Thursday, 24 October 2013

PILIHANRAYA KECIL DUN N20 SUNGAI LIMAU


1. Hari ini merupakan hari ke-2 kempen pilihanraya kecil (PRK)  Dun N20 Sungai Limau, Kedah. Calon mewakili Pakatan Rakyat dari Parti PAS iaitu Ustaz Mohd. Azam Samad (37)  seorang guru agama lulusan Universiti Al-Azhar,  berhadapan musuh tradisi parti PAS  iaitu Dr Ahmad Sohaimi Lazim (52) , bekas pensyarah UPSI dari UMNO BN.  Pembuangan undi akan berlansung pada 4 November setelah tamat 12 hari berkempen.   Kedua-kedua belah pihak telah menggerakkan seluruh jentera parti untuk memenanggi hati pengundi.   Sudah pasti PAS akan berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kerusi di kubu tradisi mereka, manakala UMNO sedaya upaya cuba merampas kerusi tersebut demi kelansungan pemerintahan mereka di Kedah setelah mereka kembali merampas DUN Kedah dari kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU-13  pada 5 Mei 2013 lalu.

2. Walaupun Allahyarham Ustaz Azizan menang dengan majoriti yang selesa  dalam PRU ke-13  (2,774 undi),  namum Pakatan Rakyat, khususnya PAS tidak boleh mengambil ringan.  Masih terdapat beberapa isu dalaman PAS dan PR amnya yang masih menjadi duri dalam badan.

3. Bagaimanapun  PAS dijangkakan dapat mengekalkan kemenangan dan Ustaz  Mohd. Azam bakal ditabalkan sebagai adun Sungai Limau pada 4 November  2013 di atas perkiraan berikut :-

3.1 Penyokong tegar PAS masih setia kepada parti.  Sentimen sayangnya pengundi kepada Allahyarham  Ustaz Azizan masih tinggi.  Meskipun jumlah undi yang diperolehi Ustaz Azizan bekurangan sebanyak 438 undi dalam PRU Ke-13 berbanding dengan PRU 12, namun senario kekalahan beberapa kerusi DUN dan Parlimen di Kedah menyaksikan pola perubahan pengundi tidak begitu besar di Dun Sungai Limau berbanding dengan Dun atau Parliman yang PR kalah.

PRU 11 (TAHUN 2004)  
Jumlah Pengundi  : 24,818. Peratus Keluar Mengundi  : 84.4
Ustaz Azizan : 10,882 (menang majoriti 1, 080)
Mohd. Suhaimi Abdullah BN 9,802.

PRU 12 (TAHUN 2008)
Jumlah Pengundi : 25,309.  Peratus Keluar Mengundi : 83.48 %
Ustaz Azizan : 12,028 (menang majoriti 3,212)
Basorri Abu Hassan BN : 8,816

PRU 13 (TAHUN 2013)
Jumlah Pengundi : 27,286.  Peratus Keluar Mengundi 89.41 %
Ustaz Azizan : 13,394 (menang majoriti 2774)
Fadzillah bin Mohd. Ali BN : 10,520
Sobri b. Ahmad BEBAS  : 100
Abdullah b. Hashim  : 84

 Jika  dilihat pada hari Penamaan Calon di Dewan Datuk Madi di Yan, dimana para penyokong PR telah berkumpul beramai-ramai semenjak jam 7 pagi  membuktikan sokongan kepada PAS-PR masih unggul - walaupun ini bukanlah indikator sebenar pola pengundian.

3.2 Keperibadian  dan kecemerlangan arwah Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Negeri  Kedah pertama dari PAS bukan sahaja disenangi oleh DYMM Tunku Sultan  Abdul Halim (Yang Di Pertuan Agong), malah turut disanjung oleh penduduk Sungai Limau. Lagi pun kawasan ini adalah  zon kekeluargaan  Ustaz Azizan.

