Sunday, 18 September 2016

LAWATAN KE HONG KONG Part 2 - DARI KOWLOON KE HONG KONG ISLAND



PANORAMA DARI THE PEAK YANG MEMPERSONAKAN


BACA PART 1 DI SINI



1. Pada hari Ke-2 di Hong Kong, kami telah dapat menyesuaikan diri dengan segala cabaran yang sering dihadapi oleh para musafir bila berkunjung ke negara orang kafir. Sebenarnya banyak cabaran buat pengembara muslim, terutama dari kategori backpacker. Mungkin cabaran tersebut tidak banyak dialami jika menggunakan perkhidmatan agensi atau pakej pelancongan. Sebab itulah Allah SWT memberikan ganjaran yang istimewa kepada para musafir. Mereka dianugerahkan peluang untuk melakukan solat jamak dan  solat qasar. Malah, doa orang yang bermusafir diangkat terus oleh Allah sebagai doa yang mustajab. Terdapat berbagai hikmah disebalik musafir tersebut sepertimana kata Iman Asy Syafie Rahimahullah; "Setiap mereka yang musafir atau berhijrah akan mendapat lima kebaikkan :-

  • Jika dia memerhatikan ciptaan Allah di tempat itu dengan iman, dia akan memperoleh iman
  • Jika dia berhajat untuk mencari ilmu, dia akan mendapat ilmu.
  • Jika dia berjalan untuk menimba pengalaman, dia akan mendapat pengalaman. Melalui pengalaman, dia mendapat asas hikmah.
  • Jika dia bermusafir untuk mencari kenalan, dia akan dapat mendapat kawan.
  • Jika dia mencari peluang untuk berniaga, dia akan mendapat rezeki".

2. Sarapan pagi kami pada hari Ke-2  adalah biskut Tiger, mee maggi dan ketupat daun palas yang masih segar kerana disimpan dalam mini fridge dalam kamar hotel. Hari ini kami berdua sahaja yang akan keluar melancong kerana anak kami Mohamad dan rakan beliau akan mulakan tugasan rasmi di HKIA. Kami ke lobi untuk dapatkan pas bas shutle percuma  ke Kowloon. Sementara bas sampai, kami mula merancang ke mana nak pi. Berpandukan risalah-risalah pelancongan yang kami pungut dari kaunter informasi dan hasil dari perbualan dengan seorang pekerja hotel berasal dari Indonesia, kami memutuskan plan pergerakan kami akan meliputi perkara berikut :-

  • Memandangkan hanya kami berdua, timbul persoalan adakah perlu kami pergi ke Hong Kong Disneyland atau Ocean Park yang lebih sesuai untuk kanak-kanak  dan remaja?
  • Demi menjaga aqidah, kami tidak bercadang melawat kuil atau temple yang dikenakan bayaran. Pengalaman kami melawat kuil berbayar (caj tiket masuk) seperti ke Chandi Barabodour di Yogjakarta pada Tahun 2010 telah disanggah oleh rakan-rakan yang menyatakan hukum haram melawat tempat-tempat ibadat orang kafir tersebut kerana wang atau tiket masuk digunakan untuk tujuan kos selenggaraan kuil tersebut. Jadi, berkunjung ke patung Tian Tan Buddha Po Lin Monastery yang menjadi ikonik di Hong Kong tu dan kuil-kuil lain  tidak dalam senarai kami.
  • Tempat yang mengenakan tiket bayaran masuk yang mahal seperti Muzium Madame Tussauds (HKD 295 + Pakej Peak Tram), Noah's Ark HKD 190 dan sebagainya

3. Memandangkan kami ada baki tiga hari, maka kami putuskan pada Hari Ke-2, melawat sekitar Tsim Tsa Tsui (TST) dan Mang Kok di Kowloon dan Pulau Hong Kong. Pada Hari ke-3 ke Macau. Hari Ke-4 melawat bersama anak kami ke sekitar TST Promenade dan Nathan Road sekali lagi sebelum berlepas pulang ke tanah air.

