Thursday 28 November 2013

SITI AISHAH - "SICERDIK HAMBA RETORIK MAOIST"

Apartment mangsa "London Slave" yang menjadi tumpuan media

1. Tahun Masehi  2013 yang bakal menutup tirai tidak lama lagi telah digegarkan dengan satu berita mengenai "perhambaan moden  di negara bertamadun". Beberapa akhbar di United Kingdom dan badan penyiaran tersohor, British Broadcasting Corporation  (BBC) telah menyiarkan berita mengenai pembebasan tiga orang 'hamba domestik" di Lambeth, selatan  London yang menggemparkan  warga United Kingdom, Ireland dan Malaysia.

2. Rentetan peristiwa yang "dahsyat dan gerun" ini bermula apabila salah seorang mangsa perhambaan wanita Britain yang bernama Prem Maopim Duzi Davies atau Rose (30 tahun)  telah membuat satu panggilan telefon kepada satu pertubuhan kebajikan  Freedom Charity pada 18 Oktober 2013 yang lalu. Ekoran dari panggilan tersebut, satu pertemuan telah diatur di antara mangsa "perhambaan" dengan wakil Freedom Charity dan seterusnya unit perisikan polis  Scotland Yard telah berjaya mengenal pasti lokasi dan apartment yang menempatkan tiga orang mangsa 'perhambaan" tersebut.  Ekoran dari itu, polis telah  membuat serbuan dan  menahan seorang lelaki yang bernama Aravindan Balakrisnan aka Comrade Bala, dipercayai seorang warga Singapura  dan isterinya Comrade Chanda Pattni seorang warga Tanzania keturunan India. Suspek disyaki telah menjadikan ketiga-tiga  mangsa 'penghambaan" selama tiga dekad. Suspek telah dibebaskan dengan ikat jamin, akan dihadapkan ke mahkamah pada bulan Januari 2014 nanti.

Aravindan Balakrisnan 


3. Berita penangkapan dan pembebasan "hamba" ini terus mendapat liputan meluas dalam media utama Britain.  Di Malaysia, pada peringkat awal, identiti warganegara Malaysia yang dikatakan salah seorang dari tiga mangsa "perhambaan" itu tidak diketahui ramai sehinggalah seorang wartawan Deen Neelson dari akhbar The  Daily Telegraph yang berpangkalan di New Delhi  berkunjung ke rumah Cikgu Kamar Mahtum iaitu kakak kepada mangsa di Jelebu  Negeri Sembilan.  Mangsa dikenalpasti sebagai Siti Aishah binti Abdul Samad oleh aktivis Hishamudin Rais yang mengendalikan blog "Tukar Tiub". Hishamudin pernah meninggalkan tanah air, menetap dalam buangan di London selama 15 tahun  apabila waran tangkap ISA dikeluarkan kepadanya  ekoran dari Peristiwa Demontrasi Baling Tahun 1974.


4.  Menurut akhbar The Mirror Daily, wanita yang dikatakan menjadi mangsa 'perhambaan selama 30 tahun tersebut dikenali sebagai Rose atau Rossie (30 tahun) warga Britain, Josehine (57 tahun)  warga Ireland  dan Siti Asishah (juga dikenali sebagai Aishah Mautum aka Aishe Wahem - 69 tahun), warganegara Malaysia. . Ketiga-ketiga mangsa  "perhambaan"  mempunyai latar belakang yang menarik.


5. Rose merupakan mangsa yang termuda. Ketika dibebaskan beliau baru berusia 30 tahun. Menurut sumber agensi berita  IVT News, Rose adalah  seorang  yatim piatu kerana ibu dan bapanya telah meninggal dunia di dalam satu kebakaran ketika beliau masih kanak-kanak. Beliau telah dipelihara oleh ibu angkatnya yang dikenali sebagai Sian Davies .Bagaimanapun,Davies telah mengalami satu kemalangan iaitu terjatuh dari tingkap bilik air  apartmennya yang membawa kepada lumpuh badan dan akhirnya meninggal dunia setahun kemudian.  Davies adalah pengikut setia Aravindan.  Jadi tidak hairanlah sebahagian besar hidup Rose adalah di bawah jagaan dan pengawasan  Aravindan dan isteri.

Rose

6. Selepas dibebaskan Rose yang masih di dalam trauma memberitahu wartawan "saya ibarat seekor lalat yang terjerat di sarang labah-labah". Beliau bersama Siti Aishah dan Josephine telah ditahan dan di"brainwash" oleh  Aravindan dan isterinya pada setiap masa, Deraan psikologi dan  fizikal yang begitu hebat dikenakan kepada mereka menyebabkan  kehidupan harian mereka selama 30 tahun dikawal oleh Aravindan. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila Siti Asihah telah diserang stroke dan tidak ada sesiapa yang datang membantu.  Satu  hari ketika Rose menonton satu siri televisyen yang menyiarkan dokumenteri berkaitan dengan pertubuhan  Freedom Charity telah memberi semangat kepadanya untuk mengadu masalah mereka, seterusnya membawa kepada  pembebasan mereka.

