Saturday, 26 April 2014

KUNJUNGAN KE BAITUL MAQDIS - SIRI 4.0 : QUBAH ASH SHAKHRA




1. Hotel Metropole terletak di Jalan Salahuddin Al-Ayubi,  Baitul Maqdis popular dalam kalangan penginap dari Malaysia. Hotel bertaraf  tiga bintang mempunyai lima aras dan terdapat  restoran di aras bawah. Lokasinya amat strategik kerana berhampiran kota lama Baitul Maqdis. Selain rombangan kami, terdapat lima staf krew stesen TV Al-Hijrah yang sedang membuat pengambaran   dokumentari  "AYAT RIWAYAT' yang akan disiarkan stesyen tv tersebut pada bulan Ramadhan nanti. Di samping itu, terdapat kira-kira 70 orang "jemaah haji Kristian" dari negara Afrika Selatan turut menginap di situ. Mereka sedang melakukan ibadat 'haji dan ziarah'. Jarak dari  hotel ke pintu masuk Herod's Gate ialah kira-kira 200 meter, manakala dari Herod's Gate ke pintu masuk kawasan al-Haram as-Sheriff ialah kira-kira 800 meter.
cabaran iman - nak terus landing di atas tilam empok dengan selimut tebal  atau berjalan kaki  meredah gerimis pagi dengan  suhu sekitar 7 darjah Celsius  untuk solat fardhu Subuh di Masjid al Aqsa!!

ruang lobi hotel 

penulis bersama krew  dari stesyen TV Al-Hijrah Malaysia

2. Setelah check in, rombongan kami berjalan kaki ke Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat fardhu Zohor dan Asar. Sepanjang perjalanan, pelbagai perkara menarik yang kita tidak pernah saksi di tanah air, kedapatan di situ. Apa yang lebih menarik adalah perjalanan dari pintu Herod's Gate ke pintu masuk al-Haram-as Shariff, kami melalui satu lorong seolah-olah kami berada di zaman Rom-Byzantium
Pintu Kota Baitul Maqdis - Herod's Gate terkenal kerana pernah menjadi laluan tentera Salahudin Al-Ayubi menawan Kota Baitul Maqdis dan laluan Moshe Dayan dan Yitzhak Rabin  Panglima Perang Israel yang mengibar bendera Israel di Masjid Al-Aqsa Baitul Maqdis pada Perang Six Day 1967 .

Kota purba ini dikelilingi oleh tembok yang ada mencecah setinggi 35 meter dengan ketebalan antara 10 hingga 15 meter. Keluasan kota lama ini kira-kira  1500  hektar yang di dalamnya terdapat al-Haram as-Shariff yang luasnya 35 ekar. Al-Haram as- Shariff ini juga adalah salah satu dari taman-taman syurga. Dikatakan berada di situ  teramat rasa kedamaian meskipun dikuasai sepenuhnya oleh tentera Zionis.
Aerial Foto - kawasan Kota Lama Baitul Maqdis dan sempadan al-Haram-as Shariff yang teletak Qubah ash Shkhra dan Masjid al-Aqsa

Ada kala mendaki dan ada kala menuruni cerun. Keesokan pagi (hari ke-2)  'team warga emas'  mengadu sakit lutut dan sakit kaki kerana menapak di lorong begini.

laluan  penduduk tempatan ke bazar, sekolah dan  tempat kerja

laluan terowong yang mencabar terutama waktu malam dan subuh

salah satu pintu premis (rumah) yang menarik seni binanya


Di sebelah dalam al-Haram as-Shariff - rombongan kami berhenti bagi membolehkan jemaah wanita mengambil wudhu.

3. Sebaik sahaja tiba di pintu masuk ke al-Haram as-Shariff, terdapat empat orang polis yahudi malaoun sedang bertugas. Mereka dilengkapi senjata M-16 dan memakai baju kalis peluru. Kami sekadar menjeling apabila melintasi mereka. Kami disapa; "muslim"!  Kami menjawab "yes"!.  Kira-kira 10 meter ke hadapan barulah kami melintasi kawalan polis Palestin yang ditugaskan mengawal al-Haram as-Shariff. Penulis memberi salam dan memperkenalkan kami dari Malaysia. Kami seterusnya melintasi satu taman yang diurus dengan baik dan terdapat pepohon  zaitun dan pain yang tumbuh dengan subur. Di beberapa sudut kedapatan pokok-pokok zaitun yang berusia beratus tahun, masih megah memayungi bumi. Sambil memegang buah zaitun, penulis membaca surah At-tin. Setelah  penulis memasuki ke perkarangan al-Haram as Shariff atau Al-Quds ini, penulis dapat menghayati kembali kegemilangan kerajaan Nabi Daud a.s, Nabi Sulaiman a.s, Nabi Zakaria a.s dan tinggalan sejarah yang memaparkan keagongan dan  keindahan seni bina Islam di bawah pemerintahan Kerajaan Umaiyah dan Uthomaniah seketika dahulu.

