Sunday 18 September 2016

LAWATAN KE HONG KONG Part 2 - DARI KOWLOON KE HONG KONG ISLAND



PANORAMA DARI THE PEAK YANG MEMPERSONAKAN


BACA PART 1 DI SINI



1. Pada hari Ke-2 di Hong Kong, kami telah dapat menyesuaikan diri dengan segala cabaran yang sering dihadapi oleh para musafir bila berkunjung ke negara orang kafir. Sebenarnya banyak cabaran buat pengembara muslim, terutama dari kategori backpacker. Mungkin cabaran tersebut tidak banyak dialami jika menggunakan perkhidmatan agensi atau pakej pelancongan. Sebab itulah Allah SWT memberikan ganjaran yang istimewa kepada para musafir. Mereka dianugerahkan peluang untuk melakukan solat jamak dan  solat qasar. Malah, doa orang yang bermusafir diangkat terus oleh Allah sebagai doa yang mustajab. Terdapat berbagai hikmah disebalik musafir tersebut sepertimana kata Iman Asy Syafie Rahimahullah; "Setiap mereka yang musafir atau berhijrah akan mendapat lima kebaikkan :-

  • Jika dia memerhatikan ciptaan Allah di tempat itu dengan iman, dia akan memperoleh iman
  • Jika dia berhajat untuk mencari ilmu, dia akan mendapat ilmu.
  • Jika dia berjalan untuk menimba pengalaman, dia akan mendapat pengalaman. Melalui pengalaman, dia mendapat asas hikmah.
  • Jika dia bermusafir untuk mencari kenalan, dia akan dapat mendapat kawan.
  • Jika dia mencari peluang untuk berniaga, dia akan mendapat rezeki".

2. Sarapan pagi kami pada hari Ke-2  adalah biskut Tiger, mee maggi dan ketupat daun palas yang masih segar kerana disimpan dalam mini fridge dalam kamar hotel. Hari ini kami berdua sahaja yang akan keluar melancong kerana anak kami Mohamad dan rakan beliau akan mulakan tugasan rasmi di HKIA. Kami ke lobi untuk dapatkan pas bas shutle percuma  ke Kowloon. Sementara bas sampai, kami mula merancang ke mana nak pi. Berpandukan risalah-risalah pelancongan yang kami pungut dari kaunter informasi dan hasil dari perbualan dengan seorang pekerja hotel berasal dari Indonesia, kami memutuskan plan pergerakan kami akan meliputi perkara berikut :-

  • Memandangkan hanya kami berdua, timbul persoalan adakah perlu kami pergi ke Hong Kong Disneyland atau Ocean Park yang lebih sesuai untuk kanak-kanak  dan remaja?
  • Demi menjaga aqidah, kami tidak bercadang melawat kuil atau temple yang dikenakan bayaran. Pengalaman kami melawat kuil berbayar (caj tiket masuk) seperti ke Chandi Barabodour di Yogjakarta pada Tahun 2010 telah disanggah oleh rakan-rakan yang menyatakan hukum haram melawat tempat-tempat ibadat orang kafir tersebut kerana wang atau tiket masuk digunakan untuk tujuan kos selenggaraan kuil tersebut. Jadi, berkunjung ke patung Tian Tan Buddha Po Lin Monastery yang menjadi ikonik di Hong Kong tu dan kuil-kuil lain  tidak dalam senarai kami.
  • Tempat yang mengenakan tiket bayaran masuk yang mahal seperti Muzium Madame Tussauds (HKD 295 + Pakej Peak Tram), Noah's Ark HKD 190 dan sebagainya

3. Memandangkan kami ada baki tiga hari, maka kami putuskan pada Hari Ke-2, melawat sekitar Tsim Tsa Tsui (TST) dan Mang Kok di Kowloon dan Pulau Hong Kong. Pada Hari ke-3 ke Macau. Hari Ke-4 melawat bersama anak kami ke sekitar TST Promenade dan Nathan Road sekali lagi sebelum berlepas pulang ke tanah air.

