Thursday, 17 September 2015

RUMAH TERBALIK (UPSIDE DOWN HOUSE) TAMPARULI - KREATIVITI PRODUK PELANCONGAN YANG MENGUNTUNGKAN



1. Penulis pernah berkunjungan ke Negeri Di Bawah Bayu kali pertama pada tahun 1978. Ketika itu landmark Kota Kinabalu (KK) ialah Masjid Negeri di Sembulan dan menara Ibu Pejabat Yayasan Sabah di Likas yang separuh siap.  Kunjungan buat kali ke-2 baru-baru ini telah menggamit pemerhatian penulis terhadap kemajuan pesat Bandaraya KK dan zon pinggiran kota. KK kini dipenuhi dengan bangunan moden dan tinggi. Di antara landmark baharu yang bakal menjadi ikonik warga Sabah ialah bangunan pejabat baharu Wisma Negeri di Telok Likas yang bakal menempatkan Dewan Undangan Negeri dan Pejabat Ketua Menteri.




2. Sesuatu yang agak menarik dan perlu di lawati ketika anda berada di Sabah  ialah berkunjung Rumah Terbalik yang terletak di Kampong Telibong Tamparuli iaitu kira-kira 40 km dari KK. Untuk ke sana, pergerakan kita menghala ke arah Tuaran - Kundasang - Ranau. Lokasi pada tepi jalan memudahkan pengunjung temui rumah tersebut. Bayaran masuk yang dikenakan untuk warga Malaysia dewasa  ialah RM 10.00 seorang. Objek pelancongan terbaharu di Sabah itu diusahakan secara persendirian dibuka untuk kunjungan orang ramai pada bulan Februari 2012. Tidak syak lagi, lokasi yang berdekatan daerah pelancongan di Tamparuli-Kundasang - Ranau telah menarik ratusan pengunjung sehari ke situ. Waktu lawatan dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari. Hanya group kecil iaitu kira-kira 10 orang pengunjung dibenarkan masuk ke dalam rumah tersebut pada satu-satu masa. Ruang menanti yang selesa di sediakan bagi group berikutnya. Dicadangkan pengunjung datang pada sebelah awal pagi kerana bilangan pengunjung kurang pada waktu tersebut. Pengunjung yang berhajat untuk ke situ boleh dapatkan perkhidmatan van shuttle yang akan mengambil pengunjung di Centre Point dan Wisma Merdeka Kota Kinabalu mengikut jadual perjalanan yang telah ditetapkan.




3. Menurut touris guide yang ditugaskan di situ, Rumah Terbalik Tamparuli tersebut telah di daftarkan dengan Malaysia Book of   Record sebagai yang pertama di bina di Asia Tenggara dan telah ada beberapa model yang sama di beberapa buah negara lain. Pemilik rumah tersebut ialah seorang ahli perniagaan dari Johor yang bernama Alexander Yee. Beliau sememangnya terlibat sebagai penggiat perlancongan dan memiliki sebuah chalet di Sukau. Kos binaan fasa awal dianggarkan sebanyak RM 500,000



 4. Sesuai dengan konsep terbalik, pengunjung di bawa masuk melalui pintu belakang. Dari situ pengunjung akan melihat semua kelengkapan di bahagian luar rumah seperti pasu bunga dan ampaian baju yang semuanya dipasang terbalik. Memasuki ke dalam rumah terbalik seolah-olah kita berjalan di atas siling. Kita terpaksa mendongak untuk menyaksikan peralatan memasak seperti dapur, tong gas, pinggan mangkok, almari dan sebagainya terpaku di lantai rumah yang terbalik. Untuk memudahkan pengunjung mendekati objek tersebut, satu  laluan khas yang disediakan supaya tidak memijak siling yng boleh pecah.



5.  Rumah terbalik itu dibina berdasarkan rekabentuk rumah-rumah yang terdapat di Kota Belut. mempunyai keluasan 1500 kaki persegi, dilengkapi dua kamar tidur, satu ruang tamu, ruang dapur dan tandas. Pergerakan kita ke ruang amat terhad kerana terdapat kipas angin siling yang terpacak tegak pada lantai. Supaya pengunjung tidak pening mendongak ke atas, sekeping cermin besar diletakkan pada lantai di salah sebuah kamar bagi membolehkan pelawat merasakan seolah-olah berada dalam kamar tidur yang sebenar.


