Friday 7 March 2014

JOM KTA SOLAT SUNAT ISTISQA'


1. Memandangkan  keadaan cuaca yang panas dan kering di seluruh negara kebelakangan ini berikutan ketiadaan hujan (lebat), kita disaran mengadakan solat Istisqa' (Solat Minta Hujan).

Imej satelit  pada hari ini: ruang angkasa negara kita tidak ada awan. 

bendang kering kontang dan  tanah merekah akibat kemarau di Kampung Lahar Yooi

taliair kering 

daun getah berguguran

2. Berikut adalah  panduan atau kaifiat Solat Sunat Istisqa' yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
  • Hukum solat Istisqa' adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut).
  • Solat Istisqa' dilaksanakan seperti Solat Hari Raya iaitu dua rakaat, dengan melakukan tujuh kali takbir pada rakaat pertama dan lima takbir pada rakaat kedua.

          - Takbir tersebut dilakukan selepas membaca doa iftitah dan sebelum membaca surat al-Fatihah
  • Pada setiap takbir itu diselangi dengan membaca tasbih iaitu enam kali tasbih pada rakaat pertama dan empat kali tasbih pada rakaat kedua.
  • Bacaan di dalam Solat Istisqa' adalah secara Jahar (kuat) bagi imam.
  • Lafaz niat : "sahaja aku solat sunat istisqa (minta hujan) dua rakaat makmum kerana Allah Ta'ala"
  • Selesai solat, khatib terus membaca dua khutbah.  Pada khutbah yang pertama dimulai dengan membaca Istighfar sebanyak sembilan kali dan khutbah kedua pula dimulai dengan membaca Istighfar sebanyak tujuh kali.
  • Sunat bagi khatib dan sekalian makmum membalikkan selendang atau serban, dengan menjadikan bahagian di sebelah atas menjadi ke bawah dan bahagian di sebelah kanan menjadi ke sebelah kiri.
  • Sunat bagi khatib menghadap ke arah qiblat (membelakangi makmum) pada sepertiga khutbah yang kedua.

3. Buat kali pertama di dalam sejarah Kampung Lahar Yooi, Tasik Gelugor, Pulau Pinang, Solat Istisqa' telah dilakukan pada hari Jumaat 7 Mac 2014 selepas solat fardhu Isyak di Masjid At-Taqwa. Menurut Imam 1 Masjid At-Taqwa, Solat Istisqa' biasanya dilakukan di kawasan lapang seperti di halaman masjid atau di padang. Afdhal solat dilakukan pada sebelah pagi.  Jemaah disunat memakai pakaian yang sederhana (tidak cantik) atau berpakaian ketika mengerjakan sawah padi dan membawa binatang ternakan dan tanaman bersama-sama  sebagai simbol memohon simpati/pertolongan dari Allah s.w.t. terhadap penderitaan yang dialami akibat kepanasan dan hujan tidak turun.

Solat Sunat Istisqa' tersebut telah diimamkan oleh Tuan Haji Haroon bin Hj. Shafie, makanala Ustaz  Hj. Zawawi bin Hj Ismail  pula selaku khatib. Kira-kira 150 jemaah yang terdiri dari anak qariah turut bersama.


BERIKUT ADALAH TEKS KHUTBAH SOLAT ISTISQA YANG DIKELUARKAN OLEH PEJABAT MUFTI PULAU PINANG YANG DIBACA PADA MALAM TERSEBUT. 



KHUTBAH PERTAMA






          Marilah sama sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa iaitu istiqamah dalam mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan  segala larangaNya. Dengan yang demikian,  mudah-mudahan kita akan menjadi umat yng tebaik dan unggul serta mendapat keredaan Allah s.w.t  di dunia dan di akhirat.

Sidang hadirin ang dihormati sekalian,

Allah s.w.t  telah berfirman dalam surat as-Syura atyat 27- 31:
bermaksud;

          Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi  Allah menurunkan  (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambanya, lagi melihat dengan nyata. Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Amat Terpuji. Dan di antara tanda-tanda kekuasaanyNa ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkannya pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Amat Berkuasa menghimpunkan mereka sekeliannya apabila Ia kehendaki (melakukannya). Dan apa-apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan  (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja). di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain daripada Allah sebagai pelindung atau pemberi pertolongan.



