Wednesday, 20 August 2014

ANTARA AINUN DAN AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI siri 3.0


AZIZAH     siri 2.0   part 2

[Baca siri 2.0  part 1 DI SINI]





1. Pada siri yang lalu, kita dikisahkan bagaimana Azizah adalah seorang gadis yang hebat kerana berjaya menambat hati seorang 'the rising star' negara. Hampir seluruh warga di Malaysia  , dari pedalaman daerah Baling Kedah sehinggalah ke United Nation di New York telah mengenali Anwar. Anwar ketika itu memimpin ABIM dan MBM  yang memiliki anggota lebih 550,000 orang. Kepimpinan dan kecendekiawannya telah diakui di peringkat antarabangsa sehingga menerima anugerah Medal Utama Iqbal 100 Tahun dari Presiden Pakistan Zia Ul- Haq pada tahun 1970. Allahyarham Tun Abdul Razak, mantan Perdana Menteri ke-2 pula  bersetuju melantik beliau mewakili Belia Malaysia dalam Badan Dunia United Nation Council for Youth pada tahun 1973 iaitu satu jawatan berstatus 'duta'. Azizah juga seorang gadis yang cekal dan tabah ketika menghadapi kemelut keluarga beliau yang pada awalnya tidak bersetuju untuk beliau berkahwin dengan Anwar. Kepintaran beliau mengatasi kemelut tersebut ibarat menarik rambut dalam tepung, telah menyebabkan ayah beliau Dato' Wan Ismail akhirnya merestui perkahwinan tersebut dan bersedia melupakan kisah yang lalu. Azizah juga berjaya menambat hati keluarga Anwar dan berjaya meyakinkan Datuk Ibrahim dan Mak Yan  bahawa anak mereka Anwar telah membuat pilihan yang tepat tatkala menyatakan hasrat untuk memperisterikan Azizah. Kecekalan, kesabaran dan kepintaran yang dimiliki oleh Azizah berjaya mewujudkan suasana 'win-win' bagi kedua-dua keluarga. Ciri-ciri gadis muslimah yang dijiwai beliau juga berjaya menyakinkan pimpinan dan ahli ABIM dan PAS bahawa Anwar telah membuat pilihan tepat apabila memilih beliau sebagai isteri solehah.

2. Pasangan Azizah-Anwar bercinta selepas berkahwin, berbanding dengan pasangan Ainun-Habibie dalam SIRI 1.0 lalu. Anwar adalah sebagai seorang 'public figure'. Anwar menjalani rautin harian yang sibuk. Azizah sentiasa bersama Anwar sebaik sahaja selesai tugasan di HBKL dan UM. Negara ketika itu wujud masalah kepimpinan baik dari parti pemerintah iaitu UMNO setelah kematian Tun Abdul Razak dan keuzuran PM Tun Hussein Onn, manakala PAS  pula berhadapan dengan  krisis kepimpinan dengan perletakan jawatan Presiden PAS Dato' Asri Haji Muda. Kedua-dua parti dominan Melayu tersebut amat mengharapkan Anwar menjadi ahli parti mereka bagi memperkasa dan menaikkan semula imej parti. Bagaimanapun, apabila Tun Mahathir mengambil alih jawatan PM dari Tun Husein Onn, Tun Mahathir telah berjaya menarik Anwar menyertai UMNO pada 29 Mac 1982. Bermula dari detik tersebut kemaraan Anwar dalam karier politik sudah tidak boleh dibendung lagi. Beliau melangkah dari satu anak tangga hingga ke anak tangga paling atas.  Beliau menduduki beberapa jawatan dalam kerajaan :-
1982 - 1983 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
1983 - 1985 Menteri Belia dan Sukan
1985 - 1986 Menteri Pertanian
1986 - 1990 Menteri Pendidikan
1990 - 1998 Menteri Kewangan
1993 – 1998 Timbalan Perdana Menteri (pernah menjadi Pemangku Perdana Menteri)

Dalam  karier politik pula, setelah kemasukan dalam UMNO,  Anwar  bertanding dan menang di kawasan parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang PRU 1982. Seterusnya beliau berjaya menumpaskan Datuk Haji Suhaimi Kamarudin untuk menduduki kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Pada 24 April 1987 beliau menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bersama Datuk Abdullah bin Ahmad Badawi dan Datuk Seri Wan Mokhtar Ahmad dan pada tahun 1993 Anwar  menjawat jawatan Timbalan Presiden UMNO.

3. Dalam satu taklimat tertutup kepada pemimpin dan ahli PKR di Seberang Jaya, Anwar ada menyebut tokoh disebalik karier politik beliau adalah isteri beliau sendiri. Azizah merupakan  sumber kekuatan jiwa dan menjadi pendorong serta pembantu perjuangan beliau. Azizah sebagai isteri mengambil pedekatan wasatiyyah dalam kehidupan harian. Ketika Anwar menjadi Menteri Pertanian, mereka pernah menginap di kediaman rasmi di Seksyen 14 Petaling Jaya, berjiran dengan  Harjit Singh Hullon - pembaca berita RTM. Rumah Harjit Singh lebih hebat dan lebih mewah berbanding dengan kediaman Anwar. Azizah tidak meminta suami beliau menghias rumah secara mewah. Penulis dan Ustaz Yusuf Ahmad (mantan Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang dan mantan Pengetua Yayasan Masriyah Bukit Mertajam) yang pernah berkunjung ke kediaman tersebut dimaklumkan bahawa hampir kesemua perhiasan (bukan perabut) berupa cenderahati adalah pemberian ikhlas dari individu, pertubuhan atau agensi tertentu. Berbanding dengan isteri VIP yang lain, Azizah tidak menunjukkan imej seorang wanita yang memperagakan pakaian, berfesyen atau memakai barang-barang kemas dan hiasan peribadi yang mewah. Rata-rata kaum wanita yang menatap wajah beliau bersetuju untuk mengakui Azizah hanya mengenakan solekan muka ala kadar sahaja. Kain tudung kepala pun tidak ikut trend.