3.2 UMNO telah melakukan kesilapan dengan meletakkan calon yang bukan berlatar belakangkan pendidikan agama. Sudah tentu PAS akan eksploitasi isu ini untuk membuktikan perjuangan UMNO BN tidak berminat untuk memertabatkan Islam sebagai dasar pemerintahan. Hal ini juga terbukti hasil keputusan pemilihan pucuk pimpinan UMNO  baru-baru ini, baik di peringkat tertinggi dan Ahli MT UMNO , hanya seorang dua sahaja tokoh yang berlatar belakangkan pendidikan  agama yang terpilih.   Semangat juang para pendokong PAS semakin memuncak apabila Negara Brunei Darul Salam mengumumkan pelaksanaan pemerintahan yang berlandaskan syariat Islam dan hukum hudup. Oleh itu, tidak ada alasan bagi kerajaan UMNO BN yang memerintah untuk melaksanakan  undang-undang dan tatacara pentadbiran Islam di Malaysia.

3.3 Strategi PAS untuk menarik pengundi melalui kempen dari rumah ke rumah di samping ceramah kelompok dan ceramah perdana melibatkan penggunaan bahan kempen yang canggih  dapat menjelaskan kepada pengundi beberapa isu semasa. Misalnya kenaikan harga minyak yang diikuti dengan kenaikan harga barang makanan dan keperluan harian.  Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 yang diterbitkan  baru-baru ini membuktikan bahawa kerajaan UMNO BN masih lemah dari segi pengurusan, pembaziran, amalan rasuah dan beberapa dasar yang tidak menguntungkan rakyat. Cadangan  Cukai Barangan dan Perkhidmatan    (GST)  yang mungkin diumumkan di dalam pembentangan budget negara pada besok 25 Oktober membuktikan bahawa negara Malaysia sudah mencapai tahap muflis.

3.4 Sudah lebih 100 hari Dato' Paduka Mukriz memerintah, tetapi  pentadbiran beliau masih gagal mengemukakan formula pembangunan untuk meransangkan ekonomi negeri Kedah.  Beliau ada ura-ura untuk membangunkan semula Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang telah di batalkan oleh pentadbiran Ustaz Azizan ketika memegang tampok pemerintahan Kedah.  Kerajaan PR beranggapan   ZIPY  boleh merosakkan alam sekitar  marin dan menyebabkan kawasan pertanian dan tanah serta rumah bagi seramai 1000 penduduk di situ  terjejas.   Apa yang dihebohkan oleh MB baru ialah meminta kerajaan Pulau Pinang membayar penggunaan air dari Sungai Muda sebagai air minuman dan kegunaan domestik.  Idea bodoh ini kalau menjadi realiti mambolehkan pula penduduk Pulau Pinang terutama di daerah Seberang Perai Utara menuntut ganti rugi kepada kerajaan negeri Kedah akibat kerosakan harta benda dan pertanian kesan dari limpahan air Sungai Muda di penempatan mereka.


3.5 Negeri Kedah masih gagal menarik pelabur lansung  asing (FDI). Oleh itu peluang pekerjaan kepada penduduk amat terhad. Lebih ramai penduduk berhijrah atau mencari pekerjaan di negeri Pulau Pinang.  Di sana mereka melihat bagaimana cekapnya pemerintahan kerajaan PR mentadbir negeri dan di akui dalam Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun.  Pencari pekerjaan dikalangan anak muda ini juga terbeban dengan pembayaran balik hutang PTPTN dan ketidakmampuan pasangan muda untuk memiliki rumah dan kereta sendiri kerana harga yang amat mahal . Di sinilah jentera gerak gempur PR boleh mendekati golongan muda dan memberi penerangan secukapnya mengenai dasar penambahan peluang pekerjaan, kediaman, pemilikan kereta dan dasar-dasar kebajikan rakyat yang lain.

3.6 PRK kali terakhir di negeri Kedah  ialah pada 18 Julai 2002 bagi DUN Anak Bukit. Calon PAS  Datuk Ir Amiruddin Hamzah telah menangDalam   PRK  ini UMNO BN menggunakan seluruh kekuatan untuk melumpuhkan pengaruh PAS di negeri Kedah. Tetapi di atas kerja kuat jentera PAS, DUN Anak Bukit kekal di tangan PAS.

3.7 Gandingan mantap di antara Datuk Mahfuz Omar selaku Pesuruhjaya PAS  Negeri  Kedah dan Datuk IR Amiruddin selaku Pengarah Pilihanraya PRK Dun Sungai Limau merupakan aset kepada PAS untuk merangka dan menyusun strategi peperangan kali ini.