6. Cuma lima hingga 10 minit sahaja pengunjung dapat menyaksikan peralatan dan perabut yang terdapat di dalam rumah tersebut. Untuk makluman, sebagai satu dari strategi perniagaan, pengunjung dilarang mengambil foto atau berselfie pada mana-mana sudut atau ruang sebelah rumah.  Awas, sekiranya ditangkap pengunjung akan denda bah.

ruang tamu


perabut dan peralatan terpacak kuat pada 'lantai'


boleh pening 

7. Setelah melangkah keluar melalui pintu  hadapan rumah, pengunjung diminta memukul gong sebagai tanda telah selesai melawat rumah tersebut. Untuk tidak menghampakan pengunjung yang tidak dibenarkan berfoto atau berselfie pada bahagian dalam rumah, pemilik telah membina beberapa lanskap kejur dengan konsep terbalik seperti garaj pakir kereta yang keadaan kereta terbalik, ruang tandas  dan peralatan perkebunan yang semuanya terbalik. Sebuah surau dan restoran  iaitu Mango Garden Restaurant juga terdapat di situ (tetapi tidak terbalik tau). Pengunjung juga boleh membeli cenderahati di gelari cendarahati atau berkunjung ke muzium iaitu 3D Wonders Museum yang telah di buka pada 28 May 2015 yang  lalu. Pengunjung yang berhajat untuk memasuki muzium tersebut boleh membeli tiket pakej dengan harga RM 35.00 iaitu diskaun RM 7.45.. Sesuatu yang menarik di kompleks Rumah Terbalik tersebut terdapat ruang lapang bagi membolehkan pihak-pihak luar mengadakan  aktiiviti atau persembahan kepada pengunjnug. Misalnya Bamboo Orchestra dari SMK Tamparuli pernah membuat persembahan orkestra menggunakan alat muzik dari buluh.di situ.


dah pukul gong


6. Untuk penambahbaikkan, penulis ada sarankan kepada wakil pemilik rumah tersebut supaya peti TV yang terletak di ruang tamu ada menyiarkan rancangan tv yang telah dirakam secara video dan disiarkan semula dalam keadaan terbalik supaya lebih gimik.  Buku Pelawat juga perlu diadakan supaya pelawat boleh membuat catatan lawatan dengan tulisan secara terbalik atau atau tulis undur belakang.