Walaupun beliau menjawat jawatan sebagai seorang doktor pakar dan pensyarah universiti, Azizah mempamirkan beliau seorang yang 'low-profile'. Beliau bersederhana, 'simple' dan menerima apa yang seadanya.  Bagi Azizah sebagai isteri beliau lebih kearah saling mencintai dan menyanyangi, menghormati dan bertolak ansur, menjaga perasaan dan memuji serta membentuk sifat mulia lainnya kepada Anwar  ketika mereka berada di atas bagi membentuk keluarga yang bahagia dan berusaha mengekal kelansungan bantera melayari ombak kehidupan yang membadai. Azizah telah terdidik dalam sifat-sifat menghambakan diri kepada Robb' dan rakyat di bawah sana.

kasut Azizah  - brand BATA bukan tempahan khas dari pereka tersohor Jimmy Choo (kredit foto Keow Wee Leong)

4. Hidup secara wasatiyyah juga digarap dalam amalan harian baik dari segi makan minum, pakaian dan perabut. Azizah mengambil berat tentang pelajaran anak-anak mereka. Kesemua anak-anak mereka iaitu Nurul Izzah, Muhammad Ihsan, Nurul Nuha, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana mendapat pendidikan di tanah air. Misalnya Nurul Izzah pernah menuntut di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya. Ketika Anwar memegang jawatan menteri, hampir setiap kali rumah terbuka sambutan hari raya dilansungkan diperkarangan kediaman rasmi, yakni bukan di hotel-hotel besar seperti menteri lain. Sebagai suri rumah, Azizah tidak jemu-jemu melayan tetamu dari dalam dan luar negara yang sering berkunjung hormat ke kediaman mereka. Pintu rumah sentiasa terbuka untuk majlis-majlis keagamaan seperti bacaan yasin pada setiap malam Jumaat, kuliah maghrib, tazkirah dan sebagainya.





BERSAMBUNG PADA SIRI TERAKHIR


Monday, 18 August 2014

ANTARA AINUN DAN AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI - siri 2.0


AZIZAH    siri 2.0   part  1





[baca kisah  AINUN dalam  siri 1.0 DI SINI]


1. Azizah dilahirkan pada 3 Disember 1952 hasil perkongsian hidup  Wan Ismail bin Wan Mahmood dan Mariah binti Hj Khamis di Hospital Kandang Kerbau, Singapura. Ketika itu ayah  beliau  belajar di sana. Wan Ismail berhijrah ke London ketika Azizah berusia tiga tahun.  Untuk menjimatkan kos perbelanjaan di perantauan, Wan Ismail telah menyerah Azizah untuk dipelihara oleh pakcik beliau iaitu Che Ruslan bin Tahir dan Wan Asma Wan Mahmood yang bertugas sebagai  Ketua Merinyu Kesihatan Kedah/Perlis. Kediaman beliau di kuarters perumahan pegawai kesihatan Bakar Bata, Alor Setar. Azizah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent St Nicholas, Alor Setar. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian ke Kolej Tunku Kurshiah di Seremban. Seterusnya pada tahun 1973, beliau melanjutkan pelajaran ke Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland. Beliau memperolehi segulung ijazah dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi. Di universiti itu, beliau adalah seorang penuntut yang cemerlang dan pernah menerima anugerah pingat emas “MacNoughton-Jones Gold Medal pada Tahun 1977, menjadikan satu-satunya  pelajar dari Asia Tenggara mendapat penghormatan tersebut.
RCSI salah sebuah universiti tersohor


Azizah di Royal College of Surgeons


papan tanda peringatan  penuntut cemerlang di RCSI  jelas terpahat nama Wan Azizah

 2. Sekembalnya  Azizah ke tanah air, selepas menamatkan housemanship beliau berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur sebagai seorang doktor pakar Opthalmology. Dalam masa yang sama, beliau juga bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya, mengajar Opthalmology Hospital Universiti Malaya. 






 3. Menurut  satu sumber terdekat, Anwar mengenali  Azizah melalui  seorang 'course-mate' Azizah menerusi sekeping foto Azizah (semasa mengikuti satu kursus bahasa Arab) ketika Azizah menuntut di Dublin, Ireland.  Dikatakan Anwar tertarik dengan Azizah kerana Azizah ketika itu  merupakan satu-satunya  pelajar Melayu yang memakai hijab (tudung). Anwar ketika itu adalah Pengarah (Pengetua) dan pengasas Yayasan Anda Akademik (YAA) sebuah sekolah menengah swasta yang beroperasi di sebuah bangunan usang Jalan Hamzah, Kampong Baru Kuala Lumpur. YAA telah mewajibkan semua pelajar wanita muslim yang menjadi penuntut di situ menutup aurat, yakni memakai baju kurung dan bertudung sebagai uniform sekolah. Anwar selaku Presiden ABIM mempunyai aura tersendiri. Hebatnya Anwar adalah kerana  hampir kesemua pelajar IPT di Malaysia mengenali beliau. Anwar semenjak usia lewat pertengahan 20-an adalah di antara aktivis  pelajar   yang menggerakkan hampir seluruh masyarakat pelajar dan rakyat marhein  dalam beberapa siri demonstrasi pelajar menyentuh pelbagai isu tempatan dan nasional di dalam atau di luar kampus. Baca selanjutnya di sini  dan di sini. Hebatnya Azizah pula ialah kerana beliau berjaya mencuri perhatian dan berjaya menjadikan Anwar sebagai teman hidup ketika beliau berusia 26 tahun, manakala Anwar 30 tahun. Puluhan anak gadis terutama  siswi di IPT yang menggilai Anwar. Di antaranya ialah seorang gadis yang kini menjadi seorang peguam kanan (pernah menjadi team peguam Anwar di dalam kes Liwat 1 seketika dahulu). Selepas Anwar menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1974, beliau yang ketika itu berusia 25 tahun telah memilih untuk membuka sebuah sekolah menengah swasta iaitu Yayasan Anda Akademik di Kampung Baru Kuala Lumpur. Berbanding dengan graduan UM yang kebanyakannya menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai PTD, PTA, perguruan atau eksekutif di sektor swasta dan perbankkan dengan tangga gaji yang lumayan,  beliau hanya menerima imbuhan berupa elaun (gaji) yang amat kecil. Anwar pernah menzahirkan  ‘kedaifan’ profession beliau  di dalam satu ucapan pada satu majlis di kolej kediaman UM dengan kata-kata “Saya  ni bukanlah seorang intelek, berasal pula dari Cherok Tok Kun, kerja pula sebagai guru swasta. Mana ada gadis yang minat dengan saya”. Selang beberapa hari kemudian, beliau menerima berpuluh puluh pucuk surat dari beberapa orang gadis yang meluahkan hasrat hati untuk menjadi teman hidup beliau.

