Friday 11 April 2014

"AYAH, IBU BIMBINGLAH ANAKMU"

foto hiasan



Muslimin Yang DiRahmati Allah;

Di kesempatan berada pada hari Jumaat  yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala larangnNya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah swt di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari akan menyampaikan khutbah bertajuk :  "AYAH , IBU BIMBINGLAH ANAKMU”.

Muslimin Yang diRahmati Allah,

Anak adalah anugerah Allah yang tidak  ternilai bagi mereka yang telah berumah tangga. Sedetik kedengaran tangisan bayi yang dilahirkan, jutaan kesyukuran yang tidak terhingga kerana telah diberi nikmat dan peluang oleh Allah swt untuk bergelar sebagai seorang ibu dan bapa. Azan dan iqamah dilaungkan agar kalimah pertama yang didengari oleh sibayi adalah kalimah yang suci. Mudah-mudahan anak yang telah dikandungkan isteri menjadi anak yang teguh ikatan tauhidnya. Namun, tanggungjawab ibu bapa tidak terhenti setakat itu sahaja kerana anak-anak sentiasa memerlukan bimbingan ibu bapa. Jangan biarkan anak-anak merintih kepada ibu bapa untuk dibimbing kerana sebenarnya itulah tanggung jawab ibu dan bapa.


foto hiasan - kanak-kanak arab  yang comel berhampiran maqam Nabi Shuib di Jordan

Hadirin yang dihormati sekalian,

Hari ini dengan teknologi yang serba canggih, maka peranan ibu bapa sangat mencabar. Pelbagai permasalahan sosial kedengaran berlaku dikalangan anak-anak remaja terutamanya. Petikan daripada akhbar arus perdana bertarikh 13 Ogos 2013 menunjukkan bahawa bilangan kanak-kanak atau remaja perempuan bawah umur yang hamil luar nikah mencatat penigkatan mendadak, apabila sebanyak 191 kes  dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun berkenaan. Sepanjang tahun 2011 statistik yang telah dikeluarkan  oleh Jabatan  Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 204 kes kanak-kanak atau remaja bawah umur hamil dirujuk kepada  pihak mereka. Manakala pada tahun 2010 sebanyak 172 kes dilaporkan. Ini menunjukkan telah berlaku peningkatan dari tahun ke tahun dan keadaan ini sangat membimbangkan kita terutamanya sebagai ibu bapa.

Rentetan daripada hal ini, semakin banyak rumah perlindungan dan pemulihan diwujudkan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan. Walau semakin banyak rumah-rumah ditubuhkan, namun perkara yang sangat menyedihkan adalah apabila ruang yang ada turut tidak mencukupi untuk menempatkan remaja-remaja ini. Apakah maksud disebalik semua ini? Marilah kita renungi bersama-sama.

Sidang Jumaaat Yang DiRahmati Allah sekelian,

Islam telah memberikan garis panduan yang sangat cantik dalam mendidik dan membimbingng anak-anak. Semuanya terletak ditangan kita, sama ada untuk mencorakkan anak tersebut menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana hadis yang meriwayatkan oleh Imam al-Bukhori dari Abu Hurairah r.a. bermaksud;
Rasulullah bersabda : Setiap anak yang dilahirkan adalah berkeadaan fitrah (suci), maka ibu bapanyalah yang menentukan anak itu yahudi, atau nasrani atau majusi “.

Hadis di atas jelas menerangkan bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah fitrah. Maka di sini ibu bapa bertanggungjawab memberikan pendidikan, membesarkan dan mempertahankannya dalam keadaan tauhid yang suci, kelakuan yang mulia, sifat-sifat rohani yang baik serta adap-adap syariat yang murni.