4. Bas shuttle milik Hotel Regal Airport tempat kami menginap berlepas tepat jam 9.10 pagi. Hanya empat orang penumpang yang menaiki bas tersebut. Perhentian pertama bas tersebut  ialah Hong Kong Disneyland yang terletak di Landau Island. Cuma dua orang gadis remaja dari Jepun yang turun. Kami meneruskan perjalanan ke Kowloon. Sekadar info, diantara objek pelancongan bersifat education yang menarik di Hong Kong ialah muzium. Terdapat banyak muzium yang sesuai untuk dikunjungi, misalnya Muzium Sains, Muzium Sejarah, Muzium Ruang Angkasa dan sebagainya.  Destinasi kami yang pertama ialah ke Muzium Sains Hong Kong yang terletak di Tsim Tsa Tsui Timur. Dari Hotel Regal Kowloon (perhentian terakhir bas shuttle), kami menuju ke Muzium Sains Hong Kong. Kami berjalan kaki kira-kira 250 meter untuk sampai di situ.  Muzium ini mempunyai lebih 500 bahan  pameran yang unik dan banyak aktiviti-aktiviti interaktif yang berbeza dan menyeronokan. Bayaran masuk HKD10. Tetapi kami masuk pada Hari Rabu - adalah "free entry day". Jimat. Pada Dewan Pameran Aras 2 pelawat boleh meninjau bahagian Transportation, Galeri Telekomunikasi, Zon Prototype, Home Technology dan Food Science. Turun ke Aras 1 terdapat ruang pameran Occupational Safety and Health, Galeri Electricity and Magnetism serta Sound. Objek pertama yang menarik perhatian sebaik sahaja kita memasuki muzium tersebut ialah  pesawat sebenar Cathay Pacific DC3 yang tergantung diruang atas. Tentulah kelengkapan berkaitan dengan dunia penerbangan seperti kotak hitam turut dipamirkan dan simulator penerbangan. Pada ruang telekomunikasi - pelawat ditunjukkan beberapa jenis peralatan komunikasi dari zaman primitif ke moden. Tarikan terbesar di sini adalah studio TV yang terletak di dalam bilik cahaya dan bunyi. Diantara aktiviti interatif ialah anda boleh membuat muzik dengan pergerakan tangan anda, melemparkan bola dalam lengkung dan melihat pergerakan titisan air bak mutiara bergetar ikut alunan muzik. Pada penghujung  lawatan, ramai pelawat  menunggu detik menyaksikan  mesin daya atau The Energy Machine beroperasi. Berapa biji bola yang diangkat naik ke atas akan bergolek dan akan menggerakkan mesin-mesin lain membentuk alunan muzik dan visual yang mengasyikkan.


Pesawat pertama yang dibeli oleh Syarikat Penerbangan Cathay Pacific


inilah kotak hitam yang telah di'bedah' untuk pengunjung melihat binaan pada sebelah dalam.


sebuah injin jet pesawat moden


mesin telegraf yang diguna pada awal sistem telekomunikasi


Inilah Energy Machine yang tingginya 22 meter iaitu merupakan binaan yang terbesar di dalam Muzium Sains


Energy Machine - displaying energy conversion when balls set in motion and producing dramatic sounds and visual effects.


salah sebuah ruang stimulator yang menarik perhatian pelawat.