4. Bas shuttle milik Hotel Regal Airport tempat kami menginap berlepas tepat jam 9.10 pagi. Hanya empat orang penumpang yang menaiki bas tersebut. Perhentian pertama bas tersebut  ialah Hong Kong Disneyland yang terletak di Landau Island. Cuma dua orang gadis remaja dari Jepun yang turun. Kami meneruskan perjalanan ke Kowloon. Sekadar info, diantara objek pelancongan bersifat education yang menarik di Hong Kong ialah muzium. Terdapat banyak muzium yang sesuai untuk dikunjungi, misalnya Muzium Sains, Muzium Sejarah, Muzium Ruang Angkasa dan sebagainya.  Destinasi kami yang pertama ialah ke Muzium Sains Hong Kong yang terletak di Tsim Tsa Tsui Timur. Dari Hotel Regal Kowloon (perhentian terakhir bas shuttle), kami menuju ke Muzium Sains Hong Kong. Kami berjalan kaki kira-kira 250 meter untuk sampai di situ.  Muzium ini mempunyai lebih 500 bahan  pameran yang unik dan banyak aktiviti-aktiviti interaktif yang berbeza dan menyeronokan. Bayaran masuk HKD10. Tetapi kami masuk pada Hari Rabu - adalah "free entry day". Jimat. Pada Dewan Pameran Aras 2 pelawat boleh meninjau bahagian Transportation, Galeri Telekomunikasi, Zon Prototype, Home Technology dan Food Science. Turun ke Aras 1 terdapat ruang pameran Occupational Safety and Health, Galeri Electricity and Magnetism serta Sound. Objek pertama yang menarik perhatian sebaik sahaja kita memasuki muzium tersebut ialah  pesawat sebenar Cathay Pacific DC3 yang tergantung diruang atas. Tentulah kelengkapan berkaitan dengan dunia penerbangan seperti kotak hitam turut dipamirkan dan simulator penerbangan. Pada ruang telekomunikasi - pelawat ditunjukkan beberapa jenis peralatan komunikasi dari zaman primitif ke moden. Tarikan terbesar di sini adalah studio TV yang terletak di dalam bilik cahaya dan bunyi. Diantara aktiviti interatif ialah anda boleh membuat muzik dengan pergerakan tangan anda, melemparkan bola dalam lengkung dan melihat pergerakan titisan air bak mutiara bergetar ikut alunan muzik. Pada penghujung  lawatan, ramai pelawat  menunggu detik menyaksikan  mesin daya atau The Energy Machine beroperasi. Berapa biji bola yang diangkat naik ke atas akan bergolek dan akan menggerakkan mesin-mesin lain membentuk alunan muzik dan visual yang mengasyikkan.


Pesawat pertama yang dibeli oleh Syarikat Penerbangan Cathay Pacific


inilah kotak hitam yang telah di'bedah' untuk pengunjung melihat binaan pada sebelah dalam.


sebuah injin jet pesawat moden


mesin telegraf yang diguna pada awal sistem telekomunikasi


Inilah Energy Machine yang tingginya 22 meter iaitu merupakan binaan yang terbesar di dalam Muzium Sains


Energy Machine - displaying energy conversion when balls set in motion and producing dramatic sounds and visual effects.


salah sebuah ruang stimulator yang menarik perhatian pelawat.


5. Tidak jauh dari Muzium Sains, terdapat Muzium Sejarah atau Hong Kong Museum of History. Pelawat yang ke Hong Kong disarankan mengunjungi Muzium Sejarah Hong Kong kerana nilai kunjungan amat berbaloi - bukan hanya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai subjek sejarah Hong Kong tersebut, malah memahami bagaimana Hong Kong membentangkan pengkisahan sejarah  kepada dunia. Sebaik sahaja memasuki muzium tersebut, pelawat akan didedahkan  gambaran arkeologi wilayah Hong Kong, etnografi, dan sejarah semulajadi dan tempatan. Sebuah pawagam mini disediakan dengan satu persembahan video sejarah geologi Hong Kong berdurasi kira-kira 20 minit dipertontonkan kepada pelawat. Seterusnya pelawat akan memasuki 'The Hong Kong Story' yang  membolehkan  pelawat melalui sejarah lampau wilayah itu melalui lapan galeri, bermula dengan alam semula jadi dan prasejarah Hong Kong - kira-kira 6000 tahun yang lalu,  sehinggalah sejarah berakhir dengan pulangan wilayah tersebut  kepada Negara China pada tahun 1997.  Pelawat  akan menemui replika rumah-rumah kampung tradisional, pakaian dan katil Cina, junk dan kapal tradisional, termasuk sebuah kedai perubatan Cina lama. Juga sebuah tram dua tingkat yang pertama beroperasi di jalanraya (rel) Hong Kong pada Tahun 1913 dan sebagainya. Penulis amat teruja apakala memasuki Galeri The Folk in Hong Kong dan Pengkisahan Perang Candu aka Opium War yang penulis pernah pelajari semasa berada di sekolah menengah dahulu. Moral dari Perang Candu - sangat emosi dan sedih kerana  pihak British tergamak menjadikan dagangan candu yang amat menguntungkan mereka dan dalam masa yang sama merosakkan nilai kemanusiaan penduduk Hong Kong aka China dan seterusnya  memudahkan beberapa buah bandar dan pelabuhan  China ditawan oleh British. Zalim sungguh British !!! (Kamera dan video dilarang bawa masuk......tapi penulis curi-curi juga tangkap sekeping dua).



