Thursday, 28 November 2013

SITI AISHAH - "SICERDIK HAMBA RETORIK MAOIST"

Apartment mangsa "London Slave" yang menjadi tumpuan media

1. Tahun Masehi  2013 yang bakal menutup tirai tidak lama lagi telah digegarkan dengan satu berita mengenai "perhambaan moden  di negara bertamadun". Beberapa akhbar di United Kingdom dan badan penyiaran tersohor, British Broadcasting Corporation  (BBC) telah menyiarkan berita mengenai pembebasan tiga orang 'hamba domestik" di Lambeth, selatan  London yang menggemparkan  warga United Kingdom, Ireland dan Malaysia.

2. Rentetan peristiwa yang "dahsyat dan gerun" ini bermula apabila salah seorang mangsa perhambaan wanita Britain yang bernama Prem Maopim Duzi Davies atau Rose (30 tahun)  telah membuat satu panggilan telefon kepada satu pertubuhan kebajikan  Freedom Charity pada 18 Oktober 2013 yang lalu. Ekoran dari panggilan tersebut, satu pertemuan telah diatur di antara mangsa "perhambaan" dengan wakil Freedom Charity dan seterusnya unit perisikan polis  Scotland Yard telah berjaya mengenal pasti lokasi dan apartment yang menempatkan tiga orang mangsa 'perhambaan" tersebut.  Ekoran dari itu, polis telah  membuat serbuan dan  menahan seorang lelaki yang bernama Aravindan Balakrisnan aka Comrade Bala, dipercayai seorang warga Singapura  dan isterinya Comrade Chanda Pattni seorang warga Tanzania keturunan India. Suspek disyaki telah menjadikan ketiga-tiga  mangsa 'penghambaan" selama tiga dekad. Suspek telah dibebaskan dengan ikat jamin, akan dihadapkan ke mahkamah pada bulan Januari 2014 nanti.

Aravindan Balakrisnan 


3. Berita penangkapan dan pembebasan "hamba" ini terus mendapat liputan meluas dalam media utama Britain.  Di Malaysia, pada peringkat awal, identiti warganegara Malaysia yang dikatakan salah seorang dari tiga mangsa "perhambaan" itu tidak diketahui ramai sehinggalah seorang wartawan Deen Neelson dari akhbar The  Daily Telegraph yang berpangkalan di New Delhi  berkunjung ke rumah Cikgu Kamar Mahtum iaitu kakak kepada mangsa di Jelebu  Negeri Sembilan.  Mangsa dikenalpasti sebagai Siti Aishah binti Abdul Samad oleh aktivis Hishamudin Rais yang mengendalikan blog "Tukar Tiub". Hishamudin pernah meninggalkan tanah air, menetap dalam buangan di London selama 15 tahun  apabila waran tangkap ISA dikeluarkan kepadanya  ekoran dari Peristiwa Demontrasi Baling Tahun 1974.


4.  Menurut akhbar The Mirror Daily, wanita yang dikatakan menjadi mangsa 'perhambaan selama 30 tahun tersebut dikenali sebagai Rose atau Rossie (30 tahun) warga Britain, Josehine (57 tahun)  warga Ireland  dan Siti Asishah (juga dikenali sebagai Aishah Mautum aka Aishe Wahem - 69 tahun), warganegara Malaysia. . Ketiga-ketiga mangsa  "perhambaan"  mempunyai latar belakang yang menarik.


5. Rose merupakan mangsa yang termuda. Ketika dibebaskan beliau baru berusia 30 tahun. Menurut sumber agensi berita  IVT News, Rose adalah  seorang  yatim piatu kerana ibu dan bapanya telah meninggal dunia di dalam satu kebakaran ketika beliau masih kanak-kanak. Beliau telah dipelihara oleh ibu angkatnya yang dikenali sebagai Sian Davies .Bagaimanapun,Davies telah mengalami satu kemalangan iaitu terjatuh dari tingkap bilik air  apartmennya yang membawa kepada lumpuh badan dan akhirnya meninggal dunia setahun kemudian.  Davies adalah pengikut setia Aravindan.  Jadi tidak hairanlah sebahagian besar hidup Rose adalah di bawah jagaan dan pengawasan  Aravindan dan isteri.