4. Walaupun di war-warkan PAS akan mempertahankan kerusi Sungai Limau, perkara-perkara berikut boleh menjejaskan  perolehan  undi kepada calon PAS tersebut :-

4.1 Jentera UMNO BN akan membangkitkan kegagalan kerajaan Kedah pimpinan PR-PAS yang lalu sebagai lemah dan tak pandai tadbir. Misalnya kelembapan dan kerugian KULIM HI TECH PARK - di mana para pelabur marah di atas kegagalan penyediaan bekalan air dari SADA.

4.2 Pembentangan Belanjawaan Negara pada besok yang memungkinkan beberapa insentif diberi kepada kaum Melayu (Peratus Pengundi Melayu di Sungai Limau  ialah lebih   92 %), seperti pemberian BRIM, polisi rumah kediaman rakyat, pembangunan projek infra dan ekonomi di luar bandar dan polisi  "mesra-orang muda " dan lain-lainnya boleh mengurangkan undi kepada PAS.


5. Akhir kalam, adakah slogan "BERANI BERHIJRAH" dari UMNO BN dan Sambutan Maal Hijrah  jatuh besoknya 5 November bersamaan  1 Muharram 1435H dengan "BERSAMA SAYA BERHIJRAH" ....Dato Mukhriz Mahathir , boleh menenggelamkan slogan "PAS KEKAL" di Sungai Limau,  sama-sama kita lihat....



Saturday, 19 October 2013

JOM PI PENANG... MENGINAP DI HOMESTAY KAMAR ANA

Assalamu 'Alaikum wmwbt.

Homestay KAMAR ANA di buka untuk tempahan. Berikut adalah beberapa info yang menarik mengenai homestay tersebut :-


  1.  Lokasi.
  • Terletak di Kampong  Lahar Yooi, Tasik Gelugor, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Boleh sampai melalui kordinat GPS seperti berikut : 5.475168  dan 100.460621 Perjalanan Lebuhraya PLUS dari Selatan, selepas membayar tol di Plaza Tol Juru, anda terus memandu arah ke Utara, kira-kira 8 km anda keluar melalui EXIT 165 SUNGAI DUA-BAGAN AJAM, belok kanan terus pandu ke arah pekan Sungai Dua. Anda belok ke kiri dan nampak KFC dan Ayam Mas Sungai Dua, seterusnya pandu tanpa membelok kira-kira 5 km melalui kawasan sawah padi anda akan jumpa simpang 3 lampu isyarat LAHAR YOOI. Di situ anda belok ke kanan (menuju ke Ara Kuda/Bukit Mertajam) dan kira-kira 700 meter anda jumpa MASJID Lahar Yooi yang terletak disebelah kanan, manakala Tadika PASTI Al-Mansor di sebelah kiri. Anda masuk lorong mini tar disebelah PASTI dan kira-kira 25 meter nampaklah Homestay KAMAR ANA yang cantik tu.


  • Jika anda datang dari Pantai Timur @ Lebuhraya Timur-Barat, anda terus memandu ikut Lebuhraya Kulim-Butterworth  (BKE). Selepas membayar tol di Plaza Tol KUBANG SEMANG, anda EXIT sebelum bulatan bertingkat Seberang Jaya melalui lorong/jalan atas dan masuk  bulatan 'jam 3' ke Lebuhraya PLUS, pandu ke arah Utara dan keluar semula di EXIT 165 SUNGAI DUA. Dari situ anda pandu seperti yang terdapat dalam No. 1.1 di atas.


  • Jika anda dari Utara, pandu menggunakan Lebuhraya PLUS, sekiranya anda keluar melalui EXIT BERTAM, selepas bayar tol, anda belok ke kanan menuju Pekan Kepala Batas, apabila sampai di simpang Pejabat Pos Kepala Batas, anda belok kiri ikut jalan menuju ke arah Bukit Mertajam, di mana anda akan melalui Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, seterusnya Sekolah Agama Al-Irsyad, dan jumpa simpang tiga Lahar Yooi, belok kanan dan kira-kira 700 meter jumpa Masjid Lahar Yooi (Masjid At-Taqwa)  di sebelah kanan (seterusnya seperti No. 1.1 di atas).




