Tuesday, 24 September 2013
DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN....
1. Entri sebelum ini, iaitu BUDAK BODOH BAKAL BERGELAR DOKTOR, mengisahkan Chin Chi Sheuan yang seusia 13 tahun telah menjadi kuli di kedai mee sup milik Tong Kok Hwa di Taman Chai Leng, Perai yang terpaksa membahagi masa di antara bersekolah dan bekerja di kedai mee sup untuk membantu sara keluarga dan akhirnya telah berjaya mendapat tempat di CHUNG SAN MEDICAL UNIVERSITY Taiwan di dalam bidang perubatan. C.C. Sheun mendapat CGPA 3.75 di dalam Peperiksaan STPM (Aliran Sains). Jika C.C Sheun ini berbangsa Melayu atau bertaraf bumiputera, kemungkinan beliau mendapat tempat di mana-mana Fakulti Perubatan IPTA Malaysia bagi sessi 2013/2014. Apa yang menariknya, kos pergi ke Taiwan dan yuran universiti adalah dari sumbangan atau tajaan dari kaum Tionghua setempat yang ingin melihat anak bangsa mereka maju dan senang di kemudian hari.
2. Penulis amat tertarik untuk mengimbau kembali kisah yang hampir sama dengan C.C Sheuan yang berlaku pada tahun 1975. Ketika itu, penulis masih belajar dalam Tingkatan 6 Atas di Yayasan Anda Akademik (YAA), Kampung Baru, Kuala Lumpur. Penulis telah menyewa sebuah rumah/bilik di Jalan Raja Muda Musa bersama 2 orang rakan iaitu Sdr. Mustafa (lebih dikenali sebagai ''Mustafa Kojak') dan seorang lagi dikenali sebagai Pit. Disebelah bilik/rumah sewa kami, didiami oleh Sdr. Ishak yang bekerja sebagai 'jaga' . Ishak berasal dari 'Penang'. Pada suatu hari Ishak membawa balik seorang kenalan yang juga berasal dari Penang. Untuk sebab-sebab tertentu, penulis namakan budak tersebut Alias. Alias sudah tidak bersekolah dan kelulusan tertingginya SRP 'cukup makan'. Di KL Alias bekerja sebagai 'parking attendent' DBKL iaitu mengeluarkan resit parking kereta di dalam kawasan bandaraya Kuala Lumpur (sebelum pemasangan parking bermeter dilaksanakan).
3. Setiap malam Alias menyelinap masuk ke bilik sewa kami untuk bersembang dan melihat penulis mengulangkaji pelajaran bagi persediaan Peperiksaan HSC/STP. Pastilah buku rujukan kami tebal seperti buku ekonomi karangan Prof. Harcharan Singh Khera dan sebagainya. Bagi Alias, subjek yang kami ulangkaji sesuatu yang baru kepadanya. Suatu hari penulis bertanya kepada Alias, "hang tak mau belajaq lagi ke?". Jawab Alias. "aku tak cerdik macam hangpa (dialek penang @ engkau semua). Penulis membalas, "hang jangan cakap lagu tu. Kalau hang nak belajaq lagi aku boleh tolong !".
4. Dipendekkan cerita, Alias bersetuju untuk mengambil SPM pada tahun itu juga. Penulis membawanya ke Pejabat Pelajaran WP untuk daftar masuk Peperiksaan SPM tahun 1975. Penulis yakin Alias boleh 'catch up' walaupun dia tidak menduduki tingkatan 4 kerana ketika itu baru bulan Februari, manakala peperiksaan SPM pada bulan Nov/Dis.. Setelah yuran Peperiksaan SPM dijelaskan, Alias telah mendaftar untuk 9 subjek iaitu BM, Kesusasteraan Melayu, PU Islam, Sejarah, Ilmu Alam, Ilmu Hisab, BI, Rampaian Sains dan subjek kegemarnnya Lukisan. Sebahagian daripada subjek tersebut diikuti secara sepenuh masa di Kelas Malam YAA.
5. Penulis beri cadangan kepada Alias agar membaca/mengulangkaji tajuk-tajuk tertentu sahaja. Kelas Malam YAA memang terkenal dengan 'soalan spot' (soalan ramalan). Pernah suatu ketika soalan STP/STPM dikatakan 'bocor' dan mengemparkan seluruh negara pada Tahun 1982 dipercayai bermula dari Kelas Malam YAA......ha....ha...ha...! Penulis juga membekalkan kepada beliau beberapa buku latihan ulangkaji termasuk 'soalan ramalan SPM' terbitan YAA Gaya Pos dan Adabi Gaya Pos.