Rose

6. Selepas dibebaskan Rose yang masih di dalam trauma memberitahu wartawan "saya ibarat seekor lalat yang terjerat di sarang labah-labah". Beliau bersama Siti Aishah dan Josephine telah ditahan dan di"brainwash" oleh  Aravindan dan isterinya pada setiap masa, Deraan psikologi dan  fizikal yang begitu hebat dikenakan kepada mereka menyebabkan  kehidupan harian mereka selama 30 tahun dikawal oleh Aravindan. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila Siti Asihah telah diserang stroke dan tidak ada sesiapa yang datang membantu.  Satu  hari ketika Rose menonton satu siri televisyen yang menyiarkan dokumenteri berkaitan dengan pertubuhan  Freedom Charity telah memberi semangat kepadanya untuk mengadu masalah mereka, seterusnya membawa kepada  pembebasan mereka.

7. Josephine Herivel  sama seperti Siti Asihah lebih tertarik kepada doktrin Moaist dan Marksis-Leninist.. Menurut akhbar The Daily Telegraph  apa yang menariknya beliau adalah anak kepada John Herivel iaitu "Wira Perang Dunia II" yang telah berjaya memecahkan kod rahsia tentera Jerman bagi  membolehkan Tentera Bersekutu menumpaskan Jerman.

Josephine Herivel

8. Siti Asihah pula  dilahirkan pada 27 Mei 1944 di Jelebu Negeri Sembilan. Beliau anak ke 11dari 12 orang adik beradik. Menurut kakaknya Cikgu  Kamar Mahtum "dia sangat berbakat dan menjadi buah hati ibu. Apabila ibu  saya meninggal dunia,dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengannya".   Beliau juga mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Mohd  Tahir yang pernah bekerja di London.   "Siti Aishah seorang yang lemah lembut, tidak agresif, tetapi tegas". Pada peringkat awal persekolahan, ayah beliau  telah menerapkan  pendidkan  akademik dan agama yang secukupnya. Oleh itu, tidak hairanlah Siti Aishah merupakan seorang gadis kampung yang cerdik. Beliau berpeluang menyambung persekolahannya di Kolej Tunku Kursiah di Bukit Merba Seremban.  Menurut laporan portal MStar, rakan seniornya Encik Pit Ahmad Ibrahim, Siti Aishah pernah belajar di Kolej Teknikal Kuala Lumpur di Jabatan Ukur Bahan sekitar tahun 1963 - 1964. Di kolej tersebut, Siti Aishah pernah menjawat AJK Kumpulan Islam Kolej.  Beliau seterusnya berjaya mendapat biasiswa Komenwel di bawah Colombo Plan pada tahun 1968  untuk membuat ijazah dalam bidang  Ukur Bahan di sebuah universiti yang prestij iaitu London School of Economic @ LSE. (sekadar makluman, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, DSAI, pernah dijemput di dalam satu Forum Demokrasi Dunia Islam d  di LSE yang dihadiri oleh beberapa tokoh  pemikir ekonomi Yahudi).

Cikgu Kamar (Foto Siti Aishah tidak diuploadkan di atas privasi aurat)

9. Siti  Aishah ke London bersama dengan tunangnya Omar Munir - kini seorang professor di IPTS pada tahun 1968 . Ketika berada di UK, suasana soiso-ekonomi dan politik pada ketika sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kesan dari  pasca Perang Vietnam.. Perang ini menyaksikan Amerika Syarikat yang merupakan kuasa imperialisme dan kapitalisme telah tewas.  Lebih 58000 tenteranya terkorban. Vietnam seterusnya menduduki Laos dan Kemboja dengan menjadikan doktrin Maoist  sebagai dasar pemerintahan.. China dan Rusia adalah  sekutu utama Vietnam. China yang diperintah oleh Parti Komunis China semasa dibawah pimpinan Mao Zedong mula memperkenalkan doktrin maonisme iaitu varian dari Marxisme - Leninisme.  Maoisme menekankan pergerakan massa yang bersifat revolusioner iaitu penglibatan secara besar-besaran  penduduk dalam perjuangan demi sosialisme dan konsep tentang demokrasi baru. Dalam ertikata lain, perjuangan  asas maoisme ini ialah perjuangan revolusi majoriti rakyat yang sudah pastinya  dari kaum petani. Fahamanan ini menyediakan garis panduan cara-cara meneruskan revolusi sosialis, pembentukan masyarakat sosialis, pembinaan tentera sosialis serta menyelesaikan pelbagai pecanggahan dalam masyarakat melalui 'pembinaan sosialis'. Fahaman ini tidak terhad di China atau Rusia sahaja, malah telah menyusup masuk ke India, Peru, Nepal dan sebagainya. Bagaimana pun rancangan Mao Zedung ini gagal mencapai matalamatnya kerana apabila Parti Komunis China di terajui oleh Deng Xiaoping, negara China mula memperkenal tranformasi ekonomi, sosial dan politik - ke arah ekonomi pasaran. Hal ini mengecewakan Aravindan dan pengaruhnya semakin berkurangan.