2. Keistimewaan Homestay Kamar ANA :-

  • Berupa bilik tumpangan bajet (guest house) yang selesa untuk 3 - 4 pax.
  • Berhawa dingin dan dilengkapkan kamar mandi/tandas dipasang pancuran air panas.
  • Dapat akses WiFi (Penang Free WiFi) percuma dan TV Astro.


  • Katil kelamin dan kemudahan tilam bujang tambahan
  • Ruang tamu yang dilengkapkan dengan set sofa, iron dan iron board dan kettle.
  • Telekong, sarung pelikat  dan sejadah ada disediakan.
  • Kadar sewa semalam cuma RM 70.00. Diskaun diberi jika tempahan lebih dari 1 malam.

Tetamu yang penah menginap..

3. Dari Homestay Kamar ANA anda boleh sampai ke destinasi berikut :-
  • UiTM Permatang Pauh dan Politeknik Seberang Perai (13 km)


  • Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (4 km)
  • MRSM dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas , ILP dan USM Bertam(8 km)
  • IPG Tuanku Bainun (15km
  • Hospital Kepala Batas (6 km)
  • Terminal Penang Sentral Butterworth, Stesyen Keretapi dan Jeti/Pangkalan Feri (15 km)


4. Jika anda lapar, jarak berikut dari Homestay Kamar ANA, anda akan sampai ke...
  • Gerai bawah pokok paku lima terkenal dengan mee dan car keow teow udang  (0.7 km)
  • Restoran Mee Udang - tebing Sungai Perai (5 km)
  • Restoran Char Koey Teow Sungai Dua (5 km)
  • Restoran Nasi Daging Pak Ya Simpang 4 Permatang Buluh (4 km)
  • KFC dan Ayam Mas Sungai Dua (5 km)
  • Restoran Western Food Nan Kepala Batas (5 km)
  • Restoran Ikan Bakar dan Nasi Arab Kepala Batas (6 km)
5. Anda boleh berekreasi atau riadah dari Homestay Kamar ANA pada jarak berikut :-
  • Joging atau menunggang basikal di trek batas taliair sawah padi dan tebing  Sungai Kereh di Kampong Lahar Yooi
Berjogging @ menunggang basikal di sekitar sawah padi / tebing sungai di Kg Lahar Yooi.
    • Aktiviti lasak meniti Jambatan Gantung dan Memerhati Burung Imigran di Hutan Pelajaran Air Itam Dalam
    • Main layang layang   di Pantai Bersih sambil  menikmati panorama Penang Port dan Penang Island (8 km)
    • Memancing di Pantai Robina (15 km)
    • Hiking/mendaki ke puncak Bukit Mertajam yang tinggi 547 meter (15 km)
    • Joging di sekitar Ampangan Mengkuang (15 km) - di tutup buat sementara waktu
    • Melalui Jambatan Pulau Pinang atau Feri anda boleh ke Pulau Pinang, melawat Georgetown, Bandaraya Warisan UNESCO, naik keretapi Bukit Bendera, Muzium Perang, belayar dengan kapal persiaran mewah Star Cruise (dari RM 180 per pax) atau Kapal Persiaran World Amusement dari RM 78 per pax), bersantai di pantai Batu Feringgi , Taman Laut Teluk Bahang, Taman Rama-Rama. etc

           
    • Berekreasi di jeram Sg. Sedim dan Bukit Hijau (25km)
    • Hutan Lipur Bukit Mertajam dan Rumah Kelahiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Geleri Pejuang di Ceruk Tok Kun (15 km)
    6. Anda boleh bershopping sakan di  :-
    • PERDA MALL  di Bandar Perda  (15 km), 
    • TESCO (10km) Sunway Carnival Mall (12 km),
    • Aeon Big @ Carrefour (12 km)
    • SUNSHINE Hypermarket di Bertam (13km) MYDEN (15 km).
    • Membeli buah tangan Jeruk  Madu Pak Ali (13km), 
    • Jeruk Madu Pak Latiff (15km), 
    • Belacan Pulau Aman (20km)

    7. Anda boleh tingkatkan ilmu agama melalui kuliah mingguan 2 tokoh agama tersohor :-

    7.1 Bacaan Yasin dan kuliah  Mingguan di Ma'had Adda'wah Islamiyyah pimpinan Ustaz Hj. Subri b Hj. Md. Arshad di Padang Menora pada setiap hari Khamis jam 7.00 malam.  (1.5 km).