          Alhamdullah pada hari ini kita berkumpul untuk satu tujuan iaitu bagi sama-sama memohon kasih sayang dan rahmat dariada Allah s.w.t agar terus memberi kepada kita semua nikmat yang berkat yang dapat menjamin kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.


          Kita semua faham dan yakin bahawa nikmat anugerah Allah  s.w.t. kepada umat manusia amat banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh kesyukuran serta digunakannya dalam memperbanyakkan lagi ibadat kepada Allah s.w.t pada setiap masa dan ketika. Kita juga mesti ingat bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas hambanya bergantung kepada baiknya amalan kita terhadap Allah s.w.t.   Begitu juga dengan curahan keberkatan dan kebaikan dari langit disebabkan umat manusia beruaha menjauhkan diri dairpada jalan-jalan kesesatan yang memesongkan mereka darpada landasan Islam  yang sebenar.

          Kita sentiasa berdoa agar rezeki  yang diperolehi adalah suatu nikmat yang datang bersama dengan keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t sehingga kita mampu meraih kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Disamping itu, kita juga sentiasa memohon perlindungan daripada Allah s.w.t agar tidak menjadikan rezeki yang kita terima sebagai suatu pemberian yang tiada bersamanya keberkatan, apatah lagi ia bertujuan untuk melalaikan kita  daripada mendapatkan keredhaan Allah s.w.t sehinggakan menjadi kita umat yang rugi di dunia dan di akhirat.

Sidang muslimin  yang dirahmati Allah s.w.t, 


          Ketika kita memperolehi berbagai jenis rezeki, ada ketika Allah SWT menahan nikmatNya, sebagai suatu ujian untuk menguji tahap kesabaran dan kerelaan manusia dalam menghadapi bala  bencana ataupun ia merupakan suatu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang melakukan kezaliman dan lalai daripada mematuhi perintah Alah s.w.t. Antara bala' daripada Alah s.w.t  ialah Dia tidak menurunkan hujan, sebaliknya menganugerahkan cuaca panas yang begitu terik sebagaimana yang sedang kita hadapi sekarang. Ia menyebabkan manusia dan binatang mengadapi kesukaran, pokok dan tanaman turut kekeringan dan sebagainya.

          Islam sentiada memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada umatnya agar mencari jalan dalam menghadapi sebarang ujian yang datang. Kita mesti memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan daripada Allah s.w.t di atas segala dosa dan kesilapan yang dilakukan. Jangan campur adukkan antara ibadat dan maksiat sehingga  lebih banyak bala' Allah s.w.t yang turun, seumpama suburnya program maksiat sama ada dalam rumah tangga, masyarakat, negara  sama ada  melalui kemudahan maklumat seperti television, radio, media cetak, internet dan sebagainya yang melambangkan sebahagian daripada kita tidak bersunguh-sunggguh untuk bertaubat kepada Allah s.w.t.

          Ingatlah kita pada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah Ibnu Umar, bahawa Rasulullah saw telah bersabda ; maksudnya; "wahai kaum Muhajirin ! Lima perkara apabila kamu ditimpa bala' dengannya, dan aku berlindung dengan Allah swt agar kamu tidak menemuinya.... (antaranya)...... dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan untuk mereka titisan air hujan dari langit dan jikalau tiada binatang yang hidup di muka bumi ini, nescaya Allah s.w.t tidak akan menurunkan hujan.....  ".