bermacam aksi boleh dilakukan














Saturday, 27 June 2015

TRAVELOG YANG BERJAYA (DARI LAHAR YOOI KE ALEXANDRIA-MANCHESTER) Part 20 - AKHIR

PART 20  :  BALIK KE CAIRO - KEHEBATAN  KUBU SALAHUDDIN AL-AYUBI


Baca Part 19 DI SINI


1. Pesawat Manchester-Istanbul-Alexandria tiba di Lapangan Terbang Borg el Arab Alexandria pada jam 3.00 am. Kami terkejut kerana Ustaz Affuan dan Ustaz Azin telah menunggu ketibaan kami bersama sebuah tramco. Kami terus di bawa ke rumah Ustaz Affuan di As-Sofirah Beach. Setelah berehat, pada sebelah petang kami meneruskan aktiviti lawatan sekitar Alexandria dengan berkunjung ke Istana King Farouk di Montazah iaitu terletak kurang satu km dari kediaman Ustaz Affuan. Untuk masuk ke kawasan istana, pengunjung di kenakan bayaran 9 Geneh seorang. Kawasan istana amat luas iaitu kira-kira 155 hektar. Di dalamnya tersergam istana King Farouk yang memiliki seni bina yang indah, ditambah pula dengan kedudukannya yang terletak di dataran tinggi menghadap ke arah lautan Mediteranean. (Sekadar info, King Farouk adalah Raja terakhir kerajaan Monarki Mesir yang berpusat di Iskandariah. Sebagai seorang raja yang lemah kerana sikap boros dan rendah akhlak, baginda telah dikudetakan oleh Jenderal Jamal Abdul Naser yang mengangkat diri beliau sebagai President Republik Rakyat Mesir yang Pertama dan telah mengishytihar pemerintahan Mesir bertukar kepada negara Republik yang berpusat di Kaherah). Kawasan lapang di Montazah amat sesuai untuk aktiviti kekeluargaan. Kami disapa oleh satu keluarga Arab dan menjemput kami bersama meraikan parti  birthday cucu mereka di situ. Alhamdullah, kami dijamu kek yang sangat sedap. Syukran.  Seterusnya kami ke pinggir pantai Laut Mediteranean untuk menyaksikan saat-saat matahari terbenam. Gelagat anak pasangan Ustaz Affuan dan Nurun Aina telah menarik ramai kanak-kanak dan remaja  Arab untuk memeluk, mendukung, berjalan bersama dan berselfie dengan Putri Affina Sofea.  Menjelang maghrib, kami balik solat jamak di kediaman Ustaz Affuan. Pada sebelah malamnya sekali lagi  Ustaz Affuan dan isteri mengajak kami menjamu mata di sekitar Pasar Al-Khalili.


Ust. Affuan, isteri Nurun Aina dan puteri kesayangan mereka Putri Affina Sofea
tiket masuk ke kawasan Istana

berjamu selera bersama dengan satu keluarga Arab 
terdapat banyak pokok kurma yang di tanam di dalam kawasan istana. Kononnya, satu pokok mewakili satu gundik yang dimiliki oleh King Farouk
ramai remaja berkunjung dengan menaiki kereta mewah  sambil memutar muzik pop Arab yang bingit

ni dia Istana King Farouk - di tutup kerana kerja-kerja baik pulih

Laut Mediteranean

budak-budak Arab ni geram tengok Putri Affina - pakat berebut dan pimpin tangan 

Mereka teruja dapat bersama Putri Affina. Budak Arab yang berjaket hitam tu menangis kerana tidak dapat memegang putri Affina 


Ramai pelawat berkunjung pada sebelah petang



Subhanallah - cantik melihat matahari mulai terbenam



satu kawasan perumahan golongan mewah bersebelahan Istana  King Farouk. Pengunjung dikenakan bayaran tol untuk memasuki kawasan tersebut.



kalau tuan/puan ke Iskandariah, jangan lupa minum air tebu yang penuh aroma, manis dan sedap.
Pasar Malam al-Khalili

terdapat berbagai-bagai jenis makanan yang dijual. Kami membeli ubi keledek yang dibakar dalam satu dapur khas - sedaaap
orang Arab amat gemar membeli pakaian yang agak seksi (dipakai disebalik jubah labuh tu)

sulaman sesuai untuk dihadiah kepada pengantin baharu. Boleh sulam nama pengantin lelaki dan perempuan dalam logo love

2. Keesokan hari, kami melawat Perpustakaan Alexandria atau Bibliotheca Alexandaria iaitu pernah menjadi salah sebuah perpustaan yang terbesar dan tertua di dunia. Sejarah penubuhan librari itu amat menarik. Librari ini di bangunkan pada Tahun 56SM. Suatu ketika pernah memiliki sejmlah 700000 koleksi buku yang disusun menurut tema, termasuk karya penulis dan penyair tersohor seperti Homer, Sophocles, Aristophanes, Archimedes dan hipppocrates. Dikatakan pernah dibakar oleh Maharaja Julius Caesar pemerintah dari Roman bertujuan sebagai satu strategi peperangan dan menghapuskan sejarah tamadun ilmu pengetahuan Islam. Sekarang, Bibliotek Alexandria di rasmi pada Tahun 2003 iaitu bangunan baharu dengan keluasan lantai melebihi 70,000 meter persegi dan memiliki lebih 8 juta naskah buku  Bayaran masuk di kenakan kepada  pelawat.  Bagaimana pun, penulis dan isteri bernasib baik kerana kepintaran Ustaz Affuan membolehkan kami dikenakan bayaran cuma 1 Geneh sahaja iaitu caj untuk pelajar. Setiap pengunjung mesti melalui pemeriksan keselamatan yang ketat apabila melalui pintu imbasan anti logam. Hiasan dalaman cukup cantik. Bangunan itu juga mempunyai sebuah pusat persidangan, perpustakaan dikhususkan untuk golongan buta dan kanak-kanak, 3 muzium, 4 galeri seni, sebuah planetarium serta sebuah makmal pemulihan manuskrip.