    7.2 Kuliah Mingguan Perdana Ustaz Hj. Abdul Mutalib bin Maarof di Madrasah An-Nadhoh Kubang Semang pada setiap pagi hari Sabtu. (7 km.)





    Pulau Pinang Pulau Mutiara
    Batu Feringgi tak jauh mana
    Jikalau tuan hendak mengembara
    Singgahlah bermalam di Kamar Ana

    Lahar Yooi Lahar Tambun

    Lubuk Meriam Padang Ton Soon
    Jika nak mandi disediakan sabun
    Kamar Ana sejuk di pasang air con

    Laksa Penang berkuahkan belut

    Di taruh pulak daun pudina
    Usah bimbang usah kalut
    Boleh booking jika nak ke sana

    Tel : 0194151682 : 019-5185145

    TERBAHARU !!

    Homestay KAMAR ANA telah diluluskan pendaftaran sebagai sebuah Homestay yang diberi lesen oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia  (MoTAC) di bawah HOMESTAY LAHAR YOOI.
    Sebanyak 13 rumah di Kampong Lahar Yooi telah diperiksa oleh MoTAC, MPSP, Pejabat Daerah SPU dan Pejabat Kesihatan sebelum lesen homestay Motac di luluskan.  Pastikan anda menginap di Homestay Lahar Yooi kerana homestay tersebut legal, selamat, bersih dan murah. Cara kenal pasti Homestay yang diberi lesen oleh MoTAC ialah pada dinding rumah pengusaha di pasang plak Homestay Malaysia seperti di bawah




    Thursday, 17 October 2013

    AIDIL ADHA DAN HARI TASYRIK YANG MENINGGALKAN KITA...

    1. Hari ini, 17 Oktober bersamaan 12 Zulhijjah adalah hari ke-3 Hari Tasyrik. Apabila masuknya waktu maghrib pada besok hari, Jumaat  13 Zulhijjah, maka berlalulah hari tasyrik bagi Tahun Hijrah 1434. Apa itu Hari Tasyrik ? Hari Tasyrik juga dikenali sebagai Ayyam At-Tashriq yang bermula dengan Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zuhijjah dan diikuti dengan hari-hari pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.  Istimewanya hari-hari tasyrik ialah umat Islam di seluruh dunia melakukan ibadat korban dengan dengan penyembelihan binatang-binatang korban sebagai satu ibadat sunat muakkad. Ibadah korban adalah satu syiar perhambaan manusia kepada Allah SWT.  Bagi golongan yang berkemampuan adalah ' makruh' jika tidak melakukannya.  Ibadah ini menjadi 'wajib' dilakukan jika sesiapa yang bernazar untuk menunaikan korban. Adalah menjadi satu 'sunat kifayah' pula bagi sebuah keluarga muslim apakala salah seorang ahli keluarga tersebut melakukan ibadah ini. Dan 'harus' melakukan korban untuk orang yang telah meninggal dunia atau niatkan pahala korban untuk arwah simati.




    Ibadah korban tahun 1434H di Kg. Lahar Yooi. 
    Sebanyak 9 ekor telah disempurnakan pada hari pertama.

    2. Disamping ibadah korban, umat Islam disunatkan melafazkan takbir bermula dari masuknya waktu subuh 9 Zulhijjah dan berakhir selepas solat  Asar 13 Zulhijjah. Jadi jumlah takbir raya bagi Hari Raya Aidil Adha adalah selama 5 hari. Tetapi bagi kaum muslimin dan muslimat yang mengerjakan ibdah Haji di Mekah, mereka disunatkan mengucap talbiyah  "Labbaika Allahumma labbaika......".