sambil memegang pokok zaitun, kami membaca Surah At-Tin

Inilah buah zaitun

rombongan kami bergambar di salah satu dari 7 pintu gerbang (lagi tujuh runtuh kerana gempa bumi)

hiasan bahagian siling kubah yang memukau mata memandang

seni bina masih utuh

kita boleh hulur tangan ke dalam lubang tersebut dan gagau hingga ke batu untuk menyapu  bekas tapak kaki Nabi Muhammad saw sambil memasang sebarang niat. Jari kita akan berasa amat wangi  setelah kita mengusap bekas  tapak kaki Rasulllah saw pada batu tersebut.

4. Kami mendaki anak tangga untuk ke dataran Qubah as-Sakhra. Subhanallah cantiknya.  Meskipun, panorama kaki langit kota lama Baitul Maqdis dipenuhi dengan berbagai bentuk menara atau kubah-kubah kuil, temple atau gereja serta beberapa artifak dan monumen-monumen yang amat mempersona dan menggagumkan. Namum, Qubah ash-Sakhralah yang paling cantik dan paling istimerwa. Saingan kepada Qubah ash Sakhra ialah kubah dan menara Russian Church of Maria Magdelena yang dibina oleh Raja Rusia Tsar Alexander II pada tahun 1886. Tetapi saiz kubahnya lebih kecil. Pemandangan Qubah ash Sakhra lebih menggetarkan jiwa apakala sinaran matahari yang memanah kepada lapisan  emas terpilih yang menyaluti permukaan kubahnya dan memantul cahaya kepada mata.....aduh ! Lidah kelu tidak dapat bicara betapa cantiknya wajahmu as sakhra.

Tiada kata secantik bahasa
Untuk ku puji  ash shakhra
Tiada gambar secantik lukisan
Nak ku tunjukkan perasaan.......
Para sahabat, percayalah
Mata kita tidak akan jemu-jemu memandang
Kecantikan ash shakhra
Subhanallah......
Sebelum nyawa diambil oleh Malaikat Maut
atau sebelum bumi Al-Quds dihancurkan Israel
ziarahlah Al-Aqsa dan Ash Shakhra.


Begitu juga pada waktu malam, sinaran lampu pada kubahnya mengalah kecantikan cahaya yang menghias langit malam  berlatarkan Menara Eiffel di Paris, Shanghai Tower atau Menara Kembar Petronas.

Gambar The Russian Church  dan Qubah ash Shakhra dari Gunung Zaitun (foto google)


Qubah ash Shakhra pada waktu malam 


pintu masuk ke'gua' yang terletak di bawah batu. Dalam cermin adalah pemandangan bahagian atas batu

siling batu yang dilihat dari dalam 'gua'


tempat berehat Rasulullah saw setelah mendirikan solat sunat di bawah batu.

setengah ulamak mengatakan tempat ini amat mustajab berdoa

selepas Nabi saw turun dari buraq, baginda solat bersama 124,000 nabi dan Rasul,, kemudian baginda masuk ke bawah batu ash shakhra melakukan solat sunat dan berehat.

tiang perancah dipasang ketika kerja-kerja perkukuh kubah supaya tidak runtuh 

mihrab yang terdapat di dalam Qubah ash Shakhra
5. Kawasan tanah suci al-Haram as-Sharif (seperti pada peta ) terletak di atas puncak Gunung Moriah yang telah diratakan beberapa kali oleh pemerintah terdahulu,  terdiri dari bangunan Qubah ash Shakra atau kubah batu atau  Dome of the Rock, Masjid al Aqsa, Masjid Umar, Masjid Buraq dan beberapa binaan kecil lain merupakan tanah suci bagi umat Islam, Kristian dan Yahudi. Masjid al-Aqsa merupakan masjid tempat persinggahan Nabi Muhammad saw dalam Peristiwa Israq dan Miraj dan menjadi qiblat umat Islam yang pertama.  Bagaimanapun, ramai dikalangan umat Islam dan bukan Islam yang menganggap Qubah ash Sakhra itu adalah Masjid al Aqsa. Sebenarnya, Qubah ash Shakhra hanyalah  berupa satu binaan untuk menutup seketul batu boulder besar yang pernah dipijak oleh Nabi Muhammad s.aw dan malaikat Jibrail sebelum  menaiki kenderaan buraq yang membawa baginda s.a.w ke Sidratul Muntaha. Setengah riwayat menyatakan batu tersebut adalah batu dari syurga dan ada yang mengatakan batu tersebut adalah batu tergantung yang ingin mengikut baginda Rasulullah saw bermikraj ke langit tujuh tetapi dihalang oleh Malaikat Jibrail, maka batu tersebut tergantung.  Dikatakan batu tersebut adalah batu dari syurga kerana terdapat satu hadis Nabi Muhammad s.a.w bermaksud " Sesiapa yang gembira melihat batu syurga, lihatlah batu di Baitul Maqdis".




