Friday, 7 March 2014

PESAWAT MAS MH370 KUL-PEK HILANG


1. Sebuah pesawat Penerbangan Malaysia MH 370 penerbangan dari Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing China telah dilaporkan hilang dari radar pada jam 2.40 pagi tadi (Sabtu 8 Mac 2014).  Penerbangan  MH 370 yang menggunakan pesawat boeing B777-200 telah berlepas dari KLIA pada jam 12.41 malam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Capital Beijing jam 6.30 pagi ini. Dalam website MAS, pesawat dikatakan akan mendarat jam 6.30 pagi, tetapi menurut jurucakap MAS berikutnya, pesawat tersebut telah terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang. Penerbangan tersebut membawa seramai 227 penumpang termasuk 2 bayi dan 12 anak kapal. Pesawat dikatakan dikesan pada kali terakhir berada 120 km nautikal timur Kota Bharu, Kelantan. Berdasarkan lokasi tersebut, kemungkinan pesawat malang tersebut terhempas di Laut china Selatan. 

lokasi pesawat dikesan kali terakhir  oleh radar  


Flight status dalam website MAS

2. Pesawat malang tersebut dikendalikan  oleh Kapten Zahari bin Ahmad Shah (53 tahun) dibantu oleh co-pilot Fariq bin Abdul Hamid (27 tahun). Menurut MAS, warganegara dalam pesawat tersebut terdiri dari 152 orang warga China, 38 Malaysia, 12 Indonesia, Australia 7, Amerika Syarikat 3, Peranchis 3, Ukraine 2, New Zealand 2, Kanada 2  dan lain-lain dari Austria 1, Taiwan 1, Rusia 1, Belanda 1. Menurut satu sumber, pesawat MH 370 mempunyai kapasiti bahanapi yang  mampu terbang sehingga jam 8.00 pagi tadi. Justeru, sekiranya pesawat tersebut tidak mendarat di mana-mana lapangan terbang sebelum jam 8.00 pagi besar kemungkinn pesawat tersebut telah terhempas di Laut China Selatan.

Inilah model B777-200 milik MAS
3. Penerbangan Malaysia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR), mencari pesawat dan penumpang. MAS memiliki pesawat  sebanyak 12 biji model B777-200 yang dibeli/sewa pada tahun 1990-an.  Model tersebut dikatakan diantara model yang cemerlang untuk penerbangan jarak sederhana jauh. Setakat ini reputasi Penerbangan Malaysia adalah baik kerana tidak pernah berlaku sebarang kemalangan udara di dalam dan luar negara. Kali terakhir pesawat milik MAS mengalami kecelakaan udara adalah sebuah pesawat B737-200 penerbangan MH 653 dari PEN-SIN (Pulau Pinang ke Singapura) yang meletup di udara  dan jatuh berkecai bertaburan di Kampung Ladang,  Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor pada 04 Disember 1977 yang mengorbankan kesemua 93 penumpang dan tujuh anak kapal.




Tragedi di Tanjung Kupang pada 4 Dim 1977


JOM KTA SOLAT SUNAT ISTISQA'


1. Memandangkan  keadaan cuaca yang panas dan kering di seluruh negara kebelakangan ini berikutan ketiadaan hujan (lebat), kita disaran mengadakan solat Istisqa' (Solat Minta Hujan).

Imej satelit  pada hari ini: ruang angkasa negara kita tidak ada awan. 

bendang kering kontang dan  tanah merekah akibat kemarau di Kampung Lahar Yooi

taliair kering 

daun getah berguguran

2. Berikut adalah  panduan atau kaifiat Solat Sunat Istisqa' yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
  • Hukum solat Istisqa' adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).
  • Solat Istisqa' dilaksanakan seperti Solat Hari Raya iaitu dua rakaat, dengan melakukan tujuh kali takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

          - Takbir tersebut dilakukan selepas membaca doa iftitah dan sebelum membaca surat al-Fatihah
  • Pada setiap takbir itu diselangi dengan membaca tasbih iaitu enam kali tasbih pada rakaat pertama dan empat kali tasbih pada rakaat kedua.
  • Bacaan di dalam Solat Istisqa' adalah secara Jahar (kuat) bagi imam.
  • Lafaz niat : "sahaja aku solat sunat istisqa (minta hujan) dua rakaat makmum kerana Allah Ta'ala"
  • Selesai solat, khatib terus membaca dua khutbah.  Pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar sebanyak sembilan kali dan khutbah kedua pula dimulai dengan membaca Istighfar sebanyak tujuh kali.
  • Sunat bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendang atau serban, dengan menjadikan bahagian di sebelah atas menjadi ke bawah dan bahagian di sebelah kanan menjadi ke sebelah kiri.
  • Sunat bagi khatib menghadap ke arah qiblat (membelakangi makmum) pada sepertiga khutbah yang kedua.

3. Buat kali pertama di dalam sejarah Kampung Lahar Yooi, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, Solat Istisqa' telah dilakukan pada hari Jumaat 7 Mac 2014 selepas solat fardhu Isyak di Masjid At-Taqwa. Menurut Imam 1 Masjid At-Taqwa, Solat Istisqa' biasanya dilakukan di kawasan lapang seperti di halaman masjid atau di padang. Afdhal solat dilakukan pada sebelah pagi.  Jemaah disunat memakai pakaian yang sederhana (tidak cantik) atau berpakaian ketika mengerjakan sawah padi dan membawa binatang ternakan dan tanaman bersama-sama  sebagai simbol memohon simpati/pertolongan dari Allah s.w.t. terhadap penderitaan yang dialami akibat kepanasan dan hujan tidak turun.

Solat Sunat Istisqa' tersebut telah diimamkan oleh Tuan Haji Haroon bin Hj. Shafie, makanala Ustaz  Hj. Zawawi bin Hj Ismail  pula selaku khatib. Kira-kira 150 jemaah yang terdiri dari anak qariah turut bersama.


BERIKUT ADALAH TEKS KHUTBAH SOLAT ISTISQA YANG DIKELUARKAN OLEH PEJABAT MUFTI PULAU PINANG YANG DIBACA PADA MALAM TERSEBUT. 



KHUTBAH PERTAMA






          Marilah sama sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan  segala larangaNya. Dengan yang demikian,  mudah-mudahan kita akan menjadi umat yng tebaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah s.w.t  di dunia dan di akhirat.

Sidang hadirin ang dihormati sekalian,

Allah s.w.t  telah berfirman dalam surat as-Syura atyat 27- 31:
bermaksud;

          Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi  Allah menurunkan  (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambanya, lagi melihat dengan nyata. Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Amat Terpuji. Dan di antara tanda-tanda kekuasaanyNa ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkannya pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Amat Berkuasa menghimpunkan mereka sekeliannya apabila Ia kehendaki (melakukannya). Dan apa-apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan  (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja). di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain daripada Allah sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.



          Alhamdullah pada hari ini kita berkumpul untuk satu tujuan iaitu bagi sama-sama memohon kasih sayang dan rahmat dariada Allah s.w.t agar terus memberi kepada kita semua nikmat yang berkat yang dapat menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.


          Kita semua faham dan yakin bahawa nikmat anugerah Allah  s.w.t. kepada umat manusia amat banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh kesyukuran serta digunakannya dalam memperbanyakkan lagi ibadat kepada Allah s.w.t pada setiap masa dan ketika. Kita juga mesti ingat bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas hambanya bergantung kepada baiknya amalan kita terhadap Allah s.w.t.   Begitu juga dengan curahan keberkatan dan kebaikan dari langit disebabkan umat manusia beruaha menjauhkan diri dairpada jalan-jalan kesesatan yang memesongkan mereka darpada landasan Islam  yang sebenar.