Senibina yang menarik pada Hong Kong Museum of History


Pintu Masuk ke The hong Kong Story - bahagian yang amat menarik dan di kenakan tiket masuk.





sejarah awal tamadun dan kependudukan di Hong Kong



(foto google - tram dua tingkat yang sinonim dan ikonic buat penduduk Hong Kong


5. Pergerakan kami seterusnya ke Muzium Ruang Angkasa yang terletak bersebelah Hong Kong Cultural Centre. Nasib kami kurang baik kerana muzium tersebut ditutup  untuk kerja-kerja naik taraf. Sebagai opsyen, kami seterusnya ke Ladies Market. Untuk itu kami gunakan pergerakan bawah tanah atau subway untuk ke stesen MTR TST, seterusnya ke stesen Mang Kok. Pemandangan subway amat memukaukan. Senibina binaan bawah tanah itu bukan sahaja menjadi tumpuan pengguna MTR malah penduduk setempat dan pelancong untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi. Subway amat bersih, berhawa dingin dan dilengkapi berbagai kemudahan  dengan petunjuk arah yang mesra pengunjung. Kami membeli tiket octopus untuk naik tren MTR ke stesen Mang Kok.  Melalui laluan subway, kami menapak ke permukaan bumi, kami berjalan kaki ke Ladies Market. Hajat kami mencari souviner bercirikan watak kartun Disney seperti Mickey Mouse, Donald Duck, anjing Pluto, Goofy dan sebagainya sama ada watak tersebut dicetak pada t-shirt, magnetic fridge, beg, towel, aksesories pakaian kanak-kanak dan sebagainya. Namun kami hampa kerana tidak kedapatan satu pun watak-watak tersebut dijual. Kebanyakkan t-shirt berlogokan I love HK.  Malah terdapat salah seorang peniaga menengking kami kerana kami tidak puas hati kenapa barangan watak-watak tersebut tidak dijual di situ. Mungkin kerana faktor hak cipta terpelihara @ copyright yang telah disyaratkan oleh kumpulan Disneyland sebagai syarat franscias Hong Kong Disneyland World. Berang dengan sikap kasar peniaga tersebut, kami tidak  membeli apa-apa souvenia di Ladies Market. Kami seterusnya ke Stesen MTR Mang Kok untuk ke  Stesen Central yang terletak di Pulau Hong Kong.

diantara petunjuk arah yang terdapat di subway. Yang pentingnya pelancong mesti ingat huruf  abjad yang tertera - in shaa Allah tidak akan sesat dan menjimatkan masa pergerakan jalan kaki anda.

pemuzik jalanan mencuri tumpuan pengunjung subway



terdapat pelbagai kemuduhan termasuk pengguna OKU. Penyediaan kemudahan walkway dan mesin lift yang cukup efisyen.