6. Pada tahun 685M Khalifah Bani Umaiyah yang tersohor, Abdul Malik Marwan telah memerintah pembangunan Qubah ash Shakra bagi melindungi batu tersebut dan pengunjung dari cuaca panas terik di musim panas dan kedinginan sejuk pada musim sejuk. Baginda telah melantik engineer/arkitek yang terkenal iaitu Raja bin Hayah  al-Kindi (dari Chechnya - Rusia) dan Yazid bin Salam (dari Al-Quds) bagi merekabentuk kubah yang lebih cantik dari bangunan-bangunan atau monumen keagamaan lain seperti menara Gereja Holy Sepulchre di Baitul Maqdis bertujuan supaya kaum muslim tidak terpesona dengan binaan bangunan-bangunan  agama lain.
Kubah Gereja Holy Sepulchre (foto google)

Baginda juga telah meleburkan wang emas sebanyak 10,000 dinar dimana emas yang lebur itu disalut pada bahagian luar kubah tersebut. Kerja-kerja pembinaan bermula pada tahun 69H dan siap pada tahun 75H. Dipercayai kubuh tersebut pernah mengalami beberapa kerosakan akibat kejadian gempa bumi. Pada kali terakhir Raja Hussien dari Jordan telah membaik pulih dan  mengecat semula serta  menyaluti lapisan atas  kubah tersebut dengan 80 kilogram emas terpilih dengan kos sebanyak US$6 juta.  

7. Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai Qubah ash Shakhra :-
  • Reka  bentuk ilham dari seni bina Arab, Rom dan Turki
  • Penggunaan banyak tiang bagi membentuk segi lapan (octagon)
  • Empat tiang menyokong kubah, manakala 12 tiang mengelilingi kubah membentuk octagon. Di antara dua tiang  ada tiga penyangga batu hiasan.
  • Sekeliling octagon ini dipasang 10 tingkap hiasan kaca berwarna warni bagi membolehkan kemasukan cahaya matahari dan ventilasi udara.
  • Bahagian dalam kubah di hiasi dengan tulisan/kaligrafi  emas yang dipetik dari ayat Kursi.
  • Di bahagian luar kubah terdapat ukiran seni Islam yang diperbuat dari tembaga. Terdapat tulisan khat yang bertulis ayat suci Al-Quran dari Surah Yaasin.
Kaligrafi Surah Yaasin - iaitu surah yang dibaca berulang-ulang kali oleh Khalifah Umar al-Khattab ketika baginda bemusafir bersama pembantunya dari Kota Mekah ke Kota Baitul Maqdis untuk menerima kunci kota tersebut dari Ketua Kristian Patriarch Sophronius yang telah tewas kepada tentera Islam yang dipimpin  oleh Abu  Ubaidah Al-Jarrah.
  • Setelah siap pembinaannya, Qubah ash Sakhra telah dijadikan masjid dan dibina mihrab.  Oleh itu, ia kenali sebagai Masjid Ash-Shakhra.  Penulis difahamkan Qubah ash Shakhra juga dijadikan tempat solat kaum muslimat ketika solat Jumaat, solat sunat Terawih di sepanjang bulan Ramadhan dan solat sunat Hari Raya Aidil-Fitri dan Aidil-Adha pada masa kini. Oleh itu, binaan itu juga dinamakan Masjid an Nissa.
  • Dataran yang seluas lima ekar di bahagian luar Qubah ash Shakhra dipenuhi dengan berpuluh-puluh binaan berupa mihrab, telaga air (tujuan air wuzuk), kubah mini, mimbar, pintu gerbang dan sebagainya (penulis akan perihalkan satu persatu binaan tersebut dalam entri yang akan datang).
  • Mengenai batu tergantung yang dikatakan terdapat di dalam Qubah ash Shakhra, penulis berpendapat pembaca rajin-rajin search dalam google kerana tidak ada hadis sahih yang perihal kisah batu tergantung tersebut.
  • Semasa tentera Salib merampas ash Shakhra dari Islam, mereka bukan sahaja membunuh orang Islam malah telah menukar ash Shakhra menjadi gereja dan diletakkan patung dan simbol salib di bahagian dalam dan luar bangunan tersebut. Tetapi setelah hampir seratus tahun, tentera Islam pimpinan Salahuddin al Ayubi berjaya menawan kembali as-Shakhra dan membersihkan dari patung dan lambang syirik tersebut dan dijadikan  semula  masjid hingga ke hari ini. 


Teruskan bacaan anda dalam  SIRI  5.0 DI SINI  atau balik ke SIRI 3 DI SINI

No comments:

Post a Comment