbuka. Ajaran syiah juga menuntut pengamal ajaran tersebut melewatkan berbuka puasa.  Menurut Imam Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h,

قال النبي صلى الله عليه وسلم : " لا يزال الدين ظاهراً ما عجل الناس الفطر لأن اليهود والنصارى يؤخرون "

"Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya."

Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:

وقال عمرو بن ميمون الأودي رحمه الله : " كان أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم أسرع الناس إفطارا ًوأبطأهم سحوراً "

"Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur".

وعَنْ عُمَارَةَ بْنِ عُمَيْرٍ عَنْ أَبِي عَطِيَّةَ قَالَ :
دَخَلْتُ أَنَا وَمَسْرُوقٌ عَلَى عَائِشَةَ فَقُلْنَا يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ : رَجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدُهُمَا يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ، وَالآخَرُ يُؤَخِّرُ الإِفْطَارَ وَيُؤَخِّرُ الصَّلاةَ ..
قَالَتْ : أَيُّهُمَا الَّذِي يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ؟
قَالَ قُلْنَا عَبْدُ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ مَسْعُودٍ .
قَالَتْ كَذَلِكَ كَانَ يَصْنَعُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .

Dari Abi ‘Atiyyah katanya: "Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah di antara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.


  • Doa Ketika Berbuka Puasa

Rasulullah s.a.w menuntut kita bahawa berdoa apa sahaja  ketika berbuka puasa kerana ketika itu adalah waktu mustajab berdoa. Berdasarkan hadis sahih Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang diriwayatkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:

إبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :ثلاثه لاترد دعوتهم : الأمام العادل , والصائم حتى يفطر , ودعوة المظلوم...

"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi..."

Di antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w ketika waktu tersebut adalah:

ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى

Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.


  • Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma

Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Perbuatan tersebut sangat baik dan tidak menganggu sistem peghazaman tubuh kerana buah kurma kaya dengan berbagai zat mineral yang baik untuk proses penghazaman. Dengan itu, memudahkan baginda melakukan solat Maghrib.

Menurut  Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi :

"Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air."

kurma basah segar


  • Menjaga Lidah

Ramai yang berpuasa, tetapi tidak mendapat pahala dari amalan tersebut. Sebaliknya mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana mereka tidak menjaga lidah. Sepatutnya pada bulan puasa, kita dituntut membasahkan bibir dengan zikrullah atau bertadarus, sebaliknya kita lebih gemar mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha.

sahabat kita ketika kita menjauhi sunnah Nabi saw
 Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabarani:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

"Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)".

Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

"Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda : "Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya."


  • Tidur Qailulah
Supaya umat Islam sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya, Rasulullah s.a.w mengajar kita dengan tidur sebentar sebelum masuk waktu solat zohor. Perbuatan tersebut  dinamakan dengan Qailulah. 

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Ibn Majah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ “

Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; "Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam".

Tetapi awas. qailulah hanya tidur sekejap sahaja yakni bukan berpuasa tetapi tidur dari pagi sehingga masuk waktu maghrib tanpa mendirikan solat Zohor dan Asar, bertadarus, berzikir dan melaku amalan baik yang lain. Puasa Ramadhan adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana ganjaran pahalanya sangat lumayan.


  • Memberi Makan Kepada Orang Berbuka Puasa 

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Iman  Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah s.a.w bersabda;

"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya"


waktu berbuka puasa di Masjid Nabawi

antara jaudah berbuka jemaah umrah dari Malaysia di Masjid Nabawi




No comments:

Post a Comment