inilah Pasar Wanita aka Ladies Market macam Petaling Street di KL
6.  Perjalanan dari Stesen Mang Kok ke Stesen Central iaitu stesen terakhir bagi MTR Line Merah, mengambil masa kira-kira 12 minit termasuk 5 minit melalui terowong dasar laut. Di Stesen Central kami mencari satu sudut yang agak terpencil untuk makan tengahari.  Kami membuka bekalan nasi dan lauk gulai ayam Brahim yang kami telah sediakan ketika di hotel. Pergerakan seterusnya ke Victoria Peak - saling tak tumpah macam Bukit Bendera Pulau Pinang. Victoria Peak  (550 m) adalah topografi tertinggi di Hong Kong. Pada Victoria Peak terdapat  beberapa buah menara dan stesen pemancar. Di kaki Victoria Peak dipenuhi dengan kondominum dan pejabat mewah. Untuk pelancongan, pelawat akan mendaki Peak Tower dan Galleria Peak. Pelawat beratur panjang untuk menaiki  tram khas untuk ke stesen atas The Peak. Tambang dikenakan untuk tiket naik dan turun ialah HKD80. Ternyata The Peak lebih rendah (396  m) berbanding  Bukit Bendera aka Penang Hill (735 m). The Peak Tower adalah salah satu ikon seni bina yang paling bergaya di Hong Kong. Di dalam The Peak Tower, terdapat pelbagai kemudahan untuk pelawat seperti outlet barangan berjenama, restoran-restoran, kedai-kedai dan tempat-tempat hiburan Selain itu, The Peak Tower mempunyai binaan paling tinggi iaitu pelantar pemerhati 360 °  atau  The Sky Terrace 428 yang tingginya 428 meter di atas paras laut,  Sky Terrace 428 menawarkan pemandangan menakjubkan kawasan bandar yang sibuk daerah Central dan  Kowloon  yang dipenuhi berpuluh-puluh menara pencakar langit dan landskap kehijauan, pemandangan Victoria Harbour  serta bukit-bukit kebiruan yang terdapat di daerah Kowloon dan  New Territories.  Di puncak ini juga terdapat Muzium Lilin Madame Tussauds. Terpulanglah kepada pakej yang dibeli oleh pelawat untuk membuat aktiiviti di puncak tersebut. Pada stesen bawah tren kabel tersebut terdapat Peak Tram Historical Gallery yang menempatkan ruang pameran peralatan dan foto-foto berkaitan sejarah pembukaan dan perkhidmatan Peak Tram tersebut. Walaupun koc berbentuk tram, tapi pergerakan naik dan turun dari bawah ke puncak adalah melalui tarikan naik atau turun oleh kabel seperti keretapi funikular Bukit Bendera. Menariknya, ciri klasik yang terdapat pada tram tersebut masih kedapatan, berbanding koc keretapi Bukit Bendera yang lebih moden.




inilah tiket tram naik dan turun The Peak


ramai pelancong sabar menunggu giliran naik. Keutamaan diberi kepada pelancong yang membuat tempahan melalui pakel pelancongan.


bahagian dalam tram - lebih lapang berbanding Keretapi Bukit Bendera

(Foto google) The Sky Terrace  428 - mempunyai 7 tingkat


pemandangan dari The Sky Terrace 428










7. Setelah hampir sejam kami berada di The Peak, kami turun ke bawah. Kali ini kami ronda-ronda Hong Kong Island dengan mengunakan pengangkutan tramway. Terdapat banyak tram dua tingkat di Hong Kong Island yang bersimpang siur dengan laluan bas dua tingkat. Tram mempunyai saiz yang lebih kecil sedikit dari bas dua tingkat. Pergerakan tramway menggunakan kuasa elektrik yang disambungkan dengan kabel yang direntang di atas laluannya. Perkhidmatan tramway dua tingkat di Hong Kong  adalah satu-satu perkhidmatan tram dua tingkat yang terdapat di dunia. Perkhidmatan pengangkutan rel ini diperkenal;kan oleh British pada tahun 1908. Kami naik tram laluan Eastbound di terminal Admiralty ke terminal penghujung iaitu Kennedy Towns. Walaupun jaraknya hanya beberapa kilometer sahaja, namun pergerakan yang agak perlahan amat membosankan terutama pada persimpangan jalan dan lampu isyarat. Tapi panaroma dari tingkat atas amat teruja kerana kita dapat menyaksikan kehidupan harian penduduk Hong Kong. Kami seterusnya ke stesen MTR Admiralty untuk  ke stesen TST. Dari situ kami ke Masjid Kowloon bagi menunaikan solat jamak dan qasar asar-zohor. Seusai solat, kami bersiar-siar di TST Promenade - seterusnya ke Hotel Regal Kowloon untuk dapatkan bas shuttle balik ke Hotel Regal Airport Landau.