    3. Amalan melafazkan 'takbir raya' dan  mengucapkan talbiyah (ketika menunaikan ibadah haji di Mekah) di kalangan masyarakat Islam di Malaysia masih kurang memberangsangkan berbanding dengan umat Islam di negara lain. Kedapatan keluarga muslim di Malaysia agak berkeberatan untuk bertakbir raya selepas solat di rumah dalam masa 5 hari tersebut. Kebanyakkannya bertakbir di pagi hari raya sebelum Solat Sunat Aidil Adha di masjid atau surau (Itu pun jika tiba awal ke masjid/surau). Bagi jemaah yang sering berulang alik mendirikan solat fardhu di masjid atau surau, kebiasaannya imam solat fardhu akan takbir raya selepas beri salam. Sebenarnya lafaz takbir raya boleh dilakukan sepanjang malam raya sehinggalah dipagi raya sebaik sahaja iman selesai solat sunat hari raya. Kemudian takbir raya boleh dibuat selepas solat fardhu atau solat sunat di sepanjang hari tasyrik, malah boleh juga di lafazkan takbir selepas solat-solat sunat dan solat jenazah

    4. Bertalbiyah adalah satu amalan haji yang paling afdhal (sunat mustahab) selain ibadah korban. Dengan bertalbiyah bermakna kita datang menyahut seruan Allah, sebagai satu mukadimah ucapan, pengakuan, iltizam kepada perjanjian dan berdailog dengan pencipta kita iaitu Allah SWT.  Selain dari manusia, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan debu-debu juga turut bertalbiyah.  Masa bertalbiyah bermula selepas niat  ihram  haji atau umrah dan tamat selepas selesai  lontaran  batu di Jamrah Aqabah bagi ibadat haji dan apakala memulakan tawaf bagi ibadat umrah. Kita dituntut melafaz talbiyah dengan suara yang nyaring.  Pengalaman ketika menunaikan ibadat haji dan umrah, ahli rombongan kami tidak berhenti-henti melafazkan talbiyah di dalam bas setelah bertolak dari Bir Ali atau dari mana-mana miqat sehingga sampai kota Mekah dan bertakbir ketika berulang alik dari khemah di Mina ke Jamrah selepas lontaran batu pertama di Jamratul Aqabah. Seronoknya pengalaman ini.

    5. Sesuatu yang menarik pada hari tasyrik ialah umat Islam diharamkan berpuasa. Kita dituntut meraikan dengan memakan minum seperti mengadakan kenduri korban, kenduri aqiqah dan sebagainya. Inilah keindahan dalam ajaran dan syiar Islam....

    SEBULAN YANG BERLALU......

     1. Alhamdulillah blog patah sayap terbang jua muncul kembali setelah  hampir sebulan tersorok di alam siber. Sebenarnya ada beberapa isu yang penulis ingin ketengahkan kepada pembaca, diantaranya ulasan dan ucapan takziah di atas kembalinya ke Rahmatullah Tan Sri Ustaz Azizan Razak bekas Menteri Besar Kedah DA pada 26 September, komen mengenai pesawat Twin Otter MASwing  yang terhempas di Kudat Sabah pada 10 Oktober  dan pemilihan YB Khairi Jamaluddin sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bagi penggal ke-2 pada 12 Oktober lalu. Disebabkan oleh faktor ternikal  (password la tu) dan sdri Nurul Firdaus, kerani akaun yang bertugas dengan syarikat penulis telah balik kampong  bercuti panjang kerana masalah keluarga, maka penulis tidak dapat uploadkan foto-foto berkaitan kerana cik Nurul lah yang banyak membantu penulis dari segi teknikal segala aspek berkaitan dengan penulisan blog. In sha Allah isu-isu tersebut akan disiarkan semula apabila tiba masa yang sesuai.

    2. Di sepanjang bulan September 2013, blog mencatatkan 498 pageview, iaitu satu jumlah yang agak 'ok' bagi penulis yang "orang tak berapa kenai".  Kebanyakkan pageview terdiri dari rakan facebook Yayasan Anda Akademik dan Kumpulan Warisan Hj. Ahmad 848.  Terima kasih penulis ucapkan di atas sokongan kalian dan mohon kerjasama kalian untuk memberi sebarang komen membina supaya kita semua dapat sedikit sebanyak manfaat dan info.

    Wallahu a'lam.