Saturday 5 July 2014

KUANTAN & PAHANG DALAM MEMORI



1. Alhamdulillah, penulis lafazkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana puteri kesayangan telah mendapat keputusan peperiksaan semester terakhir yang baru diumumkan menerusi website pada hari ini oleh pejabat Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus  Bandar Indera Mahkota. Keputusan tersebut  bagi penulis sudah lebih dari cukup untuk membolehkan beliau melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di University of  Sheffield  UK kerana semua syarat universiti dan penaja telah dipenuhi. In sha Allah beliau akan berangkat ke sana pada 23 September nanti. Tahniah dan terima kasih kepada puteriku di atas kejayaan itu.Terima kasih juga kepada para pensyarah, warga kerja UIAM, pentadbir Mahalah Maimunah dan seterusnya kepada semua warga siswa UIAM di atas pertolongan dan kerjasama yang diberikan.

2. Kunjungan ke Kuantan  Pahang baru-baru ini untuk membawa anak pulang setelah tamat pengajian menyegar semula memori penulis terhadap bandar dan negeri tersebut. Sekitar tahun-tahun 1960-an sehingga 1980-an penulis merasakan Kuantan & Pahang adalah suatu destinasi yang jauh. Bagi kebanyakan penduduk di Utara Tanah Air, mereka mungkin ke Kuantan  sekiranya terdapat urusan  mustahak seperti jemputan kenduri, perkahwinan anak atau kematian saudara atau teman terdekat yang dilansungkan di situ. Ketika waktu itu, perjalanan dari Alor Setar   ke Kuantan mengambil masa berbelas, malah berpuluh  jam kerana belum ada perkhidmatan bas ekspres Alor Setar ke Kuantan. Penulis pernah dengar terdapat sebilangan orang Kedah yang telah diambil sebagai peneroka tanah FELDA di beberapa buah rancangan tanah tersebut di Pahang. Khabarnya mereka hanya  pulang  ke Kedah pada hari raya . Kesukaran mendapat pengangkutan awam menyebabkan ada yang berani menunggang motorsikal   honda EX5 (plate Pahang),  balik ke Kedah. Sekali sekala  ada juga orang kampong penulis mengikuti rombongan melancong ke Cameron Highland, iaitu sebuah daerah Negeri Pahang yang terletak dekat dengan Negeri Perak.

3. Penulis mula mengenali lebih dekat Kuantan & Pahang apabila penulis berhijrah ke Kuala Lumpur, belajar di Yayasan Anda Akademik  (YAA) pada tahun 1975. Terdapat ramai pelajar yang menyambung pelajaran di YAA berasal dari negeri Pahang terutama dari daerah Bentong, Mentakap, Jengka, Temerloh, Maran dan sebagainya. Kebanyakan mereka menyewa rumah atau bilik. Ada yang menumpang di rumah saudara mara. Selalunya apabila bila kami berkesempatan, kami berborak mengenai kampong halaman. Pernah berlaku pertengkaran kecil di antara kami berkaitan isu negeri siapa yang lebih maju. Rakan sekelas yang berasal dari Negeri Sembilan menyindir rakan dari Pahang dengan menyatakan negeri Pahang masih mundur berbanding dengan negeri beliau. Beliau memetik lirik lagu 'Joget Pahang' nyanyian P.Ramlee sebagai bukti...
                   Negeri Pahang aman sentosa
                   Kaya dengan tumbuh-tumbuhan....
Ha..! kaya dengan tumbuh-tumbuhan....? itu 'hutan'lah maknanya, itu 'mundur'lah maknanya. Kami semua ketawa mendengar hujah  provokasi yang lucu tersebut.