10. Menurut Hishamudin Rais,   semasa di London,Siti Aishah aktif dalam kumpulan pelajar Malaysia yang berhaluan kiri yang digelar "New Malayan Youth". Pada ketika itu. New Malayan Youth dianggotai oleh pelajar  dari Malaysia dan Singapura. Pemerintah Malaysia melabelkan organisasi ini sebagai pertubuhan Komunis dan diharamkan di Malaysia, tetapi tidak di England kerana negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan bersuara.  Di Malaysia, fahaman sosialis ini  mula menyerap ke kampus IPT terutama Universiti Malaya Kuala Lumpur. Pihak pemerintah telah menutup kelab Sosialis UM (KESUMA).   Siti Aishah dikatakan begitu teruja dengan  Aravindan. Dikatakan  Aravindan di antara pemimpin tertinggi Parti Komunis England. Menurut Omar Munir, Aravindanlah punca utama pertunangannya dengan Siti Aishah terputus. Dikatakan Siti Aishah telah mencampak cincin pertunangan ke dalam Sungai Thames.


11. Menurut Faridah Ismail Cook, beliau mengenali Siti Aishah dan aktivitinya dalam pergerakan bawah tanah ketika beliau menuntut di University of London. Menurut Faridah, "she (Aishah) was a staunch beliver in the Maoist Doctrine". Tambahnya lagi Siti Aishah diibaratkan sebagai "I  belive at the points in her life, no one could change her mindset and her political views". Faridah sering nampak Siti Aishah berjaket dan berseluar serba  hitam ala Mao Zedong menyebarkan risalah maoist di universiti. Bagaimanapun, Siti Aishah bukanlah seorang pemimpin, sekadar pengikut sahaja.


12. Terdapat usaha-usaha untuk membawa Siti Aishah balik ke pangkal jalan. Misalnya satu pertemuan  telah diatur di antara Ustaz Abu Bakar Hamzah (seorang kaunselor dari PAS) dan isterinya, di mana Siti Aishah diminta untuk tinggalkan fahaman komunisnya, tetapi gagal. Begitu juga adiknya yang bekerja di London telah menasihatkan Siti Aishah supaya berubah, namun Siti Aishah tetap dengan pendiriannya.


13. Menurut sumber Mail Online, Siti Aishah dilaporkan mengalami  stroke ketika berada dalam rumah. Sehingga kini, Pesuruhjaya Tiinggi Malaysia di London masih belum pasti sama ada  Siti Aishah  berada di bawah kawalan pertubuhan Freedom Charity atau polis Britain. Akses bagi mendapat maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-unndang tempatan UK. 
Cikgu Kamar yang kini berada di London telah menulis sepucuk surat melalui kedutaan Malaysia untuk disampaikan kepada Siti Aishah.

14. Kisah perhambaan moden ini telah menimbulkan beberapa persoalan :-

14.1 Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Britain, bagaimana perhambaan ini masih boleh berlaku di United Kingdom ?

14.2 Menurut pegawai polis yang menyiasat kes ini, ketiga-tiga mangsa perhambaan ini hanya di brainwash dengan kemungkinan tindakan kekerasan fizikal digunakan kepada mereka, tetapi tidak ada unsur-unsur penderaan seksual.

14.3 Ketika inkuaes kematian Sian Davies  di mahkamah, tahun 1997, mereka (mangsa dan rakan-rakan) telah mengherdik wartawan. Wajah mereka tidak menggambarkan mereka adalah hamba domestik.

