PART 1 - BAGASI DISELONGKAR KASTAM DAN UNIT NAKOTIK MESIR
1. Tidak terlintas dalam benak penulis untuk melihat piramid, spinx, Sungai Nil, Laut Mediteranean, Universiti al-Azhar di Mesir, Hagia Sofia dan Masjid Biru di Istanbul atau London Tower Bridge, London Eye, main salji di England dan Old Traford - Stadium Manchester United serta lagenda The Beatles di Liverpool apabila masuk tahun 2015. Tetapi, impian sudah menjadi kenyataan. Orang kata tuah ayam terlihat pada kakinya, tetapi tuah manusia siapa yang tahu. Segalanya bermula apabila Kak Zah (Azizah), seorang ibu tunggal yang berniaga pucuk ulam di pasar awam Bukit Mertajam mengajak penulis dan isteri berkunjung ke negara Mesir. Menurut Kak Zah, anak beliau, Naemah telah tamat pengajian di Alexandria dan akan pulang ke Lahar Yooi pada bulan depan. . Beliau mempelawa kami bersama berkunjung ke bumi ambia tersebut pada pertengahan Februari 2015. Pada peringkat awal, team kami cuma lima orang, tetapi menjelang keberangkatan, jumlah peserta bertambah kepada 12 orang yang terdiri dari anak dan cucu Kak Zah sendiri.
2. Penulis telah beberapa kali ziarah ke negara Arab Saudi untuk tujuan ibadat Haji dan Umrah. Penulis juga pernah ziarah beberapa tempat menarik di Baitul Maqdis, Negara Palestin serta negara Jordan dalam siri jejak maqam Rasul dan Nabi a.s. Pada kali ini peluang untuk menginjak kaki ke negara Mesir tentulah tidak dilepaskan. Lagi pun anak perempuan penulis sedang menuntut di Sheffield UK. Sekiranya kami sampai di Mesir, bererti sudah separuh perjalanan untuk sampai ke UK, maka, tanpa berfikir panjang, kami suami isteri bersetuju untuk ke Mesir, dan seterusnya meneruskan destinasi ke UK. Bergolok gadailah apa yang patut sebagai modal.
3. Kunjungan kali ini berupa lawatan secara bersendirian, yakni tidak menggunakan khidmat agensi atau syarikat pelancongan seperti mana yang lazim dilakukan. Kami bertekad untuk sampai ke destinasi meski pun kami sedar ada beberapa kesukaran dan rintangan yang sukar di duga. Hampir kesemua peserta tidak berkebolehan bertutur atau memahami bahasa Arab. Semalahan, tiada sesiapa pun dikalangan kami yang dilantik sebagai ketua rombongan.
4. Seminggu sebelum berangkat, urusan visa kemasukan ke Mesir belum dibuat. Menurut website Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur, setiap pelancong yang berhasrat melawat Mesir dikenakan visa lawatan dengan kadar bayaran tertentu. Tetapi, menurut rakan-rakan yang telah ke Mesir, visa lawatan tidak diperlukan. Ada juga yang kata, visa lawatan diberi untuk dua minggu dan seterusnya ditambah dua minggu. Jika ada masalah mereka kata 'buat muka bodoh' bila ditanya oleh Imigresen Mesir ketika balik ke Malaysia nanti. Penulis buntu, kerana risiko melawat ke luar negara tertentu tanpa visa lawatan adalah satu kesalahan, Tetapi terbukti kata-kata 'mereka' betul iaitu rakyat Malaysia tidak perlu visa melawat ke Mesir sebagai pelancong jika berada kurang 30 hari di negara tersebut. Kami selamat sampai ke tanah air setelah 22 hari berada di Mesir. OK, selesai satu bab.