4. Pertemuan buat kali pertama Azizah-Anwar telah di atur oleh sahabat-sahabat di kantin HBKL sekitar tahun 1979. Dalam 'pertemuan'  tersebut, Azizah tertawan dengan ketokohan dan keperibadian Anwar. Menurut Azizah..... "saya kemudian dapat merasai apa yang dinamakan wibawa seorang tokoh pimpinan. Mendengar bait-bait kata yang dilafazkan  beliau (Anwar)  serta celupan dan curahan pemikiran beliau, saya akhirnya mengakui mengapa beliau yang sangat belia pada waktu itu, boleh pergi sejauh itu dalam aktivisme, kemasyarakatan dan perjuangan...."   


Dato' Wan Ismail
5. Kisah perkahwinan Azizah-Anwar agak dramatik kerana perkahwinan tersebut pada peringkat awal tidak mendapat restu dari pihak keluarga Azizah. Dato' Wan Ismail yang ketika itu adalah ahli  Majlis Keselamatan Negara. Di antara tugas Dato' Wan Ismail ialah mengumpul maklumat individu atau kumpulan yang dianggap radikal dan militan yang boleh mengancam keselamatan negara.  Unit tersebut adalah lanjutan dari unit perisikan yang ditubuhkan oleh Kerajaan British sebagai usaha mengekang pengaruh dan penyusupan anasir komunis dalam masyarakat dan negara. Sekitar tahun-tahun 1970-an, Anwar Ibrahim sememangnya seorang aktivis pelajar yang mengambil pendekatan nasionalise-Islam. Anwar seorang belia yang kritis, vokal dan 'aktivis nakal'  ketika usia tersebut sering menganjurkan bantahan dan demonstrasi pelajar bersama dengan badan-badan pelajar dalam kampus seperti Kelab Sosialis UM , PMUM dan sebagainya. Di antara siri demonstrasi yang besar termasuklah Demonstrasi Baling pada 3 Disember 1974 yang menyebabkan Anwar dan rakan-rakan ditahan di bawah ISA selama hampir dua tahun di Kem Tahanan Perlindungan, Kemunting, Taiping. Oleh itu, Dato' Wan Ismail  mempunyai maklumat yang cukup lengkap mengenai kegiatan Anwar. Oleh yang sedemikian, apabila Anwar berhasrat menyunting Azizah, sudah tentu Dato' Wan Ismail agak keberatan. Di sinilah kita lihat di dalam sifat Azizah seorang lemah lembut,  tetapi mempunyai hati yang kental, tekad menerima dan menjadikan Anwar  sebagai jejaka impian.
berita penikahan Anwar-Azizah tersiar dalam media rasmi ABIM dan
Majalah Panji Masyarakat keluaran April 1980 
Di atas inisiatif sahabat Anwar, urusan peminangan diketuai oleh Ustaz Nik Mahyuddin Musa (Pengarah Agama Kementerian Pelajaran),  Ustaz Ahmad bin Awang (Pusat Islam Malaysia), Puan Zaleha Ali (adik Ipar Tun Dr. Mahathir) dan lainnya. Anwar dan Azizah telah di nikahkan secara wali hakim oleh Ustaz Hj. Harussani bin Hj. Zakaria iaitu Kadi Negeri Pulau Pinang (kini Dato' Seri Mufti Negeri Perak) pada 28 Februari 1980 di Bukit Mertajam (bukan di Selatan Thailand seperti yang ditohmahkan). Semua urusan berjalan lancar dengan bantuan logistik dari Allahyarham Ustaz Ahmad Hassan Salahudin bin Hj. Khalil selaku Mudir Madrasah al-Masriyah Bukit Mertajam dan rakan dari Abim seperti Ustaz Fadhil Noor dan Ustaz Sidek Fadzil. Majlis walimatul urus diadakan cukup meriah di rumah  ayah Anwar di Cheruk Tok Kun. Pada minggu seterusnya majlis kenduri perkahwinan Azizah-Anwar telah dilansungkan di rumah Pak Ibrahim di Petaling Jaya dan seterusnya ABIM menganjurkan majlis yang sama pada 16 Mac 1980 di Restoran Shiraz Kuaal Lumpur yang dihadiri sahabat handai, pegawai kanan kerajaan, tokoh-tokoh gerakan Islam, tokoh akademik dan pak duta dari negara Arab Saudi, India, Pakistan, dan Iraq.  Ternyata Azizah cekal dan sabar  menghadapi kemelut tersebut. Azizah mengakui ayah beliau hanya berlembut dan menerima Anwar sebagai menantu setelah  puteri sulung mereka Nurul Izzah dilahirkan pada 19 November 1980 

Dr Wan Azizah telah berhenti daripada kerjayanya dalam tahun 1993 apabila suami beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

BERSAMBUNG PADA SIRI 3.0





ANTARA AINUN dan AZIZAH - CINTA & PENGABDIAN DIRI DEMI PERJUANGAN SUAMI - siri 1.0

AINUN

[baca  kisah AZIZAH dalam siri 2.0 DI SINI]


1. Pembaca di tanahair tentu tidak mengenali siapakah Ainun pada entri penulis kali ini. Tetapi di seberang, Ainun adalah lambang cinta dan pengabdian diri demi perjuangan suaminya, BJ Habibie,  mantan Presiden Republik Indonesia ke-3. Penulis tertarik mengikuti kisah Ainun setelah   berkesempatan menonton kisah cinta romantis 'Habibie-Ainun' menerusi Astro Citra baru-baru ini. Filem yang diadaptasi dari Novel Habibie-Ainun karya Pak Habibie, boleh  dikategorikan sebagai satu epik cinta dan perjuangan yang amat menarik untuk ditonton dan teladani oleh insan yang bergelar isteri. Ironinya kisah Ainun   ada persamaan dengan perjuangan Azizah atau  Datuk Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail yang penuh dramatik  pada awal Zaman Reformasi  di Indonesia dan di Malaysia. Ainun-Azizah merupakan watak utama di belakang ketokohan negarawan ulung Indonesia B.J Habibie dan politikus tersohor, Anwar Ibrahim di Malaysia.
BJ Habibie & Anwar Ibrahim
Pada era pemerintahan Seoharto, hampir separuh anggota Kabinet Indonesia adalah sahabat Anwar. Anwar menjalin hubungan rapat dengan cendikiawan dan pemimpin Indonesia termasuk Habibie sejak beliau memimpin Abim, manakala B.J Habibie memimpin ICM (Ikatan Cendiakawan Muslim Indonesia). Kedua-dua NGO tersebut bergerak aktif di bawah  World Assembly of Muslim Youth (Wamy) yang dipimpin oleh Anwar. Persabahatan yang amat karib di antara B.J Habibie dan  Anwar Ibrahim yang telah terjalin semenjak zaman Pak Mohamad Natsir lagi membantu merapatkan lagi hubungan Malaysia Indonesia di zaman Dr. Mahathir


2. Ainun atau  nama penuhnya Dr. Ny. Hj. Hasri Ainun Besari, juga dikenali sebagai Hasri Ainun Habibie di lahirkan  di Semarang,  Jawa Tengah, pada  11 Ogos 1937, meninggal dunia di Munich, Jerman pada 22 Mei 2010.  Ainun menamatkan pendidikan pada sekolah rendah dan menengah di Bandung, kemudian menyambung pengajian kedoktoran  di  Fakulti Perubatan  Universiti Indonesia. Selepas graduasi, beliau berkhidmat sebagai 'doctor pediatric' di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) Jakarta pada tahun 1961. Beliau disunting dan berkahwin dengan Habibie yang juga teman bermain semasa kecil, pada tanggal 12 Mei 1962. Pasangan itu dikurniakan dua orang putera, Ilham Akbar Habibie dan Thareq Kemal Habibie, serta enam orang cucu.

Pasangan  ideal.





4. Cinta Ainun dan Habibie sudah bersemi semenjak mereka remaja. Ainun mengaku telah mengenali Habibie sejak kecil. Meskipun Habibie pernah menggelar beliau sebagai  "si hitam gula Jawa” namun, hubungan cinta mereka terus bertahan sehingga cinta mereka terputus seketika takkala Ainun berhijrah ke Jakarta, berkhidmat sebagai doktor, manakala Habibie dihantar belajar ke luar negara menyambungkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jerman. Enam tahun kemudian ketika  Habibie  berkesempatan pulang ke tanah air, beliau bertandang ke rumah  Ainun di Bandung. Dari situ cinta lama mereka bersemi kembali. Saat berjumpa dan bertatap mata, nyata Ainun seorang gadis sunti yang jelita dan berkulit putih gebu, terkedu  Habibie dibuatnya: “Kok gula Jawa sekarang sudah menjadi gula pasir?” sindir Habibie. Mereka seterusnya melangsung perkahwinan penuh dengan adat dan istiadat masyarakat Jawa. Ainun mengikut  Habibie menyelesaikan pengajian di Jerman. Kehidupan awal di sana dilalui dengan berbagai liku-liku hidup  yang luar biasa. Pada episod menjalani hidupan di Jerman menyaksikan Ainun memainkan peranan penting dalam perjalananan hidup Habibie. Diantaranya:
  • Bersama bersusah payah melayari rumah tangga di Jerman dalam kewangan yang terbatas. Pengajian Habibie di sana adalah di atas pembiayaan sendiri. Beliau dan Habibie bersederhana dalam hidup. Beliau berhemat dalam perbelanjan harian berkaitan keperluan asas rumah tangga seperti makan minum, pakaian dan sebagainya. Malah  beliau menjahit sendiri keperluan pakaian bayi yang dikandungnya. Di sanalah beliau mengandung dua puteranya, melahirkan dan membesarkannya.
  • Ainun juga kerap menjadi motivator bagi Habibie. Beliau menyemangati Habibie saat Habibie hampir putus asa karena tesisnya diambil alih oleh pembimbing. Berkat dorongan dan semangat dari Ainun, Habibie dapat menyempurnakan tesis dan dianugerahkan ijazah kedoktoran kejuruteraan dengan cemerlang.
  • Beliau selalu selalu mengingatkan Habibie dalam  pengurus waktu. Menurut beliau, orang yang bijak mengurus masa akan menjadi tokoh terulung. Ternyata,  Habibie menjadi seorang tokoh penting dan menaikkan nama baik beliau dan sebagai  orang Asia yang berjaya di negara Jerman.  Disamping itu, Ainun  merencanakan permakanan yang berkhasiat demi untuk kesihatan suami beliau. 
  • Beliau amat mementingkan keluarga. Beliau menitik berat penjagaan anak-anak mereka dan berjaya membentuk disiplin dan saksiah anak.
5. Setelah tamat pengajian, Habibie tidak terus balik ke Jerman, sebaliknya telah bekerja dengan sebuah firma pembuatan pesawat yang terkenal di situ. Ketokohan Habibie telah menarik perhatian Presiden Soeharto. Soeharto mempelawa beliau balik ke Indonesia untuk mencurah khidmat bakti kepada negara. Habibie bersetuju pelawaan tersebut. Sekembali beliau ke tanah air, beliau telah di lantik sebagai Menteri Penyelidikan dan Teknologi Indonesia. Beliau mempunyai wawasan untuk membangunkan Indonesia dengan penghasil pesawat terbang buatan anak tempatan yang boleh digunakan untuk membangun negara Indonesia yang terbina dari rangkaian ribuan pulau-pulau. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan (Wakil) Presiden. Pada 'Era Reformasi' di Indonesia menyaksikan  kemerosotan ekonomi dan kejatuhan mata wang rupiah, menyebabkan ekonomi negara Indonesia jatuh merundum. Soeharto telah meminta bantuan dari IMF untuk memulihkan  semula ekonomi negara Namun, tindakan tersebut dianggap sudah terlambat.

Reformasi di Jakarta


Rakyat yang bangun berdemonstrasi di jalan raya selama berbulan-bulan mendesak Soeharto meletak jawatan. Akhirnya, Soeharto setuju berundur dan menyerahkan jawatan presiden kepada Habibie.

BJ Habibie angkat sumpat sebagai Presiden RI Ke-3
Pada ketika itulah, Ainun berperanan besar membantu Habibie dan team merangka plan pemulihan ekonomi Indonesia. Ainun tanpa memperdulikan masalah kesihatan turut bersengkang mata membantu suami tersayang. Ainun selalu berada disisi Habibie dan pegawai-pegawai Presiden. Setelah keadaan ekonomi dan politik kembali pulih, Ainun selaku 'Ibu Negara' (First Lady)  memainkan peranan penting membantu menaik dan mencorakkan imej Habibie. Masalah kemiskinan dan kesihatan rakyat menjadi fokus utama beliau. Ainun memiliki kepedulian yang besar dalam kegiatan sosial. Beliau telah mendirikan dan terlibat dalam beberapa yayasan, seperti Bank Mata walaupun mendapat tentangan dari sesetengah  ulamak yang mengharamkan donor mata.

