Thursday 19 March 2015

DARI LAHAR YOOI KE ALEXANDRIA-MANCHESTER Part 3


Baca  PART 4  DI SINI


PART 3 : TARIAN GELEK DI TEMPAT AWAM - MANIFESTASI KERUNTUHAN TAMADUN 
ERA PEMERINTAHAN DIKTATOR JENDERAL AS-SISI


1. Memandangkan malam masih awal, dari Terminal 1 Airport Cairo, kami membuat keputusan ke Sungai Nil untuk menyaksikan keindahan malam  di situ. Kebiasaan pada musim sejuk (winter), waktu malam lebih panjang dari siang.  Aktiviti pada sebelah malam lebih rancak terutama di bandar-bandar besar seperti Cairo dan Alexandria.  Di antara tempat yang menjadi tumpuan ramai di Cairo ialah aktiviti di dek bot/kapal  persiaran yang berhampiran dengan Dataran Tahrir. Terdapat beberapa buah bot  'river cruise' yang boleh disewa untuk kegunaan eksklusif atau kongsi beramai. Sebaik sahaja kami sampai, pemandangan Sungai Nil sangat cantik. Kilauan airnya yang tenang dan bersih memantul cahaya kerdipan lampu neon warna warni yang dipasang pada bot-bot yang sedang mudik sungai atau ditambatkan disitu dan bangunan berdekatan seperti Cairo Tower, bank, hotel mewah dan bangunan kerajaan. Pengusaha bot memasang lagu pop Arab yang sangat bingit sebagai satu strategi menarik pengunjung. Sementara menunggu penumpang penuh, terdapat beberapa orang remaja Arab yang datang secara berkumpulan mulai menari ikut rentak melodi pop tersebut. Terdapat juga anggota keluarga yang datang bersantai dan memberi sokongan kepada anak kecil untuk menari tarian gelek. Setelah bilangan penumpang mencukupi, pengusaha akan memudikkan river cruise tersebut menyusuri Sungai Nil kira-kira beberapa meter dan seterus berpatah balik membentuk satu pusingan. Sekiranya ada permintaan dari penumpang, jarak perjalanan atau masa ditambah. Tetapi kesemua penumpang kena bayar ekstra. Bayaran yang dikenakan ialah LE 3/pax.  Sebaik sahaja bot bergerak, tarian gelek para remaja semakin menjadi-jadi. Penulis terkejut melihat aksi gadis  remaja khasnya yang bertudung dan berjubah menari sebegitu rupa.  Sudahlah memakai baju dan seluar ketat di tambah pula  menari terkinja-kinja menyondol badan dan menggelekkan punggung menyentuh badan remaja lelaki.

Penulis sempat merakam foto dan video penari remaja lelaki dan gadis remaja mengayakan tarian gelek tersebut. Sememangnya gadis Arab ini mempunyai skil dalam menggelekkan punggung mereka tanpa segan silu. Itulah budaya Arab yang dikekalkan sehingga hari ini. Kelakuan menari gelek dikelayak ramai oleh pasangan bukan mahram tanpa menghirau sensitiviti pengunjung lain, amat dilarang oleh agama Islam. Adat dan budaya tersebut mungkin dapat dilupuskan sekiranya Negara Mesir ditadbir oleh mereka yang beriman dan bertaqwa. Rakyat Mesir telah memilih kumpulan Ikhwanul Muslmin membentuk kerajaan baru setelah mantan presiden Mohd. Hosni Mubarak di gulingkan. Malang buat rakyat Mesir kerana Dr. Mohamad Morsi yang dipilih sebagai presiden Mesir yang baru secara demokrasi telah dikudeta oleh pihak tentera pimpinan Abdel Fateh as-Sisi.





















2. Insiden penangkapan Yusairi di perkarangan Masjid Rabai'ul Addawiah menyebabkan penulis lebih berhati-hati ketika snap foto atau video. Mesir sekarang diperintah oleh Junta Tentera. Musuh utama junta ialah kumpulan Ihkwanul Muslimin  dan gerakan Islam lain. Sekitar Cairo kedapatan banyak kem, depot tahanan polis dan tentera dan balai polis atau pos tentera. Ramai pemimpin dan anggota Ikhwanul Muslimin  telah ditangkap dan ditahan di kem atau penjara.   Baca DI SINI. Segalanya bermula dengan kebangkitan dunia Arab atau dikenali ‘Arab Spring’ pada mulanya membawa kejayaan besar kepada Ikhwan, Selepas enam dekad dengan status tidak sah, Ikhwanul Muslimin Mesir disahkan secara rasmi pada 2011 apabila rejim Hosni Mubarak digulingkan rakyat. Sebagai pertubuhan politik terkuat di negara itu, Ikhwan memenangi beberapa pilihan raya termasuk pilihan raya presiden 2012 apabila calonnya  Dr. Mohammed Morsi menjadi presiden Mesir pertama dipilih melalui demokrasi. Namun setahun kemudian pada Julai 2013, Morsi digulingkan pula oleh tentera. Selain Morsi, pemimpin gerakan seperti  Mohammed Badie turut ditahan. Pada 25 Disember 2013, kerajaan sementara Mesir mengisytiharkan Ikhwan sebagai pertubuhan pengganas selepas satu serangan terhadap ibu pejabat polis di Mansoura. Bagaimanapun, pada hari yang sama, kumpulan Ansar Bait al-Maqdis yang berpusat di Sinai mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman tersebut. Terbaharu, junta tentera Mesir mengistiharkan Kumpulan Hamas yang berjuang melawan regim Israel di Gaza sebagai pertubuhan pengganas.

Undang-undang tentera yang ketat  telah diisytiharkan seluruh negara. Rakyat Mesir yang tidak puas hati dengan kudeta tentera sentiasa di dalam ketakutan. Menurut seorang pelajar Malaysia di Mesir, pemerintah tentera telah meletak ramai perisik, polis dan tentera tanpa uniform rasmi di kalangan penduduk. Pegawai kerajaan dan pensyarah dilarang membuat kenyataan terbuka. Setiap ceramah agama atau akademik akan dirakam dan diperhalusi oleh kerajaan. Malah kerajaan mengenakan sekatan terhadap beberapa aplikasi internet serta berupaya memintas perbualan telefon, mesej atau wasap di kalangan rakyat.

3. Dari Sungai Nil, kami balik ke penginapan. Malang menimpa kami sekali lagi. Kami mendapat khabar tentang ahli kumpulan kami yang tidak ikut bersama kami telah dipindahkan oleh sahabat dari kalangan pelajar Malaysia ke kediaman baru setelah mereka kecewa dengan tindakan biadap Pak Arab yang memarahi kami pagi tadi. Persoalannya, bolehkan kami jumpa rumah baharu tersebut memandangkan sudah larut malam.....


Part 4 : Ziarah maqam-maqam  ahlul-bait, wali Allah dan Imam As-Syafie




Baca Part 2 DI SINI







1 comment: