Thursday, 3 July 2014

KUNJUNGAN KE BAITUL MAQDIS siri 7.0 MAQAM NABI DAUD a.s DI MOUNT ZION

[ baca SIRI  8.0 DI SINI ]




HARI KE-2 : 16  Mac 2014
Kami sarapan pagi di Hotel Metropole. Bersama kami terdapat seramai lima petugas dari Stesen TV Al-Hijrah yang sedang membuat pengambaran  dokumentari AYAT RIWAYAT 4, satu siaran ekslusif untuk penonton di Malaysia di sepanjang bulan Ramadhan 1435H. 
kelihatan Sdr. Muadz Zulkifli (No 3) selaku pengacara Dokumentari Ayat Riwayat (bersama jemaah wanita rombongan kami).
1. Antara pengalaman paling berharga dan sukar dilupakan apabila berada di bumi Baitul Maqdis dan Jordan, kita boleh menjejaki lokasi dan kawasan-kawasan yang dikaitkan dengan para nabi dan rasul, keluarga dan sahabat Rasulullah s.a.w, auliya’  dan ulama. Biasanya maqam atau makam  mereka adalah bukti kewujudan mereka di situ.  Masyarakat secara umum sudah familier dengan kata makam itu adalah kubur. Sedikit pencerahan kepada pembaca, istilah  'makam' jika  yang membawa maksud perkuburan bagi para Nabi dan Rasul yang merujuk kepada  tempat perkuburan atau tempat jasad  Nabi atau Rasul  di semadikan hanya ada dua sahaja iaitu kubur Nabi Muhammad s.a.w di dalam Masjid Nabawi di Madinah dan kubur Nabi Ibrahim a.s yang terdapat dalam kawasan Masjid Khalil  Rahman, Hebron, Israel. Setiap orang Islam percaya bahawa semua nabi dan rasul telah mati kecuali empat orang iaitu Nabi Isa a.s. dan Nabi Idris a.s., di mana mereka berdua diangkat naik ke langit dalam bentuk jasad dan roh, manakala Nabi Khidir a.s dan Nabi Ilyas a.s masih hidup dan berada di bumi.  Sesetengah riwayat menyatakan  selain dari Nabi Muhammad s.a.w dan Nabi Ibrahim a.s, nabi-nabi dan rasul lain tidak diketahui di manakah jasad mereka disemadikan. Oleh itu bilamana sesuatu tempat kedapatan makam misalnya  makam Nabi Daud a.s, Nabi Shuib a.s, Nabi Musa a.s dan sebagainya, bererti tempat tersebut bukanlah kubur nabi-nabi tersebut, tetapi  bermaksud  tempat itu pernah disinggahi oleh para nabi dan sahabat,  yakni  bukanlah mereka wafat di situ.  Bagaimanapun, sekiranya ada para sarjana dan sejarahwan mengenalpasti makam itu adalah perkuburan (tomb) misalnya perkuburan Nabi Ishak a.s dan Nabi Yaakub a.s yang dikebumikan di bawah Masjid al-Khalil Rahman Hebron, maka benarlah dakwaan tersebut.  Untuk tujuan menyebarkan dakwah dan mengajak manusia yang sesat mengenal Islam serta   berada dekat pada Tuhan, seorang Nabi dan Rasul  mesti bermobiliti  (berhijrah) ke sesuatu tempat dan mendiami di situ pada suatu jangkamasa. Maka di situlah penduduk tempatan mendirikan makam atau tanda atau binaan menyatakan bahawa sesebuah kawasan tersebut pernah didiami atau disinggahi oleh para rasul, nabi dan sahabat.  Pada sesetengah tempat pula, terdapat di kalangan mereka yang menganggap binaan itu adalah kubur, lalu di puja sebagai keramat. Untuk mengelak dari perkara syrik itu berleluasa, pihak berkuasa pada hari ini mendirikan sebuah masjid atau surau di situ supaya kemuliaan makam tersebut terpelihara.

2. Makam Nabi Daud terletak di Mount Zion di Baitul Maqdis, iaitu  tempat suci bagi penganut agama Islam, Yahudi dan Kristian. Dalam kawasan itu juga terdapat dewan makan Nabi Isa a.s atau apa yang dikenali  Bilik Makan Terakahir atau The Last Supper.  Asalnya  Makam Nabi Daud   di bina di dalam masjid khusus untuk umat Islam. Tetapi selepas Perang Arab Israel 1967, kompleks bangunan tersebut dikuasai sepenuhnya oleh Yahudi.  Untuk masuk ke situ pengunjung akan melalui pintu dikenali  Babul  Nabi Daud, atau Zion Gate. Pintu itu  adalah pintu terakhir pertahanan orang Islam ketika tentera Yahudi cuba menawan Baitul Maqdis. Lubang-lubang di pintu ini ialah bekas tembakan peluru dalam Peperangan Arab - Israel Tahun 1967.