Khatib di sini ingin berkongsi dua garis panduan kepada kita sebagai  ibu bapa dan bakal bergelar ibu bapa dalam usaha mendidik dan membimbing anak-anak untuk kita amalkan dalam kehidupan berkeluarga iaitu:-

1.       Pendidikan dengan menunjukkan contoh teladan

Marilah kita bersama-sama menanamkan dalam diri kita dan anak-anak dengan menjadikan Rasulullah  s.a.w.sebagai teladan utama sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21;
Yang bermaksud, “demi sesungguhnya, adalah bagi kamu diri Rasulullah itu adalah contoh teladan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik)  hari akhirat, serta ia pula mennyebut dan menginggati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

Ayat ini jelas mmenunjukkan bahawa dalam kehidupan ini, contoh teladan yang terbaik adalah Rasulullah saw, sekiranya kita ingin mencapai keredhaan Allah. Rasulullah saw telah memberikan contoh yang baik kepada umatnya, bukan sahaja dalam mennyampaikan dakwah kepada umatnya, tetapi dalam segenap aspek kehidupan terutamanya dalam konteks mendidik anak seperti mana contoh didikan terhadap Saiditina Fatimah anaknya.

Ibu bapa juga sebagai individu pertama yang dilihat pada pandangan mata anak-anak sejak dilahirkan sehingga mereka kenal erti kehidupan. Justeru, ibu bapa perlulah menjaga dari segi akhlak, ibadah dan sebagainya, seperti mana yang telah diajar oleh baginda s.a.w agar anak-anak tidak membesar dalam keadaan keliru. Ini kerana anak-anak biasanya belajar melalui proses pengulangan berdasarkan apa yang mereka dengari dan lihat. Mereka belajar pada mulanya melalui cara peniruan sebelum mereka betul-betul dapat memahami sesuatu perkara. Satu perkara yang membimbangkan jika rakaman diminda mereka melalui proses tersebut adalah sesuatu yang negatif. Bayangkan apakah hasilnya?

Sidang Jumaat yang DiRahmati Allah Sekalian
               
2.       Pendidikan dengan pemerhatian dan pengawasan.
Ada perpatah menyatakan;  “sayangkan anak tangan-tangankan”. Jika ungkapan ini diterjemahkan dalam kehidupan dengan cara yang salah, maka anak-anak akan semakin hari semakin rosak. Akibat terlalu sayangkan anak, ada ibu bapa yang memberi kebebasan seluas-luasnya kepada anak kerana tidak mahu mereka merasa terkongkong sehingga ‘sudah terhantuk baru terngadah”  seperti perangkaaan statistik yang telah kita berkongsi bersama tadi.

Ikutlah garis panduan yang telah ditetapkan dimana perhatian dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak sangat penting ditekankan dalam Islam. Bersikap ambil beratlah dengan siapa anak kita berkawan agar anak-anak tidak memilih kawan kerana selangkah anak-anak kita tersalah, mungkin tangisanlah yang berkesudahan.
Foto hiasan : sekumpulan  remaja Palestin berhampiran Maqam Nabi Yunus a.s. di Hebron Baitul Maqdis

Memandangkan dunia semakin moden dan teknologi semakin canggih, kanak-kanak seusia lima tahun juga sudah asyik dengan peralatan elektronik masing-masing. Tiada lagi riuh pikuk anak-anak bermain guli, batu seremban dan sebagainya seperti zaman dahulu. Maka sebagai ibu bapa hendaklah kita memantau eksplorasi anak-anak di dunia fantasi apabila berhadapan dengan facebook, youtube, twitter dan sebagainya agar tidak terus membesar dalam keadaan lalai dan alpa.

Muslimin Yang DiRahmati Allah
Sebagai ibu bapa dan bakal bergelar ibu dan bapa, marilah sama-sama kita meletakkan kemurkaaan Allah swt di hadapan mata, jika kita cuaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini. Jika menginggati bahawa seksa di dalam jahaman sangat dashyat menanti  jika kita tergolong dikalangan orang yang melalaikan tanggung jawab membimbingkan anak-anak.  Sesungguhnya setiap sesuatu perkara yang dipertanggungjawabkan ke atas kita di muka bumi ini akan dipersoalkan.

Firman Allah swt surat Nahli ayat 93 : yang bermaksud “dan sesungguhnya  kamu akan ditanya kelak tentang apa yang telah kamu kerjakan”.            

    
 Khutbah Jumaat Masjid At-Taqwa Lahar Yooi, Tasik Gelugor, SPU Pulau Pinang yang dibacakan oleh Tuan Hj. Haroon bin Hj. Shafie pada 11/4/14.

Tuan Haji Haroon b. Shafie - Imam 1 Masjid At-Taqwa di hadapan Kubah as-Shakrah Baitul Maqdis



No comments:

Post a Comment