          Kita sentiasa berdoa agar rezeki  yang diperolehi adalah suatu nikmat yang datang bersama dengan keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t sehingga kita mampu meraih kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Disamping itu, kita juga sentiasa memohon perlindungan daripada Allah s.w.t agar tidak menjadikan rezeki yang kita terima sebagai suatu pemberian yang tiada bersamanya keberkatan, apatah lagi ia bertujuan untuk melalaikan kita  daripada mendapatkan keredhaan Allah s.w.t sehinggakan menjadi kita umat yang rugi di dunia dan di akhirat.

Sidang muslimin  yang dirahmati Allah s.w.t, 


          Ketika kita memperolehi berbagai jenis rezeki, ada ketika Allah SWT menahan nikmatNya, sebagai suatu ujian untuk menguji tahap kesabaran dan kerelaan manusia dalam menghadapi bala  bencana ataupun ia merupakan suatu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang melakukan kezaliman dan lalai daripada mematuhi perintah Alah s.w.t. Antara bala' daripada Alah s.w.t  ialah Dia tidak menurunkan hujan, sebaliknya menganugerahkan cuaca panas yang begitu terik sebagaimana yang sedang kita hadapi sekarang. Ia menyebabkan manusia dan binatang mengadapi kesukaran, pokok dan tanaman turut kekeringan dan sebagainya.

          Islam sentiada memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada umatnya agar mencari jalan dalam menghadapi sebarang ujian yang datang. Kita mesti memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan daripada Allah s.w.t di atas segala dosa dan kesilapan yang dilakukan. Jangan campur adukkan antara ibadat dan maksiat sehingga  lebih banyak bala' Allah s.w.t yang turun, seumpama suburnya program maksiat sama ada dalam rumah tangga, masyarakat, negara  sama ada  melalui kemudahan maklumat seperti television, radio, media cetak, internet dan sebagainya yang melambangkan sebahagian daripada kita tidak bersunguh-sunggguh untuk bertaubat kepada Allah s.w.t.

          Ingatlah kita pada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah Ibnu Umar, bahawa Rasulullah saw telah bersabda ; maksudnya; "wahai kaum Muhajirin ! Lima perkara apabila kamu ditimpa bala' dengannya, dan aku berlindung dengan Allah swt agar kamu tidak menemuinya.... (antaranya)...... dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan untuk mereka titisan air hujan dari langit dan jikalau tiada binatang yang hidup di muka bumi ini, nescaya Allah s.w.t tidak akan menurunkan hujan.....  ".

Muslimin yan dimuliakan Allah, 

          Pada hari ini saya memperingati diri saya sendiri dan muslimin muslimat sekalian agar kita sama-sama memperbanyakkan istighfar dan  bertaubat kepada Allah s.w.t di atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi, sedar atau tidak. Sesungguhnya amalan memperbanyakkan istighfar dijanjikan begitu banyak kelebihan oleh Allah s.w.t

Firman Allah swt dalam suruh Nuh ayat 10 - 12 :

          Maksudnya; "sehingga aku berkata (kepada mereka)  : Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnnya Dia Maha Pengampun.  (kiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Ia akan memberikan kepada kamu dengan banyaknya kekayaan harta dan anak-anak, dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai" (yang mengalir di dalamnya)


Sidang muslimin yang di rahmati Allah s.w.t,

          Melihat kepada arahan dan amaran daripada  Allah s.w.t dan rasulNya agar kita sentiada bertaubat daripada segala dosa serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala tegahan Allah s.wt, maka sepatutnya kita lebih sedar tentang kesalahan kita yang menyebabkan turun sesuatu bala' daripada Allah s.w.t. Kita juga mesti sentiasa istiqamah dan berada di atas landasan Islam yang sebenar dengan menghindarkan segala jalan yang membawa kepada kesesatan.