4. Semasa penulis berhijrah kali ke-2 ke Kuala Lumpur pada tahun 1988, mengajar di YAA Jalan Pantai Baharu, masih kedapatan ramai pelajar dan tenaga pengajar YAA berasal dari negeri Pahang.  Hampir kesemuanya tingal di Asrama YAA Kampong Kerinchi. Kali ini penulis sudah mula menjelajah negeri Pahang apabila penulis membawa keluarga melancong ke Genting Highland, Bukit Fraser atau mandi manda air terjun di Kawasan Perkelahan Lintang  Karak pada hujung minggu. Penulis juga pernah membawa sebilangan pelajar Tingkatan 6 menyertai ekspedisi menjelajah Semenanjung Malaysia. Ekspedisi menaiki van itu bermula dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Baharu, seterusnya dari KotaTinggi- Mersing - Ke Pekan-Kuantan dan berehat dua malam di Kota Bharu. Dari Kota Bharu melalui Grik kami  ke Pulau Langkawi dan balik ke Kuala Lumpur. Peserta ekspedisi  termasuklah Saudara Farid Wajdi, Ngah Liba, Noor Azam dan empat lima pelajar lagi  yang penulis sudah lupa. Penulis juga pernah membawa pelajar YAA menyertai  program rehlah di Bukit Fraser dan menginap di Banglo Agrobank. Kadang kala penulis dan  Guru Ekonomi YAA iaitu Cikgu Mustafa Kassim pernah dijemput memberi ceramah Geografi dan Ekonomi pada Seminar Peperiksaan  STPM anjuran beberapa buah sekolah seperti SMK Sulaiman di Bentong dan SM Mahmod di Raub. Untuk sampai ke destinasi tersebut, kami melalui jalanraya  yang berliku-liku kerana LPT belum siap. Ketika memandu dalam deretan kereta memanjang menyusur jalan berbukit  Cikgu Mustafa selalu memberi laluan kepada kereta mewah untuk memotong kereta Ford beliau kerana menurut Cikgu Mustafa kereta tersebut adalah kereta kerabat raja Pahang yang juga 'raja jalan raya'. Cikgu Mustafa kerap membeli buah durian di tepi jalanraya berhampiran Lembah Bilut - Bentong setelah selesai program tersebut

 5. Berbalik kepada kisah UIAM Indera Mahkota. Apabila anak penulis dapat tawaran belajar di UIAM, penulis merasakan itu suatu destinasi yang jauh. Semua ibu bapa mengharapkan anak mereka dapat belajar di IPT yang berhampiran dengan kediaman masing-masing. Alasan - senang memantau dan boleh kerap melawat anak. Misalnya anak bongsu penulis yang dapat tawaran belajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang cuma dua km dari rumah kami.  Tetapi disebabkan penulis sudah mempunyai rekod yang mencatatkan hampir kesemua anak-anak belajar jauh, maka lokasi Kuantan tidaklah dianggap sebagai cabaran besar. Misalnya anak penulis ada yang pernah belajar di UTM Sekudai, Uitm Kampus Samarahan dan UTeM Melaka selain UM dan Unisel.

kami isi petrol kat sini


jambatan Sungai Pahang melalui LPT


R&R Temerloh

6. Sepanjang empat tahun anak penulis berada di sana, kami telah berkunjung ke Kuantan tidak kurang enam kali. UIAM terletak  kira-kira tujuh km dari pusat bandar Kuantan atau cuma dua km dari Kuantan Sentral Terminal yang baru di buka. Seringkali kami tersasar kerana jaringan jalanraya yang agak padat di Kuantan. Sebagai bandar terbesar di Pantai Timur, Kuantan lebih besar dan hebat berbanding dengan Alor Setar atau Kangar. Seperti 'orang kampong' yang lain, kami berkelah di Pantai Teluk Chempedak - destinasi yang ideal untuk bersantai pada hujung minggu dengan pantainya yang nyaman dan redup.  Kami pernah bermalam di sebuah chalet ala Bali di Pantai Balok yang agak meyeramkan kerana hampir tidak ada penginap pada malam  itu.


Pantai Telok Chempedak yang tidak pernah berubah walaupun bah besar baru-baru ni. Lagi satu, setiap kali kami sampai mesti bendera merah naik !!!