5. Tidak jauh dari Muzium Sains, terdapat Muzium Sejarah atau Hong Kong Museum of History. Pelawat yang ke Hong Kong disarankan mengunjungi Muzium Sejarah Hong Kong kerana nilai kunjungan amat berbaloi - bukan hanya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai subjek sejarah Hong Kong tersebut, malah memahami bagaimana Hong Kong membentangkan pengkisahan sejarah  kepada dunia. Sebaik sahaja memasuki muzium tersebut, pelawat akan didedahkan  gambaran arkeologi wilayah Hong Kong, etnografi, dan sejarah semulajadi dan tempatan. Sebuah pawagam mini disediakan dengan satu persembahan video sejarah geologi Hong Kong berdurasi kira-kira 20 minit dipertontonkan kepada pelawat. Seterusnya pelawat akan memasuki 'The Hong Kong Story' yang  membolehkan  pelawat melalui sejarah lampau wilayah itu melalui lapan galeri, bermula dengan alam semula jadi dan prasejarah Hong Kong - kira-kira 6000 tahun yang lalu,  sehinggalah sejarah berakhir dengan pulangan wilayah tersebut  kepada Negara China pada tahun 1997.  Pelawat  akan menemui replika rumah-rumah kampung tradisional, pakaian dan katil Cina, junk dan kapal tradisional, termasuk sebuah kedai perubatan Cina lama. Juga sebuah tram dua tingkat yang pertama beroperasi di jalanraya (rel) Hong Kong pada Tahun 1913 dan sebagainya. Penulis amat teruja apakala memasuki Galeri The Folk in Hong Kong dan Pengkisahan Perang Candu aka Opium War yang penulis pernah pelajari semasa berada di sekolah menengah dahulu. Moral dari Perang Candu - sangat emosi dan sedih kerana  pihak British tergamak menjadikan dagangan candu yang amat menguntungkan mereka dan dalam masa yang sama merosakkan nilai kemanusiaan penduduk Hong Kong aka China dan seterusnya  memudahkan beberapa buah bandar dan pelabuhan  China ditawan oleh British. Zalim sungguh British !!! (Kamera dan video dilarang bawa masuk......tapi penulis curi-curi juga tangkap sekeping dua).



Senibina yang menarik pada Hong Kong Museum of History


Pintu Masuk ke The hong Kong Story - bahagian yang amat menarik dan di kenakan tiket masuk.





sejarah awal tamadun dan kependudukan di Hong Kong



(foto google - tram dua tingkat yang sinonim dan ikonic buat penduduk Hong Kong


5. Pergerakan kami seterusnya ke Muzium Ruang Angkasa yang terletak bersebelah Hong Kong Cultural Centre. Nasib kami kurang baik kerana muzium tersebut ditutup  untuk kerja-kerja naik taraf. Sebagai opsyen, kami seterusnya ke Ladies Market. Untuk itu kami gunakan pergerakan bawah tanah atau subway untuk ke stesen MTR TST, seterusnya ke stesen Mang Kok. Pemandangan subway amat memukaukan. Senibina binaan bawah tanah itu bukan sahaja menjadi tumpuan pengguna MTR malah penduduk setempat dan pelancong untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi. Subway amat bersih, berhawa dingin dan dilengkapi berbagai kemudahan  dengan petunjuk arah yang mesra pengunjung. Kami membeli tiket octopus untuk naik tren MTR ke stesen Mang Kok.  Melalui laluan subway, kami menapak ke permukaan bumi, kami berjalan kaki ke Ladies Market. Hajat kami mencari souviner bercirikan watak kartun Disney seperti Mickey Mouse, Donald Duck, anjing Pluto, Goofy dan sebagainya sama ada watak tersebut dicetak pada t-shirt, magnetic fridge, beg, towel, aksesories pakaian kanak-kanak dan sebagainya. Namun kami hampa kerana tidak kedapatan satu pun watak-watak tersebut dijual. Kebanyakkan t-shirt berlogokan I love HK.  Malah terdapat salah seorang peniaga menengking kami kerana kami tidak puas hati kenapa barangan watak-watak tersebut tidak dijual di situ. Mungkin kerana faktor hak cipta terpelihara @ copyright yang telah disyaratkan oleh kumpulan Disneyland sebagai syarat franscias Hong Kong Disneyland World. Berang dengan sikap kasar peniaga tersebut, kami tidak  membeli apa-apa souvenia di Ladies Market. Kami seterusnya ke Stesen MTR Mang Kok untuk ke  Stesen Central yang terletak di Pulau Hong Kong.

diantara petunjuk arah yang terdapat di subway. Yang pentingnya pelancong mesti ingat huruf  abjad yang tertera - in shaa Allah tidak akan sesat dan menjimatkan masa pergerakan jalan kaki anda.

pemuzik jalanan mencuri tumpuan pengunjung subway



terdapat pelbagai kemuduhan termasuk pengguna OKU. Penyediaan kemudahan walkway dan mesin lift yang cukup efisyen.