salah sebuah tram yang hampir kesemuanya dibaluti oleh iklan

tram klasik yang masih beroperasi


diantara menara yang dilalui tram












bersambung part 3 - MACAU




















































Tuesday, 30 August 2016

LAWATAN KE HONG KONG - Part 1- A SYMPHONY OF LIGHTS YANG MENGGAMITKAN



1. Hong Kong bukanlah destinasi keutamaan penulis dalam senarai tempat-tempat untuk dilawati. Tetapi ditakdirkan Allah SWT, dapatlah juga penulis dan isteri jejak kaki ke wilayah bekas jajahan British tu. Lebih manis lagi kami berpeluang mengunjungi Macau - "two in one" - sesuatu yang di luar perancangan. Pemergian ke Hong Kong dan Macau pada minggu lepas adalah mengiringi anak kami, Mohamad selaku engineer  DCA yang ditugaskan melakukan odit tahunan Hong Kong International Airport (HKIA).



Kunjungan keluar negara pada kali ini agak kurang sempurna sedikit  kerana penulis tidak berkesempatan membuat search dalam google berkaitan dengan destinasi yang dilawati disebabkan kekangan tugas harian. Jadi, tidak ada travel itinerary yang selalunya disusun kalau nak pergi ke mana-mana destinasi pelancongan popular. Lebih gawat, melancong pada kali ini tidak menggunakan khidmat  travel agent sebagaimana yang kami lakukan semasa melancong ke Guilin China pada Tahun 2014 lalu. Jadi, kami agak jahil mengenai tempat-tempat yang menarik yang ada di sana seperti tempat-tempat bersejarah, membeli-belah dan sebagainya. Kami juga kurang arif macam mana nak pergi ke tempat tersebut kerana hotel kami di kawasan airport sedangkan tempat menarik di Hong Kong terdapat banyak di Kowloon dan Pulau Hong Kong. Lagi satu, penulis difahamkan terdapat tiga masalah utama bagi pengembara muslim berkunjung ke Hong Kong. Satu, kos sara hidup yang tinggi, so budget besar untuk  makanan dan sewa bilik hotel yang mahal. Kedua, kesulitan mendapat makanan halal. Ketiga, masalah taharah (bersuci) dan solat. Pengalaman berkunjung ke UK pada tahun 2015 lalu membuatkan kami tidak terlalu risau masalah-masalah  tersebut. Untuk makanan halal dan murah, kami membawa mini cooker @ travel cooker dual voltage, pinggan mangkok polistrin, sudu, perencah kari ayam atau daging Brahim, mee maggi, sachet ketupat nasi, etc.


"rice cooker mini" sesuai masakan makanan tiga orang musafir

yang berhajat miliki cooker yang berharga lebih kurang RM50 sila hubungi no tel tertera

2. Penulis dan isteri ke Hong Kong menggunakan pesawat Airasia. Mohamad dan rakan pula terbang ke sana menerusi pesawat Cathay Pacific. Kami berjanji berkumpul di Mc Donnald Terminal 1. Penerbangan selama 3 jam 50 minit amat membosankan. Sempat juga penulis melihat pemandangan sebahagian Banjaran Titiwangsa dan Sungai Pahang yang semakin lebar beting pasirnya, sebelum pesawat meluncur melintasi Laut China Selatan. Sejurus melalui ruang angkasa Negara Vietnam, pesawat memasuki Wilayah Hong Kong dan selamat mendarat di HKIA Chek Lap Kok, Landau Island. Ternyata HKIA lebih sibuk,  besar dari segi saiz dan sistemnya dan lebih efisien. HKIA mendapat tempat ke-8 sebagai airport tersebok di dunia dibelakang Atlanta, Beijing, Dubai, Chicago O'Hare, Tokyo Haneda, London Heathrow dan Los Angeles LAX Airport. HKIA telah mengedali seramai hampir 70 juta penumpang pada tahun 2015. Terdapat dua terminal di HKIA iaitu Terminal 1 dan Terminal 2. Terminal 1 dikhaskan untuk syarikat penerbangan utama manakala Terminal 2 pula adalah untuk syarikat penerbangan tambang murah. Namun begitu, Terminal 1 dan Terminal 2 adalah di dalam bangunan yang sama dan dihubungi dengan laluan pejalan kaki bertutup. Kami diangkut dengan skytrain dari parkir pesawat ke Terminal 1. Dari situ kami bergerak melintasi pemeriksaan imigresen dan kastam, Terdapat banyak rantaian moving walkway, escalator dan lift  menuju ke pintu keluar kerana Arrivals Hall  terletak di level 5. Dari situ kami menuju ke McD. Terdapat pelbagai kemudahan di situ, seperti restoran, ATM, AEL Tickets Machine, kaunter HK Tourism Board etc.  Memandangkan hotel penginapan kami berada di sebelah kiri Terminal 1, kami cuma berjalan kaki untuk check-in di Hotel Regal Airport. Bagi pelawat yang hendak mendapatkan pengangkutan awam, terdapat mowing walkway yang membawa anda ke rangkaian tren MRT Airport Express, bas, coach, hotel cars dan teksi.

salah sebuah jambatan yang menghubungksan pulau-pulau dan tanah besar

mula memasuki ruang angkasa Hong Kong

bangunan skycrapper tak terbilang



apron airport yang luas kerana keseluruhan airport dibina diatas pulau buatan membentuk sebahagian dari Pulau Landau


dari skybridge penumpang turun escalator menuju ke skytrain untuk ke Terminal 1



Seorang remaja dari Malaysia Sdri Fatin Izzati  sedang menunggu skytrain untuk ke Terminal 1 (Foto - Fatin Izzati)


HKIA amat sebok dengan pesawat mendarat atau berlepas. 





hotel penginapan kami untuk tiga malam 

3. Penulis sempat memerhati beberapa kemudahan disediakan oleh pihak berkuasa HKIA dan menyemak risalah-risalah pelancongan yang disediakan dikaunter infomasi. Berikut diantara info yang boleh dikongsi bersama
  • Terdapat restoran halal disediakan di HK Airport untuk pengunjung Muslim iaitu restoran makanan segera Popeye Chicken and Biscuits berdekatan kawasan food court selepas melalui pemeriksaan imigresen di Terminal 1, tidak jauh dari McDonalds.


perhatikan logo halal

  • Ruang solat disediakan untuk pengunjung muslim, terdapat dua tempat untuk bersolat di HK Airport iaitu Terminal 1: Tingkat 7 kawasan daftar masuk (berdekatan dekat Aisle A South Wing) dan Terminal 2: Tingkat 5 kawasan daftar masuk (berdekatan dengan Aisle N) - lengkap dengan kemudahan wuzuk.

logo ruang solat

signed yang mudah difahami di HKIA
  • Terdapat terminal bas di HKIA yang terletak di Terminal 2 dimana pengunjung boleh menaiki bas dari airport ke tempat tempat lain di Hong Kong. Selain itu, pengunjung juga boleh menaiki tren Airport Express untuk ke pusat bandar. Tren ini akan  berhenti di stesyen Tsing Yi dan juga stesyen Hong Kong. Jika menaiki Airport Express, perjalanan akan mengambil masa selama 24 minit untuk sampai ke stesyen  Pulau Hong Kong. 
  • Kaunter membeli atau menebus semula kad Octopus (touch n go) yang boleh digunakan untuk menaiki MTR, bas, membeli barang barang di convenient store (7 eleven, Circle K) atau di pasar raya (Wellcome, Park n Shop). Dikatakan tambang MTR, bas dan tramway yang menggunakan kad ini diberi diskaun sehingga 10 % dari tambang asal.

Nilai kad HKD 150 di mana HKD 50  adalah deposit. Kad boleh ditebus dengan 100% refund baki.
  • Kemudahan free Wi-Fi HK International Airport untuk hampir kesemua tempat menunggu di terminal. Perkhidmatan internet broadband internet di Hong Kong pula  adalah yang kedua terbaik di dunia selepas Korea Selatan. Membeli kad SIM prepaid adalah agak mudah kerana banyak tempat di lapangan terbang yang menjualnya.

  • Kemudahan teksi terdapat di terminal 2 dan terdapat tiga jenis teksi di Hong Kong iaitu Teksi Merah yang sinonim dengan Hong Kong yang menghubungkan HKIA ke kawasan Hong Kong Island dan Kowloon. Teksi Hijau – teksi hanya pergi pergi ke kawasan New Territories sahaja. Teksi Biru pula  hanya pergi ke kawasan Lantau Island sahaja termasuk Tung Chung dan Disneyland

teksi merah masih popular walaupun menerima saingan dari pengangkutan rel

  • Rangkaian MTR (macam LRT Lembah Kelang) terdiri daripada tujuh aliran yang dipanggil “line”, sebahagian besarnya bawah tanah, termasuk Airport Express dan juga Disneyland Resort line.  Frekuensi menunggu untuk tren ialah setiap 2 hingga 12 minit dan waktu operasi dari 6 pagi hingga 0:30-1:00 pagi. Penggunaan MTR adalah jauh lebih cepat daripada bas atau bas mini dan harga tiketnya lebih kurang sama. Elak guna MTR pada waktu puncak. Anda boleh beli tiket dari mesin tiket layan diri atau di kaunter. Harga tiket adalah berdasarkan jarak perjalanan, 
ada tujuh laluan @ "line" berdasarkan tujuh warna setiap line yang merangkumi kesemua wilayah iaitu Kowlon, Pulau Hong Kong, Pulau Lanjau dan New Teretoris

3. Ketika ini Hong Kong mengalami Musim Panas (Jun ke Ogos) Suhu panas, lembap dan terik, dengan hujan sekali-sekala dan ribut petir. Suhu boleh melebihi 31⁰C sama seperti di Malaysia. Kami check in di Hotel Regal Airport yang cantik, bersih, lapang dan berkonsepkan smoke-free hotel. Kami disedia bilik superior dengan king bed dan kemudahan WiFi percuma. Kadar sewaan sebanyak HKD1,150. Terdapat sebuah kolam renang yang sangat cantik. Seusai berehat, kami dapatkan perkhidmatan bas coaster iaitu bas shuttle yang disediakan oleh pihak hotel secara percuma ke destinasi seperti Disneyland dan Kowloon. Perjalanan dari Regal Airport Hotel di Landau Island ke Regal Kowloon Hotel di Kowloon berdurasi selama satu jam. Penulis agak teruja pada sepanjang perjalanan kerana dapat menyaksikan sendiri kehebatan pelabuhan kontena Hong Kong, melihat kehebatan kejuruteraan Jambatan Kabel Tsing Ma, kehebatan arkitektur bangunan perumahan dari jenis aparment ke kondominium puluhan tingkat  dan pejabat serta pusat perniagaan skycrapper, Perjalanan dari Pulau Landau akan melalui Jambatan Tsing Ma ke Pulau Ma Wan dan Tsing Yi berakhir di Daerah  Tsim Sha Shui Kowloon.



ruang lobi Hotel Regal Airport

swiming pool

king bed yang sangat empok. Syukur yang amat sangat kerana banyak penulis blog yang berkunjung ke Hong Kong menginap di kamar sekangkang kera - nak jimat kos penginapan

breakfast pertama.


bas shuttle dari Regal Airport Hotel ke Regal Kowloon Hotel menyediakan kemudahan WiFi percuma






Jambatan Tsing Ma


Kehebatan Jambatan Kabel Tsing Ma sepanjang 2.1 km menghubungkan Pulau Tsing Yi dan Pulau Ma Wan 



memasuki terowong di Pulau Ma Wan


Ratusan  Container Gantry Crane berwarna merah, hitam dan biru merapati satu sama lain di terminal kontena di Kwai Chung dan Tsing Yi 