Muslimin yan dimuliakan Allah, 

          Pada hari ini saya memperingati diri saya sendiri dan muslimin muslimat sekalian agar kita sama-sama memperbanyakkan istighfar dan  bertaubat kepada Allah s.w.t di atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi, sedar atau tidak. Sesungguhnya amalan memperbanyakkan istighfar dijanjikan begitu banyak kelebihan oleh Allah s.w.t

Firman Allah swt dalam suruh Nuh ayat 10 - 12 :

          Maksudnya; "sehingga aku berkata (kepada mereka)  : Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnnya Dia Maha Pengampun.  (kiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu. Dan Ia akan memberikan kepada kamu dengan banyaknya kekayaan harta dan anak-anak, dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai" (yang mengalir di dalamnya)


Sidang muslimin yang di rahmati Allah s.w.t,

          Melihat kepada arahan dan amaran daripada  Allah s.w.t dan rasulNya agar kita sentiada bertaubat daripada segala dosa serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala tegahan Allah s.wt, maka sepatutnya kita lebih sedar tentang kesalahan kita yang menyebabkan turun sesuatu bala' daripada Allah s.w.t. Kita juga mesti sentiasa istiqamah dan berada di atas landasan Islam yang sebenar dengan menghindarkan segala jalan yang membawa kepada kesesatan.


Firman Allah s.w.t dalam ayat 16 surah al-Jin :

           Maksudnya;  (Nabi Muhammad diwahyukan untuk menerangkan lagi) : "dan bahawa sesungguhnya, kalaulah mereka (manusia dan jin) itu, berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab membawa kemewahan, terutamanya ) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

          Kita mestilah bertegas melawan kebatilan dan maksiat sehingga datangnya kemenangan dan keredhaan daripada Allah s.w.t. Kita juga jangan takut untuk menegur kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita kerana sebarang dosa bakal mengundang bala' dan apabila bala' telah turun, maka dia akan mengenai seluruh makhluk dan bukan tertentu kepada pelakunya sahaja


KHUTBAH KEDUA





Firman allah dalam surah al-A'raf yat 55 -57 :

          Maksudnya: berdoalah kepada Tuhan kamu dengan  merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu perbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya, dan berdoalah kepada Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. Dan Dialah (Alah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan),  hingga apbila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula kami mengeluarkan (menghidupkan semua orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). 


Sidang muslimin yang dimuliakan Allah,

Sekali lagi saya memperingati diri saya sendiri dan muslimin sekalian agar kita sama sama memperbanyakkan beristighfar dan bertaubat keada Allah atas segala dosa dan kesalahan yang dilakukan. Semoga Allah menerima segala taubat kita dan seterusnya menurunkan rahmat dan kebaikan dari pelbagai aspek.


ketika ini khatib mula menghadap ke arah qiblat
Khatib dan sekelian makmum membalikkan selendang atau serban yang dipakai dengan menjadikan bahagian sebelah atas ke sebelah bawah dan yang sebelah kanan menjadi sebelah kiri. Jika pakai baju, sunat menterbalikkannya.


Sidang muslimin yang dimuliakan  Allah

          Marilah kita sama-sama kita menadah tangan memohon kepada Allah swt segala kebaikan dan dihindari daripada kita segala keburukan.

          Segala puji tertentu bagi Allah memelihara dan mentadbir sekalian alam, Alah Yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang menguasai pemerintahan Hari pembalasan (hari akhirat). Tiada tuhan yang berhak di sembah melainkan Allah, yang melakukan sesuatu menurut kehendakNya. Ya Allah, Engkaulah Allah yang tiada Tuhan selainMu. Engkaulah yang Maha Kaya, sedangkan kami adalah fakir. Turunkan kepada kami hujan dan jadikanlah hujan yang Engkau turunkan itu menjadi bekal sampai bagi kami sehingga waku yang tertentu.

"Ya Alalh, siramilah kami, Ya Allah siramilah kami, Ya Allah siramilah kami".



"Ya Allah  siramilah kami dengan hujan yang menyuburkan dan yang baik kesudahanya yang bertapis-tapis yang memberi manfaat tidak memberi mudharat dengan segera tidak bertanggunh-tanggguh lagi".



Khatib berpaling semula membelakangi kiblat dan menghadap ke arah para makmum sebagaimana biasa, pada akhir khutbah kedua ini.

No comments:

Post a Comment