cantik dan hebat


sebahagian dari arca yang dipamir di luar librari

laluan ke bahagian pintu masuk utama



Kampus Universiti Alexandria yng berlokasi bersebelahan Bibliotek Iskandariyah



Bahagian dalam perpustakan





Hebat



koleksi mesin cetak buku / kitab turut di pamerkan

berbagai kemudahan di sediakan pada lantai B

buku terbaharu

3. Dari Bibliotek Alexandria, kami balik semula ke aparment Affuan untuk makan tengahari dan seterus membawa turun semua bagasi untuk di bawa ke Cairo. Kami dapatkan perkhidmatan keretapi ayam untuk ke stesen utama Alexandria dan seterusnya naik keretapi ekspress ke Cairo. Dari situ, kami sekali lagi ke Malaysia Hall untuk bermalam kerana kami bercadang melawat Kubu Salahudin sebelum ke airport Cairo, berangkat pulang ke Malaysia. Setelah urusan cek-in bilik di Malaysia Hall selesai, kami keluar mencari makan malam bersama Ustaz Affuan dan seorang pelajar Malaysia ke sebuah restoran Cina Muslim yang terdapat berdekatan Malaysia Hall. Lewat malam kami pulang dan tidur dengan senyenyak-nyenyaknya.

tren ke Cairo jam 6.11 petang

4. Setelah sarapan pagi di cafe Malaysia Hall, Ustaz Affuan datang jemput kami untuk lawatan seterusnya dan yang terakhir di bumi Mesir iaitu berkunjung ke Kubu Salahuddin Al-Ayubi. Kami dapatkan teksi ke situ. Kami ditemani oleh tiga orang pelajar Malaysia yang turut pertama kali melawat kubu itu. Kubu (qal'ah) Salahuddin dibangun oleh panglima Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1183 untuk membentengi kota Cairo dari serangan-serangan luar, khususnya dimasa Perang Salib. Terletak disebelahan Bukit Muqattam. Sebahagian besar batu untuk membina kubu yang kukuh itu di bawa dari kawasan piramid Gaza. Terdapat banyak pintu masuk. Kami masuk ikut pintu Fath. Terdapat banyak kesan sejarah . Dalam kubu tersebut juga terdapat Masjid  Mohamad Ali Pasha persis Masjid Biru di Istanbul. Terdapat juga di dalam kawasan kubu tersebut bangunan yang diubahsuai menjadi Muzium Polis, Muzium Permata (koleksi perhiasan Raja Mesir) dan Muzium Angkatan Tentera Mesir. 


Hebat - Kubu Salahuddin mempunyai tembok tinggi menghalang musuh ceroboh masuk



penulis bersama Ustaz Affuan dan pelajar Malaysia di Mesir di hadapan pintu masuk Kubu Salahuddin

ni dia Masjid Mohammad Ali Pasha yang sungguh cantik di perbuat dari marmar.

ketinggian kubah 52 meter dan menara menjulang ketinggian 84 meter



MPSP boleh tiru ni.

laluan ke Muzium Polis dan Muzium ATM

Masjid Mohammad Ali Pasha yang sungguh cantik

Ruang dewan solat utama dengan  lampu candeliar yang sangat cantik 



Pintu Masuk Muzium Polis


ni dia lokup tempat tahanan penjenayah dan penentang Raja Mesir


sebahagian dari aset tentera Mesir yang dipamirkan termasuklah jet-jet pejuang, kereta kebal dan pelancar roket dan misil.