5. Ainun meninggal dunia setelah tahap kanser rahimnya sudah tidak dapat dipulihkan lagi kendatipun beliau mendapat rawatan dari pakar kanser terkenal di Munich, Jerman. Jenazah Ainun telah di makamkan di Pusara Pahlawan Kalibata Jakarta. Semasa hidup beliau diberi anugerah penghargaan tertinggi pingat Bintang Mahaputra Adipurna dan Mahaputera Utama.
Pak Habibie pada saat-saat Ainun menghembuskan nafas terakhir

Ainun diberi penghormatan negara


6. Habibie amat bersedih dengan pemergian Ainun. Menurut beliau, Ainun  sukar dicari ganti. Hal tersebut terbukti dari ungkapan beliau

"Disebalik seorang tokoh, selalu tersembunyi peranan dua perempuan, iaitu ibu dan isteri,”

“Saya dilahirkan untuk Ainun dan Ainun dilahirkan untuk saya".


Puisi CINTA BJ Habibie Untuk Almarhum Ibu Ainun ..
February 23, 2011 at 11:11pm


sebenarnya ini bukan tentang kematianmu
bukan tentang itu
karena aku tahu bahwa semua yang ada
pasti tiada pada akhirnya
dan kematian adalah suatu yang pasti

dan kini adalah giliranmu untuk pergi
aku sangat tahu itu

tapi yang membuatku tersentak sedemikian hebat
adalah kenyataan bahwa kematian
dapat memutuskan dalam diri seseorang
sekejap saja
lalu rasanya mampu
membuatku menjadi nelangsa setengah mati

hatiku seperti tak ditempatnya
dan tubuhku serasa kosong melompong
hilang isi
kau tahu sayang ..
rasanya seperti angin
yang tiba tiba berganti kemarau gersang
ada air mata yang jatuh kali ini
aku selipkan salam perpisahan panjang
pada kesetiaan yang kau ukir
pada kenangan pahit manis selama kau ada

aku bukan hendak mengeluh
tapi rasanya terlalu sebentar kau disisiku

mereka mengira
akulah kekasih yang baik bagimu sayang
tanpa mereka sadari ..
bahwa kaulah
yang menjadikanku kekasih yang baik
mana mungkin aku setia
padahal kecenderunganku adalah mendua
tapi kau ajarkan aku kesetiaan hingga aku setia
kau ajarkan aku arti cinta
sehingga aku mampu mencintai seperti ini

selamat jalan
kau dariNYA dan kembali padaNYA
kau dulu tiada untukku
dan sekarang kembali tiada
selamat jalan sayang
cahaya mataku
penyejuk jiwaku








Tuesday, 12 August 2014

DUSUN HAJI ABDUL RANI

PENGUMUNAN : CHALET DITUTUP SEMENTARA UNTUK KERJA-KERJA PENYELENGGARAAN.

1. Dusun Haji Abdul Rani berkeluasan hampir dua ekar. Terletak di Kampong Dusun, Kampong Sentosa, Batang Kali, Selangor. Dusun tersebut diurus-selia dengan baik oleh Haji Abdul Rani sebaik sahaja beliau bersara sebagai foreman JKR Mekanikal Workshop Cheras. Tuan Haji Abdul Rani kini menetap di Taman Seri Kamin,  Ulu Yam bersama isteri tersayang Puan Hajah Zaleha @ Kamariah Ahmad. Pada kebiasaannya selepas solat subuh di surau taman tersebut, Haji Abdul Rani akan memandu kereta Perodua Kenari beliau ke dusun tersebut. Jarak rumah dengan dusun kira-kira enam kilometer. Tujuan beliau keluar pada awal pagi adalah untuk membersih kawasan dusun dan menebas rumput atau belukar yang tumbuh liar.  Tatkala pada musim buah-buahan, terutama musim buah durian, beliau memungut buah yang gugur pada waktu malam atau awal pagi. Beliau sering membawa pulang tidak kurang sepuluh hingga 25 biji buah durian untuk di makan oleh anak-menantu dan cucu. Sekiranya pada sesuatu musim, buah-buah 'menjadi' dengan banyak, beliau akan pajak sebahagian pokok buah-buahan tersebut kepada peraih. Baki daripada pokok tersebut, buah-buahannya untuk dipetik atau dimakan atau  dibawa balik oleh anak-anak beliau yang berkunjung ke rumah ibu bapa mereka pada setiap hujung minggu.

Daerah Batang Kali  terkenal dengan penanaman pokok buah pulasan di Selangor.

Buah pulasan 'menjadi' pada tahun 2013/2014

Nak bawa balik ke Penang

Saat yang paling teruja ialah ketika memungut durian

sebahagian untuk  amal jariah jiran di Lahar yooi
2. Dusun yang seluas kira-kira dua  ekar tersebut ditanami sebanyak 40 batang pokok buah pulasan, 10 batang pokok durian, lima batang pokok cempedak, lima batang pokok rambutan, empat batang pokok manggis, empat batang pokok nangka, empat batang pokok rambai, tiga pokok terap berunei, dua batang pokok ciku dan masing-masing satu batang pokok limau kasturi, limau madu  dan pokok buah mata kuching. Pokok pisang dari baka pisang susu dan pisang nangka, pokok betik dan nanas sarawak turut ditanam. Untuk memanfaatkan ruang, Haji Abdul Rani bersama isteri turut menaman beberapa pokok dan herba untuk dijadi sayur-mayur  dan pucuk-ulam seperti ubi kayu, lengkuas, pokok kunyit, cabai  dan sebagainya.