14.4 Mereka dikatakan bekerja di rumah dan diberi upah. Mereka juga dibenar bersiar-siar tetapi di bawah kawalan jauh, ibarat "tangan digari".

14.5 Rose yang sebahagian besar usianya di dalam "kurungan" bukanlah seorang buta huruf. Beliau telah mengutus berpuluh-puluh surat cinta kepada seorang jirannya dan meminta jangan dibalas surat-surat tersebut.

14.6 Mereka juga boleh menonton televisyen - memberi peluang keemasan kepada Rose untuk 'merdeka' setelah menonton dokumentari pertubuhan Freedom Charity".

14.7 Mohd. Tahir pernah meminta isterinya memasak "masakan Malaysia" ketika Siti Aishah dan dua orang rakannya berkunjung ke rumahnya di London.

15. Kini mereka semua telah bebas. Aravindan Balakrisnan   dan isteri  akan didakwa kerana mengurung ketiga-tiga mangsa tanpa kerelaan mereka.

Adakah Cikgu Kamar berjaya bertemu dengan adiknya Siti Aishah. ?
Adakah Siti Aishah mahu pulang ke pangkuan keluarga di Jelebu  ?

Kepada Siti Aishah, anda kembalilah ke pangkal jalan, mula episod baru pada usia senja anda. Ingat..... "tiada  kekecewaan dalam hidup"



Friday, 1 November 2013

FLAT PKNS 17 TINGKAT KAMPUNG KERINCHI DALAM KENANGAN.....








1. Berita kebakaran Pangsapuri  PKNS 17 Tingkat  di Kampung Kerinci   (Bangsar South ?) Kuala Lumpur pada petang hari khamis 31 Oktober 2013 bukan sahaja menggemparkan masyarakat kota, malah turut menarik perhatian mereka yang pernah  mendiami atau menyewa di situ. Kebakaran yang berlaku di tingkat teratas (Tingkat 16) telah memusnah 6  dari 10  unit rumah di tingkat tersebut. Tiada apa yang dapat diselamatkan kerana kebakaran yang berlaku tingkat teratas, tidak sama dengan kebakaran yang berlaku pada mana-mana premis di paras bawah (groundfloor). Keutamaan penghuni ketika detik-detik cemas tersebut adalah menyelamat diri sendiri, insan tersayang atau teman serumah atau sebilik. Foto dan video yang diupload dalam facebook atau youtube menyegar kembali  ingatan penghuni kota  kepada peristiwa kebakaran Kompleks Cambell  pada 4 April 1976 yang kebetulan ketika itu filem blockbuster Hollywood  'The Towering Inferno'  (1974) yang dilakon oleh Steve Mc Queen dan Paul Newman baru selesai ditayang  di pawagan-pawagan di seluruh negara.

2. Urutan peristiwa  kebakaran adalah seperti berikut :-

2.1  Kebakaran tersebut mula disedari  oleh  Puan Aishah yang mendiami unit 10R di tingkat 16,  kira-kira jam 4.30 petang  semasa beliau   ke bilik air  berwuduk untuk solat asar. Beliau dapat merasa bahang pada dinding rumah dan sekelip mata api mula menjulang dari langsir bilik tidurnya  yang bersebelahan dengan bilik kediaman unit 12R. Beliau lari menuruni tangga menyelamat diri bersama-sama anak sehelai  sepinggang. Cuma fail-fail berisi sijil-sijil penting yang dapat dicapai.


2.2 Pada ketika yang sama, suami Puan Aisyah iaitu En. Zamri bin Mohamad Tenang  yang  baru selesai solat Fardhu Asar di surau tingkat bawah ternampak api menjulang di tingkat atas.  Beliau melaung azan  sebagai sunat muakad ketika  umat Islam berdepan dengan musibah,  lalu beliau  terus naik ke atas dengan menggunakan lif dan memjerit memanggil penghuni lain supaya menyelamat diri. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat  (JBP)  yang dihubungi telah menghantar sebanyak 13 jentera bomba dari 8 Balai Bomba Seputeh, Pantai, Hang Tuah, TTDI, Bandar Tuan Razak dan Gombak Selatan, yang memulakan kerja-kerja pemadaman pada jam 5.00 petang dan berakhir sekitar  jam 7.30 malam.