6. Alias sememangnya suka studi. Walaupun sebelah siangnya berjemur panas menggeluarkan resit parking, beliau tidak jemu-jemu mengulangkaji pelajaran setelah tamat kelas malam, Alias selalu 'joined' dengan penulis mentelaah. Penulis turut membantunya di dalam subjek tertentu. Keletihan menyebabkan dia selalu terlelap. Penulis kemukakan idea untuk mengurangkan mengantuk, kaki mesti rendam dalam baldi yang berisi air. Jadi, kami pakat rendamkan kaki dalam baldi sambil mendengar radio volume rendah bagi menghilang rasa mengantuk.
7. Tiba hari peperiksaan SPM, Alias ambil cuti bagi membolehkan beliau hadir pada hari-hari peperiksaan. Setelah tamat peperiksaan, penulis ada tanyakan Alias, "Macamana senang dak, soalan spot keluaq dak '? Alias hanya menggelengkan kepala dan berkata "aku tak cerdik macam hangpa !". Keputusan SPM yang diumumkan pada bulan Mei 1976 Alias lulus cukup makan sahaja. Penulis pula lulus HSC/STP dan dapat melanjutkan pelajaran ke UKM Lembah Pantai dan menyewa rumah di SS3 Kampung Tunku, Petaling Jaya
8. Alias seterusnya memohon untuk jawatan kerani di DBKL. Berbekalkan sijil SPM Alias dapat bekerja sebagai kerani DBKL. Dari situ Alias dapat maklumat dalaman adanya penerokaan tanah untuk dijadikan kediaman di Bukit Botak, Selayang. Penulis turut membantu Alias membina rumah beliau di situ (setinggan) dan bersama-sama peneroka begotong royong menegakkan signboard "UMNO Cawangan Bukit Botak Bahagian Selayang".
9. Apabila UKM berpindah ke kampus baru di Bangi, penulis sempat menemui Alias dan beri semangat kepadanya untuk mengambil STP pada tahun 1977. Kaedah pembelajaraan sama seperti SPM dulu. Alias agak keberatan. Beliau berpendapat STP lebih susah. Lagipun, keluarga beliau meminta beliau berkahwin. Setelah pujuk rayu dan motivsi dari penulis, Alias setuju untuk ambil STP kerana beliau tertarik dengan cadangan penulis supaya beliau memohon belajar ke USM menerusi Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ). Semenjak dari itu, penulis sudah tidak lagi bertemu dengan Alias kerana penulis berpindah ke Bangi, dan seterusnya mengajar di Bukit Mertajam pada tahun 1980-1988, kemudiannya sambung mengajar di YAA sehingga tahun 1998 dan kembali semula ke Bukit Mertajam pada tahun 1999 setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim di pecat sebagai TPM.
10. Pada tahun 2008, penulis pergi ke DBKL untuk urusan bayar cukai tafsiran rumah flat PKNS 17 tingkat Kampung Kerinci. (Penulis sempat membeli unit 4Q sebelum PKNS melelong kesemua tingkat 15 dan 16 pada tahun 1999). Disebabkan terdapat masalah teknikal pada slip cukai tafsiran tersebut, penulis dikehendaki berjumpa dengan seorang pegawai di tingkat atas. Apabila tiba di tingkat tersebut, seorang pegawai menegur penulis dengan suara lantang, "hei, you masuk ke sini tak beri salam ke?". Penulis dan staff DBKL yang berada di situ agak terkejut dengan teguran boss mereka. Penulis rasa lain macam sahaja. Kemudian pegawai tersebut suruh penulis berdiri tegak, dan berjalan meluru ke arah penulis. "You ada urusan apa?" Penulis menjawab, "Saya mai......" belum habis penulis meneruskan percakapan .... "Hang tak kenai aku ke Azhar?". Baru penulis ingat-ingat kenal, sama ada pegawai ini bekas anak murid YAA, Al-Masriyah ke...atau kawan-kawan reformasi, atau class mate. "Aku Alias !". Seterusnya dia berkata kepada staff DBKL yang berada berhampiran "dia ni lah yang banyak tolong saya. Kalau tak kerana dia ni, saya tak dok di tempat ni, tau". Kami sekali lagi bersalam dan berpeluk. Ternyata air mata kami menitis pada pertemuan macam dalam episod "Jejak Kasih TV3" masa dulu.
11. Sekarang Alias adalah seorang pegawai kanan DBKL, dan menetap di Bandar Tun Husien Onn Cheras.
12. Apakah rahsia kejayaan Alias ? Dengan izin Allah SWT .... di mana ada kemahuan, di situ ada jalan... dan tidak ada kekecewaan dalam hidup...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment