Monday 24 February 2014

KEBAKARAN BENGKEL MOTOR AZIBA - "BUKAN KHIANAT" - HJ.AZIZ


1. Sahabat FB yang pernah mendiami atau  menyewa Tingkat 15 dan 16 Flat PKNS 17 Tingkat Kampong Kerinchi Kuala Lumpur semasa belajar di Yayasan Anda Akademik mungkin mengenali bengkel motorsikal kepunyaan Tuan Haji Aziz atau dipanggil Bengkel  AZIBA. Beliau memiliki bengkel servis dan menjual motorsikal terpakai semenjak tahun 1980-an. Kini bengkel tersebut diurus sepenuhnya oleh anaknya bernama Fadzil. 

2. Sebagaimana yang saudara/i  sedia  maklum, bengkel tersebut telah musnah  dalam kebakaran yang berlaku  pada  hari Khamis13 Februari 2014 yang lalu. Kebakaran berlaku kira-kira jam 3.15 petang. Sebanyak lima buah jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Bomba  Pantai dan Balai Bomba Hang Tuah  telah dikejar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan dari orang awam.

3. Api dapat dikawal sepenuhnya dalam masa satu jam. Kebakaran telah memusnahkan rumah kediaman Haji Aziz yang didiami oleh  beliau berserta enam ahli keluarga beliau dan  kira-kira 80 buah motorsikal yang sebahagiannya adalah milik Haji Aziz dan sebahagian lagi milik pelanggan yang hantar untuk diservis. Turut musnah ialah sebuah MPV milik anak beliau dan lima buah kereta yang terletak berhampiran bengkel tersebut. Sebuah gerai makanan yang terletak bersebelahan juga musnah dalam kejadian tersebut.

4. Walaupun tidak ada kemalangan jiwa, Tuan Haji Aziz amat bersedih kerana semua barangan seperti perabut, pakaian dan dokumen penting telah musnah.  Ketika kebakaran tersebut berlaku beliau dan isteri beliau berada di kampung halaman mereka di Melaka, manakala anak baliau iaitu Fadzil telah keluar membeli alat ganti  motorsikal di Kuala Lumpur.

5. Pihak JBPM masih menyiasat punca kebakaran. Sementara itu, menurut satu sumber, kebakaran dikatakan bermula dari bengkel kereta yang terletak di belakang bengkel motorsikal dan rumah kediaman Haji Aziz. Sebelum berlakunya kebakaran tersebut,   pasangan suami isteri pemilik bengkel kereta sedang  membersihkan kawasan semak yang terletak bersebelahan. Isteri pemilik bengkel tersebut dipercayai cuba menghalau koloni lebah yang bersarang di situ dengan kaedah asap.

6. Tuan Haji Aziz menafikan kebakaran tersebut ada unsur sabotaj walaupun  beberapa hari sebelum bencana berlaku, wakil dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah datang membuat ukuran bagi melebarkan jalanraya  berhadapan bengkel tersebut.

7. Kesemua mangsa kebakaran telah di tempatkan sementara di Dewan Orang Ramai yang terletak berhadapan dengan Surau Aliah  bahagian bawah Flat PKNS 17 Tingkat Kampong Kerinchi. Pada hari Khamis 20 Februari 2014 lalu, mereka telah dipindahkan ke pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Dalam Kuala Lumpur.  Pada sepanjang masa petempatan mereka di Dewan Orang Ramai tersebut, berbagai pihak telah menghulurkan bantuan termasuklah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Zakat Wilayah Persekutuan, NGO Kebajikan dan YB Nurul Izzah Ahli Parlimen Lembah Pantai.

8 Dalam entri saya yang lalu, saya ada menulis berkaitan dengan kebakaran yang telah memusnahkan  enam deret rumah  di Tingkat 16 Flat PKNS 17 Tingkat di Kampong Kerinchi yang telah menjadi asrama Yayasan Anda Akademik pada suatu masa dahulu.

Kebakaran ini berlaku pada hari KHAMIS 31/10/2013


9.  Ketika penulis menghubungi Haji Aziz, beliau merakam ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan. Beliau berazam untuk membangunkan semula bengkel dan rumah kediamannya di tapak tersebut. Sama-sama kita doakan supaya Allah menzahirkan hasrat  Tuan Haji Aziz.  amin

10.FOTO PADA 13 FEBRUARI 2014

Kebakaran bengkel motorsikal AZIBA berlaku pada hari KHAMIS 13/02/2014









Team YB Nurul Izah diantara yang awal sampai ke tapak kebakaran



10. Foto pasca kebakaran - diambil dari UNIT 4Q Tingkat 15 Pangsapuri PKNS 17 Tkt Kpg Kerinchi (rumah Penulis) pada 22/02/2014



bengkel kereta




Kediaman dan bengkel Hj. Aziz musnah keseluruhannya






Bangsar South berjiran dengan Bengkel AZIBA

No comments:

Post a Comment