2.3  Pada peringkat awal, Pasukan JBP menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran.
Hal ini disebabkan oleh kerosakan hos bantuan awal kebakaran (bocor sebab di mamah usia). Pasukan JBP terpaksa mengepam air dari takungan "air terjun buatan" dari kondominium Bangsar South yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kebakaran. Api dikawal kira-kira dua jam kemudian. Semua laluan ke Jalan Kerinci di tutup dan penghuni tidak dibenar naik ke atas.   Bagaimanapun penghuni yang tidak terlibat hanya dibenarkan naik masuk ke kediaman masing-masing kira jam 11.15 malam. Akibat dari kebakaran tersebut, bekalan air ke flat tersebut terputus dan bekalan elektrik bagi tingkat 16 terjejas.   Hanya satu dari dua lif sahaja yang  berfungsi.

2.4 . Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat oleh Unit Forensik JBP.  Bagaimanapun, menurut saksi, api dikatakan bermula dari  unit 12R. Api  merebak dengan pantas dari Unit 12R ke unit 10R, 8R dan 6R.  Kemudiannya  api terus  merebak pula ke unit 14R dan  16R. Pergerakan tiupan angin  secara horizontal  dari barat ke timur menghasilkan pola kebakaran sedemikian.  Tambahan pula bumbung flet PKNS ini diperkukuhkan oleh alang dan kekuda yang diperbuat dari kayu, bukan dari kepingan logam besi seperti mana yang dipasang pada premis masa kini. Tidak ada dinding konkrit dibina untuk memisahkan di antara satu  unit   dengan unit yang lain. Oleh yang sedemikian, kebakaran dikatakan berpunca dari api yang dicetuskan oleh beberapa orang penghuni Indonesia yang sedang memasak di dalam bilik tidur di unit 12R. Potensi untuk api merebak pantas tentulah dibantu oleh bahan-bahan mudah terbakar seperti  langsir/tirai, kain baju, tilam span dan sebagainya.

2.5. Mangsa kebakaran telah  ditempatkan di Dewan Komuniti Pantai Dalam dan kemungkinan mereka akan disediakan kediaman baru di PPR Bukit Jalil. Agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyrakat, NGO dan DBKL masih membuat bancian dan menghulurkan bantuan kepada mangsa. Bagaimanapun sebuah jentera bomba, ambulan dan kenderaan unit Forensik JBP masih kedapatan di tempat letak kereta flat tersebut pada hari kedua kejadian. Petugas RELA masih bertugas di tingkat 16 dan pita keselamatan direntang di situ.

2,6 Di antara VIP yang terawal sampai ke lokasi kebakaran ialah YB Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai. Beliau telah menenangkan mangsa kebakaran dan melancarkan Tabung Bencana  Kebakaran flat PKNS Kampung Kerinchi.  Anda  pembaca blog ini dan juga selaku bekas penghuni di situ wajib menghulurkan sumbangan melalui akaun MAYBANK  564128345008 dan emailkan slip bayaran kepada email berikut :   pejabat@nurulizzah.com.

3.Sejarah ringkas  Kampung Kerinci  dan Pangsapuri PKNS 17 Tingkat adalah seperti berikut :-

3.1 Kampung Kerinchi mula didiami oleh sekumpulan penghijrah dari Daerah Jambi-Kerinchi di Sumatera di sekitar tahun 1917. Mereka terdiri dari suku kaum  Jambi, Minangkabau dan Acheh. Mereka meninggalkan tanahair kerana benci dengan pentadbiran  Tentera Belanda di Sumatera. Permulaannya mereka bertapak di Bukit Nanas, kemudian berpindah ke Bangsar Dalam  yang lebih dikenali sebagai  'kampong orang dari Kerinchi' atau Kampong Kerinchi.

3.2 Kampung Kerinci dahulunya adalah dibawah daerah negeri Selangor, tetapi kini menjadi sebahagian dari Bandaraya Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan. Kampung Kerinchi  terletak di antara Bukit Gasing  Petaling Jaya di sebelah  barat dan Kompleks Angkasapuri di sebelah timur, bersempadan  Lebuhraya Persekutuan. Di atas 'sebab-sebab komersial'  Kampung Kerinchi  kini telah mula disebut sebagai 'Bangsar South' oleh pihak pemaju hartanah.