unit artileri Mesir




Setelah hampir dua jam kami meninjau seluruh kawasan  Kubu Salahudin, kami dapatkan teksi ke untuk ke Malaysia Hall memugut bagasi yang disimpan di situ, seterusnya  ke Cairo International Airport. Perjalanan ke airport  memakan masa lebih satu jam kerana pihak tentera Mesir telah membuat sekatan jalan raya mengesan dan menghalang atau menangkap pihak-pihak tertentu melolos diri meninggalkan negara tersebut. Di Balai Berlepas, kami bertemu semula dengan Naemah dan anak cucu Kak Zah. Setelah selesai semua urusan imigresen dan kastam, kami menaiki pesawat Etihad menuju ke Abu Dhabi dan seterusnya balik ke KLIA.

Rumusan

Mini travelodge kami agak berjaya, terutama ketika berada selama 11 hari di UK. Kami agak terkilan kerana tidak berpeluang melawat banyak tempat lain di Mesir kerana kesilapan perancangan oleh Naemah. Kami dimaklumkan, keluarga Naemah sangat kecewa kerana selama tiga minggu mereka berada di Cairo dan Iskandariah, hanya tempat tertentu sahaja di lawati. Disamping melihat dengan mata kepala kami sendiri beberapa objek tarikan dunia seperti piramid, spink, Sungai Nil, Masjid Biru dan Aya Sophia serta London Tower Bridge, Big Ben dan Stadium Manchester United, kami juga telah dapat menjalin persahabatan dengan beberapa rakyat Malaysia samada sebagai pelajar atau mereka yang telah menentap sekian lama di Mesir dan UK.




BACA   PART  1  ; DI SINI



Siri akan datang - pengalaman ke Guilin China - Taman Syurga Dunia 

SEJARAH PUASA DAN AMALAN PUASA RASULULLAH S.A.W



1. Syariat  amalan ibadat puasa dalam Islam adalah lanjutan  tradisi puasa seluruh agama samawi (Agama Wahyu dari langit) yang ada sebelum munculnya agama Islam. Dengan kata lain, penganut agama Yahudi, Kristian dan penganut agama Ardhi seperti agama Budha, Hindu, Congfucius dan sebagainya telah melakukan puasa mengikut ritual agama mereka. Pada peringkat awal mulanya perintah berpuasa, kaum Muslimin dan muslimat diajar berpuasa sekitar 22 jam, iaitu berbuka puasa apabila masuknya waktu maghrib. Setelah menjamah juadah berbuka puasa atau berjimak dengan isteri, mereka langsung berpuasa kembali setelah menunaikan solat Isyak. Dalam kes-kes tertentu, mereka yang keletihan dan tertidur sehingga masuk waktu Isyak, setelah terjaga, mereka tidak dibenarkan makan (berbuka dan bersahur) lagi, yakni mereka mesti meneruskan puasa. Mereka tertakluk kepada syarat-syarat wajib puasa atau pantang larang yang dikenakan kepada orang berpuasa, iaitu  mereka dilarang makan, minum dan melakukan jimak dengan isteri hingga hari berikutnya. Namun, setelah sahabat Nabi s.a.w, Umar bin Khathab r.a mengungkapkan kejadian mempergauli isterinya pada satu malam Ramadhan kepada Rasulullah s.a.w, maka Malaikat Jibrail turun membawa Wahyu dari Allah s.w.t.  seperti yang terdapat dalam surah  Al-Baqarah: 187:


“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, karena itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri'tikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, Maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.”

Dengan turunnya ayat tersebut, dengan tersendirinya terbatallah segala larangan dan pantang larang yang dikenakan kepada mereka yang berpuasa. Jelas, dari ayat di atas,  Allah s.w.t menghalalkan hubungan suami-isteri pada malam sepanjang bulan Ramadhan  Al-Kareem dan ketegasan batas waktu puasa yang dimulai dari terbitnya fajar hingga terbenam matahari. 


2. Supaya kita mendapat keberkatan dari ibadat puasa, berikut adalah antara beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjalankan ibadat puasa pada sepanjang Ramadhan 

  • Rasulullah s.a.w bangun bersahur.
Rasulullah s.a.w bersahur awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Dari segi biologi bersahur pada waktu tersebut  memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Iman Bukhari:

Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan."


Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari ciri-ciri bersahur orang Islam. Menurut satu hadis yang diriwayatkan Imam Muslim r.a;

"Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur"


  • Menyegerakan Berbuka Puasa
Amalan menyegerakan berpuaka puasa apabila telah tiba waktu berbuka ada diterangkan dalam hadisnya seperti yang dilaporkan oleh Imam Bukhari dan  Muslim:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ "

"Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa".

Perbuatan melambat-lambatkan berbuka puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w.  Bagi penganut Yahudi dan Nasrani, mereka sering memlewatkan waktu berbuka. Ajaran syiah juga menuntut pengamal ajaran tersebut melewatkan berbuka puasa.  Menurut Imam Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h,

قال النبي صلى الله عليه وسلم : " لا يزال الدين ظاهراً ما عجل الناس الفطر لأن اليهود والنصارى يؤخرون "

"Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya."

Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata:

وقال عمرو بن ميمون الأودي رحمه الله : " كان أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم أسرع الناس إفطارا ًوأبطأهم سحوراً "

"Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur".

وعَنْ عُمَارَةَ بْنِ عُمَيْرٍ عَنْ أَبِي عَطِيَّةَ قَالَ :
دَخَلْتُ أَنَا وَمَسْرُوقٌ عَلَى عَائِشَةَ فَقُلْنَا يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ : رَجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدُهُمَا يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ، وَالآخَرُ يُؤَخِّرُ الإِفْطَارَ وَيُؤَخِّرُ الصَّلاةَ ..
قَالَتْ : أَيُّهُمَا الَّذِي يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ؟
قَالَ قُلْنَا عَبْدُ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ مَسْعُودٍ .
قَالَتْ كَذَلِكَ كَانَ يَصْنَعُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .

Dari Abi ‘Atiyyah katanya: "Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah di antara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.


  • Doa Ketika Berbuka Puasa

Rasulullah s.a.w menuntut kita bahawa berdoa apa sahaja  ketika berbuka puasa kerana ketika itu adalah waktu mustajab berdoa. Berdasarkan hadis sahih Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang diriwayatkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:

إبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :ثلاثه لاترد دعوتهم : الأمام العادل , والصائم حتى يفطر , ودعوة المظلوم...

"Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi..."

Di antara doa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w ketika waktu tersebut adalah:

ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى

Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.


  • Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma

Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Perbuatan tersebut sangat baik dan tidak menganggu sistem peghazaman tubuh kerana buah kurma kaya dengan berbagai zat mineral yang baik untuk proses penghazaman. Dengan itu, memudahkan baginda melakukan solat Maghrib.

Menurut  Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi :

"Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air."

kurma basah segar


  • Menjaga Lidah

Ramai yang berpuasa, tetapi tidak mendapat pahala dari amalan tersebut. Sebaliknya mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana mereka tidak menjaga lidah. Sepatutnya pada bulan puasa, kita dituntut membasahkan bibir dengan zikrullah atau bertadarus, sebaliknya kita lebih gemar mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha.

sahabat kita ketika kita menjauhi sunnah Nabi saw
 Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabarani:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

"Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)".

Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

"Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda : "Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya."


  • Tidur Qailulah
Supaya umat Islam sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya, Rasulullah s.a.w mengajar kita dengan tidur sebentar sebelum masuk waktu solat zohor. Perbuatan tersebut  dinamakan dengan Qailulah. 

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Ibn Majah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ “

Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; "Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam".

Tetapi awas. qailulah hanya tidur sekejap sahaja yakni bukan berpuasa tetapi tidur dari pagi sehingga masuk waktu maghrib tanpa mendirikan solat Zohor dan Asar, bertadarus, berzikir dan melaku amalan baik yang lain. Puasa Ramadhan adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana ganjaran pahalanya sangat lumayan.


  • Memberi Makan Kepada Orang Berbuka Puasa 

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Iman  Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah s.a.w bersabda;

"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya"


waktu berbuka puasa di Masjid Nabawi

antara jaudah berbuka jemaah umrah dari Malaysia di Masjid Nabawi