kami selalu singgah makan di restoren ni. Laksa Pahang tidak ada kat sini




 7. UIAM kini memiliki lima kuliyyah atau fakulti dan setiap kulliyyah memiliki bangunan tersendiri kecuali Kulliyyah Kejururawatan atau Kulliyyah of Nursing (KON) yang bergabung dengan Kulliyyah of Medicine KOM). Empat lagi  Kulliyyah of Dentistry (KOD), Kulliyyah of Pharmacy (KOP), Kulliyyah of Allied Health Sciences (KAHS) dan Kulliyyah of Science (KOS).  Kulliyyah of Medicine   UIAM    merupakan titik tengah kampus kerana KOM adalah landmark. Di situlah terdapatnya semua pejabat pentadbiran, dewan peperiksaan  dan pernah menjadi Masjid Universiti (kini  surau KOM). Kemudahan lain ketika itu ialah kafe, kiost, koperasi UIAM, mesin ATM, pejabat pos mini dan sebagainya. Kini pejabat pentadbiran telah berpindah ke bangunan baru  Bangunan Canselori yang tersergam indah. Kampus UIAM kini hampir siap sepenuhnya. Penulis menjangkakan UIAM Indera Mahkota akan menjadi satu universiti yang benar-benar hebat apabila Hospital Universiti UIAM yang sedang dalam proses pembinaan siap diguna pakai pada tahun 2016 nanti. Bangunan lain yang baru siap dibina dan telah di duduki termasuklah One Stop Student Centre, Office Security Management dan Centre Facilities Sisters dan IIUM Kuantan Library.




Mahalah Maimunah - aman dan damai
Masjid Sultan Ahmad Shah UIAM Kuantan (penulis di antara jemaah yang terawal solat maghrib di situ sebaik sahaja bangunan siap di guna)

penyelesaian kepada masalah transport dalam kampus

ada lagi 3 kotak besar kat atas (khazanah 4 tahun yang nak dibawa balik...)







Beberapa info tambahan


  • Rakan fb yang berhasrat untuk melihat anak berjaya di dalam kedua-dua bidang yakni sebagai seorang doktor yang juga penghafal al-Qur'an (Tahfiz) cubalah  memasukkan  anak anda ke sekolah berasrama bantuan penuh kerajaan (seperti Sekolah Menengah Sains, Sekolah Menengah Integrasi) dan lulus SPM pangkat paling cemerlang. Kemudian, daftarkan mereka di Sekolah Tahfiz Darul Qur'an di Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu, Selangor. Selesai hafaz 30 juz, daftarkan pula mereka menyambung pelajaran dalam bidang perubatan, pergigian , sains dan sebagainya di UIAM  kerana UIAM dan Darul Qur'an ada MOU bagi pelajar Darul qur'an sambung belajar di UIAM.   Pengambilan Pelajar Baru Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Darul Quran Jakim–Uiam Sesi 2015-2016
    Darul Quran Jakim mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk mengikuti Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran, JAKIM-UIAM.
    Pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian sijil tahfiz al-Quran di Darul Quran Jakim dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan akan mengikuti pengajian dalam bidang profesional di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
    SYARAT-SYARAT PERMOHONAN:
    1. Warganegara Malaysia yang belum berkahwin,
    2. Lulus Peperiksaan Percubaan SPM 2014 dengan mendapat gred A bagi mata pelajaran Matematik dan gred B bagi mata pelajaran berikut ;
    Bahasa Melayu
    Bahasa Arab
    Bahasa Inggeris
    Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah / Pendidikan Syari’ah Islamiah /
    Pendidikan Islam / Tasawwur Islam
    Biologi
    Fizik
    Kimia
    Matematik Tambahan
    3. Keutamaan diberikan kepada calon yang masih belum menghafaz 30 juzuk al-Quran.
    CARA MEMOHON:
    Borang Permohonan hendaklah diisi dengan lengkap secara atas talian (on-line) di laman sesawang Darul Quran.
    http://www.darulquran.gov.my
    (Borang perlu dicetak dan dibawa semasa sesi temuduga)
    TARIKH TUTUP PERMOHONAN:
    Tarikh tutup permohonan pada hari Rabu, 15 Oktober 2014.
    • UNTUK KETERANGAN LANJUT SILA HUBUNGI:
    Unit Pengambilan Darul Quran Jakim di talian: 03-6063 5323 / 5349 / 5351.
    • MAKLUMAN:
    Pemohon boleh menyemak keputusan permohonan di laman sesawang Darul Quran pada 20 Oktober 2014 (Isnin)
    Maklumat lanjut BACA DI SINI
  • Semua pelajar perubatan, pergigian dan farmasi UIAM layak mendapat biasiswa  JPA




No comments:

Post a Comment