3.3 Dahulunya  kebanyakan penduduk yang mendiami Kampung Kerinchi adalah dari berbagai kaum dari seluruh negara.  Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, penduduk dari kaum Cina dan India telah berpindah keluar. Sekitar tahun 1970-an, Kampung Kerinchi didiami oleh 100 % orang Melayu.

3.4  Terdapat  dua type flat di Kampung Kerinci, iaitu 4 tingkat (ada 12 blok - iaitu Blok A hingga Blok L)  dan satu blok 17 tingkat (dikenali sebagai Blok M), yang di dibina oleh  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun 1970-an sebagai usaha mengatasi masalah kemiskinan warga kota dan mengurangkan masalah pencerobohan tanah dan penempatan setinggan.

3.5. Lokasi Kampung  Kerinchi yang strategik menyebabkan  kawasan ini menjadi tumpuan penduduk.  Blok M iaitu flat 17 tingkat  di situ sangat gah kerana tapak binanya  di atas lereng bukit yang dipotong. Panorama dari tingkat atas boleh kita melihat bangunan pencakar langit bandaraya Kuala Lumpur saperti Menara Berkembar Petronas @ KLCC, Menara Kuala Lumpur, Menara 'rebung' TM dan perumahan mewah di sekitar Bukit Bangsar, Bangsar South,  jaringan lebuhraya bertingkat  Kerinchi Link -SPRINT serta LRT Putra.

4. Yayasan Anda Akademik dan Flat Kerinchi 17 Tingkat.

 Di antara kisah-kisah suka duka, benci rindu dan nostalgia  yang dapat dicoretkan di sini;

4.1 Apabila Yayasan Anda Akademik (YAA)  Jalan Hamzah Kampung Baru berpindah operasi ke lokasi baru  di Bangunan UDA  Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur pada tahun 1976, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengarah YAA ketika itu telah menghantar wakil YAA berbincang dengan pihak PKNS  berhasrat menyewa  Tingkat 15 dan 16 Pangsapuri PKNS 17 Tingkat Kampung Kerinchi  untuk dijadikan asrama pelajar dan warden. Jarak di antara YAA dan asrama Kampung Kerinci cuma 1 kilometer. Pelajar boleh berulang alik melalui Jalan Pantai Baru, melintasi jejambat Lebuhraya Persekutuan, atau melalui jejantas di belakang bangunan UDA dan terus ikut laluan atau lorong simpang-siur penempatan setinggan ke Flat Kerinchi.

4.2 Bagaimana pihak YAA boleh menyewa dengan mudah kesemua 20 unit rumah di tingkat 15 dan 16 Flat PKNS Kampong Kerinchi amatlah menarik. Dipercayai, Flat 17 Tingkat PKNS ini tidak didiami atau disewa bagi unit-unit atas. Hal ini disebabkan penghuni agak gayat tinggal di tempat tinggi.  Mereka yang biasa dengan kehidupan sosial  seperti bercucuk tanam dan bela ayam itek di atas tanah tidak selesa untuk mendiami di bangunan tinggi. Lagipun mereka fobia dengan lif yang kerap rosak.  Disebabkan oleh kekosongan unit-unit  di tingkat atas tersebut, YAA telah mengambil peluang   untuk dijadikan asrama di situ dan telah dipersetujui  oleh PKNS dengan kadar sewaan yang berpatutan.

4.3 Apabila pelajar dan guru YAA mula mendiami, gelagat mereka mulai mewarnai kehidupan sosial dan politik di situ.

4.3.1 YAA  telah menampatkan tidak kurang 200 orang pelajar asrama di tingkat 15 (Unit Q)  dan 16 (Unit R)   Setiap satu unit  bersaiz  861 kaki persegi mempunyai dua bilik besar dan satu bilik kecil, ruang tamu, dapur dan bilik air. Biasanya setiap bilik menempatkan 4 orang pelajar. Bilik kecil biasanya dikhaskan untuk Ketua Unit. Setiap unit dihuni oleh seramai 10 hingga 12 pelajar. Kadangkala ada unit yang berlebihan pelajar dan mereka ditempatkan di ruang tamu. Mereka ini mungkin pelajar 'penghuni setinggan" yang tak puas hati dengan roomate depa. Setiap pelajar disediakan kemudahan katil double decker bertilam, locker, meja dan kerusi studi. Pelajar dibenarkan memasak di dapur. Pearlatan memasak eg. dapur minyak tanah, kettle/ waterheater, pinggan mangkuk, periuk belanga dibawa dari rumah masing-masing. Bila tamat pengajian di YAA, peralatan itu ada yang diwakafkan kepada rakan junior atau  dibawa balik.