inilah Pasar Wanita aka Ladies Market macam Petaling Street di KL
6.  Perjalanan dari Stesen Mang Kok ke Stesen Central iaitu stesen terakhir bagi MTR Line Merah, mengambil masa kira-kira 12 minit termasuk 5 minit melalui terowong dasar laut. Di Stesen Central kami mencari satu sudut yang agak terpencil untuk makan tengahari.  Kami membuka bekalan nasi dan lauk gulai ayam Brahim yang kami telah sediakan ketika di hotel. Pergerakan seterusnya ke Victoria Peak - saling tak tumpah macam Bukit Bendera Pulau Pinang. Victoria Peak  (550 m) adalah topografi tertinggi di Hong Kong. Pada Victoria Peak terdapat  beberapa buah menara dan stesen pemancar. Di kaki Victoria Peak dipenuhi dengan kondominum dan pejabat mewah. Untuk pelancongan, pelawat akan mendaki Peak Tower dan Galleria Peak. Pelawat beratur panjang untuk menaiki  tram khas untuk ke stesen atas The Peak. Tambang dikenakan untuk tiket naik dan turun ialah HKD80. Ternyata The Peak lebih rendah (396  m) berbanding  Bukit Bendera aka Penang Hill (735 m). The Peak Tower adalah salah satu ikon seni bina yang paling bergaya di Hong Kong. Di dalam The Peak Tower, terdapat pelbagai kemudahan untuk pelawat seperti outlet barangan berjenama, restoran-restoran, kedai-kedai dan tempat-tempat hiburan Selain itu, The Peak Tower mempunyai binaan paling tinggi iaitu pelantar pemerhati 360 °  atau  The Sky Terrace 428 yang tingginya 428 meter di atas paras laut,  Sky Terrace 428 menawarkan pemandangan menakjubkan kawasan bandar yang sibuk daerah Central dan  Kowloon  yang dipenuhi berpuluh-puluh menara pencakar langit dan landskap kehijauan, pemandangan Victoria Harbour  serta bukit-bukit kebiruan yang terdapat di daerah Kowloon dan  New Territories.  Di puncak ini juga terdapat Muzium Lilin Madame Tussauds. Terpulanglah kepada pakej yang dibeli oleh pelawat untuk membuat aktiiviti di puncak tersebut. Pada stesen bawah tren kabel tersebut terdapat Peak Tram Historical Gallery yang menempatkan ruang pameran peralatan dan foto-foto berkaitan sejarah pembukaan dan perkhidmatan Peak Tram tersebut. Walaupun koc berbentuk tram, tapi pergerakan naik dan turun dari bawah ke puncak adalah melalui tarikan naik atau turun oleh kabel seperti keretapi funikular Bukit Bendera. Menariknya, ciri klasik yang terdapat pada tram tersebut masih kedapatan, berbanding koc keretapi Bukit Bendera yang lebih moden.




inilah tiket tram naik dan turun The Peak


ramai pelancong sabar menunggu giliran naik. Keutamaan diberi kepada pelancong yang membuat tempahan melalui pakel pelancongan.


bahagian dalam tram - lebih lapang berbanding Keretapi Bukit Bendera

(Foto google) The Sky Terrace  428 - mempunyai 7 tingkat


pemandangan dari The Sky Terrace 428










7. Setelah hampir sejam kami berada di The Peak, kami turun ke bawah. Kali ini kami ronda-ronda Hong Kong Island dengan mengunakan pengangkutan tramway. Terdapat banyak tram dua tingkat di Hong Kong Island yang bersimpang siur dengan laluan bas dua tingkat. Tram mempunyai saiz yang lebih kecil sedikit dari bas dua tingkat. Pergerakan tramway menggunakan kuasa elektrik yang disambungkan dengan kabel yang direntang di atas laluannya. Perkhidmatan tramway dua tingkat di Hong Kong  adalah satu-satu perkhidmatan tram dua tingkat yang terdapat di dunia. Perkhidmatan pengangkutan rel ini diperkenal;kan oleh British pada tahun 1908. Kami naik tram laluan Eastbound di terminal Admiralty ke terminal penghujung iaitu Kennedy Towns. Walaupun jaraknya hanya beberapa kilometer sahaja, namun pergerakan yang agak perlahan amat membosankan terutama pada persimpangan jalan dan lampu isyarat. Tapi panaroma dari tingkat atas amat teruja kerana kita dapat menyaksikan kehidupan harian penduduk Hong Kong. Kami seterusnya ke stesen MTR Admiralty untuk  ke stesen TST. Dari situ kami ke Masjid Kowloon bagi menunaikan solat jamak dan qasar asar-zohor. Seusai solat, kami bersiar-siar di TST Promenade - seterusnya ke Hotel Regal Kowloon untuk dapatkan bas shuttle balik ke Hotel Regal Airport Landau.