Firman Allah s.w.t dalam ayat 16 surah al-Jin :

           Maksudnya;  (Nabi Muhammad diwahyukan untuk menerangkan lagi) : "dan bahawa sesungguhnya, kalaulah mereka (manusia dan jin) itu, berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab membawa kemewahan, terutamanya ) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

          Kita mestilah bertegas melawan kebatilan dan maksiat sehingga datangnya kemenangan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Kita juga jangan takut untuk menegur kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita kerana sebarang dosa bakal mengundang bala' dan apabila bala' telah turun, maka dia akan mengenai seluruh makhluk dan bukan tertentu kepada pelakunya sahaja


KHUTBAH KEDUA





Firman allah dalam surah al-A'raf yat 55 -57 :

          Maksudnya: berdoalah kepada Tuhan kamu dengan  merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu perbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya, dan berdoalah kepada Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. Dan Dialah (Alah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan),  hingga apbila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula kami mengeluarkan (menghidupkan semua orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). 


Sidang muslimin yang dimuliakan Allah,

Sekali lagi saya memperingati diri saya sendiri dan muslimin sekalian agar kita sama sama memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat keada Allah atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan. Semoga Allah menerima segala taubat kita dan seterusnya menurunkan rahmat dan kebaikan dari pelbagai aspek.


ketika ini khatib mula menghadap ke arah qiblat
Khatib dan sekelian makmum membalikkan selendang atau serban yang dipakai dengan menjadikan bahagian sebelah atas ke sebelah bawah dan yang sebelah kanan menjadi sebelah kiri. Jika pakai baju, sunat menterbalikkannya.


Sidang muslimin yang dimuliakan  Allah

          Marilah kita sama-sama kita menadah tangan memohon kepada Allah swt segala kebaikan dan dihindari daripada kita segala keburukan.

          Segala puji tertentu bagi Allah memelihara dan mentadbir sekalian alam, Alah Yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang menguasai pemerintahan Hari pembalasan (hari akhirat). Tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah, yang melakukan sesuatu menurut kehendakNya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selainMu. Engkaulah yang Maha Kaya, sedangkan kami adalah fakir. Turunkan kepada kami hujan dan jadikanlah hujan yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai bagi kami sehingga waku yang tertentu.

"Ya Alalh, siramilah kami, Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami".



"Ya Allah  siramilah kami dengan hujan yang menyuburkan dan yang baik kesudahanya yang bertapis-tapis yang memberi manfaat tidak memberi mudharat dengan segera tidak bertanggunh-tanggguh lagi".



Khatib berpaling semula membelakangi kiblat dan menghadap ke arah para makmum sebagaimana biasa, pada akhir khutbah kedua ini.

Sunday, 2 March 2014

LEGASI REFORMASI ANWAR IBRAHIM - SIRI 3.0



ANWAR IBRAHIM DAN TRIBULASI

  • Dato' Seri Shabery bin  Cheek (Menteri Penerangan)  ketika berdebat dengan Datuk Seri  Anwar bin Ibrahim  dalam perdebatan  "Hari Ini Membentuk Kerajaaan, Esok Turun Harga Minyak" pada 15 Julai 2008 di DBP, telah   menjadi tidak keruan dan   hilang fokus  apabila  membuat provokasi dengan menyerang peribadi Anwar.   Beliau  mengungkit sejarah silam Anwar yang dikatakan   suka berdemontrasi ketika masih menjadi penuntut di UM sekitar tahun 1970-an.

  • Adakah Anwar seorang yang 'suka berdemonstrasi'? Jawabnya YA. Anwar berdemonstrasi kerana berdemo adalah salah satu sifat seorang pejuang. Beliau mempunyai sebab untuk berdemo terhadap sesuatu isu yang dijuangkan. Mengimbau sejarah perjuangan tokoh-tokoh pejuang  seperti Mahatma Ghandhi di India, yang tidak menggunakan kekerasan (perjuangan bersenjata)  untuk mendapatkan kemerdekaan, sebaliknya beliau menggerakkan rakyat  dari seluruh pelusuk  India berdemo menuntut kemerdekaan.  Begitu juga Dato' Onn bin Jaafar yang telah memobilasikan ratusan ribu orang Melayu menentang gagasan Malayan Union menerusi demonstrasi jalanan.  Manakala di Filipina, perjuangan dan demonstrasi jalanan oleh Corizon Aquino telah berjaya menumbangkan regim Presiden Ferdinand Marcos.
1. Sebagai pejuang dan pemidato yang handal, Anwar Ibrahim  telah mencipta beberapa kata-kata hikmah yang bertujuan  menyuntik semangat penyokongnya. Di antara kata-kata hikmah tersebut