4.3.2 Untuk mengawasi pelajar, warden asrama yang terdiri guru bujang atau guru berkeluarga ditempatkan di situ saperti di Unit 6R dan 4Q.  Keakraban guru-pelajar terjalin begitu erat. Ada warden yang secara sukarela memberi tuisyen kepada pelajar. Ada yang mengangkut pelajar dengan van  pergi beriadah saperti Taman Tasik Taman Jaya PJ untuk bersenam pada hujung minggu.

4.3.3 Pada permulaannya pentadbiran asrama YAA telah menjadikan tingkat 15 sebagai asrama siswi, manakala tingkat 16 sebagai asrama siswa. Dikatakan terdapat segelintir pelajar siswa gemar "memancing" baju dalam pelajar siswi, maka asrama siswa di pindah pula ke tingkat 15 manakala siswi  tingkat 16. Apabila siswi di naikkan ke tingkat 16,   terdapat  segelintir pelajar YAA dan rakan yang terdiri dari anak-anak remaja dari tingkat-tingkat bawah seringkali   memanjat ke bahagian atas sekali, masuk melalui siling dan intai pelajar siswi yang sedang tidur atau mandi (jika tidak pakai kain basahan)....... hi..hi..hi.....hi, semua 'topografi'  tubuh badan engkau orang depa dah 'survey' tau!  Dengan kerjasama dari persatuan penduduk, grill dipasang supaya kejadian ini tidak berulang. Tingkat teratas  (di sebelah bilik motor lif)  juga menjadi ruang lepak dan merokok oleh  pelajar dari Sekolah Menengah Sri Pantai dalam waktu persekolahan.

4.3.4 Pada Pilihanraya Umum Tahun 1978,  (kebetulan Parti PAS  baru disingkirkan dari Barisan Nasional pada tahun 1977),  Flat PKNS 17 Tingkat menjadi medan perang poster, bendera dan banner kedua-dua pihak. Keadaan menjadi bertambah gawat apabila  berlakunya pertembungan di antara rombongan perarakan BN yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri Tun Husein Onn  dengan rombongan dari parti PAS yang diketuai  oleh Presiden PAS Datuk Hj. Asri Muda.  Dikatakan pelajar YAA di situ lebih berminat sokong PAS. Oleh itu bendera, banner dan replika 'bulan' digantung dari tingkat 16 sampai ke bawah.

4.3.5 Kediaman di asrama tidak sunyi dari masalah-masalah remaja seperti berkasih-kasih, bercintan-cintun siswa-siswi, merokok, keluar malam menyaksikan konsert seperti konsert Bon Jovi, dan berbagai lagi. Tetapi ramai yang menjadi YAA dan asrama  sebagai tempat menimba ilmu dan telah berjaya menyambungkan pengajian ke IPT dan  menjawat beberapa profesion yang hebat.  Ramai juga yang telah menjalami proses tarbiyah di YAA dan asrama menjadikan mereka  insan berakademis dan bertaqwa.

4.3.6 Kehidupan ibarat putaran roda..... Setelah  Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai TPM, dengan keadaan ekonomi negara yang masih meleset, jumlah pelajar di asrama semakin berkurangan. Banyak unit yang kosong. YAA terpaksa menyewakan  unit-unit tersebut kepada masyarakat luar terutama siswa-siswi dari Universiti Malaya dan Maktab Perguruan Bahasa. Akhir sekali pihak PKNS telah membatalkan perjanjian penyewaan  pada 1 Ogos 1999 dan YAA dikehendaki menyerah kesemua unit-unit di tingkat 15 dan 16. PKNS telah membuat tawaran kepada orang luar untuk membeli pada harga RM 80,000 perunit


Kini bila menyusur Jalan Pantai Baru menuju ke Lebuhraya Persekutuan, bangunan UDA sudah  'khalas' manakala bekas  asrama Flat Kerinchi sudah menjadi arang.......yang tinggal cuma nostalgia sahaja..............