5. Setelah ditetapkan tarikh berangkat dan kembali, itinenari disusun supaya kunjungan kali ini betul-betul bermanfaat. Anak penulis, Nurhidayah di Sheffield telah dihubungi mengenai barang masakan atau makanan yang diperlu oleh beliau. Beberapa jenis rempah ratus, maggi, milo dan sebagainya yang telah dibawa kira-kira lima bulan yang lalu sudah hampir habis. Memandangkan kami diberi peluang membawa bagasi sehingga 45 kilogram seorang, sudah tentu kami cuba memenuhi keperluan Nurhidayah. Untuk itu, beg yang lebih besar dibeli. Baju panas termasuk 'inner thermal wear' dan baju tebal lain perlu dibawa kerana Mesir dan UK masih dalam musin sejuk (suhu sekitar 5'C)
6. Return ticket - KL-Cairo-KL ditempah oleh Naemah di Cairo. Kami memilih syarikat penerbangan Etihad yang menawarkan tambang yang lebih berpatutan dengan transit di Abu dhabi cuma 1 jam 15 minit sahaja. Menurut Naemah, booking tiket di Cairo lebih murah kerana saingan dikalangan syarikat-syarikat penerbangan di negara-negara Timur Tengah dan Negara Telok seperti Etihad, Saudia, Emirate, Oman Air, Gulf, Turkish Air, Egypt Air, Yaman Air dan sebagaainya. Harga tiket berubah pada setiap hari dan kalau tuah menyebelahi, kita akan dapat return ticket yang relatif rendah.
7. Setelah hampir kesemua barang keperluan Nurhidayah di perolehi dan pakaian yang sesuai di sediakan, penulis dan isteri akan membawa bagasi yang beratnya kira-kira 83 kilo dalam empat buah beg. Semoga tidak ada beg yang tercicir atau disekat masuk ke negara-negra tersebut. Dua hari sebelum berangkat, Nurhidayah cadangkan agar wang dalam saving akaun Maybank yang disalur oleh MARA sebagai pembiayaan pengajian Semester 1 dalam ringgit Malaysia di tukarkan kepada GBP (pound British). Menurut Nurhidayah, setiap kali beliau mengeluarkan wang dari akaun Maybanknya di UK dan dimasukkan ke dalam akaun Dloyd Bank, caj dan kadar tukaran yang merugikan. Lagipun, trend nilai ringgit semakin merosot, dikhuatiri jika wang RM tersebut berada dalam akaun Maybank pada jangka masa lama adalah merugikan. Untuk tujuan tersebut, Nurhidayah telah memindahkan RM10,000 dari akaun Maybanknya ke akaun Maybank penulis. Penulis seterusnya mengeluarkan kesemua wang tersebut dan membeli mata wang GBP di kedai money changer. So, misi lawatan kami ke Egypt dan UK bukan sahaja memikul bagasi seberat 83 kilo, malah membawa mata wang GBP hampir 2500 pound.
8. Kami bertolak sehari awal, bertujuan memberi masa rehat sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan jauh. Dari rumah anak penulis di Presint 15 Putrajaya, kami bertolak ke KLIA empat jam sebelum departure. Di KLIA penulis bertemu dengan kesemua peserta lain iaitu seramai 10 orang dan dua orang pelajar Malaysia yang ikut kami balik ke Mesir. Penulis terperanjat kerana mereka semua membawa satu atau dua beg sahaja tetapi berpuluh-puluh kotak berbagai saiz sebagai kiriman pesanan pelajar Malaysia yang berada di Mesir. Hebat juga Naemah ni. Apabila agen tikecting memaklumkan group kami diberi kebenaran membawa bagasi sehingga 45 kg seorang, beliau telah menghubungi pelajar Malaysia di Mesir yang berhasrat untuk mengirim barang dari keluarga mereka di Malaysia. Setiap kiriman dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM 10.00 per kilo. Seusai urusan daftar masuk, Kami diberi dua keping tiket untuk dua destinasi iaitu KUL ke AUH (Abu Dhabi) dan AUH ke CAI (Cairo). Setelah semua urusan chek-in dan bagasi selesai kami terus dapatkan aerotrain shuttle ke Terminal M KLIA penerbangan antarbangsa, menaiki pesawat Etihad EY411 ke Abu Dhadi. Tepat jam 7.35 malam pesawat terbang meninggalkan bumi tercinta.
