Monday, 16 September 2013

IBU MERTUAKU








1. Entri kali ini saya masih beri fokus kepada insan yang kedua paling istimewa di dalam hidup saya iaitu ibu mertuaku.
Teramat sangat saya nak berbakti kepada mereka sebagaimana  di riwayatkan oleh Muslim RA (hadith no 2448 dan Bukhori  R.A hadith no 5971) yang mengkisahkan..

"Wahai Rasullullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?"
Nabi s.a.w bersabda, "ibumu!".
Dan orang tersebut kembali bertanya, "kemudian siapa lagi ?".
Nabi Allah s.a.w menjawab, "ibumu!".
"Kemudian siapa lagi ?". Rasulullah menjawab, "ibumu!".
Orang tersebut kembali bertanya, "kemudian siapa lagi?"
Rasullullah menjawab, "kemudian ayahmu!".

2. Ibu mertua ku bernama Hajah K @  Hajah Z (privasi internet) binti Ahmad. Beliau merupakan anak ke 3 dari 4 adik beradik di lahirkan pada 29 September 1939 hasil perkongsian hidup C.T. (privasi internet)  binti Kassim dan Cikgu Ahmad bin Hj. Abas, di Kampong Padang , Ulu Yam Baru, Selangor.  Keluarga CT, yakni ibu kepada  ibu mertuaku berasal dari Sungai Tiris, Kampar, Provinsi Riau, Sumatera, manakala ayahnya Cikgu Ahmad berasal dari Sungai Itik, Gopeng, Perak. 

3. Kehidupan bahagia suami isteri CT dan Cikgu Ahmad, bertukar kepada kesedihan kerana kematian Cikgu Ahmad pada tahun 1946, iaitu ketika ibumertuaku berusia 7 tahun. Oleh yang sedemikian, segala urusan keluarga dipikul oleh CT untuk membesar kesemua anaknya.

4. Apa yang dikagumi ialah bagaimana CT menjalani kehidupan selepas kematian suami tercinta dan bagaimana pula ibu mertuaku menjalani proses pembesaran zaman  kanak-kanak keremaja. Pada seusia 17 tahun ibu mertuaku telah dijodohkan dengan Abdul Rani bin Mohd Ali seorang pemuda dari kampong Batang Kali, Selangor. Mereka mendirikan rumah tangga pada tahun 1956 dan di kurniakan 6 orang anak iaitu seorang putera dan lima puteri.

5. Ibu mertuaku yang mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Ulu Yam Baru menjadi suri rumah sepenuh masa, manakala suaminya Abdul Rani berkerja sebagai pemandu kepada Kerajaan British dan pernah berkhidmat di negeri Melaka. Apabila Semenanjung Tanah Melayu merdeka, Abdul Rani di serapkan di dalam perkhidmatan awam sebagai pomen di Jabatan Kerja Raya di bengkel JKR Cheras. 

6. Tanpa menghiraukan kekecewaan di atas kematian ayahnya pada usia muda, ibu mertua jadikan peristiwa duka ini sebagai motivasi untuk mendidik anak-anak Alhamdulillah di atas kesungguhan, kesabaran dan tidak mengenal penat jemu, kesemua anak-anak berjaya di dalam hidup. Kini terdapat dikalangan anakanak ibu mertuaku yang sedang dan pernah menjawat beberapa jawatan tinggi seperti Pengurus Bank, Akauntan, Doktor Pergigian, Pegawai Undang-Undang dan Pensyarah.

"duhai apakah gerangan budi balasan
  bagi insan melahirkan membesarkan
  bercucuran airmata bila mengenangkan
  betapakah besar budi ibunda berikan
  siang malam menderita hingga entah bila
  sungguh besar pengorbanan ibunda berikan
  tiada bahagia jika tiada doa puja restu
  syurga itu telapak kaki ibu".

No comments:

Post a Comment