                 "We will never surrender !"
                 "Lawan tetap lawan!"
                 "Usah bicara soal perjuangan jika takut akan risiko
                 "membujur lalu melintang patah!"
                 "jika takut dengan ombak, usah berumah di tepi pantai!".....
.
Manakala petikan ayat dari kitab suci Al-Qur'an, di antaranya
.
                   Wamakaru wamakarallahu wallahu khairul makirin


2. Pidato Anwar bukan sahaja berapi-api dan memukau, malah boleh menyebabkan hadirin ketawa pecah perut mendengar  celoteh dan humor yang diselitkan. Misalnya Anwar pernah  berpidato di kawasan lapang berhampiran SMK Methodist (P) bersebelahan Masjid Negara, tiba-tiba lalu sebuah keretapi dan pemandu lokomotif tersebut telah membunyikan wisel berulang-kali bertujuan mengganggu tumpuan pendengar. Anwar berhenti pidato dan menoleh ke arah keretapi tersebut sambil berkata  "kirim salam sama Saadon !" (Tun Saadon Jubir - Menteri Pengangkutan) dan sambung ucapan  "jangan tergelincir lagi !",  (kes keretapi  KTM tergelincir landasan sering berlaku beberapa hari sebelum itu). Hadirin ketawa terbahak-bahak dan mengeboo ke arah keretapi tersebut.

3. Anwar juga memiliki aura tersendiri. Di dalam gerakan politik,  sosok atau 'figure' adalah sangat penting. Sosok adalah simbol yang mewakili sesuatu idea. Mendiang Nelson Mandela adalah sosok yang mewakili simbol penentangan terhadap penindasan ke atas kaum kulit hitam oleh sistem apartheid.  Begitu juga dengan sosok Ayatollah Khomeini di dalam gerakan Revolusi Iran yang berjaya menumbangkan 'raja kepada segala raja' Shah Reza Phalavi.  Di Tunisia, sosok yang bernama Mohamed Bouazizi berjaya mengumpul berbagai kumpulan di dalam satu kesatuan telah berjaya menumpaskan regim Ben Ali. Sosok Anwar bin Ibrahim pula berjaya membangkitkan rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah melangkaui sempadan geografi, ethnik, kelas, agama, bahasa dan budaya menentang segala bentuk kejahatan, kebejatan, kezaliman, ketidakadilan, rasuah, kekayaan kroni, hilangnya integriti polis, kehakiman, SPR dan SPRM serta kebohongan media arus perdana milik pemerintah dan penindasan ke atas rakyat yang dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN. 

DSAI julang tangan - mengajak rakyat berjuang reformasi  bersama-samanya


 Cory Aqiuno menunjukkan ibu jari dan jari tunjuk membentuk huruf   L = LABAN  bermaksud  'LAWAN'

Pejuang Dr. Morsi mengangkat tangan menunjukkan 4 jari simbol  R4BIA  =  Keteguhan, Kekuatan, Perlawanan & Persatuan.

4.  Sebelum Anwar  Ibrahim menjejak kaki ke menara gading iaitu Universiti Malaya, telah wujud gerakan mahasiswa yang memainkan peranan penting dalam sejarah politik negara di antara tahun-tahun 1966/67. Mahasiswa yang seketika dahulu  berfikiran jumud terhadap isu-isu bangsa, agama dan tanah air, mula berubah angin apabila sebuah sudut pidato (public corner) dipekenalkan di UM pada 27 Mei 1966. Sudut pidato adalah tempat meluahkan perasaan atau satu 'tool of expression' kepada rakan sekampus yang berhimpun di situ. Pada waktu itu isu-isu seperti bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, perbezaan kelas dan jurang ekonomi antara masyarakat bandar-kampung serta melahirkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.