 Zion Gate - Lubang-lubang di pintu ialah bekas tembakan peluru dalam Peperangan Arab - Israel Tahun 1967

pintu masuk ke makam.

pengunjung lelaki disyaratkan memakai kippah atau topi bagi menghormati makam Nabi Daud


seorang yahudi orthodoks sedang ritual di luar makam

sedang kyusuk membaca kitab Torah (Taurat) atau Tanakh Ibrani

inilah makam Nabi Daud - dikuasai sepenuhnya oleh Yahudi. Pengunjung perempuan  ritual disebalik dinding.



Info mengenai Dewan Makan Terakhir bagi Nabi Isa a.s

replika pokok zaiton 3 cabang  (pokok zaiton adalah simbol kedamaian sejagat)  yang mewakii 3 agama semawi dengan harapan hidup bersama penuh  kedamaian di antara penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi di hadiahkan oleh pihak  Vatican City


Mehrab yang dibina oleh Salahudin Al-Ayubi sebaik sahaja tentera Islam menawan Baitul Maqdis di dalam Dewan Last Supper
mimbar yang dibina oleh Salahudin


Seni bina dan seni hias dalam Dewan the Last Supper

Foto google The Last Supper vesi Kristian (Vesi Islam - Nabi Isa a.s yang sedang diburu oleh tentera Rome yang beragama majusi mendapat maklumat dari simunafik Johada yang berpaling tadah memberi maklumat Nabi Isa a.s sedang makan di dewan. Tentera Rom tidak mengenali Nabi Isa. Johada memberi isyarat, orang yang menjawab salam beliau  itu adalah Nabi Isa a.s. Tetapi kuasa Allah swt telah menukarkan rupa Johada kepada rupa Nabi Isa a.s dan rupa Nabi Isa menjadi rupa Johada. Tentera Rom tangkap  'Nabi Isa'  lalu salibkan di tiang. Sebaliknya Nabi Isa a.s diangkat ke langit oleh Allah swt.


Tulisan Bismillah masih terdapat di dinding dewan ini


salah satu tingkap hiasan kaca yang mempunyai 3 simbol agama semawi yang terdapat di dewan



patung 'David' yang sedang memetik sejenis kecapi tersergam di luar bangunan di Mt. Zion. Mereka percaya David mempunyai suara yang sangat merdu.


3. Daud ialah nabi dan raja Bani Israel. Semenjak masih muda telah menyertai tentera Bani Israil di bawah pimpinan Thalut melawan pasukan bangsa Palestin yang dipimpin Jalut (Goliath). Malahan Nabi Daud yang membunuh Jalut, sehingga dipuji sebagai pahlawan perang. Setelah Raja Thalut meninggal, Nabi Daud menggantikannya sebagai raja. Allah SWT mengangkat Daud sebagai nabi dan rasul-Nya. Kepadanyalah diturunkan kitab Zabur. Nabi Daud a.s adalah orang yang membangunkan kota Baitul Maqdis. Bagaimanapun, baginda terlebih dahulu wafat pada usia 100 tahun dan digantikan  dengan putera baginda Sulaiman yang turut diangkat menjadi  Nabi  dan Raja. Beliau memiliki sejumlah mukjizat, seperti suara yang merdu, kecerdasan akal, mengerti bahasa burung. Dikatakan ketika Baginda membaca kitab Taurat, semua makhluk dan burung dan berhenti bergerak dan mendengar bacaan tersebut. Kerana kandungan kitab sangat menghayatkan hati, ada di antara pendengar yang mati kerana terlalu sedih mendengar bacaan tersebut. Baginda juga dianugerah mukjizat kelebihan tangannya melentur besi.

4. Nabi Daud seorang yang sangat tekun melakukan ibadat solat dan puasa. "Puasa yang paling disukai di sisi Allah SWT adalah puasa Daud a.s dan solat yang paling di sukai Allah swt  adalah solat Nabi Daud a.s. Baginda  biasanya tidur di pertengahan malam dan bangun pada sepertiga malam terakhir dan baginda  tidur lagi pada seperenam malam terakhir. Dan baginda biasanya berpuasa sehari dan berbuka sehari.”

5 Kisah Nabi Daud Dengan Ulat
Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud a.s sedang duduk dalam surau sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah Lalu Nabi Daud a.s berkata pada dirinya, "Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?" Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud a.s "Wahai Nabi Allah! Allah swt telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca 'Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar' setiap hari sebanyak 1000
kali



dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku supaya membaca 'Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim' setiap malam sebanyak 1000 kali.


Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud a.s. "Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?" Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah swt. maka Nabi Daud a.spun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah swt  Begitulah sikap para Nabi A.S. apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah swt.



Seterusnya kami menuju ke Hebron yang terletak 30 km selatan Baitul Maqdis untuk ziarah maqam  Nabi Ibrahim a.s. dan isteri-isterinya.

Untuk membaca siri sebelum ini, baca   SIRI 6 DI SINI



No comments:

Post a Comment