7. Josephine Herivel  sama seperti Siti Asihah lebih tertarik kepada doktrin Moaist dan Marksis-Leninist.. Menurut akhbar The Daily Telegraph  apa yang menariknya beliau adalah anak kepada John Herivel iaitu "Wira Perang Dunia II" yang telah berjaya memecahkan kod rahsia tentera Jerman bagi  membolehkan Tentera Bersekutu menumpaskan Jerman.

Josephine Herivel

8. Siti Asihah pula  dilahirkan pada 27 Mei 1944 di Jelebu Negeri Sembilan. Beliau anak ke 11dari 12 orang adik beradik. Menurut kakaknya Cikgu  Kamar Mahtum "dia sangat berbakat dan menjadi buah hati ibu. Apabila ibu  saya meninggal dunia,dia (Aishah) tidak mahu bercakap dengannya".   Beliau juga mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Mohd  Tahir yang pernah bekerja di London.   "Siti Aishah seorang yang lemah lembut, tidak agresif, tetapi tegas". Pada peringkat awal persekolahan, ayah beliau  telah menerapkan  pendidkan  akademik dan agama yang secukupnya. Oleh itu, tidak hairanlah Siti Aishah merupakan seorang gadis kampung yang cerdik. Beliau berpeluang menyambung persekolahannya di Kolej Tunku Kursiah di Bukit Merba Seremban.  Menurut laporan portal MStar, rakan seniornya Encik Pit Ahmad Ibrahim, Siti Aishah pernah belajar di Kolej Teknikal Kuala Lumpur di Jabatan Ukur Bahan sekitar tahun 1963 - 1964. Di kolej tersebut, Siti Aishah pernah menjawat AJK Kumpulan Islam Kolej.  Beliau seterusnya berjaya mendapat biasiswa Komenwel di bawah Colombo Plan pada tahun 1968  untuk membuat ijazah dalam bidang  Ukur Bahan di sebuah universiti yang prestij iaitu London School of Economic @ LSE. (sekadar makluman, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, DSAI, pernah dijemput di dalam satu Forum Demokrasi Dunia Islam d  di LSE yang dihadiri oleh beberapa tokoh  pemikir ekonomi Yahudi).

Cikgu Kamar (Foto Siti Aishah tidak diuploadkan di atas privasi aurat)

9. Siti  Aishah ke London bersama dengan tunangnya Omar Munir - kini seorang professor di IPTS pada tahun 1968 . Ketika berada di UK, suasana soiso-ekonomi dan politik pada ketika sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kesan dari  pasca Perang Vietnam.. Perang ini menyaksikan Amerika Syarikat yang merupakan kuasa imperialisme dan kapitalisme telah tewas.  Lebih 58000 tenteranya terkorban. Vietnam seterusnya menduduki Laos dan Kemboja dengan menjadikan doktrin Maoist  sebagai dasar pemerintahan.. China dan Rusia adalah  sekutu utama Vietnam. China yang diperintah oleh Parti Komunis China semasa dibawah pimpinan Mao Zedong mula memperkenalkan doktrin maonisme iaitu varian dari Marxisme - Leninisme.  Maoisme menekankan pergerakan massa yang bersifat revolusioner iaitu penglibatan secara besar-besaran  penduduk dalam perjuangan demi sosialisme dan konsep tentang demokrasi baru. Dalam ertikata lain, perjuangan  asas maoisme ini ialah perjuangan revolusi majoriti rakyat yang sudah pastinya  dari kaum petani. Fahamanan ini menyediakan garis panduan cara-cara meneruskan revolusi sosialis, pembentukan masyarakat sosialis, pembinaan tentera sosialis serta menyelesaikan pelbagai pecanggahan dalam masyarakat melalui 'pembinaan sosialis'. Fahaman ini tidak terhad di China atau Rusia sahaja, malah telah menyusup masuk ke India, Peru, Nepal dan sebagainya. Bagaimana pun rancangan Mao Zedung ini gagal mencapai matalamatnya kerana apabila Parti Komunis China di terajui oleh Deng Xiaoping, negara China mula memperkenal tranformasi ekonomi, sosial dan politik - ke arah ekonomi pasaran. Hal ini mengecewakan Aravindan dan pengaruhnya semakin berkurangan.