Mahasiswa berkumpul mendengar pidato di Sudut Pidato UM

Pelbagai isu dipertengahkan

5. Gerakan mahasiswa juga turut dipengaruhi oleh kejayaan para pejuang aktivis sosialis. Misalnya gerakan sosialis Che Guevera dan Fidel Castro. Kelab  Sosialis UM telah ditubuhkan sebagai rentatan solidaritas perjuangan tersebut. Kelab Sosialis UM pernah menganjurkan aktiviti 'anti-establishment' - perhimpunan dan tunjuk perasaan. Misalnya perjuangan peneroka tanah bandar  di Tasik  Utara Johor di dalangi oleh Kelab sosialis UM beserta pemimpin dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Isunya berkaitan dengan tanah yang didiami oleh peneroka telah dirampas secara tipu muslihat oleh pemerintah tanpa sebarang pampasan.
Che Guevera

Fidal Castro












Hishamuddin Rais dari UMSU sedang membakar semangat penduduk Tasik Utara


Syed Hamid Ali  (Presiden PSRM) berpidato berbagai isu sekitar 1969
6. Terdapat beberapa isu lain yang berkisar di  dalam kampus dan masyarakat di luar sana yang menarik perhatian mahasiswa sebelum penglibatan Anwar Ibrahim.

ANWAR SEBAGAI PEJUANG KAMPUS UNIVERSITI

PERSATUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

Ditubuhkan pada 29 Januari1955 di UM Singapura. Penaja - Lukman Musa (Tan Sri)  seterusnya dipilih sebagai Yang Dipertua pertama. Aktiviti pada peringkat awal lebih kepada memperjuangkan kegiatan bahasa dan kebudayaan termasuk seni dan sastera. Kegiatan berkisar  dalam kampus sahaja seperti penganjuran ceramah, forum dan bengkel bahasa dan drama

Dalam era 1965 - 1971 perjuangan PBMUM lebih diwarnai unsur nasionalisme dan sosialis dan berbaur politik. Di antara isu-isu yang diperjuangkan ialah isu Bahasa Melayu, Dasar Pelajaran Kebangsaan, masalah rakyat di luar bandar dan penubuhan UKM - terlihat lebih  mewakili suara rakyat marhaen  Pada sesi 1969/1970 Anwar Ibrahim dipilih sebagai Yang Dipertua PBMUM ke-9.  Beliau  di bantu oleh Nordin bin Razak (Datuk Seri). Anwar Ibrahim telah  menjadikan PBMUM sebagai 'strong pressure group' yang mencabar 'establihment'.  
Pelajar Thailand berdemo di Bangkok (Gerakan Oktober 73)
DEMONSTRASI ANTI TUN THANON KITTIKACON
Dengan jawatan yang disandangnya sebagai Presiden PBMUM, beliau telah mengerah tenaga pelajar besar-besaran untuk berdemonstrasi pada tahun 1971 membantah lawatan Tun Thanom Kittikachorn. Pada 14 Jun 1971, Tun Thanon Kittikachon telah melakukan lawatan rasmi ke Kuala Lumpur. Pagi 14 Jun 1971 Anwar Ibrahim mengumpul mahasiswa UM dan UKM berdemo menghalang kereta Tun Thanon di Federal Highway. Tujuan demo adalah membantah tindakan keras Tun Thanon  terhadap penduduk di Wilayah Patani di Selatan Thailand. Penunjuk perasan telah ditembak dengan gas pemedih mata. Seramai enam orang pelajar telah cedera dan 19 orang pelajar telah di tangkap termasuk Anwar. Pada keesokan hari, demonstrasi pelajar secara besar-besaran telah dilakukan di dalam kampus UM menuntut supaya kesemua pelajar yang ditahan dibebaskan. Pasukan Polis Hutan (sekarang PGA) telah ditugaskan mengawal aktiviti tersebut selama lebih seminggu.Keberanian Anwar Ibrahim dan mahasiswa dalam demonstrasi tersebut telah mendapat liputan meluas di media Negara Thai. Natijah dari peristiwa tersebut telah memberi ilham kepada mahasiswa Thailand melahirkan Gerakan Oktober 73 yang berjaya menghalau keluar Tun Thanom dari Negara Thai.