3. Pokok-pokok  durian di situ menghasilkan  buah yang sungguh enak. Jenis pokok durian yang ditanam adalah durian tembaga, dan durian bongkok. Sebenarnya terdapat 14 pokok durian yang telah ditanam kira-kira 40 tahun yang lalu. Akibat dari angin ribut yang melanda dusun tersebut kira-kira 10 tahun yang lalu telah menumbangkan empat batang pokok tersebut. Turut tumbang ialah pokok manggis iaitu sebanyak tiga batang. Bagaimanapun, setelah kerja-kerja pembersihan pada tapak  bencana ribut tersebut, Haji Rani telah menanam semula anak pokok durian dan manggis yang baharu sebagai pengganti.

buah cempedak di dalam pagar

Haji Abdul Rani  dan Menantu

Sisa pokok durian yang telah patah/tumbang ketika kejadian ribut dahsyat

Sihitam manis masih galak

pengalaman kampong buat 'budak bandar'


Orang dan Orang-Orang untuk menakutkan kera PATI


Simanis rambai yang akan masak lagi tiga minggu

Buah Terap Brunai sedap dimakan 


Jalan mini tar yang memisah dusun atas dan dusun bawah adalah wakaf Hj. Abdul Rani sebagai wakaf am
4. Anak-anak dan menantu  Haji Abdul Rani amat berbangga di atas  kesungguhan ayah dan ibu mereka mengurus dusun dengan baik. Hal tersebut membolehkan anak-menantu dan cucu beliau dapat merasai pengalaman sebenar berada di dusun pada setiap kali mereka pulang ke kampung pada hujung minggu setelah penat lelah dan 'stress' ketika berada bertugas  di ibu kota. Anak dan menantu sepakat untuk menjadikan dusun tersebut sebagai satu warisan keluarga dan perlu di pelihara suapaya cucu cicit Haji Abdul Rani dapat merasai pengalaman dusun sebagai satu jati diri mereka. Setiap kali musim buah, mereka berkumpul dalam satu keluarga yang besar.

5. Untuk keselesaan pengunjung dusun, anak-menantu Haji Abdul Rani telah menyumbangkan sejumlah modal untuk membina sebuah chalet yang cantik dan selesa. Chalet tersebut dinamakan 'Teratak Desa Impian' siap dibina kira-kira 4 tahun yang lalu. Chalet dua tingkat tersebut menyediakan sebuah bilik air dan ruang terbuka pada tingkat bawah dan atas. Kelengkapan asas seperti bekalan elekterik dan air tersedia. Pengunjung boleh menikmati suasana nyaman dusun dan pada sebelah malam kedengaran bunyian cengkerik,  serangga dan unggas  lain yang mempersonakan. 
Calet Teratak Desa Impian hasil sumbangan anak-menantu

Calet dibuka untuk disewa kepada umum

Tingkat bawah 
6. Chalet Teratak Desa Impian boleh disewa oleh pengunjung dengan kadar sewaan sebanyak RM 200 satu malam.  Apa yang menarik, penginap dapat memetik dan memakan buah-buahan tempatan yang tumbuh melata di hadapan mata. Penginap boleh memasak diruang dapur   atau kemudahan berbarbeque disediakan. Penginap juga boleh boleh mandi manda di kawasan perkelahan anak sungai dan jeram yang terdapat  pada sekitar dusun tersebut. Penginap juga boleh mendirikan khemah di luar chalet kerana keseluruhan kawasan chalet adalah berpagar dan selamat.
Sesuai untuk semua aktiviti

In sha Allah selamat kerana keseluruhan kawasan dusun/kebun berpagar
7. Untuk sampai ke dusun Haji Rani, dari Kuala Lumpur anda exit lebuh raya PLUS di Exit Rawang, kemudian terus memandu ke arah Batang Kali. Anda akan berjumpa Masjid Jamik Batang Kali. Sekiranya anda menaiki komuter KTMB, transit di Stesen KTMB Rawang dan dapatkan train Rawang ke Tanjung Malim. Anda berhenti di Stesen KTMB Batang Kali. Dari situ, dapatkan teksi atau kereta 'private sapu' dan ikut lorong mini tar sehingga hujung kampung,  iaitu kira-kira 1.2 km dari Jalan Persekutuan Kuala Lumpur - Tanjung Malim. Anda boleh hubungi Haji Abdul Rani menerusi talian berikut : untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selamat datang dan bersantai.....!

Saturday, 9 August 2014

ANTARA PEMECATAN KHALID AL-WALID (r.a) & KHALID IBRAHIM


BERITA TERBAHARU : Tan Sri Khalid telah dipecat dri PKR sebentar tadi. Baca disini

POSTING ASAL

KHALID AL WALID r.a


1. Khalid bin al-Walid (1 Julai 592- 1 Oktober 642),  juga dikenali sebagai 'Pedang Allah', adalah antara panglima tentera Arab yang memainkan peranan penting dalam peperangan antara tentera Islam dengan tentera Byzantine (Rom)  dan tentera Parsi pada kurun ketujuh. Beliau terkenal dengan kebijaksanaan sebagai pakar taktik dan komander kaivari teragung dalam peperangan dan mengepalai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad s.a.w dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar Al-Khattab. Pencapaian terulung ialah dimana beliau berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa tiga tahun sahaja.

2. Khalid bin al-Walid berbangsa Arab  dari keturunan Quraisy. Pada zaman kanak-kanaknya, Khalid belajar menunggang kuda dan mengguna senjata seperti tombak, lembing, busur dan pedang. Dikatakan tombak menjadi senjata kesukaannya. Pada zaman remaja beliau disanjung sebagai seorang pahlawan dan ahli gusti oleh orang Qurais. Sebelum memeluk Islam,  beliau merupakan seorang askar yang aktif ketika Perang Uhud menentang tentera Islam dan hampir-hampir memastikan kemenangan Quraisy dalam pertempuran itu. Pada tahun 627 M beliau mengambil bahagian dalam Perang Ahzab  @ Perang Khandaq menentang Muslim Madinah. Perang Ahzab merupakan kali terakhir Khalid menentang Islam.


3. Ketika tempoh gencatan senjata  berikutan pemeteraian Perjanjian Hudaibiyah, Khalid memeluk Islam bersama Amr al-Ash dan Uthman bin Talha pada Mei 629M dan memohon maaf kepada Nabi Muhammad atas tindakan beliau sebelum ini. Tiga bulan selepas  Khalid memeluk Islam di Madinah, Nabi Muhammad s.a.w menghantar seorang utusan kepada kerajaan Ghasan Syria, sebuah kerajaan ufti di bawah Empayar Byzantine, dengan sepucuk surat yang mempelawa raja Ghasan untuk memeluk Islam, tetapi dibunuh oleh seorang ketua Ghasan tempatan yang bernama Syuhrabil bin Amr. Sebuah ekspedisi ketenteraan ditubuhkan untuk menghukum pihak Ghasan. Rasulullah s.a.w melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima pasukan Muslim. Sekiranya Zaid gugur, tampuk pemerintahan akan diambil alih Ja'afar bin Abi Talib, dan sekiranya Ja'afar juga gugur, tentera Islam akan dipimpin Abdullah bin Rawahah. Bagaimanapun, ketiga-tiga panglima tesebut terkorban  maka  Khalid dipilih tentera Islam sebagai pengganti. Beliau berjaya memimpin angkatan seramai 40,000 orang menentang ketumbukan besar Empayar Byzantine dan Ghasan seramai 200,000 dalam pertempuran Yarmouk di Mu'tah pada 15 Ogos 636M. Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim pada saat yang genting, dan mengubah apa yang berkemungkinan menjadi penyembelihan tentera  Islam kepada satu pengunduran strategik dan berjaya menyelamatkan pasukan Muslim daripada kemusnahan total. Seramai 80,000 tentera Byzantine terbunuh berbanding cuma 4,000 tentera Islam syahid. Kemenangan dalam peperangan tersebut telah membuka laluan kepada pembukaan Kota Baitul Maqdis pada tahun 637M. Selain dari itu, hampir 50 peperangan lain yang dipimpin oleh Khalid, termasuk memerangi golongan murtad.
di sinilah berlakunya Peperangan Yarmouk - Jordan
penulis di Makam Zaid Harithah di  Mu'tah Jordan