|
Anak Cucu Kak Zah (4 anak 4 cucu) nampak teruja menaiki pesawat |
|
berkotak-kotak bagasi kiriman waris pelajar Malaysia di Mesir dan barang makanan kami (untuk selama 22 hari di Mesir) |
9. Durasi penerbangan hampir lapan jam. Orang putih kata long journey about 8 hours flight, a boring and exhausted one. Tetapi Penerbangan Etihad 'flag carrier' United Arab Emirate yang menggunakan pesawat Airbus A340-600 menyediakan kerusi bagi kelas ekonomi agak lapang berbanding dengan pesawat Air Asia. Pelbagai kemudahan disediakan kepada penumpang, diantaranya sistem hiburan misalnya movie dan makanan yang hebat. Servis dalam kabin pun baik dengan staf kabin yang peramah dan sedia membantu penumpang. Nampaknya Etihad lebih agresif sesuai dengan slogan korporatnya "From Abu Dhabi To The World"- telah terbang ke 63 destinasi di 42 buah negara seluruh pelusuk benua.
|
dalam pesawat A340-600 yang agak selesa |
|
menu makanan dan minuman diedarkan terlebih dahulu. |
|
first meal on board - steamed rice ayam masak kari dan dessert raspberry panna cotta. Minuman panas cappuccino pun ada |
|
peta navigasi penerbangan di paparkan pada setiap detik. |
|
bukan sahaja doa menaiki kenderaan dibaca oleh pilot, malah navigasi arah kiblat (Mekah) turut dipaparkan. |
10. Kami tiba di Terminal 3 Airport Abu Dhabi kira-kira jam 11.25 malam. Pesawat di pakir agak jauh. Penumpang diangkut dengan bas shuttle ke terminal ketibaan. Ternyata airport Abu Dhabi sangat sibuk, Di luar terminal, dataran parkir pesawat dipenuhi dengan berpuluh-puluh buah pesawat dari kecil hingga ke A380 milik syarikat penerbangan Etihad dan syarikat penerbangan luar. Penulis pernah transit di airport Abu Dhabi kira-kira 12 tahun yang lalu, dalam perjalanan ke Jeddah. Ketika itu airportnya agak lengang kerana tak banyak pesawat pakir. Tetapi, kali ini penulis kagum dengan kemajuan airport Abu Dhabi - seiring dengan kemajuan ekonomi negara UAE yang pesat membangun. Malulah kalau kita war-warkan airport KLIA hebat, tanpa dibandingkan dengan airport Abu Dhabi, ternyata KLIA sudah terbelakang. Dari Terminal 3 kami ke terminal 1 untuk mendapatkan pesawat yang akan berlepas ke Cairo pada jam 12.50 malam. Pergerakan kami agak tergesa-gesa kerana kami tidak begitu memahami selok belok terminal di situ. Tetapi, penulis tunjuk tumb up kepada airport Abu Dhabi kerana menyediakan banyak kemudahan navigasi seperti sign board dan menempatkan petugas pada setiap sudut.