SOLIDARITI PALESTIN


Pada 7 Oktober 1973, pertempuran telah tercetus di antara tentera Arab (Syria dan Mesir) dengan Israel di Bukit Golan dan Semenanjung Sinai. Kebijaksanaan tentera Arab menyusun strategi perang menyebabkan Israel hampir tewas. Israel telah meminta bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat. Hal tersebut telah mendapat kutukan yang hebat dari masyarakat di seluruh dunia. Di Kuala Lumpur, pada 12 Oktober 1973, PMUM di bawah pimpinan Hishamuddin Rais dan Anwar Ibrahim yang mewakili suara Islam kampus telah menganjurkan demonstrasi yang bermula dari Chow Kit ke Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak di Bangunan AIA Jalam Ampang. Pergerakan mereka telah disuraikan oleh FRU. Mereka ditembak dengan gas pemedih mata. Pada keesokkan hari 13 Oktober 1973, demonstrasi anti Amerika Syarikat tersebut telah disertai lebih ramai pelajar yang dibentuk dari gabungan 15 persatuan pelajar, termasuklah PMUM, PMUKM, PMUSM, KSITM dan sebagainya. Abu Yaakob - wakil dari organisasi Al-Fatah telah dijemput berucap dan memuji demontrasi pelajar tersebut. 
Di hadapan kedutaan amerika Syarikat di bangunan FNCB/AIA mengukir kata-kat "We will never surrender".


Anwar menyampaikan memorendum bantahan kepada wakil kedutaan USA di KL terhadap campur tangan USA dalam konflik Pelastin-Israel
Anwar turut membakar patong Nixon  di hadapan Bangunan AIA (Kedutaan USA) di Jalan Ampang KL membantah sokongan USA kepada Zionis Israel.
Aktivis mahasiswa Yunus Ali membakar bendera Israel
Wakil Al-Fatah Abu Yaakob menaikkan semangat peserta demontrasi


ISU PERLETAKAN JAWATAN DATO ABDUL RAHMAN BIN YAAKOB

Di bawah Anwar penumpuan yang lebih besar diberikan kepada isu bahasa. Anwar dikatakan seorang pejuang bahasa Melayu yang paling vocal, radikal dan dinamik. Pada tahun 1970 Dato' Abdul Rahman Yaakob telah dilantik menjadi Menteri Pelajaran menggantikan En. Khir Johari. Kesungguhan Dato Abdul Rahman menubuhkan UKM dan pendirian tegas beliau terhadap perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan amat disukai oleh Anwar.  Tidak sampai setahun, Dato Abdul Rahman telah meletak jawatan dan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak. Pada 9 Julai 1970 Anwar mengetuai seramai 2000 mahasiswa berdemonstrasi membantah perletakan jawatan tersebut (dipercayai dipaksa oleh pemerintah)  dan meminta Perdana Menteri melantik semula jawatan Menteri Pelajaran kepada Dato Abdul Rahman bin Yaakob.

Pada 5 oktober 1970  PBMUM mengadakan 'operasi Ganyang' atau demonstrasi papan tanda iaitu mengecat merah dan menghitamkan papan papan tanda di kampus yang tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan   Kesan dari demo tersebut, Prof Ungku Aziz yang menjadi Naib Canselor UM mengumumkan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi UM


Ikutilah siri berikutnya yang memaparkan bagaimana Anwar - sosok kecil yang menguasai pertubuhan-pertubuhan belia di peringkat nasional dan antarabangsa.  Teruskan bacaan anda  pada SIRI 4 DI SINI  atau balik ke SIRI 2  DI SINI
.