4. Peristiwa pemecatan Khalid ibnu Al Walid r.a dari jawatannya sebagai panglima tertinggi angkatan tentera Islam  dilakukan oleh Khalifah Umar al Khattab r.a. Pemecatan tersebut adalah satu peristiwa sejarah yang sangat mengkagumkan, peristiwa yang menayangkan keunggulan peribadi pejuang fi sabili' Llah. Dalam perhitungan rakyat jelata, tentu sahaja pemecatan tersebut merupakan tindakan yang tidak bijaksana. Rakyat melihat kepahlawanan beliau yang  luar biasa itu merupakan orang yang paling tepat untuk memperluaskan dan meyebarkan Islam ke pelusuk dunia. Tapi Khalifah Omar dengan sifat pandang jauhnya  dapat melihat apa yang orang lain tidak mampu melihatnya. Lalu beliau mengambil tindakan pemecatan tersebut dan bertawakkal kepada Allah dan menuluskan niat untuk mencari keredhaanNya semata. Apabila arahan pemecatan dikeluarkan oleh Khalifah Umar Al Khattab, Khalid  menerima berita pemecatan tersebut dengan hati yang lapang. Dengan penuh rela diserahkan jawatan penting tersebut  kepada pengganti iaitu  Abu Ubaidah ibnu Al Jarrah r.a.

5. Selepas dilucutkan jawatan tersebut, Khalid menjadi tentera biasa. Berikutnya beliau membawa isteri dan anak-anaknya berhijrah ke Syria. Isteri dan anak-anaknya meninggal dunia kerana serangan wabak taun. Akhirnya Khalid ketika usia 55 tahun   menghembuskan nafas terakhir di situ dengan penuh kehampaan kerana niat beliau untuk syahid di medan peperangan tidak kesampaian.   Khalifah Umar amat bersedih dengan kematian panglima Khalid bin Al Walid. Satu ketika selepas pemecatan tersebut yang menimbulkan rasa ketidakpuasan hati tentera Islam yang lain, Umar berkata, "aku memecat Khalid bukan kerana benci tetapi dia terlalu keras terhadap musuh. Aku tak mahu orang menyangka kemenangan tentera Islam kerana Khalid menjadi ketua. Aku takut apabila dikatakan kemenangan Islam adalah kerana pemimpinnya, bukan kerana bantuan Allah.  Dan satu lagi, Khalid terlalu sayangkan anggota pasukannya. Apabila mendapat harta rampasan perang dia tidak menunggu arahan sebaliknya terus membahagikan harta rampasan perang kepada anggota pasukannya".

Makam Khalid al-walid r.a di Syria


KHALID IBRAHIM

1. Abdul Khalid Ibrahim (Tan Sri) dilahirkan pada 14 Disember 1946 di Kuala Selangor. Selepas graduan dari Fakulti Ekonomi Universiti Malaya dan perolehi ijazah MBA dari Universiti Queensland, beliau pernah bekerja sebagai guru, pensyarah universiti, pegawai kredit, pegawai kewangan korporat dan berkecimpong dalam dunia koporat dengan jawatan sebagai CEO Permodalan Nasional Berhad. Dari situ beliau menjadi terkenal setelah menyelesaikan 'dawn raid' di Bursa Saham London yang mana PNB berjaya memiliki 51% syer di syarikat perindustrian British iaitu Guhtrie kurang daripada dua jam, seterusnya beliau  menjadi CEO syarikat berkenaan.

2. Beliau kemudian meninggalkan lapangan korporat dan terjun ke dunia politik, menyertai parti pembangkang iaitu PKR. Mulanya sebagai Bendahari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Perhubungan PKR Selangor. Kemasukan beliau selaku tokoh ekonomi ke dalam PKR memberi nafas baru dalam pakatan pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Hubungan beliau dengan pemimpin PKR Anwar Ibrahim bermula terlebih awal.  Pada 25 April 2007, Datuk Seri Najib Tun Razak menuduh Khalid Ibrahim kecewa kerana tidak mendapat 20 % saham Guthrie. Mulanya beliau meminta 6.5 % pada 1994 dan meningkat kepada 20 %. Untuk 6.5% dia terpaksa meminjam RM175 juta. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah menulis surat kepada pengerusi PNB, Tun Ismail Mohd Ali agar saham diberikan kepada Khalid Ibrahim. Ismail Mohd Ali ialah abang ipar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.


3. Dalam Pilihan Raya Kecil Ijok 2007 beliau ditumpaskan oleh K. Parthiban dari MIC dengan majoriti 1,920 undi yang menyaksikan  ucapan tersasulnya 'Undilah Barisan Nasional' telah diulang-ulang dalam media elektronik.  Dalam  PRU-12  pada 8 Mac 2008, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen P124 Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri N11 Ijok yang mana beliau berjaya menguasai kedua-kedua kerusi yang beliau tandingi. Beliau menewaskan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri , Datuk Tan Chai Ho dari MCA di Parlimen Bandar Tun Razak dengan majoriti 2,515 dan menumpaskan  Datuk Mohamed Sayuti Said di DUN Ijok pada 8 Mac 2008.