|
terus ke bas shuttle |
|
Flight Status - cari number gate penerbangan EY651 pula |
|
cantik dekorasi dalam terminal |
|
gate perlepasan sehingga 61 pintu. |
|
salah satu replika dalam termainal yang menarik - bukan tajaan Syabas |
|
petugas memberi tunjuk arah tanpa di minta. |
11. Pesawat Airbus EY651 terbang selama 4 jam 15 minit dari Abu Dhabi mendarat di Terminal 1 Cairo International Airport pada jam 3.05 pagi waktu tempatan. Oleh kerana kami tiba awal pagi, keadaan terminalnya tidaklah sibuk. Urusan imigresen lancar. Tidak nampak sesuatu yang ganjil. Bagasi diangkut dengan menggunakan troli untuk keluar dari terminal ketibaan. Tiba-tiba, kesemua bagasi kami telah di tahan oleh pihak kastam. Penulis mula cemas. Pihak kastam telah membuka beberapa kotak kiriman waris pelajar setelah mereka tidak percaya kandungan bagasi tersebut adalah barang makanan. Ternyata, kami hampir menerima padah kerana tidak seliidik apakah barang yang dikirimkan yang dimasukkan di dalam kotak-kotak tersebut. Setelah kesemua bagasi group kami melalui mesin imbasan, terdapat empat kotak bagasi telah dibuka oleh pihak kastam. Ternyata barang dibawa ialah sejumlah 12 set power bank brand pineng yang terbaharu dipasaran, vitamin/suplemen brand Shaklee dalam kuantiti yang agak banyak, berdozen spenda lelaki dan buku. Penulis agak cemas kerana penulis baru perasan situasi politik di Mesir masih belum stabil. Sehari sebelum kami sampai, pihak IS (ISIS) telah membunuh seramai 21 mubaligh Kristian warga Mesir di Libya dan penyokong Dr. Mohamad Morsi (presiden yang digulingkan oleh tentera Mesir) mengadakan sambutan ulang tahun penggulingan Presiden Hosni Mubarak. Sepatutnya kami telebih dahulu selidik apakah barang yang dikirimkan untuk dibawa ke negara yang masih bergolak. Nasib baiklah dua orang pelajar Malaysia yang berada dalam kumpulan kami dapat meyakinkan pihak kastam bahawa barang yang kami bawa adalah kiriman waris pelajar Malaysia di Mesir. Akhirnya semua bagasi kami dilepaskan. Syukur Alhamdulillah. Diluar terminal 1, kondisi suhu 5'C Naemah dan rakan telah menunggu. Semua bagasi diangkut di dalam sebuah van dan kereta untuk di bawa ke homestay di Hayyu Asyir iaitu kira-kira 50 km dari airport.
|
terminal 1 (foto hari ke-2) |
|
inilah balai ketibaan - beratur urusan imigresen |
|
hampir kesemua group kami 'ambil cenderahati' dari pesawat Etihad iaitu selimut dan set sudu garfu. Tray, cup dan headphone pun turut di ambil. Ha. ha. aduhai orang kampong Lahar Yooi |
|
kena upah bangla untuk angkut kotak yang banyak tu |
|
ni lah sebahagian kotak yang dibuka untuk pengesahan isi kandungannya |
|
ada lagi suplemen Shaklee dalam botol yang lebih besar - kastam tanya buat apa tu banyak-banyak ni. |
bersambung Part 2 - Pak Arab mengamuk pagi hari suruh pindah........Dan anak Kak Zah ditangkap polis kerana berselfie di hadapan Masjid Rabi;ul Adawiah..
Baca Part 2
DI SINI
Tak sabar nak fly dgn etihad. Ambil cenderahati tu kena tanya tak?
ReplyDeleteSebaiknya minta kpd pramugari yg bertugas di atas pesawat sejurus tiba di airport. Kebiasaannya peralatan yg telah digunakan eg set sudu garfu, selimut, earfon etc, boleh bawa turun. Brg logam spt sudu garfu yg disimpan dlm beg bimbit tidak dianggap brg larangan utk kita naik pesawat baru bagi menerusksn destinasi berikutnya setelah transit sebentar di Abu Dhabi.
DeleteAssalamualaikum, boleh sye tahu mcm mane nak book malaysia hall abbasiah dan rumah negeri?
ReplyDeleteKalo boleh, toong emel kpd sye ikanordin@gmail.com
ReplyDeleteTerima kasih
Kalo boleh, toong emel kpd sye ikanordin@gmail.com
ReplyDeleteTerima kasih
Assalamualaikum, boleh sye tahu mcm mane nak book malaysia hall abbasiah dan rumah negeri?
ReplyDelete