ribuan kontena - saujana mata memandang


kelihatan kapal kontena dari Malaysia berlabuh di pelabuhan kontena Hong Kong






perumahan yang menjangkau hampir 70 tingkat



ish ish ish - hebatnya

4. Daerah Tsim Sha Shui adalah daerah yang paling popular kerana lokasinya ditepi laut dan bertentangan dengan Pulau Hong Kong. Daerah ini merupakan sebuah pusat pelancongan, Di kawasan Tsim Sha Tsui dan Wan Chai, merupakan tempat penginapan  yang ideal kerana  jaraknya tidak jauh dari stesyen MTR, dekat dengan restoran halal, masjid, perhotelan mewah dan budget, pusat perniagaan, budaya dan sosial yang terkemuka di Hong Kong. Kami hanya mundar mandir tanpa tujuan. Sejurus kemudian, kami memasuki Nathan Road yang sangat popular di Tsim Sha Shui. Di situlah terletaknya Masjid Jamek dan Pusat Islam Kowloon. Seusai solat, kami disapa oleh seorang anak Melayu iaitu Saudara Rosli Abdullah yang berasal dari Johor. Perbualan kami di halaman masjid berkisar tentang keadaan geografi, sejarah, ekonomi, politik dan sosial Hong Kong. Sdr.Rosli aktif dalam jemaah tabligh tempatan telah menetap di Hong Kong selama tujuh meskipun beliau seorang eksekutif perbankan dengan sebuah syarikat dari Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong. Sdr. Rosli kemudian membawa kami ke Chunking Mansion untuk makan nasi beriani. Kami sambung cerita di situ sehingga masuk waktu asar. Pada sebelah petang, penulis mengunjungi Tsim Sha Tsui Promenade iaitu kawasan pesisir laut yang bermula dari Menara Jam Hong Kong hingga ke Hung Hom yang menjadi destinasi wajib setiap pelancong. Di situlah terletaknya Pusat Kebudayaan, Muzium Angkasa, Gelari Seni, Salisbury Garden dan Avenue of Stars yang tersohor. Amat malang sekali kerana Avenue of Stars ketika itu telah ditutup kepada pengunjung kerana kerja-kerja menaiktaraf dan pmebinaan bangunan-bangunan  baru sedang rancak dijalankan. Avenue of Stars adalah tapak lokasi penghormatan kepada artis-artis yang membantu menjadikan Hong Kong sebagai Hollywood Timur. Orang ramai berpusu bersama kami untuk mengambil tempat untuk menyaksi panorama Metropolitan  Hong Kong cukup mempesonakan dan indah pada waktu malam apabila lampu-lampu neon bangunan pencakar langit mula dinyalakan bersama pancaran cahaya laser  untuk persembahan A Symphony of Lights. Memang memukaukan kerana cahaya neon dan laser bergerak-gerak seiring dengan muzik latar. Penuntun boleh menyaksikan pancaran cahaya neon dan laser pada kedua-dua bahagian iaitu Pulau Hong Kong dan pada sebelah Avenue of Star khususnya pada Menara Jam dan dinding Pusat Kebudayaan Muzium Angkasa. Hampir sejam kami di situ, kami bergerak balik ke Hotel Regal Kowloon untuk dapatkan bas shuttle hotel balik ke Hotel Regal Airport di Pulau Landau - tempat penginapan kami untuk tiga malam.


Daerah Tsim Sha Tsui tempat tumpuan hotel bertaraf antarabangsa di Kowloon


jalan yang agak popular kerana di situlah terletaknya Masjid dan Pusat Islam Kowloon.

Masjid dan Balai Islam Kowloon persis Masjid India di KL

ruang wuzuk yang bersih

Sdr. Rosli melepaskan geram berbahasa Melayu dengan kami kerana jarang bertemu dengan orang Melayu di Hong Kong



Chungking Mansions terletak di Nathan Road popular pada kalangan pengembara backpacker kerana di dalamnya terdapat rumah tumpangan dan hotel budget serta restoran atau gerai makanan halal




Bismillah Fried dan Bismillah Kebab House terdapat di sini



Towkey restoran berbangsa Pakistan sedang menunaikan solat zohor


salah sebuah menara dari puluhan menara yang mempamirkan lampu iklan di dinding bangunan 



Clock Tower - salah satu ikon Hong Kong.  Menara jam yang berketinggian 44 meter ini dibina pada tahun 1915 sebagai sebahagian daripada Terminal Kereta Api Kowloon-Canton



salah satu terminal feri
tug boat antara ikonik Pelabuhan Victoria Kong Kong

Feri Star masih setia membawa penumpang berulang-alik di antara Hong Kong dan Kowloon sejak 1888 walaupun kedua-dua kawasan telah dihubungkan dengan sistem jalan raya dan rel bawah laut yang moden.


Junk Boats salah satu ikon Hong Kong - biasanya disewa oleh mereka yang gemar berparti dan berpersiaran pada waktu malam.

orang ramai dan pelancong (termasuk kami) berpusu-pusu menuju ke pinnir laut Avenue of Star untuk menyaksikan A Symphony of Light.

Foto Google : A SYMPHONY OF LIGHTS (Minta maaf kerana guna foto google untuk dapatkan pancaran cahaya laser kerana camera cap ayam penulis tak dapat tangkap cahaya laser


Skycrapper di Hong Kong Island


minta maafnya foto blur 


Tower Clock dan bangunan berhampiran juga menerima dan memancar cahaya neon dan laser









SAMBUNG LAWATAN KE HONG KONG PART 2 DI SINI