salah sebuah tram yang hampir kesemuanya dibaluti oleh iklan

tram klasik yang masih beroperasi


diantara menara yang dilalui tram












bersambung part 3 - MACAU




















































4 comments:

  1. salam. saya syaza dari uitm melaka. Boleh saya dapatkan contact number encik berkaitan dengan itenarary ke hongkong.

    ReplyDelete
  2. salam. saya syaza dari uitm melaka. Boleh saya dapatkan contact number encik berkaitan dengan itenarary ke hongkong.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kongsi pengalaman. :) dapatkan di Malaysia sebelum bertolak = Tiket Promosi Kami //
    *HONG KONG DISNEYLAND*
    [New Normal Price HK 589 >> SGD 104 Estimated]
    .
    🔘ADULT >> SGD 101 / MYR 326 only
    🔘CHILD >> SGD 73 / MYR 235 only
    .
    Sekiranya ada yang ingin melawat Singapura pula & untuk dapatkan Pakej Budget atau tiket-tiket pada harga PROMOSI seperti USS - GARDEN BY THE BAY - CABLE CAR - SEA AQUARIUM - SKYLINE LUGE - SINGAPORE ZOO - LEGOLAND - HONG KONG DISNEYLAND & banyak lagi, boleh hubungi saya atau melawat page Love Travel di www.facebook.com/lovetravel86 . Keep in touch .
    .
    Jessica Abdul, Love Travel, Tel: +6012-776 0219 / +6017-7055381, Email: jessica.travel8686@gmail.com,
    .
    Web:
    >> www.facebook.com/lovetravel86 & >> http://lovetravel-love.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. Selamat hari, saya Josef Lewis. Seorang pemberi pinjaman yang bereputasi, sah dan sah. Kami memberi pinjaman semua jenis dengan cara yang sangat cepat dan mudah, Pinjaman Peribadi, Pinjaman Kereta, Pinjaman Rumah, Pinjaman Pelajar, Pinjaman Perniagaan, Pinjaman Pencipta, Penyatuan Hutang. dan lain-lain

    Dapatkan diluluskan untuk pinjaman perniagaan atau peribadi hari ini dan dapatkan dana dalam minggu permohonan yang sama. Pinjaman peribadi ini boleh diluluskan tanpa mengira kredit anda dan terdapat banyak pelanggan gembira untuk menyokong tuntutan ini. Tetapi anda bukan sahaja akan mendapatkan pinjaman peribadi yang anda perlukan; anda akan mendapat yang paling murah. Inilah janji kami: Kami menjamin Kadar terendah untuk semua pinjaman dengan faedah cagaran percuma.

    Kami berusaha untuk meninggalkan kesan jangka panjang yang positif dengan melampaui jangkaan pelanggan saya dalam semua yang saya lakukan. Matlamat kami adalah untuk merawat anda dengan maruah dan rasa hormat sambil menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi tepat pada masanya. Tiada nombor jaminan sosial yang diperlukan dan tiada pemeriksaan kredit diperlukan, 100% Dijamin. Sila balas dengan serta-merta menggunakan butiran di bawah jika berminat dengan pinjaman dan bebas daripada penipuan ..

    E-mel: progresiveloan@yahoo.com
    Panggilan / WhatsApp: +16626183756
    Laman web: https://progresivefunding.wordpress.com

    ReplyDelete