4. Dalam PRU-12 PR yang memenangi 36 kerusi DUN  (PKR 15, DAP 13 dan PAS 8)  secara konsensus telah memilih beliau menjadi Menteri Besar Selangor ke -14 dan merupakan orang pertama yang bukannya mewakili parti komponen Barisan Nasional. Sebaik sahaja menjawab jawatan MB, beliau mengumumkan pemberian air perrcuma sebanyak 20m3 . Beliau juga merangka penstrukturan semula air di Selangor setelah Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bercadang menaikkan tarif air di Selangor. Keputusan kenaikan tarif air akan dibuat oleh kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan Selangor akan membuat beberapa cadangan supaya perkara ini tidak akan membebankan rakyat. Strategi pengurusan air kerajaan Pulau Pinang yang kosnya dikatakan lebih rendah daripada Selangor akan diteliti. Penilaian semua aset Puncak Niaga, SYABAS, ABASS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) sedang dirunding. Puncak Niaga menetapkan lebih RM6 bilion sebagai nilai pengambilalihan semua aset berkenaan oleh kerajaan negeri Selangor.


5. Isu air di Selangor juga dikaitkan dengan  Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) diadakan berikutan Kerajaan Persekutuan atas nasihat pakar termasuk dari Jepun meramalkan Lembah Klang akan berhadapan dengan krisis air seawal tahun 2014. Oleh itu loji tambahan dibina di Hulu Langat perlu dibina bagi kawasan yang selalu terjejas dengan bekalan air. Khalid Ibrahim dan pemimpin PR berterusan mendakwa projek itu membazir, akan membebankan caj pengguna. Namun akhirnya MoU ditandatangani selepas kerajaan persekutuan bersetuju membantu pengambilalihan aset pemegang konsesi air oleh kerajaan negeri, antara Khalid dengan Kerajaan Persekutuan yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pemimpin PR terkejut dengan MoU itu kerana mereka tidak mengetahuinya.  Tan Sri Khalid selain isu kebajikan air, juga terkenal dengan program Memesrakan Ekonomi Rakyat atau MES. Maklumat lanjut MES di sini. Sebanyak 17 program MES yang telah dilaksana, di antaranya Air Bersih Percuma, skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Pusat Khidmat Krisis Serenti, Hadiah Anak Masuk Universiti dan sebagainya. Bagaimana pun, Khalid juga dikatakan seorang MB yang 'kedekut' kerana telah berjaya mengumpul rizab negeri Selangor sebanyak  RM 3 bilion  berbanding dengan jumlah RM 1 bilion rizab dengan RM 400 juta tunai peninggalan MB sebelum itu

6. Apa yang lebih menarik, kejayaan Tan Sri Khalid menerajui Selangor dikatakan tidak memdapat perhatian pimpinan tertinggi PKR meskipun PR Selangor menang besar dan memperolehi majoriti 2/3 DUN Selangor dalam PRU-13 (PAS 15, DAP 15  dan PKR 14). Ramai  pada kalangan pengundi di Selangor merasakan kejayaan besar PR di negeri tersebut ada kaitan dengan ketokohan dan kepimpinan Tan Sri Khalid mengurus tadbir negeri yang cemerlang. Tetapi bagi Anwar Ibrahim selaku Penasihat Ekonomi Selangor secara terbuka pernah menegur Khalid jangan terlalu berbangga dengan lebihan wang yang diperolehi tetapi gagal membelanjakan dengan baik. Untuk mempastikan rakyat luar bandar terutama di kawasan Parlimen Kuala Selangor, Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Hulu Selangor diberikan peruntukkan pembangunan secukupnya, Anwar telah menghantar Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Ketua Staf di Pejabat Menteri Besar pada Julai 2013 untuk memperbaiki kelemahan pentadbiran Khalid, tetapi gagal.

7. Oleh yang sedemikian, apabila Speaker DUN Selangor mengumumkan kekosongan kerusi DUN N25 Kajang dan Anwar Ibrahim disebut  sebagai calon, yang kemudiannya ditukar kepada  isteri beliau  Dr Wan Azizah (setelah Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat II) dalam apa yang dikenali sebagai 'Langkah Kajang, maka episod penukaran Khalid Ibrahim selaku MB Selangor bermula. PKR mengambil Langkah Kajang untuk menukar Khalid dengan Anwar Ibrahim selepas menerima pelbagai aduan tentang Khalid yang didakwa mentadbir negeri sesuka hatinya tanpa berunding dengan partinya, PKR atau exco dan pimpinan PR. Beliau juga dikritik dalam caranya menanangi beberapa isu lain seperti catuan air, rampasan Bible Bahasa Malaysia dan Iban oleh JAIS dan cadangan Lebuhraya Kidex yang mendapat bantahan dari penduduk Petaling Jaya.  Dr Wan Azizah yang menenangi kerusi DUN N25 Kajang telah dipersetujui PKR sebagai paling layak menduduki kerusi MB Selangor, bagaiamapun, Khalid Ibrahim bertegas beliau tidak akan berundur sehingga penggalnya tamat pada tahun 2018. Langkah Khalid dikatakan mendapat sokongan padu ADUN dan pimpinan PAS Selangor dan Majlis Syura parti tersebut yang dianggotai antara lainnya Presiden PAS Haji Hadi Awang,  Murshidul Am Tuan Guru Nik Aziz dan Dr. Harun Din. Tetapi DAP Pusat dan Selangor memahami dan menyokong PKR mengantikan Khalid dengan Dr. Wan Azizzah. 

watak utama Langkah Kajang



Untuk mendapat maklumat lanjut keraguan  integriti Khalid  sila baca di sini

8. Rumusan : Khalid Ibrahim sebagai ahli parti PKR perlu patuh kepada pucuk pimpinan seperti mana yang dilakukan oleh Khalid Al-Walid. Tindak tanduk Khalid membolehkan Jawatankuasa Disiplin  PKR melucut keahlian beliau dalam PKR. Sekiranya hal tersebut berlaku, Khalid sudah tidak ada legitimasi sebagai MB Selangor yang memungkin membawa kucar kacir pentadbiran negeri dan bakal menyusahkan rakyat.   Walaupun Anwar Ibrahim bukan setanding  Khalifah Omar al Khatab r.a, namun  Anwar Ibrahim adalah sosok politk Malaysia yang tidak ada tolok banding. Bak kata Almarhum Dato' Hj. Fadhil Noor..  Anwar ibarat emas yang dibakar berulang kali, akhirnya  menghasilkan emas yang bermutu tinggi"  dan ... "musuh bila dia sokong kita, mesti ada yang tak kena...."  Tindak tanduk Khalid seterusnya  boleh  memecah jemaah yang telah diikat kukuh sebagai setiakawan dalam  PR