10. Menurut Hishamudin Rais,   semasa di London,Siti Aishah aktif dalam kumpulan pelajar Malaysia yang berhaluan kiri yang digelar "New Malayan Youth". Pada ketika itu. New Malayan Youth dianggotai oleh pelajar  dari Malaysia dan Singapura. Pemerintah Malaysia melabelkan organisasi ini sebagai pertubuhan Komunis dan diharamkan di Malaysia, tetapi tidak di England kerana negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan bersuara.  Di Malaysia, fahaman sosialis ini  mula menyerap ke kampus IPT terutama Universiti Malaya Kuala Lumpur. Pihak pemerintah telah menutup kelab Sosialis UM (KESUMA).   Siti Aishah dikatakan begitu teruja dengan  Aravindan. Dikatakan  Aravindan di antara pemimpin tertinggi Parti Komunis England. Menurut Omar Munir, Aravindanlah punca utama pertunangannya dengan Siti Aishah terputus. Dikatakan Siti Aishah telah mencampak cincin pertunangan ke dalam Sungai Thames.


11. Menurut Faridah Ismail Cook, beliau mengenali Siti Aishah dan aktivitinya dalam pergerakan bawah tanah ketika beliau menuntut di University of London. Menurut Faridah, "she (Aishah) was a staunch beliver in the Maoist Doctrine". Tambahnya lagi Siti Aishah diibaratkan sebagai "I  belive at the points in her life, no one could change her mindset and her political views". Faridah sering nampak Siti Aishah berjaket dan berseluar serba  hitam ala Mao Zedong menyebarkan risalah maoist di universiti. Bagaimanapun, Siti Aishah bukanlah seorang pemimpin, sekadar pengikut sahaja.


12. Terdapat usaha-usaha untuk membawa Siti Aishah balik ke pangkal jalan. Misalnya satu pertemuan  telah diatur di antara Ustaz Abu Bakar Hamzah (seorang kaunselor dari PAS) dan isterinya, di mana Siti Aishah diminta untuk tinggalkan fahaman komunisnya, tetapi gagal. Begitu juga adiknya yang bekerja di London telah menasihatkan Siti Aishah supaya berubah, namun Siti Aishah tetap dengan pendiriannya.


13. Menurut sumber Mail Online, Siti Aishah dilaporkan mengalami  stroke ketika berada dalam rumah. Sehingga kini, Pesuruhjaya Tiinggi Malaysia di London masih belum pasti sama ada  Siti Aishah  berada di bawah kawalan pertubuhan Freedom Charity atau polis Britain. Akses bagi mendapat maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-unndang tempatan UK. 
Cikgu Kamar yang kini berada di London telah menulis sepucuk surat melalui kedutaan Malaysia untuk disampaikan kepada Siti Aishah.

14. Kisah perhambaan moden ini telah menimbulkan beberapa persoalan :-

14.1 Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri Britain, bagaimana perhambaan ini masih boleh berlaku di United Kingdom ?

14.2 Menurut pegawai polis yang menyiasat kes ini, ketiga-tiga mangsa perhambaan ini hanya di brainwash dengan kemungkinan tindakan kekerasan fizikal digunakan kepada mereka, tetapi tidak ada unsur-unsur penderaan seksual.

14.3 Ketika inkuaes kematian Sian Davies  di mahkamah, tahun 1997, mereka (mangsa dan rakan-rakan) telah mengherdik wartawan. Wajah mereka tidak menggambarkan mereka adalah hamba domestik.

14.4 Mereka dikatakan bekerja di rumah dan diberi upah. Mereka juga dibenar bersiar-siar tetapi di bawah kawalan jauh, ibarat "tangan digari".

14.5 Rose yang sebahagian besar usianya di dalam "kurungan" bukanlah seorang buta huruf. Beliau telah mengutus berpuluh-puluh surat cinta kepada seorang jirannya dan meminta jangan dibalas surat-surat tersebut.

14.6 Mereka juga boleh menonton televisyen - memberi peluang keemasan kepada Rose untuk 'merdeka' setelah menonton dokumentari pertubuhan Freedom Charity".

14.7 Mohd. Tahir pernah meminta isterinya memasak "masakan Malaysia" ketika Siti Aishah dan dua orang rakannya berkunjung ke rumahnya di London.

15. Kini mereka semua telah bebas. Aravindan Balakrisnan   dan isteri  akan didakwa kerana mengurung ketiga-tiga mangsa tanpa kerelaan mereka.

Adakah Cikgu Kamar berjaya bertemu dengan adiknya Siti Aishah. ?
Adakah Siti Aishah mahu pulang ke pangkuan keluarga di Jelebu  ?

Kepada Siti Aishah, anda kembalilah ke pangkal jalan, mula episod baru pada usia senja anda. Ingat..... "tiada  kekecewaan dalam hidup"



No comments:

Post a Comment