Thursday 17 October 2013

AIDIL ADHA DAN HARI TASYRIK YANG MENINGGALKAN KITA...

1. Hari ini, 17 Oktober bersamaan 12 Zulhijjah adalah hari ke-3 Hari Tasyrik. Apabila masuknya waktu maghrib pada besok hari, Jumaat  13 Zulhijjah, maka berlalulah hari tasyrik bagi Tahun Hijrah 1434. Apa itu Hari Tasyrik ? Hari Tasyrik juga dikenali sebagai Ayyam At-Tashriq yang bermula dengan Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zuhijjah dan diikuti dengan hari-hari pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.  Istimewanya hari-hari tasyrik ialah umat Islam di seluruh dunia melakukan ibadat korban dengan dengan penyembelihan binatang-binatang korban sebagai satu ibadat sunat muakkad. Ibadah korban adalah satu syiar perhambaan manusia kepada Allah SWT.  Bagi golongan yang berkemampuan adalah ' makruh' jika tidak melakukannya.  Ibadah ini menjadi 'wajib' dilakukan jika sesiapa yang bernazar untuk menunaikan korban. Adalah menjadi satu 'sunat kifayah' pula bagi sebuah keluarga muslim apakala salah seorang ahli keluarga tersebut melakukan ibadah ini. Dan 'harus' melakukan korban untuk orang yang telah meninggal dunia atau niatkan pahala korban untuk arwah simati.




Ibadah korban tahun 1434H di Kg. Lahar Yooi. 
Sebanyak 9 ekor telah disempurnakan pada hari pertama.

2. Disamping ibadah korban, umat Islam disunatkan melafazkan takbir bermula dari masuknya waktu subuh 9 Zulhijjah dan berakhir selepas solat  Asar 13 Zulhijjah. Jadi jumlah takbir raya bagi Hari Raya Aidil Adha adalah selama 5 hari. Tetapi bagi kaum muslimin dan muslimat yang mengerjakan ibdah Haji di Mekah, mereka disunatkan mengucap talbiyah  "Labbaika Allahumma labbaika......".

3. Amalan melafazkan 'takbir raya' dan  mengucapkan talbiyah (ketika menunaikan ibadah haji di Mekah) di kalangan masyarakat Islam di Malaysia masih kurang memberangsangkan berbanding dengan umat Islam di negara lain. Kedapatan keluarga muslim di Malaysia agak berkeberatan untuk bertakbir raya selepas solat di rumah dalam masa 5 hari tersebut. Kebanyakkannya bertakbir di pagi hari raya sebelum Solat Sunat Aidil Adha di masjid atau surau (Itu pun jika tiba awal ke masjid/surau). Bagi jemaah yang sering berulang alik mendirikan solat fardhu di masjid atau surau, kebiasaannya imam solat fardhu akan takbir raya selepas beri salam. Sebenarnya lafaz takbir raya boleh dilakukan sepanjang malam raya sehinggalah dipagi raya sebaik sahaja iman selesai solat sunat hari raya. Kemudian takbir raya boleh dibuat selepas solat fardhu atau solat sunat di sepanjang hari tasyrik, malah boleh juga di lafazkan takbir selepas solat-solat sunat dan solat jenazah

4. Bertalbiyah adalah satu amalan haji yang paling afdhal (sunat mustahab) selain ibadah korban. Dengan bertalbiyah bermakna kita datang menyahut seruan Allah, sebagai satu mukadimah ucapan, pengakuan, iltizam kepada perjanjian dan berdailog dengan pencipta kita iaitu Allah SWT.  Selain dari manusia, pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan debu-debu juga turut bertalbiyah.  Masa bertalbiyah bermula selepas niat  ihram  haji atau umrah dan tamat selepas selesai  lontaran  batu di Jamrah Aqabah bagi ibadat haji dan apakala memulakan tawaf bagi ibadat umrah. Kita dituntut melafaz talbiyah dengan suara yang nyaring.  Pengalaman ketika menunaikan ibadat haji dan umrah, ahli rombongan kami tidak berhenti-henti melafazkan talbiyah di dalam bas setelah bertolak dari Bir Ali atau dari mana-mana miqat sehingga sampai kota Mekah dan bertakbir ketika berulang alik dari khemah di Mina ke Jamrah selepas lontaran batu pertama di Jamratul Aqabah. Seronoknya pengalaman ini.

5. Sesuatu yang menarik pada hari tasyrik ialah umat Islam diharamkan berpuasa. Kita dituntut meraikan dengan memakan minum seperti mengadakan kenduri korban, kenduri aqiqah dan sebagainya. Inilah keindahan dalam ajaran dan syiar Islam....

No comments:

Post a Comment